EJAM dan Borhan berpandangan sesama sendiri. Ardila melihat mereka berdua seperti sedang gembira. Apa yang sedang membuatkan hati Ejam dan Borhan itu seakan melompat riang? Seterusnya Ardila menghampir Naqib yang mendagu di meja. Wajah Naqib seolah-olah mempamerkan kebimbangan.
“Naqib, kenapa kau muram?” soal Ardila.
Setelah disapa oleh Ardila Naqib terus menoleh ke arah Ardila dengan hambar. Dia menggeleng perlahan.
“Aku risaukan Adam yang dipanggil oleh Cikgu Hasrudi.” balas Naqib dengan melahirkan rasa bimbangnya.
“Aku juga begitu, Naqib. Entah apa yang berlaku pada Adam sekarang ini tapi cuba kau tengok Ejam dan Borhan itu, bukan main lagi nampak seronok saja bila Adam kena panggil tadi.” ucap Ardila.
“Mereka itu memang, saat beginilah yang dinanti-nanti oleh mereka untuk terus menyakiti Adam.” kata Naqib.
Naqib terus bangun dan bergerak ke arah mereka berdua itu.
“Apa yang kamu berdua sudah lakukan pada Adam? Aku yakin kamu berdua masih berniat kenakan Adam, jangan cuba-cuba lagi!” Naqib menyoal mereka.
“Wah! Hero Bollywood datang gertak kitalah Borhan,” sinis Ejam.
Borhan terus melangkah ke depan dan menolak badan Naqib dengan kuat.
“Hoi! Kau siapa hendak masuk campur urusan kami? Kau bukan lagi geng kami, jadi lebih baik jangan ambil kisah.” bentak Borhan.
“Kau mahu tunjuk berani ke Naqib! Mentang-mentang abang kau kaki pukul ingat kami takut sekiranya kau panggil abang kau itu? Hei! Kalau kau panggil abang kau itu pun aku boleh lakukan perkara yang sama! Aku minta ayah aku panggil orang-orang kampung ganyang abang kau. Abang kau itu penagih!” lantang Ejam.
Kesabaran Naqib tiba-tiba tercabar. Tangannya digenggam kemas. Pasti Ejam kena tumbuk. Tapi mungkin tidak kerana Naqib masih kekal bersabar.
“Baik! Balik sekolah nanti kita jumpa tepi sungai! Aku ingin buat pehitungan dengan kau! Sudah lama aku tidak puas hati. Kau panggil berapa ramai orang kamu yang kau mahu panggil. Budak-budak kampung sebelah pun kau boleh panggil sekali. Aku sikit pun tidak hairan.” ucap Naqib bersungguh-sungguh dan mencabar Ejam dan Borhan.
Keterlanjuran kata-kata Naqib itu mungkin akan mengundang padah sekiranya pergaduhan benar-benar berlaku nanti. Ardila yang mendengar mereka bertegang leher itu berasa sungguh takut kalau-kalau terjadi sesuatu yang tidak baik. Darah muda memang berapi-api seandainya selalu dicabar atau tercabar.
Kala ini Syaitan bertungkus-lumus menghasut jiwa mereka supaya berkelahi sesama sendiri. Mungkin syaitan-syaitan ini sedang bertepuk tangan. Cuma kita saja yang tidak nampak.
“Wei! Sudah! Hentikan semua ini?! Kita hanya tinggal dua minggu sahaja lagi bakal menduduki peperiksaan yang begitu bermakna buat kita semua tapi kenapa kamu semua ini sampai sekarang selalu bertengkar?! Kita kenal dari kecil lagi. Aku tidak pernah tengok kita semua berbaik-baik. Kau Ejam selalu saja menyakiti Adam dan sekarang bila Naqib berbaik dengan Adam kau pula semakin tidak puas hati!” kata Ardila dengan kuat.
Pelajar-pelajar lain menoleh ke arah mereka kerana tindakan mereka itu telah menarik mata dan telinga mereka untuk terus memerhati namun tiada sesiapa yang berani masuk campur kecuali Ardila. Hanya dia satu-satunya perempuan yang sesekali berani bersuara.
“Dila! Aku tahu kau memang sokong Adam lembik itu sejak dulu lagi dan kau Naqib memang pembelot! Baiklah aku setuju jumpa kau di tepi sungai itu lepas kau balik sekolah nanti! Borhan, mari kita keluar kelas, aku tidak ada mood untuk belajar hari ini. Nanti kau panggil Joe di kelas sebelah itu untuk ikut kita sekali.” ucap Ejam dalam bentuk arahan.
Borhan yang setia bersahabat dengan Ejam itu mengikut saja arahan yang diberikan. Suka-suka hati sahaja mereka mahu ponteng sekolah walaupun peperiksaan bakal tiba tidak lama lagi. Apa yang bermain di kotak fikiran Ejam saat ini hanyalah memikirkan bagaimana untuk mengajar Naqib. Pada awalnya dia mahu bertangguh selepas peperiksaan tetapi nampaknya ia perlu dipercepatkan juga.
“Naqib, kau jangan berkelahi dengan mereka lagi, sudahlah jangan cari hal. Kau harus fikir peperiksaan kita itu.” Ardila menasihati Naqib yang sedang merengus geram itu.
