HATIKU berlagu riang kerana peperiksaan telah selamat aku jalani. Aku mengharapkan diriku mencapai kejayaan yang cemerlang setelah berusaha bersungguh-sungguh. Aku juga mengharapkan kawan-kawanku pun begitu. Kala ini aku terfikirkan keadaan Ejam. Bagaimanakah dia di hospital sekarang ini? Adakah dia dapat menjawabnya? Naqib? Mereka berdua menjawab peperiksaan di hospital sahaja.
Aku bersyukur pada Tuhan kerana menyelamatkan mereka dan memberi peluang pada mereka untuk terus bernafas di bumiMu Tuhan dan mujurlah tidak Kau hilangkan ingatan mereka berdua itu. Kini ruang fikir itu masih berfungsi seperti biasa. Apa yang menjadi tanda tanya, apakah punca sebenarnya mereka berkeadaan seperti itu? Puas aku bertanya pada Naqib, siapa yang memukulnya meskipun aku dapat mengagak bahawa Ejamlah orangnya.
Kata hati Ardila pula kuat mengatakan Ejam yang lakukan kerana telinganya yang mendengar hal mereka berdua mahu buat perhitungan. Hatiku nan sepi ketika itu jadi terperanjat sekali. Tidak cukup dengan itu aku dikejutkan dengan insiden Ejam yang terbabas di lurah yang rumit.
Aku merancang untuk mencari Naqib tetapi Ejam pula yang kutemui. Apakah maknanya semua ini? Takdir buat diriku menemukan Ejam yang pengsan dan hampir separuh mati dan aku tiada pilihan lain lagi. Menyelamatkan Ejam menjadi satu kewajipan buatku.
“Aku rasa memang Ejam yang hentam kepala Naqib, lepas itu dia takut dan lari meninggalkan Naqib lalu tiba-tiba dia terbabas ke lurah ,” kata Ardila membuat spekulasinya.
Pada ketika itu aku hanya mengusap-usap daguku dan memikirkan mungkin ada benarnya dan memang boleh diterima pakai pendapatnya itu tapi tidak semudah itu kerana tidak ada bukti dan saksi yang tampil membuat keterangan. Malangnya tiada siapa pun yang berani buka mulut dan menyatakan kebenarannya termasuk Naqib dan Ejam sendiri.
Puas juga aku menyoal Joe dan Borhan agar mereka memberitahuku apa yang berlaku pada hari terakhir sebelum aku menemui Ejam namun mereka tidak memberikan respon dan kerjasama yang baik.
Lantaklah! Asalkan Ejam dan Naqib masih bernafas. Aku geram dengan Joe dan Borhan yang menyembunyikan sesuatu dariku.
Entah kenapalah waktu itu aku tergerak hati untuk menyelamatkan Ejam walaupun aku tahu dia selalu sakiti aku. Hatiku robek kerana sikapnya. Jiwaku keruh diperlakukan seperti sebelum ini. Kenapa aku tidak membiarkan dia mati di situ sahaja? Aduhai jahatnya pemikiran aku. Tidakkah aku bimbang sekiranya selepas ini dia kembali membuliku setelah dia betul-betul sembuh nanti? Mungkin juga ya dan mungkin juga tidak.
Apa yang pasti aku sudah tamat peperiksaan dan tidak sabar rasanya untuk aku terus terbang bebas seperti burung.
Wahai langit yang biru, aku tahu kau sedang memerhatikan aku. Wahai angin, sampaikan salam rinduku buat Irwandi yang telah lama lupakan aku. Kenapa dia tidak kirimkan surat padaku? Dia itu memang penipu! Aku memarahi sikapnya. Janji mahu kirimkan surat tapi satu surat pun tidak wujud di mataku. Adakah dia benar-benar sudah melupakanku?
Ah! Biarkanlah. Aku ingin berjumpa dengan Cikgu Hasrudi sekejap lagi. Mahu aku ucapkan terima kasih untuknnya kerana dia telah menyelamatkan aku dari dimarahi oleh ibuku atas kejadian rokok yang sengaja diletakkan dalam beg aku itu.
