Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 15)


WAKTU pulang dari sekolah telah pun tiba. Adam bermuram durja dari awal hingga ke saat ini. Adam diam seribu bahasa dan sukar untuk lidahnya menutur kata kerana ia mengejal kebas. Dirinya pula masih belum mengetahui bahawa Naqib akan betemu dengan Ejam sebentar nanti kerana Ardila belum lagi menceritakannya.

Kala ini Ardila sedang cuba menceritakan perkara itu namun Adam kelihatan tidak berminat untuk mendengar apa-apa lagi. Terdetik juga di hati Ardila untuk mengetahui apa yang berlaku di antara Adam dan Cikgu Hasrudi di bilik cikgu itu akan tetapi dia perlu memberi ruang agar Adam bisa bernafas melepaskan rasa.

“Kau okey Adam?” Ardila menyoal setelah mendiamkan diri dalam beberapa minit.
Adam tidak menunjukan respon positif malah dia mengeluh panjang.

“Cerita padaku apa sebenarnya yang berlaku di bilik itu?” Ardila mula menyentuh persoalan itu.

Sukar untuk Adam menjawabnya. Dia memang mahu meluahkan segala-galanya namun dari mana dia patut mulakan.

“A..aku, aku dituduh merokok,” akhirnya Adam menutur jawapan.
Ardila terkejut mendengarnya.

“Biar betul?! Aku yakin kau tidak melakukan benda yang tidak berfaedah itu? Adakah waktu pemeriksaan tadi mereka jumpa rokok itu?” Ardila menduga.

Adam mengangguk perlahan.

“Dalam beg kau?”

Adam mengangguk lagi.

“Tidak ada orang lain lagi! Mesti kerja Ejam!” Ardila membuat telahan dengan begitu pasti.

“Dan alat solek aku sudah dirampas, aku mahukannya semula,” kata Adam.

Tiba-tiba Ardila menarik tangan Adam dengan pantas. Dia mahu berpatah semula balik ke sekolah selagi perjalanan belum lagi jauh.

“Ikut aku,” pinta Ardila.

“Ke mana?”

“Masuk ke dalam sekolah semula kerana aku mahu berjumpa dengan Cikgu Hasrudi,” ucap Ardila.

“Untuk apa?”

“Aku ingin katakan bahawa kau tidak pernah merokok sebabnya aku memang tidak pernah lihat kau merokok jadi aku mahu mempertahankan hak kawan aku,” balas Ardila dengan bersungguh-sungguh.

“Sia-sia sahaja kerana rokok itu ditemui dalam beg aku,” tutur Adam.

“Sesiapa saja boleh letakkannya di dalam beg kau, dan aku betul-batul yakin semua ini kerja Ejam. Percayalah cakap aku.” kata Ardila.

“Kau ada bukti menunjukan dia yang lakukan?” Adam menyoal.

“Bagaimana kalau dia yang lakukan?”

“Tapi aku tidak ada sebarang bukti kukuh untuk menyatakan dia yang lakukan malah tiada saksi yang nampak.” jawab Adam dengan pantas.

Ardila mengeluh.

“Kau kena fikir, siapa lagi yang selalu berniat jahat pada kau? Dia dan geng-geng dia sahaja, aku tidak akan menuduh sebarangan memandangkan sebelum ini dia selalu lakukan perbuatan bodoh, termasuk niat dia dulu yang hendak bogelkan kau, semua itu tidak patut Adam! Kalau sudah sampai ke tahap hendak bogelkan kau, itu bermakna hal-hal begini pun dia sanggup. Dia tergamak memfitnah kau.” terang Ardila.

Tidak dapat Adam mentafsir segala-galanya dengan mudah kerana dia sedang susah hati. Langkahnya terhenti di situ tatkala Ardila memujuk dirinya supaya bertemu semula dengan guru disiplin itu. Ardila mengecilkan matanya melahirkan rasa simpati terhadap Adam.

Adam juga satu hal. Kalau sudah Ardila mahu menolongnya ikut sahaja kehendak itu. Mungkin keadaan boleh diperbetulkan. Saat ini tiada siapa yang faham akan perasaannya yang sedang celaru itu.

“Itu aku tahu, tapi kau juga patut fikir, untuk apa lagi aku beria-ia mempertahankan diri aku sedangkan Cikgu Hasrudi tidak pernah mahu mempercayainya. Sudah aku jelaskan kepada cikgu bahawa rokok itu bukan kepunyaan aku malah dia mahu bertemu dengan ibu aku,” balas Adam.

