Dia cuba memberikan keyakinan pada dirinya sendiri. Tidak mahu mengingati lagi kisah cintanya. Dia nekad untuk melupakan seseorang yang pernah dicintainya. Sukar mengalihkan perhatian tatkala perasaannya tidak menentu saat ini.
Ditepuk batal berkali-kali dan kepalanya diletakkan di situ. Masih kekal sama seperti tidak selesa jadinya. Dia bangun lagi dan jatuhkan kepalanya lagi. Tidak semena-mena dia mengeluh panjang dan terus bersandar di birai katil.
Telefon bimbitnya dicapai dan ditelaah segala isinya. Dia tidak sanggup lagi menyimpan semua pesanan dari si dia yang menyakitkan hatinya. Perasaannya bagikan dirobek dan disiat-siat rakus. Tidak betah bersandar lagi maka dia terus bangun berdiri sambil memadam semua pesanan dari si dia itu.
Wajahnya berkerut sekali lantas dia melihat pula jam di telefonnya. Baru pukul 9.00 malam. Untuk apa dia tidur awal? Malam masih muda. Tiba-tiba dia teringatkan kawan baiknya. Terdetik di hati mahu menemui kaunselor yang tidak bertauliah. Dirinya ingin meminta pendapat.
Pesanan dihantar ke telefon bimbit sahabatnya itu untuk diajak berjumpa. Tidak berapa lama kemudian pesanannya berbalas.
Sengaja dia membalas mengirimkan pesanan ringkas itu. Kalau ditelefon terus takut pula mengganggu sahabatnya itu. Lebih elok dia kirim pesanan terlebih dahulu.
‘Baiklah, kita jumpa di tempat biasa, tapi berikan aku masa sedikit masa,’ pesanannya berbalas.
Sebaik sahaja menerima pesanan itu dia terus mencapai kunci keretanya yang tersangkut di dinding bilik berhampiran dengan meja tulis. Selepas itu dia terus melangkah laju. Sebaik sahaja hendak buka pintu kereta dia terlupa sesuatu maka dia terus berundur semula.
Daun pintu bilik dipulas dan dikuak ke dalam. Cepat-cepat dia gantikan kain pelekat yang dipakainya dengan seluar denimnya. Kemudian dia membasuh wajahnya pula. Usai itu dia mempercepatkan langkah dan terus kembali ke keretanya.
Lelaki yang bertubuh sasa bernama Ikmal it uterus menghidupkan enjin kereta lalu menuju ke tempat yang dijanjikan. Berusaha untuk sampai secepat mungkin kerana masa itu emas.
***
Memang susah hendak menasihati si kepala batu. Lain yang diceritakan lain pula yang difahaminya. Kaunselor yang tidak bertauliah itu pening kepala. Malah terasa lebih pening berbanding orang yang menerima kaunseling yang tidak berbayar ini. Memang dirinya belum bertauliah tetapi bakal menerima pentauliahan itu tidak lama lagi. Semestinya dirinya mahu menjadi yang terbaik di antara yang baik.
Menyelesaikan masalah sahabat sendiri memang rumit. Terutama sekali dalam soal cinta. Fairuz bingung sendiri.
“Yang kau masih fikirkan tentang dia, kenapa?” soal Fairuz deras.
Ikmal menjuih bibirnya tatkala Fairuz menyoalnya perkara yang sama. Sudah bosan dia menjawabnya. Dirinya ditanya yang bukan-bukan sahaja. Niatnya mahu meminta pandangan tapi dirinya dipersalahkan pula. Ikmal menongkat dagu dengan menggunakan kedua-dua belah tangannya. Matanya dipejamkan buat seketika.
Fairuz seperti biasa akan menggaru cuping telinganya yang tidak gatal. Hakikatnya dia mencari jalan mahu menyelesaikan masalah Ikmal berkaitan cinta. Fairuz sebenarnya kurang arif soal cinta tetapi melalui pembacaan dia telah memiliki serba sedikit ilmu tentang cinta walaupun pengalaman cintanya hanya sekelumit sahaja.
“Kerana aku tidak dapat melupakannya,” balas Ikmal sambil matanya terpejam.
Fairuz menggeleng. Balik-balik itu sahaja alasannya. Mesti ada sebab kenapa Ikmal susah sangat hendak melupakan Nora Asyikin yang dikenali sebagai Nora itu. Mustahil Nora yang sudah pun memutuskan percintaan meraka dan mengatakan sudah punya orang lain, Ikmal masih juga terkejar-kejar. Mulut membenci tapi hati masih sayang.
Warung Pak Rudy menjadi tempat mereka berdua duduk minum dan bercerita. Di situ jugalah tempat Ikmal selalu meluahkan rasa bila ada kesempatan untuk berjumpa dengan Fairuz.
“Aku fikir elok kau buat solat hajat. Kau minta dengan Tuhan semoga ditenangkan fikiran kau yang kusut itu. Tiada pada sesiapa lagi yang mampu berikan kau ketenangan melainkan Dia. Percayalah,” kata Fairuz lelaki yang berbadan tegap dan sentiasa berkopiah.
Fairuz memang pembersih kerana Islam mementingkan kebersihan. Matanya yang bersinar itu terus merenung ke arah Ikmal yang mati kutu. Sekejap-sekejap tergaru-garu kepala. Fairuz jadi bosan melihat Ikmal yang seperti sengaja meletakkan dirinya ke kancah masalah. Hakikatnya Ikmal boleh tanganinya. Hanya memerlukan suntikan semangat dari orang seperti Fairuz.
