SYAZIELA melepaskan satu keluhan yang sungguh berat selepas mendengar cerita Mak Piah yang saat ini bertandang ke rumahnya. Sorotan mata seorang ibu itu sungguh suram mendengar khabar bahawa anaknya telah dibuli oleh budak-budak nakal kampung ini dua hari lalu berdasar apa yang Mak Piah ceritakan.
Jari-jemarinya diramas lembut dengan hatinya yang cukup gundah. Anak yang tidak pernah dijentik selama ini telah dianiaya oleh orang lain. Sungguh berani konco-konco Ejam menyentuh anaknya itu. Tega benar memperlakukan sebegitu rupa. Pasti kena ganyang dengan Syaziela.
“Mak Piah ingin minta maaf bagi pihak anak sepupu Mak Piah Si Borhan itu err semalam dia pun ada sekali,” ujar Mak Piah di anjung rumah Syaziela.
“Dengan siapa lagi Mak Piah?” Syazielah menyoal dengan nada lembut biarpun dia sebenarnya tidak puas hati anaknya dilempar ke dalam sungai.
Sekiranya lemas anaknya itu bagaimanalah keadaan ibu tunggal ini agaknya. Mungkin dia tidak dapat menerima hakikat kehilangan Adam. Tidak tahukah mereka bahawa anaknya itu tidak tahu berenang? Sungguh tidak berperikemanusiaan.
Mak Piah membisu seketika ketika disoal oleh Syazielah. Bukan niat Mak Piah untuk mengadu tapi untuk ingatkan Syaziela supaya perhatikan Adam Mursyid itu baik-baik kerana sikap budak-budak kampung ini semakin biadab. Bukan semua orang sukakan Adam itu, ada juga yang suka mengejek cara lenggok dia berjalan dengan gaya umpama model lagaknya sambil memegang payung.
Adam memang tidak dapat dipisahkan dengan warna kegemaran yang sering kali dikaitkan dengan golongan lembut sepertinya iaitu warna merah jambu. Hampir kesemua barangan miliknya berwarna sedemikian. Termasuk cadar dan sarung bantal. Yang paling penting kartun pujaan, Minnie Mouse itu. Baginya gambar itu sungguh comel dilekatkan di dinding bilik mahupun di depan meja belajar.
“Mak Piah, cakaplah. Erm… budak mana lagi yang buli Adam?” gumam Syaziela.
Mak Piah tergagap untuk memberitahu Syaziela bahawa Ejam anak pada kawan baik arwah suami Syaziela juga yang menjadi ketua budak-budak nakal itu.
“Mak Piah...” sebut Syaziela untuk memperingati Mak Piah tentang soalannya tadi.
“Ya... erm… Ejam,” balas Mak Piah.
“Ejam? Anak Roslan?” Syazielah menduga.
Mak Piah mengangguk.
“Budak itu memang tidak serik-serik, masa dia kecil-kecil dulu pernah saya mahu bedal dia dengan pelepah kelapa tapi tidak kena. Dia pijak kek pasir anak saya itu Mak Piah dan Adam meraung tidak henti-henti. Geram betul.. saya pun tidak pernah buat begitu. Saya biar saja apa yang anak saya ingin main, tapi anak si Roslan itu telah melampau sangat. Nanti saya akan pergi jumpa dengan ayahnya..” ujar Syaziela geram.
Begitulah kata Syaziela yang mahu mempertahankan hak anaknya. Dia berhasrat untuk berjumpa sendiri dengan Roslan supaya menasihati Ejam. Syaziela sudah tidak kuasa menegur Ejam itu. Memang dari dulu lagi anak lelaki Roslan itu suka mengusik Adam sampailah sekarang tapi Syaziela tidak menyangka pula sudah sampai ke tahap melampau begitu. Kalau setakat bertegang leher baginya biasa tapi main campak ke dalam sungai itu sudah melampau.
Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Hati Syaziela benar-benar terguris dengan sikap Ejam. Mak Piah pula sedang memerhatikan sahaja raut wajah Syaziela yang kendur itu. Sekejap toleh ke kanan dan sekejap toleh ke kiri. Tidak senang duduk Syaziela dibuatnya.
“Zie, Mak Piah rasa elok kita sebagai orang tua jangan masuk campur hal budak-budak. Cuma Mak Piah mahu pesan supaya kau nasihatkan sahaja si Adam, tolong jauhkan diri dari mereka,” pesan Mak Piah.
“Tengoklah macam mana Mak Piah, kalau saya rasa mahu pergi rumah Roslan itu saya pergi saja. Saya tidak perlu nasihatkan si Adam itu kerana dia tidak buat apa-apa kesalahan pun,” balas Syaziela dengan dahinya berkerut.
Mak Piah terasa haus pula. Syaziela ini pun satu hal, tetamu datang ke rumah cubalah hidangkan minuman. Bawakan air suam pun sudah cukup sekadar membasahkan tekaknya sahaja. Mungkin Syaziela terlupa agaknya. Mak Piah sengaja berdehem beberapa kali sambil menggosok-gosok tekaknya.
“Panaslah hari ini, tekak pun jadi kering,” kias Mak Piah.
“Ohh, Mak Piah mahu minum?” soal Syaziela.
Mak Piah mengangguk tanpa rasa malu.
Terlebih sudah. Ada ke patut dia tanya begitu. Berikan saja kerana Mak Piah sudah haus sangat seperti berada di gurun sahara rasanya. Tekak Mak Piah mula ketandusan. Elok cepat-cepat berikan air. Takut nanti pengsan pula orang tua itu.
