Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 18)

“TERIMA kasih Adam kerana selamatkan anak pak cik. Err pak cik tidak tahu hendak cakap apa lagi. ” ucap Encik Roslan.

“Tidak mengapalah pak cik, kebetulan saja saya lalu di situ.” balas Adam.

“Kalau Adam tidak ada masa itu, pak cik tidak tahu apa akan jadi pada Ejam.” Encik Roslan meluah rasa hatinya.

Dari relung hati Si Adam tercalit rasa kasihan dengan apa yang berlaku itu. Kedutan di wajahnya menampakkan tanda-tanda gusar lalu membawa jiwanya hanyut di betah gelora yang senyap-senyap menikam kalbu. Hati pekurnya menunding ke arah satu jalan yang membawa terbang satu ingatan lalu membunuh rasa benci berganti rasa sedih.

Kekeruhan bertukar bening dalam hati insan lembut bernama Adam Mursyid yang cuba memalsukan senyuman itu biarpun kala ini hatinya sudah pun berkudis dengan hinaan dan celaan anak Roslan bernama Maslizam atau lebih dikenali sebagai Ejam itu. Anak teruna Encik Roslan kini terlantar di hamparan kudus katil hospital.

Adam membawa bersama secangkir rasa ketika menatapi wajah ayah Ejam dengan melipatkan segala peristiwa di kotak fikiran setelah apa Ejam lakukan terhadap dirinya. Dia tidak mahu mengenangkan kembali segala-galanya. Biarkanlah rasa benci dan geram itu dihanyutkan oleh alur deras dalam detik waktu yang lalu.

Kerapuhan tulang kenangan telah meruntuhkan tembok kekesalan. Dia tidak mahu menyimpan dendam dan sedia memaafkan Ejam. Adam mahu menghapuskan titik hitam yang selalu menggulung perasaannya tatkala melihat jasad yang kaku di depan mata.

Percayalah. Jiwa Adam saat ini sarat dengan rasa simpati tiada lagi benci malah rasa kasih pada kawan masih tersemat. Kerikil yang keras itu sedang sepi tanpa sebarang bicara kerana kerikil itu sedang berjuang untuk terus hidup. Ejam umpama kerikil yang keras bisa ditempek lagi dengan kasih sayang. Adam sedia tahu Ejam sebenarnya bukan seorang yang teruk tetapi dia kurang diberi perhatian oleh Encik Roslan.

Kesibukkan ayah Ejam itu sering saja mengabaikan anaknya kerana terlalu menumpukan perhatian dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang ketua kampung sekali gus melupakan tanggungjawab sebenarnya dalam keluarga. Pengabaian itu membuatkan Ejam tega bertindak tanpa berfikir panjang.

Kata Doktor, keadaan Ejam agak parah dan pihak hospital tidak dapat memberikan kesahihan tentang waktu Ejam akan sedarkan diri dari koma. Si Ibu pula sedang teresak-esak di birai katil itu dengan mengalirkan air mata lalu menyekanya dengan hujung selendang. Sesekali dia merenung tajam ke arah Adam membuatkan diri Adam berasa tidak selesa.

Adam dapat memahami perasaan ibu dan ayah Ejam itu. Adam mendoakan agar Ejam sempat sembuh dan dapat bersama-sama menduduki peperiksaan itu tidak lama lagi. Apakah mungkin dalam waktu sesingkat itu Ejam bisa pulih? Genting nyawa Ejam umpama telur di hujung tanduk. Kecederaan parah di kepala itu bakal membuatkan Ejam hilang ingatan.

“Pak cik dan mak cik, bersabar ya? Insya-Allah Ejam akan selamat,” tutur Adam untuk memberikan kekuatan buat ibu dan ayah Ejam.

Puan Harmiza hanya menjeling sahaja. Benci benar dia pada Adam. Encik Roslan pula terus mencebik sejurus bersedih sebentar tadi. Dalam hati Puan Harmiza memang menyalahkan Adam seratus peratus. Mungkin gara-gara Adam, Ejam jadi begitu. Encik Roslan memerhatikan Ejam yang terbungkam dengan bantuan oksigen.

