KEKECOHAN bakal berlaku sekejap sahaja lagi antara Ejam dan Naqib. Masing-masing bersetuju beradu kekuatan di tepi sungai itu. Mereka mahu melepaskan geram yang terbuku di hati masing-masing. Bagi Ejam, penyelesaian dengan berkelahi secara kasar itu adalah jalan yang terbaik namun dia tidak sedar bahawa tindakannya itu sebenarnya tiada berkesudahan malah akan mendatangkan musibah yang lebih buruk lagi.
Jiwa muda, darah mudah panas. Tiada siapa dapat menghalangnya. Ejam merenung tajam ke arah Naqib. Kemudian dia menanggalkan pakaian sekolahnya. Naqib diawasi oleh Borhan dan Joe. Naqib hanya seorang diri dan tidak sebarang bantuan. Sungguh berani dia berdepan dengan Ejam, Borhan dan Joe.
“Apa ditunggu lagi? Cepat mulakan,” Joe menjadi batu apinya.
“Kami sudah tidak sabar lagi,” kata Borhan pula.
Naqib pula terus mencampakkan beg sandangnya ke tepi dan dia terus berkeadaan bersiap sedia. Hanya menanti sahaja Ejam datang menerkamnya. Lagak Naqib yang sedang berkuda-kuda itu seperti memiliki ilmu pertahanan diri. Ejam tidak mendugannya tetapi dia begitu yakin dapat menewaskan Naqib dengan begitu mudah sekali. Itulah anggapannya.
“Kau jangan risau Ejam! Kami ada,” kata Borhan yang akan memberikan bantuan pada bila-bila masa sahaja.
Joe mengangguk deras dan memberi isyarat agar Ejam terus sahaja memberi habuan pada Naqib. Jangan ditunggu lagi.
Jantung Ejam sebenarnya sedang berdetak kencang. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa gugup bila merenung ke dalam mata Naqib yang nampak begitu tenang sahaja. Langkahnya mengejal pula dengan tiba-tiba tatkala dia menggulung segala tenaga digenggaman tangannya itu untuk dilepaskan ke muka Naqib. Adakah sasaran utamanya mengena?
Ejam terus mengayun tangannya menuju ke tempat yang disasarkan. Dengan pantas Naqib menepisnya. Gaya Naqib seperti seseorang yang perwira yang mempunyai ilmu persilatan yang cukup tinggi. Anak murid pada Tok Guru Jusoh Serban memang handal.
Apabila cubaan menumbuk dari Ejam telah berjaya dipatahkan oleh Naqib itu, Ejam berasa cukup tidak puas hati dan dia mahu menyerang Naqib dengan bertubi-tubi lagi. Adakah ia berbaloi? Kali ini dia cuba menerajang Naqib sekuat hatinya. Sasarannya masih juga tidak mengena. Hampir berputus asa Ejam jadinya.
Segala serangan Ejam tidak berjaya dan ia dapat dielak oleh Naqib dengan begitu mudah sekali. Ejam mengayun kakinya pula tepat ke arah pinggang Naqib namun dengan pantas Naqib menahannya lalu memeteh kaki Ejam hingga menyebabkan Ejam terhumban jatuh tersungkur.
Seni persilatan yang dipelajarinya itu tidak sia-sia dan dia menggunakannya ke jalan yang betul. Dia tidak mencabar sesiapa tetapi Ejam yang mulakan dulu. Ejam tidak menyangka bahawa Naqib benar-benar kuat dan memiliki ilmu mempertahankan diri seperti itu.
Tiba-tiba satu serangan curi dilancarkan oleh Joe yang terus menghentak kakinya ke belakang badan Naqib dan menyebabkan Naqib sedikit berganjak tetapi dia tidak jatuh. Kemudian Borhan pula terus mencapai satu objek tumpul untuk meghempuk kepala Naqib.
Penumbuk Naqib masih tersimpan kemas dan masih belum lagi menjengah pada mana-mana wajah mereka itu. Oleh sebab Borhan terlalu berani cuba menghentaknya dengan sebatang kayu itu maka dia terpaksa bertindak balas. Satu tumbukan padu dilepaskan tepat ke dada Borhan.
Kalau boleh Naqib mahu sahaja menumbuk muka Borhan dan peluang itu sentiasa terbuka namun dalam keadaan itu dia masih berfikir tentang peperiksaan dan masih tercalit rasa kasihan pada kawan-kawannya ini. Akan tetapi, dalam diam-diam Ejam mencapai sebiji batu yang agak besar saiznya dan terus menghempuk kepala Naqib yang tidak sempat mengelak.
“Arghhhhhhh,” Naqib menjerit kesakitan dan darah mengalir deras.
Tiba-tiba pandangan mata Naqib mula samar dan mungkin sekejap lagi dia akan pitam.
“Lari Ejam lari!” pekik Borhan yang sudah mula panik.
Ejam tergamam dan tidak menyedari apa yang telah dia lakukan. Perbuatan kasarnya itu telah menyebabkan Naqib mengalami pendarahan. Mungkin parah memandangkan darah yang sedang mengalir itu sungguh deras hingga ke wajah.