Syaziela terus mengangkat punggungnya bersama nafas yang berat dilepaskan dan terus meluru ke ruang dapur. Mak Piah yang sedang menanti kehadiran Syaziela menanti bersama secawan air itu tiba-tiba menjerit.
“Opocot! Eh! Katak Oh! Katak!” melatah Mak Piah di situ.
Seekor katak idaman Malaya sedang ingin ‘berkasih sayang’ dengan Mak Piah. Katak tersebut melompat-lompat dan terus berada di atas kaki Mak Piah menyebabkan Mak Piah juga melompat kerana terkejut dan merasa sungguh geli.
“Zie! kenapa banyak sangat katak di dalam rumah kau ini?” pekik Mak Piah yang saat ini telah mengangkat kedua-dua belah kakinya ke atas kerusi selepas menguis katak itu.
Mata Mak Piah terbeliak. Bukan seekor katak yang berada di situ malah ada lagi dua ekor menjadikan kesemuanya tiga ekor. Yang mana jantan dan yang mana betina pun Mak Piah sendiri tidak tahu. Buang karan saja untuknya menelaah jantina katak tersebut.
Biarkanlah.
‘Wong… Wong…’ suara katak mula berkumandang.
Katak menyerang rumah Syaziela. Tragedi apakah ini? Bermaharajalela sesuka hati. Mak Piah memang geli dengan katak sama seperti Adam tapi geli itu bukan fobia tapi memang Mak Piah kurang suka dengan katak.
Usai itu Syaziela kembali semula bersama segelas air lalu di letakkan di atas meja. Syaziela mengerling Mak Piah kerana cara Mak Piah duduk agak pelik. Mencangkung di atas kerusi memang sesuatu yang luar biasa dan memang jarang dilakukan oleh kaum wanita.
“Itu! Itu! Katak! Kenapa katak lepak dalam rumah kau, Zie? Mak Piah pelik benar tengok…” Mak Piah memuncungkan mulut menunjukkan arah katak-katak itu.
Mak Piah jadi menggelabah tidak tentu fasal.
Syaziela tidak geli dengan katak kerana sebaik sahaja matanya melihat katak-katak itu maka tangannya terus menangkap katak-katak tersebut. Hebat, katak tersebut seperti pasrah sahaja dirinya ditangkap malah tidak melawan dan hanya membiarkan sahaja dipegang-pegang oleh Syaziela.
“Ha... itu seekor lagi.. tangkap! tangkap!” pekik Mak Piah yang sudah melalut.
‘Wong…. Wong…’ irama bersahut-sahutan.
Syaziela pun menangkap katak itu. Lagi dan lagi sudah cukup tiga ekor kesemuanya.
Katak-katak itu dilepaskan keluar. Mak Piah lagut memerhatikan Syaziela yang dengan selamba itu memegang haiwan tersebut.
Sehebat mana pun Syaziela, dia tidak dapat mengagak agenda katak tersebut. Mak Piah pula silap buat kira-kira. Tidak lepas subjek matematik agaknya. Maklumlah sekolah takat darjah tiga saja. Mata pula sudah rabun. Seekor katak yang tidak dikenali identitinya itu sedang bersembunyi di celah-celah buku yang belum berkemas di atas meja. Mungkin sudah lama kata itu lepak di celah itu.
Selepas Syaziela kembali duduk semula ke kerusi, Mak piah pula menurunkan kakinya dan menghela nafas dan dilepaskan perlahan-lahan sebagai tanda lega. Lantas dia mahu mencapai gelas berisi air kosong itu untuk diminum. Acara lompat kijang dalam sukan terkemuka Asia berlangsung di atas meja. Katak itu keluar dari tempat persembunyian dan terus melakukan aksi lompatan yang sungguh tragis. Lompatan berskala minimum itu tepat masuk ke dalam gelas itu.
‘Blub’
Mak Piah masih tidak perasan dan mahu menyisipnya.
“Aaarh!,” jerit Mak Piah spontan melepaskan gelas dipegangnya itu setelah melihat seekor anak katak enak berenang di dalam gelas itu.
‘Pinggg!’ pecah gelas itu.
Kenapalah boleh jadi begini saat Mak Piah bersungguh mahu minum air itu. Malang sungguh. Syaziela terjegil mata. Mak Piah usah cakap lagi, dia sudah merusuh dengan hati sendiri. Memaki hamun katak itu kerana menghilangkan seleranya untuk minum.
Syaziela ketawa mengekek. Mak Piah mengangkat keningnya.
“Eee! gelilah, kau ternak katakkah, Zie?” pantas Mak Piah menyoal dengan garis-garis resah di wajahnya itu jelas terpamer.
“Ish! Mana adalah Mak Piah, semenjak ini katak suka lepak dalam rumah saya. Entahlah saya pun tidak tahu kenapa, pelik benar rasanya dan sudah puas saya usir, pasti sekejap lagi dia datang balik. Geram rasanya sebab makin banyak pula,” balas Syaziela.
Mak Piah hanya menggeleng sahaja dan terus meminta diri untuk pulang membawa perasaan kagetnya bersama-sama. Hairan benar dia melihat situasi itu yang jarang sekali berlaku. Sebaik sahaja Mak Piah melangkah keluar masih ada lagi katak-katak itu lepak di atas sepatunya siap berasmara dana lagi. Perasaan geramnya bukan kepalang lagi. Rumah Syaziela benar-benar dilanda katak pisang. Petanda apakah ini? Sukar untuk dicekera perkara ini.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)