“Adam, mari ikut pak cik keluar ada perkara hendak pak cik tanya,” Encik Roslan mengajak Adam meninggalkan suasana itu buat seketika.

Adam mengangguk perlahan dan deras mengatur langkah mengikut gerak Encik Roslan yang meluru keluar itu. Setibanya di satu tempat, Roslan melabuhkan punggungnya di kerusi dengan dahi yang berkerut bersama sorotan mata yang kelam. Sekejap dia menundukkan kepalanya dan terpakur ke lantai hospital itu. Kemudian satu keluhan yang cukup berat dilepaskannya.

Encik Roslan didekati oleh Adam dan terus duduk di sisi orang tua itu dengan hiba lalu dia bertanya,

“Apa yang pak cik hendak tanya pada saya?” soal Adam.

“Pak cik ingin tahu punca anak pak cik boleh kemalangan?” Encik Roslan terus bertanya setelah Ejam bersuara.

Adam mengeluh kerana dia tidak dapat menjawab pertanyaan itu. Seharusnya Roslan perlu tahu bahawa semua ini adalah kerja Tuhan. Adam manusia biasa yang tidak punyai kuasa untuk menerangkan perkara sebelum dan selepas kejadian. Adam tiba di situ kerana dibawa oleh sekeping rasa. Rasa mahu melihat apa yang sedang berlaku pada Naqib setelah Ardila menceritakan tentang mereka itu akan bertemu di tebing sungai untuk membuat perhitungan.

Tuhan telah memilih Adam untuk ditemukan dengan Ejam yang pengsan di bawah lurah itu. Satu takdir dan bukan disengajakan oleh sesiapa. Tuhan Maha Berkuasa.

Adam bertindak pantas untuk menyelamatkan Ejam secepat yang boleh. Saat ini pula Adam masih tidak tahu apa pula yang telah berlaku pada Naqib dan perkara yang sebelumnya.

“Pak cik, saya tidak tahu apa puncanya.” desis Adam.

Setelah mendengar ucapan itu, Encik Roslan mengeluh.

Tidak berapa lama kemudian satu tangisan dan teriakkan suara seorang perempuan telah menjengah ke cuping telinga mereka. Adam ingin tahu apa sedang berlaku dan dengan pantas dia menjegah ke muka pintu dan melihat orang tua Naqib bersama beberapa orang kampung merangkul jasad seseorang. Adam mengenali orang yang sedang dirangkul itu.

Dia terus bergegas menuju ke arah mereka. Naqib telah dibawa masuk ke bilik kecemasan. Tubuh Naqib sungguh lemah kerana pendarahan teruk juga di kepala sebagaimana Ejam yang mengalami kecederaan yang sama. Cuma Naqib agak lambat ditemui oleh orang kampung yang di saat itu sedang terbaring di tepi sungai untuk sekian lama. Kala ini sama ada hidup atau matinya Naqib selepas ini hanya Tuhan yang menentukan takdir buatnya.

Sungguh tidak diduga oleh Adam bahawa rupa-rupanya masih ada lagi kawannya yang cedera. Otaknya ligat menelaah apakah sebenarnya yang terjadi. Adakah perkelahian telah pun berlaku sebagaiman kata Ardila? Adam tidak menjangkannya.

Sejurus itu Encik Roslan terpacul di situ dan mereka bertegur sapa. Kesedihan mula menerpa dan keadaan menjadi tersangat hiba. Lutut Adam menggigil lemah. Dia tidak tahu apa yang patut difikirkannya lagi. Segala-galanya sudah celaru dan tidak lagi nampak tenang. Adam berkerut dahi.

Sejurus dengan itu Adam terus menghela nafas sedalam yang boleh dan cuba mengosongkan kotak fikiran dengan berucap panjang. Bibirnya yang kemerahan itu diketap lembut dan kemudiannya berkumat-kamit memanjat doa pada yang Esa agar mereka selamat.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.