Fairuz Muslim memang kena dengan nama lelaki yang berkulit cerah dan berbulu kening yang lebat dengan penampilan bagaikan seorang ustaz. Ikmal yang berbadan tegap dan sasa itu mengerling sahaja. Kemudian dia melepaskan keluhan dalam memikirkan kata-kata Fairuz tadi.
Ikmal kala ini mendiamkan diri dengan dahi yang berkerut. Fairuz mengangkat keningnya sekali lagi.
“Macam ini sajalah, kalau kau masih tidak dapat lupakan Nora, kau mesti cari pengganti. Orang kata kalau hendak lupakan seseorang kena cari seseorang yang lain. Kau juga boleh buat sebagaimana dia lakukan. Ikmal, aku sebenarnya tidak berkenan seandainya kau masih menaruh hati pada Nora. Masa menuntut di universiti dulu pun aku lihat dia memang suka menggeletis. Tambah lagi dengan kau waktu itu memang menjadi rebutan. Dia mula tusuk jarum,” ucap Fairuz mengimbau sejarah lalu.
“Kalau aku suka juga padanya, bagaimana?” Ikmal menyoal benda yang menyakitkan hati. Yang akan sengsara adalah dirinya. Bukan Halim. Namun sebagai sahabat sejati, Fairuz tidak mahu melihat Ikmal hidup melarat bila bersama dengan perempuan seperti itu.
Fairuz menjongket bahu. Punggungnya sudah berasa kebas kerana duduk terlalu lama. Sampai bilakah keresahan di hati Ikmal akan hilang? Adakah menunggu kucing bertanduk? Usah jadi seperti pungguk rindukan bulan. Fairuz jenuh memujuk Ikmal supaya melupakan Nora namun nampaknya seperti tidak berhasil.
“Paling tidak pun aku mesti buat hidupnya merana! Baru puas hati aku. Kalau terus aku berduka begini pasti aku tidak akan dapat melupakan apa yang telah dia buat pada aku,” ucap Ikmal dengan penuh rasa dendam. Masih terbayang di matanya tatkala Nora mengakui bahawa lelaki yang di sisinya tempoh hari adalah kekasih barunya.
Mendengar sahaja ucapan Ikmal berbaur dendam itu Fairuz terus menggeleng. ‘Ya ALLAH kau jauhkan perasaan benci dan dendam yang menapak di hati sahabatku ini, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang dalam memberi hidayah pada sesiapa pun yang Engkau kehendaki,’ doa yang berdetik di hati Fairuz.
Kekeruhan melanda jiwanya seakan membawa satu rasa tidak puas yang dan benci yang membuak-buak. Ikmal membulatkan mata memandang Fairuz. Melihat perubahan itu Ikmal yakin itu adalah sungguh-sungguh.
“Kau pandang aku seperti mahu telan saja, kenapa?”
“Sebab aku rasa kau masih tidak mengerti. Aku jadi marah,” kata Ikmal.
Terpisat-pisat Fairuz apabila Ikmal meradang dengan tiba-tiba. Mengapa dia perlu marah dengan Fairuz? Tiada angin tapi pokok bergoyang. Pelik betul dengan sikap Ikmal. Bertambah terkejut lagi bila Ikmal melepaskan satu tumbukan pada meja warung Pak Rudy. Terangkat gelas dan cawan.
Cepat-cepat Pak Rudy menoleh sambil merenung mereka berdua itu. Pelanggan yang lain berpandangan sesama sendiri. Ada yang buat tidak tahu dan tidak kurang pula ada yang ingin ambil tahu. Biasalah manusia memang penuh dengan sifat ingin tahu.
“Kalau hendak mengamuk pergi tempat lain, jangan di sini kau lepaskan perasaan,” saran Pak Rudy sambil berkerut dahi. Ketika ini dia sedang menebar roti canai. Pada waktu malam memang ramai yang mencari roti canai tebarannya.
Ikmal terpandang seorang perempuan yang sedang senyum meleret sambil mengelap meja. Sudah lama Ikmal dan Fairuz berada di situ barulah dia perasan kelibat gadis yang sedang mengatur barang-barang di atas meja pula. Gadis itu seperti langsung tidak sedar akan tumbukan itu. Seharusnya gadis itu tersentak tetapi tidak.
Menyedari mata Ikmal tidak berkelip, Fairuz terus menegur dengan penuh rasa kaget tatkala perubahan Ikmal yang drastik itu menjadi tanda tanya.
“Siapa yang kau pandang?” tanya Fairuz.
Diam.
Pertanyaan Fairuz tidak diendahkan. Kini tangannya mula mahu menghalang pandangan Ikmal namun ditepis deras. Fairuz terus mengheret ekor matanya menoleh arah tancapan mata Ikmal itu. Baru dia perasan. Ada gadis sedang membuat kerja. Mungkin itu adalah pekerja Pak Rudy. Fairuz membuat telahan. Begitu jugalah dengan Ikmal yang terpanah oleh rasa kagum di atas kecantikan gadis itu.
Cepat benar lelaki berubah. Dengan kehadiran wanita di situ maka telah membuatkan bibit-bibit cinta mula tumbuh pada tanah hati yang baru. Itulah yang Fairuz katakan dari tadi supaya Ikmal mencari perempuan lain untuk melupakan Nora. Tidak perlu menyimpan dendam yang tiada berkesudahan.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)