PADA hari berikutnya Ejam ponteng lagi. Dia bersama dengan Borhan setia menunggu di atas pokok gajus. Dari pagi sampai tengah hari mereka melepak di situ. Sebaik sahaja Joe dan Naqib kelihatan, bunyi tikus mondok pun kedengaran sebagai isyarat meminta mereka berdua beraksi sekejap lagi.
Usai itu Joe dan Naqib menerima dengan baik isyarat itu dan sebagai responnya tepukan terus dibuat sebanyak tiga kali berturut-turut menandakan mereka telah bersedia. Semalam Joe dan Naqib menawarkan khidmat sebagai pelakon pembantu. Kali ini mereka berempat telah bersatu hati menjayakan rencana hebat itu.
Joe dan Naqib berteduh di bawah pokok mempelam yang tidak berapa jauh dari pokok gajus itu. Mata mereka meliar memandang kelibat budak-budak sekolah yang lain pulang ke rumah. Mereka berdua setia menunggu di pintu belakang sekolah kerana di situlah Adam akan keluar. Mungkin dia bersama Ardila.
Kewujudan Ardila pasti akan menimbulkan masalah namun segala-galanya dirancang dengan terperinci.
“Kau rasa rancangan Ejam ni berjaya tak?” soal budak hitam ini pada si kurus kering.
“Kejayaan rancangan ni bergantung pada kita sekarang, kalau gagal habislah kita,” Joe melafazkan kebimbangan.
“Habis kau yang beria-ia nak tolong Si Ejam tu apahal?” Naqib menyoal sambil merenung tajam ke dalam mata Joe.
“Wei! Kalau kita tak tolong dia, hak keistimewaan kita akan ditarik balik tau. Siapa lagi yang nak sponsor rokok untuk kita nanti kalau kita tak ikut arah Ejam tu? Dia aje lombong emas kita.”
“Ermm…” gumam Naqib sambil menguis dagu sendiri.
“Betul tak?”
“Betul tu, tapi..” Naqib masih bertapi-tapi.
Naqib risau kalau rencana yang bakal berlangsung ini akan mengundang padah di kemudian hari nanti. Hanya Naqib seorang sahaja yang berasa tidak sedap hati. Akhirnya Naqib tertunduk sambil melepaskan keluhan berat.
“Tak payah nak bertapi-tapi lagi…ha tu Adam lembik tu dah muncul!” ucap Joe sambil mencuit bahu Naqib.
Naqib segera mengangkat kepalanya dengan jantung yang tiba-tiba berdetak kencang. Dia cuba tenangkan dirinya dengan menghela nafas sedalam yang boleh. Sejurus kemudian Joe pula mengangkat punggung dari tunggul yang diduduknya tadi sambil menarik tangan Naqib.
“Ingat, jangan sampai kantoi.” Joe berpesan pada Naqib yang nampak agak panik.
Naqib meyakinkan dirinya dan di dalam otaknya cuba memutar kembali dialog-dialog yang mesti digunakan bila berdepan dengan Adam sekejap lagi. Joe pula nampak tenang. Naqib begitu sukar untuk dilihat setenang Joe yang boleh memalsukan senyuman.
Pandangan mata Naqib dan Joe terus dilemparkan ke arah Adam dan Ardila yang sedang berjalan beriringan itu menghala ke arah mereka. Naqib memejamkan sekejap matanya dan cuba bertenang supaya tidak kelihatan gugup manakala Joe seperti biasa tidak langsung mempamerkan kerasahan malah nampak begitu berkeyakinan sekali.
Adam semakin hampir dengan mereka. Sesekali Adam mengerling mata ke arah Naqib dan Ardila. Saat Adam dan kawannya itu sedang melintas depan Naqib dan Joe itu dengan tiba-tiba Joe menyapa sambil tersenyum.
“Adam….” Joe menyebut nama Adam dengan lembut.
Adam seperti mahu mematikan langkahnya tapi ditahan oleh Ardila supaya perjalanan diteruskan tanpa memperdulikan mereka. Naqib membatukkan diri.
“Tunggulah sekejap, Adam..” Naqib bersuara.
“Ya Adam.. tunggulah kami.. err sebenarnya kami ada benda nak cakap..” kata Joe pula yang sedang mengekori langkah Adam.
Adam mahu tidak mahu sahaja melayan tapi lain pula pada Ardila. Dia memberhentikan langkahnya dan menoleh deras dengan dahi yang berkerut dan matanya membulat memanah rasa pada Naqib dan Joe.
“Hei! Tak cukup-cukup lagi ke apa yang korang buat pada Adam hah? Dari kecik sampai besar pun perangai sama je!” Ardila memarahi mereka berdua sambil bercekak pinggang.
Ardila membela nasib Adam selepas apa yang berlaku semalam terpaksa diceritakan oleh Adam pada Ardila setelah didesak banyak kali. Saat ini Ardila rasa benci dan menyampah yant teramat sangat sehingga begitu beraja di relung hatinya. Terpanah rasa geram terhadap mereka. Termasuk Ejam dan Borhan yang tidak ada bersama mereka.
Naqib membisu. Kali ini dia perlu menghalang kemarahan Ardila dari terus melenting di situ. Seperti yang dirancang, dia perlu menggunakan pelan A sebaik mungkin, seandainya gagal Pelan B mesti digunakan.
“Sabar Dila.. kami tak ada maksud lain, kami cuma nak mintak maaf je dengan Adam. Memang salah kami. Maafkan kami, Adam..” kata Joe dengan mempamerkan keikhlasan sambil menghulurkan tangan ke arah Adam yang telah pun tercegat depannya.
“Ya Adam, aku mintak maaf dan aku tak akan ikut apa kata Ejam lagi, memang dia banyak arah aku buat itu dan buat ini dan aku tak geng dengan dia lagi..,” kali ini Naqib mencelah.
Joe mengangkat kening sambil mencuit bahu Naqib. Dengan pantas Naqib menoleh dan merenung tajam ke arah Joe.
Adam pula terpinga-pinga kehairanan. Tidak sikitpun dihatinya tercalit rasa curiga. Dia hanya nampak keikhlasan Naqib berbanding Joe.
“Adam! Aku mintak maaf! Aku betul-betul mintak maaf!” ulang Naqib berkali.
Adam dan Ardila tercengang memandang Naqib yang sedang menggelabah itu. Joe merengus geram kerana rancangan ini seperti sengaja digagalkan oleh Naqib.
“Aku balik dulu..” ucap Naqib.
Usai itu dia terus meluru ke arah basikal dan berkayuh laju meninggalkan mereka. Ejam yang sedang mengintai dari atas pokok gajus itu berasa geram dengan tindakan Naqib itu yang tidak mengikut pelan. Borhan pula merasakan sebagaimana Ejam rasakan. Saat ini Borhan sembunyikan diri di balik pohon itu. Dia sudah tidak berani memanjatnya kerana takut terjatuh lagi.
“Kau tercegat apa lagi kat situ ha?! pergilah ikut kawan kau tu..” bentak Ardila lagi.
“Cukuplah tu, jom kita balik, Dila.” Adam mencuit bahu Ardila dengan lembut sambil melenggok.
Ardila sempat menjeling mata ke arah Joe yang tercengang sendiri. Mungkin otaknya sedang ligat memikirkan punca kenapa Naqib jadi begitu dengan tiba-tiba.