PAGI yang indah kembali lagi bersama kicauan burung-burung berlagu riang. Sinar mentari menyuluh alam menggantikan kegelapan di sepanjang malam tadi. Di dalam bilik, Adam masih terbungkam lena diulit mimpi sampai ke siang hari.
Tatkala pelajar lain sudah sampai ke sekolah, Adam pula masih terbaring kaku di katil. Dia tidak sedar sekarang sudah hampir pukul lapan pagi. Awal pagi tadi Ardila lagut menunggu. Dia menunggu kehadiran Adam untuk ke sekolah bersama-sama tetapi kelibat Adam tidak muncul. Maka Ardila terpaksa melangkah ke sekolah berjalan kaki seorang diri tanpa Adam menemani.
Remaja perempuan itu terpaksa tinggalkan Adam demi mengejar waktu kerana takut kelewatan sampai ke sekolah nanti. Namun di relung hatinya tercalit seribu kebimbangan terhadap Adam dek insiden Ejam telah merosakan hadiah itu.
“Alamak!!!” pekik Adam setelah melihat jam di dinding.
Dia terjaga sendiri dari lena yang panjang itu dan menyedari dia sudah lewat untuk ke sekolah. Namun dia tetap mahu siapkan diri dan bergegas untuk belajar juga. Cepat-cepat dia mencapai tuala lalu berkembam untuk mandi.
Setibanya di bilik air, Adam ditimpa malang. Kali ini dia tergelincir pula, nasibnya sungguh tidak baik.
“Aduh! Patahlah pinggang aku!” Adam menggerutu sambil menggosok pinggangnya yang terasa sakit itu.
Rasa sakit itu bukan kepalang membuatkan dia terkesima sekejap dengan matanya terbeliak melihat sesuatu.
“Arghhhh! Tidaaaakkkkk!!” Adam menjerit sekuat hati kerana geli melihat seekor katak sedang bersantai di celah baldi air.
“Wongggg! Wongggg!,” katak itu berbunyi sambil melompat ke arahnya.
Adam kaget kegelian. Sakit pinggangnya seperti hilang buat seketika dan lekas bangun sambil terlompat-lompat sama seperti katak itu kerana ingin menjauhkan diri dari haiwan berkenaan.
Adam fobia dengan katak. Bila nampak katak sahaja dia selalu menjerit. Ini adalah kerana pernah satu ketika dulu waktu dia masih kecil sedang bermain pondok-pondok bersama dengan Ardila dan kawan-kawan yang lain. Kemudian datang seorang kanak-kanak lelaki seusia dengannya mahu berkongsi makanan dengannya. Siapa lagi kalau tidak Si Ejam. Memang sejak dari dulu dia suka buli Adam.
Ejam memberikan sandwich yang berada ditangannya kepada Adam. Adam beria-ia mahu makan kerana Ejam cakap sandwich itu sedap. Dia bagi dengan percuma tanpa sebarang bayaran.
Mulut dinganga luas-luas dan hujung roti itu pun disuapkan. Adam sungguh rasa bertuah kerana mendapat makanan percuma itu.
Di dalam hatinya waktu itu sungguh berterima kasih terhadap Ejam kerana memberinya sedikit makanan. Ardila pula meleleh air liur ingin saja meminta sandwich itu daripada Adam agar dapat dikongsi sedikit dengannya tetapi dia pendamkan sahaja hasrat hatinya. Nampaknya Ardila terpaksa berputih mata melihat Adam enak menjamu selera.
“Kah! Kah Kah!!” Ejam gelak besar.
Ejam ketawa disusuli dengan gelak Borhan dan Naqib apabila Adam sedang mengunyah makanan itu dengan penuh selera kerana dia betul-betul sedang lapar.
“Eeeee..budak lembik makan roti inti katak! Jijiknya…” sinis Borhan pula.
Sandwich yang dikunyah oleh Adam itu sudah ditelan sedikit dan saki bakinya itu dimuntahkan semula tatkala mendengar kata-kata Ejam dan Borhan.
Adam mengehek semula sambil menjolok jari telunjuknya ke dalam mulut agak dimuntah kesemuanya. Sungguh keji perbuatan nakal Ejam itu.
Ardila cepat-cepat meluru ke arah Adam dan membantunya sambil menepuk-nepuk belakang kawannya itu supaya dapat dimuntah semula. Ardila membulatkan mata sambil memandang Ejam dan Borhan.
“Kau jahat!” marah Ardila.
Ejam dan Borhan menjelirkan lidah dengan serentak.