Aku terus berjumpa dengan cikgu Hasrudi di hari akhir peperiksaan ini. Aku pergi sendiri dan membiarkan Ardila bersama dengan kawan-kawan yang lain lagut berborak. Bercerita tentang masa depan agaknya. Maklum saja, kehidupan sebenar bakal bermula dan duri ranjau pasti lebih hebat dari ini. Pasti!
Aku mengetuk pintu pejabat Cikgu Hasrudi sebelum memulas tembol itu lalu meluru masuk setelah aku mendengar keizinan untuk masuk telah dilafazkan oleh Cikgu Hasrudi dari dalam.
“Assalamualaikum cikgu,” aku menghulurkan salam buatnya.
“Waalaikumussalam. Ya Adam, sila duduk.” Cikgu Hasrudi menjawabnya dengan lembut dan mempelawa aku untuk terus duduk.
“Terima kasih cikgu,” aku terus melemparkan senyuman tatkala Cikgu Hasrudi juga mengulum senyuman setelah melihatku.
“Ya Adam, ada apa jumpa saya?” soalnya.
“Saja hendak cium bau harum minyak wangi cikgu itu, dari pagi sampai ke petang tidak lekang baunya, minyak wangi apa yang cikgu pakai ya? Maaf kalau menganggu,” soalku tiba-tiba.
Memang sengaja aku tuturkan ayat sebegitu. Ingin memuji dalam lindungan hati dan perasaan aku sendiri. Inilah caraku dan inilah diriku. Sebenarnya aku sukar untuk menghina orang lain. Bagiku, bukan aku yang berhak menghukum orang lain dan bukan aku yang harus jadi hipokrit. Realitinya aku insan yang suka dengan keindahan, bersikap jujur dan tulus dan bertuturan. Memuji ciptaan Tuhan sememangnya amat aku agung-agungkan.
“Jadi awak jumpa saya semata-mata untuk bertanya tentang minyak wangi yang saya pakaikah?” soal Cikgu Hasrudi dengan nada pelik melirik kaget.
Aku sengaja mencebik. Saja menunjukan reaksi wajah yang cemberut kononnya dan aku tahu Cikgu Hasrudi sedang sibuk. Mungkin aku menganggu dirinya. Awal-awal lagi aku memohon maaf darinya.
“Okey, cikgu minta maaf,” ucap Cikgu Hasrudi yang mula memahami aku seorang yang manja tapi sukar untuk mengalirkan air mata di depan orang. Aku bukan suka membazirkan air mataku pada sesuatu yang enteng. Sekiranya aku menangis maka aku pedih. Pedih nan runcing di dalam jiwaku sendiri.
Nampaknya Cikgu Hasrudi dapat menerima gurauan aku walaupun dia kadangkala bersikap tegas. Sebagai guru displin sekolah seharusnya dia bersikap tegas. Namun aku tahu bahawa Cikgu Hasrudi sebenarnya seorang yang penyayang. Kalau tidak, masakan dia belanja aku dan Ardila makan dan minum sebelum bermulanya awal-awal peperiksaan hati itu.
“Cikgu…”
“Ya saya, cakaplah apa tujuan awak sebenarnya datang berjumpa dengan saya?”
“Sebenarnya saya mahu ucapkan terima kasih kerana cikgu masih percayakan saya dan tidak mengenakan tindakan displin terhadap saya. Errr dan terima juga kerana merahsiakan perkara itu dari pengetahuan ibu saya,” kataku.
“Ooh! Tentang itu, janganlah awak risau ya, saya memang percayakan kamu dan saya tahu sudah tahu siapa yang menjadi dalangnya.” ujar Cikgu Hasrudi yang membuatkan hatiku tertanya-tanya siapakah orangnya dan bagaimana ia boleh berlaku.
“Bolehkah saya tahu siapakah orangnya?” tanyaku sambil menggaru kepala yang tidak gatal.