“Sampai begitu sekali? Ini sudah melampau, kalau ibu kau tahu bagaimana? Pasti dia pukul kau nanti. Perkara ini aku tidak dapat biarkan. Aku kena jumpa dengan Cikgu Hasrudi sekarang juga sebelum dia balik,” tegas Ardila yang terus meluru masuk ke kawasan sekolah untuk bertemu dengan Cikgu Hasrudi.

Adam terpinga-pinga di situ setelah cuba menghalang Ardila dari berbuat sedemikian.

***

“CIKGU! kenapa cikgu tuduh Adam merokok, saya memang tidak puas hati. Cikgu patut tahu bahawa ada orang mahu aniaya dia.” ucap Ardila ketika bertemu dengan Cikgu Hasrudi di bilik gurus displin itu.

“Saya tidak mahu mendengar apa-apa penjelasan tanpa bukti.” balas Cikgu Hasrudi.

Tidak berapa lama kemudian Adam muncul lalu menarik tangan Ardila.

“Maafkan kami kerana menganggu cikgu,” kata Adam.

Kala ini Cikgu Hasrudi mengangkat keningnya kerana sikap Ardila yang nampak seperti sedang marah-marah. Garis-garis wajah Ardila itu mempamerkan reaksi yang tidak puas hati terhadap Cikgu Hasrudi yang sengaja menyalahkan Adam.

“Saya akan siasat perkara ini,” kata Cikgu Hasrudi umpama polis penyiasat lagak bicaranya.

“Saya tidak mahu perkara ini diketahui oleh ibu Adam. Nanti keadaan akan bertambah buruk. Cikgu tidak faham apa yang berlaku pada Adam selama ini dan cikgu tidak akan pernah mengerti apa-apa. Jadi saya harap cikgu harus berfikir dua kali sebelum membuat sebarang keputusan termasuk merekodkan kes tersebut dalam buku laporan Adam. Maafkan saya andai kata-kata saya ini seperti bersikap kurang ajar tapi saya benar tidak berpuas hati dengan orang yang sanggup aniaya Adam sampai begini rupa.” petah Ardila.

Adam masih terus berusaha menarik Ardila yang berdiri statik di situ.

Cikgu Hasrudi terus bangun dari kerusinya dan menuju ke arah mereka berdua. Dia melepaskan keluhan yang cukup berat sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dengan perlahan. Cikgu Hasrudi menanggalkan kaca matanya dan di situ jelas kelihatan anak matanya yang berwarna coklat jernih.

“Sudahlah Ardila, mari kita balik,” Adam memujuk Ardila.

“Sekejaplah, tolong jangan halangi aku.” Ardila membantah.

“Adam..Dila.. sila duduk dulu dan bertenang, biar saya terangkan.” arah Cikgu Hasrudi.

Kedua-duanya terus duduk di depan meja Cikgu Hasrudi lalu menarik nafas supaya menjadi lebih tenang. Cikgu Hasrudi memakaikan semula cermin matanya dan kembali semula ke tempat duduknya. Soratan mata Cikgu Hasrudi bersinar sambil memandang Adam dan Ardila.

Mereka mendiamkan diri selama dua minit. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Adam berkerut dahi melihat Ardila memuncungkan mulutnya. Sesekali Adam menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Mungkin terfikir apa yang Cikgu Hasrudi ingin ucapkan.

“Sebenarnya saya juga tidak percaya bahawa Adam merokok. Dan saya masih ragu-ragu mengenai rokok yang ditemui oleh pengawas semasa pemeriksaan tadi. Akan tetapi rokok itu telah ditemui di dalam beg Adam dan diperhatikan oleh ramai orang. Sudah pasti pelajar lain akan berfikir yang rokok itu kepunyaan Adam. Justeru itu pihak sekolah akan menyiasat kes ini. Kemungkinan besar ada orang sengaja meletakkan rokok itu dalam beg Adam sebagaimana yang awak berdua jangkakan.” ucap Cikgu Hasrudi.

“Bagaimana pula dengan niat cikgu untuk memberitahu ibu Adam mengenai hal ini?” Ardila menyoal.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya menjalankan kewajipan dan saya perlu menyampaikan perkara ini pada ibu kamu, Adam,” setelah mendengar jawapan itu, Adam terus tertunduk.

Adam terpaksa juga mengharungi saat itu nanti setelah perkara itu bakal diketahui oleh ibunya. Di dalam hatinya mengharapkan ibunya mempercayai dirinya dan tidak terus marah-marah tanpa menelaahnya terlebih dahulu.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.