Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 6)


MELAMPAU! Aku bengang! Kali ini aku sakit hati teramat sangat mengenangkan perkara yang berlaku pada petang tadi. Kenapalah tiba-tiba sahaja tiub basikal aku boleh bocor, ini mesti terpijak paku! Erm! Aku menduga dengan penuh yakin biarpun tiada petunjuk bahawa tiub basikal itu terkena paku. Gara-gara itu, aku terpaksa juga lalu depan mereka. Hakikatnya aku sikit pun tidak ingin.

Semuanya sudah berlaku, tapi kenapa harus aku? Inilah persoalan yang selalu beronak di dalam benakku. Kadangkala aku merasakan tidak adil bagi diriku diperlakukan seperti binatang. Aku juga manusia, punya hati dan perasaan seperti mereka. Tidak nampakkah mereka dengan hati dan perasaanku ini? Perlukah aku mengambil kapak dan membelah dadaku untuk dilihat oleh mereka betapa ia terguris teruk?

Mustahil.

Terlalu pantas semua ini berlaku. Semenjak Irwandi berhijrah, jiwaku jadi porak peranda dan tidak tentu hala. Kepada siapa lagi aku ingin mengadu sedangkan orang yang sering aku agung-agungkan itu menyepikan diri. Irwandi..Hurm!

Mataku tertancap pada buku tulis. Latihan yang diberikan oleh guru tidak aku siapkan kerana fikiran aku menerawang bebas di angkasa minda. Bintang yang bersinar di situ semakin pudar seri kerana ia terlalu jauh untuk dicapai dengan tanganku. Apatah lagi untuk aku mendakap erat bintang hati itu. Aku mengeluh panjang sambil tanganku menungkat dagu.

Saat ini badan aku sungguh tidak bertenaga. Segala kudratku seakan hilang dan tidak bermaya sama sekali. Aku berasa dingin secara tiba-tiba dan tidak lama kemudian aku bersin.

‘Aichuuuuummmmm!’ berulang-ulang.

Habislah aku kali ini. Aku terkena selesema. Sekejap lagi aku perlu membantu ibuku menyiapkan kuih bakar tetapi dengan keadaan aku sekarang ini sukar bagiku mempercepatkan pergerakkan.

Aku menoleh pada seutas jam tangan yang telah rosak itu sedang berada di birai katilku. Biarpun ia telah rosak namun tetap bermakna buat diriku. Bedebah kau Ejam! Tiba-tiba aku memaki hamun Ejam. Dia memang layak untukku memakinya.

Kala otakku kusut, pintu bilikku diketuk. Mungkin ibuku mahu bertemu dengan aku sekarang ini kerana sejak tadi aku berkurung sahaja di dalam bilik.

“Adam..” panggil ibuku sambil menyebut namaku.

Dengan langkah yang cukup berat ku aturkan menghala ke pintu bilik. Kala ini aku hanya berseluar pendek dan bersiglet putih. Nafas aku tersekat-sekat kerana lubang hidung tersumbat. Tersiksanya untukku menghela nafas ini dan aku begitu kewalahan tatkala perlu berbuat sesuatu untuk ibukku.

“Ya mak..” jawabku perlahan sambil memulas tembol pintu sekilas memandang jam di dinding, sudah pukul 8.30 malam.

Tercegat ibukku di muka pintu sebaik sahaja pintu kubuka maka terlihatlah ekspresi wajah yang muram sedang ibukku pamerkan. Kenapa ibukku bersedih seperti ini? Bagai ada sesuatu yang tersembunyi. Atau mungkin juga ibukku menunggu kehadiran aku untuk membantu di dapur yang tidak aku segerakan.

Hanya ibuku sahaja yang tahu apa yang sedang dirinya rasakan saat ini. Aku tidak dapat menelaah apa yang bermain difikiran ibuku ini yang jarang sekali memperlihatkan wajah berkerut seperti itu kepadaku. Namun, kali ini sungguh berbeza.

Sungguhpun begitu otakku masih lagi ligat menggali jawapan biarpun lesu segala-galanya. Perut aku yang sejak tadi berkeroncong tidak aku endahkan. Aku berlapar dan mogok tidak mahu makan kerana selera aku tidak serancak sebelum ini. Semuanya sebab Irwandi. Dia pergi tinggalkan aku tersiksa. Dia mungkin tidak mengerti apa yang aku rasakan ini.

Irwandi, dirimulah teman terulung buatku. Jangan pernah kau lupakan aku kerana diriku tidak akan sesaat melupakanmu. Hatiku ini selalu ingat pada insan yang bernama Irwandi Redzuan. Lelaki yang cukup sinonim dengan sikap ramahnya pada diriku. Lagak poyonya selalu membuat aku ketawa.

Saat bayangannya bermain di mata, ibukku pula mengeluh berat. Dia merenung ke dalam mataku dengan satu pandangan yang cukup kendur. Sorotan mata ibu terlalu pudar untuk aku tatapi.

“Adam, makan ubat ni..” ibuku menghulurkan ubat selesema untukku.