“Aku tidak peduli!” bentak Naqib.
Ardila terus kehilangan kata-kata lalu menundukkan wajah dan bermain dengan jari-jemarinya. Kala ini guru mata pelajaran Sejarah masih belum masuk kelas. Oleh yang demikian mereka harus mengulangkaji pelajaran dengan sendiri. Naqib pula tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajaran. Otaknya kusut.
Manakala di dalam bilik guru displin pula kelihatan Adam menitiskan air mata. Bermati-matian dia menyangkal bukti itu. Dia besungguh membela diri namun Cikgu Hasrudi tidak mempercayainya. Dia menduga Adam Mursyid seseorang yang hipokrit.
Sekarang Adam berdepan dengan satu masalah yang cukup besar. Baginya adalah satu fitnah yang sungguh hebat. Dia sendiri tidak menduganya. Apakah semua ini adalah dugaan hidup untuk orang sepertinya. Bukan setelah dicaci malah dituduh sebagai perosak akhlak.
‘Ya ALLAH Ya Tuhanku, apakah makna semua ini? Kau tunjukkanlah kebenaran kepada hati-hati yang selalu meghinaku agar tidak terus menerus menyakitiku.’ Adam merayu di dalam hatinya.
“Lebih baik kamu berterus terang! Benarkah kamu merokok?!” marah Cikgu Hasrudi.
“Saya tidak merokok! Saya bukan seorang perokok!” Adam mempertahankan dirinya.
“Kalau kamu tidak merokok bagaimana sekotak rokok ini boleh ada dalam beg kamu dan kenapa kamu guna alat-alat ini?” Cikgu Hasrudi menyoal Adam sambil menunjukan sekotak rokok. Dalam masa yang dia menunjukan pula lip gloss milik Adam.
Adam masih tergagap-gagap untuk menjawab pertanyaan itu dan apa yang pasti rokok itu bukan miliknya. Dia tahu ada orang menganiaya dirinya. Tergamak orang itu memperlakukan diri Adam sebegitu rupa.
“Cikgu! Saya memang pakai alat-alat itu. Ya saya mahu menonjolkan diri saya supaya saya ada keyakinan. Saya perit! Saya sakit di dalam hati saya kerana selama ini saya dituduh sebagai lelaki lembut. Saya akui saya lembut dan saya mahu jadi lelaki sejati namun tidak ada siapa pun yang menyokong saya malah mengutuk saya dengan kata-kata yang amat menyakitkan hati saya ini. Cikgu memang tidak faham apa yang saya rasa sekarang ini. Bagi cikgu saya memang tidak guna tetapi soal merokok bukan kerja saya dan saya tidak pernah terfikir untuk merokok. Tolonglah cikgu mengerti.” Akhirnya Adam meluahkan isi hatinya dengan air mata suci itu menitis deras.
Sebak sungguh hati Adam. Alam ini terasa gelap tatkala dia sedang berperang dengan jiwanya sendiri bagi memberi sokongan terhadap maruahnya. Cikgu Hasrudi merenung tajam ke arah Adam yang sedang berdiri di depannya itu. Dia melihat Adam menyeka air mata yangs edang mengalir deras itu.
“Bagaimana untuk saya mempercayai kamu, Adam? Semua ini adalah bukti yang jelas. Kamu telah melanggar peraturan sekolah. Saya perlu ambil tindakan ke atas kamu.” ucap Cikgu Hasrudi.
“Terpulang pada cikgu untuk mempercayai saya ataupun tidak dan kerana saya yakin Tuhan lebih tahu apa yang saya rasa sekarang ini. Mungkin cikgu hanya nampak kelemahan saya tetapi cikgu silap kalau cikgu menghukum saya tanpa unsur periksa.” balas Adam.
Cikgu Hasrudi pula serba salah kerana peperiksaan penting untuk pelajar-pelajar tingkatan lima akan tiba tidak lama lagi. Sekiranya dia mengambil tidakan drastik, kemungkinan Adam tidak dapat menduduki peperiksaan itu.
“Bagaimana sekiranya saya meminta ibu kamu datang berjumpa dengan saya?” soal Cikgu Hasrudi.
Adam terus menjegil mata. Keluh kesah hatinya bergetar kuat. Bagaikan halilintar datang berdetum ke dinding hatinya. Sungguh terkejut dengan ucapan itu. Dia tidak mahu ibunya mengetahui perkara itu. Dia mungkin akan dipersalahkan dan dia tidak mahu menghacurkan perasaan ibu kesayanganya itu. Dia berharap berita ini tidak diketahui oleh ibunya.
Adam menelan deras air liurnya. Dia sungguh takut namun dia masih juga berusaha meyakinkan Cikgu Hasrudi bahawa rokok itu bukan rokok miliknya agar hasrat Cikgu Hasrudi yang mahu bertemu dengan ibunya terbatal. Dia menceritakan bahawa ada orang yang sedang menganiayanya dan dia sendiri tidak tahu siapakah orangnya.
Adam sendiri tidak tahu adakah Cikgu Hasrudi dapat mempercayai dirinya atau pun tidak biarpun dia mengharapkan yang sedemikian.