“Cepat!” ucap Joe yang telah pun berlari terlebih dulu meninggalkan tempat itu.
Ejam masih lagi di situ tatkala Borhan dan Joe telah melarikan diri seperti lipas kudung. Ejam memerhatikan Naqib yang berlumuran darah sedang memegang kepalanya sendiri dan mula melutut terus rebah menyembah bumi.
Dirinya tidak tahu apa yang perlu dilakukan saat ini. Adakah dia perlu pergi atau membantu Naqib? Rasanya dia tidak akan berbuat begitu. Sudah pasti dia akan dipersalahkan. Kalau Naqib mati dia mungkin akan ditahan polis. Dia tidak mahu dipenjarakan. Dia akan dituduh sebagai pembunuh. Dia tidak berniat untuk membunuh Naqib. Dia sungguh berharap Naqib tidak mati.
Dia dihantui dengan rasa takut yang teramat sangat akhirnya Ejam melarikan diri dan meninggalkan Naqib di situ. Dia terus meluru ke arah motosikalnya setelah mengambil baju sekolahnya yang ditanggalkannya tadi. Kemudian dia memecut laju tanpa mengira keadaan lagi.
Tiba di sebuah selekoh akhirnya dia tidak dapat mengawal motosikalnya itu lalu merempuh sipi tiang penanda jalan yang berhampiran dengan tiang elektrik lalu masuk ke dalam gaung. Kepala Ejam terhantuk pada batang pokok yang berada di bawah gaung itu setelah dia tergolek-golek. Motosikalnya juga turut terhumban ke situ. Kawasan yang sungguh bersemak samun sukar dilihat oleh orang lain. Bagaimana sekiranya tiada siapa yang tahu Ejam kemalangan dan terbiar di situ? Sukar untuk diramalkan.
Saat ini Naqib terbaring di tepi sungai manakala Ejam pula terbaring di gaung. Tentang Naqib sudah semestinya Borhan dan Joe mengetahui apa yang berlaku akan tetapi bagaimana pula dengan Ejam? Kala ini tiada siapa pun yang tahu dia telah kemalangan dan sekarang pengsan di dalam gaung.
Sang matahari menjadi saksi kerana telah menyaksikan perkelahian antara mereka. Sang angin pula sedang berbisik mewartakan apa yang telah berlaku kepada sang pokok lalu desiran dedaun yang ditiup angin itu sedang bercakap-cakap sesama mereka betapa manusia itu cukup hina kerana tega berbuat jahat.
Kala ini Syaitan sedang bertepuk tangan kerana berjaya menghasut jiwa anak-anak muda itu untuk bergaduh. Kesabaran dan iman telah ditutupi dengan kebencian. Sungguhpun begitu segala-galanya mungkin ada hikmahnya. Hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahuinya.
***
“APA yang sudah kita lakukan ini, Borhan?” Joe termengah-mengah tatkala melarikan diri dan mereka bertemu di bawah jambatan tempat yang tersorok.
Borhan menghela nafasnya dan cuba bertenang.
“Aku tidak tahu Joe. Aku…Aku rasa takut,”
“Aku pun rasa begitu, bagaimana kalau Naqib mati? Aku tidak mahu masuk lokap,” ucap Joe yang sudah kecut perut.
Borhan celaru dengan tiba-tiba. Dia sendiri tidak sedar mengapa boleh sampai ke tahap itu. Borhan terfikir juga untuk memberitahu orang kampung tetang Naqib yang terbaring di hujung sana. Mungkin dia mahu mencari helah. Tapi bagaimana sekiranya mereka dipersalahkan dan Naqib buka mulut?
“Kau ada ideakah?” soal Joe.
“Dalam keadaan sekarang ini aku tidak pasti Joe. Bagaimana kalau kita pergi selamatkan Naqib?” cadang Borhan yang sedang berkerut dahi itu.
Joe mengusap wajahnya. Peluh mencurah-curah membasahi segenap inci tubuhnya. Borhan juga begitu. Tidak senang duduk dibuatnya.
“Jangan Borhan! Bagaimana kalu kita pergi di sana dan Naqib sudah tidak bernyawa lagi? Apa kita hendak buat lepas itu? Kita biarkan sahaja. Mungkin akan ada orang kampung terjumpa dia nanti. Kalau Naqib mati sekalipun orang tidak tahu siapa punya angkara,” kata Joe yang sungguh cetek pemikirannya.
Borhan bersetuju tapi dia masih lagi diburu ketakutan. Joe juga begitu tapi dia cuba tenangkan dirinya dengan menarik nafas panjang-panjang. Mustahil kalau tiada siapa yang tahu. Ardila mengetahuinya mereka mahu berkelahi. Sudah pasti mereka akan dipanggil untuk tampil memberi keterangan sekiranya Naqib betul-betul mati.
Kalau terjadinya kes pembunuhan maka akan gelaplah kehidupan Borhan, Joe serta Ejam di dunia ini. Hidup mereka akan diselubungi hitam. Hidup dengan rasa bersalah sepanjang masa. Tidak bermakna apa-apa lagi. Sudah pasti keluarga Naqib akan menuntut keadilannya.