Aku sungguh terharu, kerana seorang ibu tidak pernah membiarkan aku dirundung sakit. Ibuku dapat rasakan aku kurang sihat. Aku mencapai ubat itu dengan tangan yang menggigil-gigil tanpa bersuara.

“Mak dengar Adam bersin berulang kali, jadi mak tahu anak mak tak sihat.. Adam berehatlah tapi mak nak anak manja mak ni makan dulu, ya?” ucap ibuku dengan penuh kelembutan.

Mungkin ini yang membuatkan arwah ayahku terpaut hati dengan ibuku iaitu kerana kelembutannya yang tidak pernah meninggikan suara. Apatah lagi untuk memarahi aku seandainya aku tersilap. Jauh sekali untuk memukul diriku. Memang aku anak manjanya.  Kasih sayang yang ibuku berikan kepadaku umpama menatang minyak yang penuh biarpun kehidupan kami umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ibukku seorang pembuat kuih. Hasil dari jualan kuih itulah aku dibesarkan dan disekolahkan sampai seusia ini.

“Mak.. Adam tak nak makan..” kataku.

“Adam kena makan, jangan biarkan perut tu kosong nanti masuk angin,” getus ibukku.

Aku menggeleng sahaja menunjukkan keengganan dan dengan perlahan-lahan ibuku menapak tangannya di dahiku seraya mengetap bibirnya dengan lembut.

“Badan Adam panas ni.. mari baring dulu, nanti mak bawakan makanan untuk Adam,” pujuk ibu dengan memaut lembut tanganku untuk dipapah ke katilku.

Aku menurut sahaja dan tidak membantah. Ingin aku khabarkan kesedihan ini buat ibu tapi aku tidak mahu hati ibuku terguris dengan cerita ini. Biarlah aku sendiri yang menanggung resah ini. Resah kerana berjauhan dari Irwandi sahabat baikku itu dan aku juga tidak menceritakan kepada ibu tentang apa yang berlaku pada petang tadi.

Biarlah rahsia.

Aku dibaringkan lalu diselimuti gebar. Kemudian ibu melabuhkan punggungnya di birai katil. Sambil membelai rambut lurusku selepas mengusap pipiku. Aku dilayan seperti anak-anak kecil. Aku mahu kasih sayang ini berkekalan. Kasihmu ibu akan membawa aku ke alam bahagia. Sungguh aku merindui bahagia namun ia sudah hilang. Lenyap dalam sekelip mata kerana seseorang yang aku rindui itu kian menjauh.

“Tunggu kejap ya, mak siapkan bubur dan selepas makan nanti baru Adam makan ubat pulak.. kemudian tidur ya..” pesan ibu.

“Ya mak..” desisku berat.

Memang aku tidak mahu makan tapi bila ibu pesan aku kena makan juga sebelum makan ubat maka aku harus berbuat sedemikian. Aku takut untuk mengingkari cakap ibu dan aku juga tidak berani untuk melawan kata-katanya.

Rahsia hatiku dikunci, lembaran kenangan dilipat kemas. Mungkin aku dapat amati pada masa-masa akan datang.

Aku hampir tertidur menunggu ibu kembali membawa bubur. Walaupun masa yang diambil ibu tidak terlalu lama namun beban yang sarat di relung hati ini membuatkan ia seperti menjengah waktu melintasi sempadan jiwa di antara dia dan aku. Ditambah pula dengan sakit yang bertandang tanpa diundang. Aku bersin lagi kali ini makin melarat.

Aku mesti segera makan ubat, sekiranya tidak aku pasti tidak dapat ke sekolah esok. Mata layuku disekang berkali-kali agar membulat dan terus memandang atap rumah. Bisik hatiku mahukan aku lekas sembuh supaya ilmu di sekolah bisa aku mengerti dan tidak akan ketinggalan lagi. Kerana keaazaman mahu berjaya menjadi keutamaan maka aku gagahkan diri bangun semula dan kembali ke meja tulis. Aku mesti siapkan kerja sekolah. Mesti!

Aku paksa diri. Aku mahu buktikan bahawa aku tidak sebodoh yang Ejam dan konco-konconya herdikkan.

“Adam… kan mak dah cakap rehat, sejak bila Adam tak dengar cakap mak ni?” paculan kata ibu memeranjatkan aku.

“Mak.. bukan Adam tak dengar cakap mak tapi Adam kena siapkan kerja sekolah ni jugak, esok cikgu nak tengok,” kataku perlahan selepas menoleh ke arah ibu.

“Kalau tak sihat esok tak payah pergi sekolah, rehat.. nanti mak cakap kat cikgu yang Adam tak sihat..” ujar ibu sambil berkerut dahi dan bubur yang telah disiapkan berada di tangan ibu.

“Mak…” panggilku dengan meleretkan sedikit nada.

“Sudah… makan bubur ni, lepas ni makan ubat dan lepas tu tidur..” larang ibuku.

Aku akur dengan larangan ibu. Aku meramas hidung sendiri yang agak gatal dan kurang selesa itu dan terus bangun dari kerusi dan melangkah semula ke katil.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.