Aku mendengar nafas Cikgu Hasrudi yang sedang dihelakan itu. Kemudian dia melepaskannya perlahan-lahan lalu merenung ke dalam mataku. Sungguh polos pandangan itu. Misainya yang lebat itu pula dielus perlahan. Saat itu juga aku melihat bibirnya melebarkan senyuman. Kenapa pula dia nampak bahagia sahaja? Ada sesuatu yang sedang difikirkan oleh Cikgu Hasrudi pada saat ini.
Aku berasa malu teramat sangat setelah dia mengerling mata. Nampak seperti mahu mengorat diriku. Ah! Perasan betul aku. Mana boleh merasakan seperti itu. Tiada logiknya namun sorotan mata Cikgu Hasrudi yang bersinar itu membuatkan sendiku jadi lemah. Jantungku pula berdetak kencang. Betapa tampannya wajah itu dan betapa indahhya ciptaan Tuhan. Tidak salah rasanya untukku memuji di dalam hati.
“Baiklah, saya akan ceritakan pada kamu, sebenarnya ada seorang pengawas datang jumpa saya dan dia memberitahu kebenarannya pada saya bahawa rokok itu tidak ada di dalam beg sekolah kamu. Ia sengaja diletakkan oleh pengawas itu sendiri yang kononnya rokok itu adalah milik kamu. Pengawas itu terpaksa mengikut arahan dari seseorang yang telah mengugutnya,” terang Cikgu Hasrudi.
“Siapa?” soalku sepatah.
“Maslizam bin Roslan. Dan saya tahu dia telah banyak sakiti kamu, Adam,” balas Cikgu Hasrudi.
“Cikgu, saya harap cikgu dapat maafkan dia,” aku memujuknya agar kesalahan itu dapat dimaafkan.
Aku meminta jasa baik cikgu demi menyelamatkan keadaan. Aku tidak mahu ia berpanjangan meskipun aku tahu perkara itu merupakan satu kesalahan. Aku tidak pasti sama ada Cikgu Hasrudi dapat memaafkan Ejam atau pun tidak namun apa yang pasti hatiku ini berdetik rasa simpati pada Ejam. Aku yakin tanggapan Ejam akan berubah padaku setelah apa yang berlaku.
“Sudah tentu boleh kalau itu yang kamu mahu, tapi memandangkan perkara ini berlaku di sekolah maka saya perlu ambil tindakan,” kata Cikgu Hasrudi.
“Cikgu.. tolonglah.. lagipun kami semua bakal tamat persekolahan, peperiksaan juga telah pun tamat dan mungkin lepas ini cikgu susah hendak berjumpa dengan kami lagi. Saya mungkin akan rindukan cikgu.”ucapku lembut.
Tidak putus-putus aku merayu pada Cikgu Hasrudi yang tampan itu agar memaafkan segala-galanya. Aku berharap ada sekelumit rasa simpati di hati cikgu itu terhadap kami. Kalau aku sedia memaafkan Ejam mengapa tidak Cikgu Hasrudi. Dia lagi tua dan matang dalam menilai sesuatu berbanding diriku ini.
“Nanti saya fikir-fikirkan, tapi boleh ke malam ini awak keluar dengan saya sebabnya saya mahu belanja kamu makan?” soal Cikgu Hasrudi.
Belanja makan? Malam ini? Eh! Waktu malam mana boleh sebab ibu aku tidak benarkan aku keluar malam-malam. Tapi kenapa tiba-tiba Cikgu Hasrudi hendak belanja aku makan? Pelik saja.
Aku mendiamkan diri dan tidak berani memberikan apa-apa jawapan kerana aku tahu sukar untuk aku keluar pada waktu malam. Selama ini aku tidak pernah pun dibawa keluar oleh sesiapa pada waktu malam walaupun dengan Irwandi. Cikgu Hasrudi ini pun satu, kenapa tidak hari siang saja? Petang ini pun rasanya pun boleh. Ah! Mengada-ngada pula cikgu ini. Lain yang aku harapkan lain pula yang dia soal.