“Makkkkkkkkkkkkkkkkkkkkkk!” pekik Ardila memanggil ibunya.
Cepat-cepat mereka langkah seribu. Kebetulan pula Irwandi berkayuh basikal menuju ke rumah Ardila dan terserempak dengan Ejam dan Borhan yang lari lintang pukang macam lipas kudung. Zup zup hilang.
Begitulah ceritanya bagaimana Adam sampai trauma apabila ternampak katak. Dia makan anak katak rupanya tetapi tidak sampai di situ kisah katak. Selepas dia makan anak katak, dia terkena lagi. Rencana nakal Ejam diatur hebat dengan meletakkan telur katak pula ke dalam ais batu campur Adam yang nampak seperti biji selasih itu. Aduhai, apalah nasib Adam.
***
DENGAN kaki yang terhincut-hincut itu, Adam masih mahu meneruskan perjalanan menuju ke sekolah yang jaraknya hampir satu kilometer dari rumahnya sambil hingus pula sering meleleh akibat selesema lalu dilap menggunakan sapu tangan.
“Ejam! tu Adam... inilah masanya kau nak kenakan dia," desis Borhan yang memonteng sekolah bersama Ejam.
Ejam dan Borhan tidak ke sekolah hari ini kerana takut cikgu rotan sebab tidak siapkan kerja yang diberikan oleh guru kelas. Mereka berdua melepak di atas pokok gajus. Sungguh sempoi dia bergayut seperti kera itu. Kalau guru disiplin buat operasi menjejak kaki-kaki ponteng sekalipun , sudah tentu ‘port’ mereka sukar dikesan.
“Okey… saat ini memang aku tunggu-tunggu. Balas dendam...” kata Ejam.
“Mak Piah tu pun satu! Mulut lembik! Kenapa dia pi cerita kat ayah aku?! Tak pasal-pasal aku kena rotan dengan ayah, sakitnya masih terasa lagi ni tau!” Borhan melahirkan rasa tidak puas hatinya di atas pokok itu.
Ejam mendengar dengan penuh rasa geram.
“Awal-awal lagi aku dah agak! Mak Piah akan buka mulut punya dan pasti lepas ni akan tiba giliran aku. Arggh!” bentak Ejam pula sambil melepaskan asap rokok.
“Apa kita tunggu lagi, nanti kita tak dapat buat apa-apa kalau si pondan tu dah masuk dalam pagar sekolah,” saran Borhan beria-ia.
“Betul cakap kau tu, kita boleh buat apa sahaja kat dia sebab body guard dia dah get lose dan kita tak perlu takut lagi.. hahah!” kata Ejam sambil ketawa seperti orang jahat lagaknya.
“Tapi kau kena ingat, jangan sampai pecah lubang..” Borhan berpesan sambil keningnya terangkat.
“Jangan pecah dimulut nanti tumbuh bisul,” falsafah yang kerek dihasilkan dari minda nakal Si Ejam.
“Ya! Biar pecah dalam perut terus jadi ulat,” Borhan menyokong sambil menghulurkan tapak tangannya untuk ‘gimmy five’ dengan Ejam.
Sebaik tangan dihulurkan dan hampir sahaja mahu menapak tiba-tiba dahan pokok itu mengeluarkan satu bunyi yang pelik. Borhan berasa tidak sedap hati. Dia segera mengimbangi badannya dan mengawal keadaan namun gagal.
“Tidakkkkk!!!” Borhan kaget dan terus menjunam jatuh dari pokok itu bersama dahan yang patah itu.
Borhan sungguh bernasib baik kerana ketinggian di mana dia berada tadi bukan di paras bahaya yang boleh menyebabkan kecederaan parah. Kemudian Borhan memaki hamun dahan itu.
Tiada gunanya kerana dia yang lalai bertenggek di hujung dahan. Sekarang rasakan sendiri.
Ejam tidak dapat menahan rasa ingin gelak sebaik sahaja melihat ekspresi wajah Borhan itu lalu terbahak-bahak dia menggilakan tawanya. Semakin lama semakin kuat. Adam yang yang terhincut-hincut itu terus mempercepatkan langkahnya sambil menoleh kiri dan kanan. Dia tiba-tiba kaget dengan suara itu. Otaknya menduga ada puntianak di siang hari.
Sampai begitu sekali dan kali ini peluang yang terbuka di depan mata itu gagal disudahkan kerana Adam telah pun berjaya masuk ke dalam pagar sekolah. Rencana mereka terpaksa ditangguhkan dek Borhan ditimpa malang.