Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 13)


PERLU atau pun tidak aku memberitahu Naqib tentang rancangan aku bersama Ardila? Aku keliru adakah dia patut tahu. Aku memandang wajah Naqib yang bersungguh dan sentiasa memujuk. Aku tahu dia sedang memaksa diriku untuk memberitahunya. 

Selepas itu aku menoleh ke arah Ardila yang sedang berdiri sambil mendepakan tangannya untuk melawan arus angin. Sungguh menusuk kalbunya kerana dari kedudukan statiknya dapat diriku anggarkan bahawa hatinya sedang diterbangkan angin.

Bersama dengan ini aku juga turut merasakan sepertinya. Sedang berfikir bagaimana untuk aku dan dia melaksanakan satu tugas yang amat istimewa. Telaga mindanya aku selami untuk mencari satu kata putus dalam menelaah perkara-perkara yang patut ada selepas peperiksaan itu.

Tatkala aku sedang bermain dengan pasir-pasir pantai yang memutih, aku mendengar Naqib mengeluh. Kemungkinan dia jenuh menunggu jawapanku. Bukan aku tidak ingin menceritakan kepadanya tetapi aku perlukan persetujuan Ardila. Nampaknya Ardila belum memberi apa-apa respon. Naqib umpama pungguk rindukan bulan di kala ini. Demikianlah keadaan Naqib yang beria-ia ingin tahu tentang apa yang kami rahsiakan itu.

Sewajarnya Naqib perlu tahu. Ya, memang dia perlu tahu tapi bukan sekarang. Bila sudah tiba waktunya nanti dia akan ketahuan juga. Biar masa dan ketikannya akan menentukan segala-galanya. Kekeruhan hati ini tidak dapat dibeningkan dengan hanya satu suara iaitu suara keinsafan yang memohon kemaafan. 

Naqib! Dia memohon maaf. Sering kali meminta maaf sekiranya terlanjur bicara. Lontaran kata-katanya sering membuatkan aku berkecil hati lantas segera memohon maaf. Semalam dia marahkan aku. Hanya satu sebab sahaja.

“Cuba kau keraskan badan kau sikit, angkat besi ke, angkat kayu-kayu berat ke dan kalau boleh pagi-pagi kau buatlah tekan tubi.” katanya.

“Kalau kau tak boleh terima keadaan diri aku begini kenapa dulu kau beria-ria nak kawan dengan aku?” soalku dalam nada merajuk.

Sungguh tertekan diri ini kerana Naqib masih mempertikaikan keadaan diriku. Usah dibicarakan soal diriku kerana aku tetap aku. Aku mahu dia mengerti tetapi hampa. Dia masih tega menyakitkan perasaanku ini.

“Aku tidak mahu kau terus kena buli dengan Ejam! Kau faham ke tidak? Kalau kau lembik macam ini mereka akan terus buli kau. Malah selama-lamanya!” bentak Naqib dengan tiba-tiba.

“Naqib!! Kau ingat aku hendak sangat ke jadi lembut hah? Berkali-kali aku cuba! Aku sudah lakukan sebelum apa yang kau cadangkan itu. Hari-hari aku buat tapi tiap kali itu aku sakit. Sakit seluruh badan. Perlukah aku menyiksa diriku sendiri dengan melakukan sesuatu yang aku sendiri tidak mampu.” Balasku dengan menjegil mata.

Selepas aku menitiskan air mata, Naqib memujuk dan meminta maaf. Semudah itu dia meminta maaf.

Tiba-tiba sahaja dialog itu terpadam di dalam benakku tatkala aku mendengar Ardila membatukan dirinya. Imbasan perkara semalam itu terus hilang tapi di dalam perasaan ini masih lagi bersisa.

‘Naqib, aku tahu kau berusaha membantu aku dengan memberi dorongan agar aku gagahkan diriku. Biar aku sekuat lelaki-lelaki lain. Agar aku boleh bermain bola sepak dan menyertai aktiviti-aktiviti lasak yang lain. Aku memang teringin untuk melakukan semua itu.’ aku hanya mampu berkata di dalam hatiku sahaja.

Di sini Naqib merenungku. Dia memandang wajahku. Dalam sungguh renungannya itu. Apakah ertinya? Ardila masih lagi statik untuk beberapa minit. Kemudian dia menghela nafasnya dalam-dalam. Aku mendengar degusannya itu. Ardila berpaling dan terus mendekati aku dan Naqib.

“Rindu ini untuk kawan-kawan. Maksud aku rindu pada perpisahan.” Tiba-tiba Ardila mengeluarkan kenyataan itu dari lembut tuturnya.

“Rindu pada perpisahan? Aku masih tidak faham apa yang kau maksudkan itu, Dila?” Naqib menyoal.

Ardila mengangguk perlahan sambil membetulkan tudungnya. Aku masih lagi memerhatikan mereka dan mendengar dengan penuh  teliti hanya menunggu ketikanya untuk aku menyampuk.

“Kita bakal meninggalkan alam persekolahan ini, maka dunia yang baru akan kita tempuhi,” kata Ardila.

Si gadis gebu itu mahu memberi gambaran pada Naqib. Mungkin dia ingin memberitahu hal sebenarnya. Lantas aku mencuit lengannya sebagai isyarat supaya jangan diteruskan bicaranya itu. Aku harap Ardila faham.

Naqib menoleh ke arahku dengan mengangkat keningnya. Aku faham makna itu. Sebuah makna dia ingin juga mengetahuinya. Aku jadi penghalangya. Biarkan. Biarkanlah dia tidak mengetahuinya sekarang. Kalau sudah dia tahu maka tiada lagi unsur suspen yang akan wujud di dalam cerita ini. Semudah itu ianya akan tamat sampai di sini.

Aku cukup sedar bahawa perjalanan hidupku ini masih jauh lagi. Aku tidak sampai ke hujung dunia ini dalam keadaan merangkak kerana dunia semakin moden. Banyak alternatif lain yang bakal membawa aku, mungkin memecut laju untuk ke hujung dunia itu dengan kereta formula one, malah untuk menjejakkan kaki ke puncuk gunung tertinggi dunia dengan hanya menggunakan helikopter. Itulah cita-citaku. Harap dapatlah dimengertikan dengan mata hati.

Untuk masuk ke gelanggang tinju dan berlawan dengan lagenda tinju dunia seperti Muhammad Ali mahupun Mike Tyson mungkin jauh sekali. Manakala untuk menjadi seorang tukang masak terkenal adalah cita-cita yang aku idamkan. Adakah aku akan seperti Chef Wan atau Chef Ismail yang dapat bergambar di kaca televisyen itu? Rasanya aku tidak dapat menyaingi mereka.

Ah! Lantaklah sesiapapun janji aku boleh jadi tukang masak. Habis peperiksaan nanti aku akan lanjutkan pelajaran aku dalam bidang masakan. Aku mahu masak makanan yang sedap-sedap. Dalam masa yang sama aku mahu ciptakan resipi aku sendiri. Seronoknya.

Amboi! Aku kuat berangan tetapi itu hakikatnya. Hidup tanpa angan-angan memang tidak seronok nampaknya seumpama seekor biri-biri yang hidup tanpa kaki.

“Adam, boleh kau terangkan apa yang Dila maksudkan?” Eh! Setelah terdiam beberapa minit, Naqib menyoal aku pula sambil menggaru kepala.

Bibirku panjang sedepa setelah sengaja dimuncungkan. Aku tidak mahu menceritakan perkara rahsia itu. Tapi apa mahu aku lakukan sekarang ini? Memandangkan Ardila sudah terlepas cakap mengenai soal rancangan maka biarkanlah dia sendiri yang selesaikan.

Aku menjawab pertanyaan Naqib itu dengan hanya berjongket bahu. Malas untuk menutur kata yang akan mencerminkan wajah serba salah. Aku kurang yakin dengan Naqib. Bukan tidak percaya tapi curiga. Hati aku sarat dengan rasa curiga buat ketika ini.

“Beginilah Naqib, pada ketika ini biarlah kami berdua rahsiakannya dulu,” ujar Ardila.

“Tergamaknya!” rajuk Naqib lantas mengalihkan pandangannya pada sudut yang lain.

Terasa hati agaknya. Mungkin dia menduga aku dan Ardila tidak mempercayainya.

Seperti yang aku katakan tadi. Aku cuma curiga. Pada bila-bila masa sahaja Ejam boleh mengorek rahsia dari Naqib. Aku takut Naqib akan menceritakan pada Ejam walaupun aku sedia tahu Naqib telah pun menjauhkan dirinya dari berkawan rapat dengan Ejam.

“Bila tiba saatnya kau akan tahu,” kataku

“Kenapa tidak sekarang?” Naqib menyoal.

“Kerana aku tidak mahu ia digagalkan,” jelasku sambil meramas-ramas pasir pantai.

“Cubalah kau terangkan, rancangan apakah ini?” tanya Naqib sambil mengangkat kening dan mempamerkan wajah kurang selesanya.

Naqib menjebih padaku. Ardila pula mengetap lembut bibirnya dan saat ini aku menghela nafas sedalam yang boleh dan dilepaskan perlahan-lahan. Aku melemparkan padangan yang kosong pada Ardila yang tatkala ini sedang menguap. Mengantuk dengan tiba-tiba agaknya.

Aku membiarkan Naqib tertanya-tanya tanpa belas. Biarlah dia tidak tahu. Tapi aku jadi serba salah pula. Hurm.. aku mengeluh panjang. Memang serba salah. Perasaan ini menebal malah bertambah lagi beberapa inci. Aku tarah tapi makin membukit. Eloklah aku diamkan diri sahaja.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.