Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 12)


MALAM yang diterangi cahaya bulan itu sungguh indah tapi keindahan malam itu bakal dicemari dengan niat jahat Ejam. Malam yang ditunggu-tunggu. Sebentar tadi dia keluar rumah melalui tingkap dan akan menghadirkan diri ke tempat yang direncanakan. Dia dan kawan-kawannya akan berkumpul di situ. Kali ini dia mengheret motosikalnya untuk dibawa jauh-jauh. Kalau dihidupkan dekat dengan rumah, sudah pasti ayahnya akan mendengar bunyi enjin motor tersebut.

Wajahnya Ejam mempamerkan kerisaun kerana dia masih berjaga-jaga. Takut kalau ayahnya menyedari akan ketiadaannya dirumah. Oleh yang demikian dia perlu lekas beredar dari laman rumah agar segala-galanya berjalan lancar. Berjalan seperti memijak semut yang tidak mati itu adalah langkah yang paling selamat. Akan tetapi nasibnya mungkin kurang baik seandainya motor tersebut mengeluarkan bunyi bising yang terlampau bila dihidupkan nanti.

Tidak beberapa jauh dari situ dia memasukkan kunci motor dan terus memulasnya lalu bersedia untuk dihidupkan. Entah mengapa kali ini dia rasa sungguh berdebar-debar berbanding sebelumnya. Angin yang datang seakan berbisik supaya dia membatalkan sahaja hasratnya itu. Desiran dedaun ditiup sang angin itu turut menyatakan perkara yang sama. Selain dari itu sinar bulan kian pudar serinya seakan bersedih mengenangkan perilaku manusia yang bakal melakukan kejahatan itu.

Mengapa perlunya udara pada malam ini tercemar dengan kerakusan hati seorang insan yang sanggup membenci orang lain itu. Sedangkan semua ini adalah kerja Tuhan. Tidak wajar sama sekali untuk Ejam mempertikaikan hak orang lain. Terutamanya sekali akan hak Adam Mursyid itu. Seorang lelaki lembut sepertinya memerlukan perhatian dan dorongan ke arah kebaikan bukannya dihadiahkan dengan sebuah pengkhianatan atau pun dengan makian serta celaan.

Perbuatan khianat itu sesungguhnya mengundang padah. Namun Ejam tidak pedulikan tentang itu. Baginya menyakiti hati orang lain merupakan satu kepuasan yang tidak terhingga nikmatnya dan tidak terdapat di mana-mana.

Masihkah ada ruang untuk Ejam berbuat kebaikan dan tidak mudah mencalitkan rasa geram pada orang lain? Buku catatan amalnya berat di bahu kiri tapi tidak pula dia terasa. Baginya kehidupan ini perlukan kebebasan hingga mahu melakukan apa saja yang terlintas di fikiran.

“Kenapa kau lambat sampai?” sebaik sahaja kelibat Ejam tiba di pondok buruk di tepi kebun pisang itu Borhan menyapanya kerana tidak berpuas hati akan kelewatan Ejam ke situ.

“Aku terpaksa tolak motor ini jauh dari rumah, kalu tidak ayah aku akan dengar, habis aku nanti,” balas Ejam bersama pusaran debaran hatinya kian merundung.

“Itu aku tahu tapi masalahnya kau janji pukul sembilan, sekarang sudah pukul sepuluh, apa cerita? Geram aku tunggu lama-lama! Dekat sini terlalu banyak nyamuk tahu tidak! Habis darah aku dihisap nyamuk-nyamuk yang kelaparan ini,” gerutu Borhan.

“Aku tunggu ayah aku masuk tidur dulu baru aku boleh keluar,” balas Ejam.

“Lain kali jangan janji kalau kau sendiri tidak pasti.” Marah Borhan.

“Sekarang aku sudah sampai, relekslah..” kata Ejam sambil menggaru kepalanya di dalam kesamaran itu.

Tidak berapa lama kemudian terdapat pantulan cahaya lampu picit dari seseorang yang sedang berjalan kaki. Kelibat orang itu seperti Joe, kurus kering dan tinggi orangnya. Dia datang membawa khabar.

“Malam ini Pak Wahab tidur awal, rumah dia sudah gelap gelita.” 

Joe menggambarkan keadaan pada Ejam dan Borhan yang sedang merenungnya di dalam kelam.

“Apa kata malam ini dibatalkan sahaja niat kita?” tiba-tiba Ejam menyuarakan cadangan.

Borhan dan Joe terpinga.

“Wei, sudah penat-penat kita planning tapi tiba-tiba tidak jadi pula, apa kes ini Ejam?!” Joe menyatakan ketidakpuasan hatinya.

“Tidak lain dan tidak bukan sebab kita sudah tidak cukup kaki, kau pun tahu bahawa Naqib itu tidak turut serta malam ini, biasanya dia yang boleh kita harapkan,” ujar Borhan kepada Joe.

“Kau tahu kenapa Naqib menolak?” Ejam menyoal.

Borhan berjongket bahu. Joe pula melompong.

“Aku tahu kenapa, mungkin sebab Adam lembik sudah hasut dia. Petang tadi aku nampak dia dekat rumah Adam lembik itu, aku tidak tahu apa dia buat di situ. Tapi besar kemungkinannya dia sudah belot dengan kita.” Joe membuat spekulasinya sendiri.

“Dan sebab dia jugalah rancangan kita hendak bogelkan Adam lembik itu tidak terlaksana, geramnya aku!” sambung Borhan pula.

Ejam menoleh ke arah Joe kemudian dia menoleh pula ke arah Borhan.

“Kita kena ajar Si Naqib itu, aku juga dapat rasakan yang dia sudah ceritakan apa yang kita telah buat pada sebelum ini. Adam lembik pasti sudah tahu segala-galanya.” duga Ejam.

“Itu tidak mustahil.” Joe menyokong.

“Baik kita pergi gegar rumah dia malam ini juga,” usul Joe.

Tiba-tiba kepala Joe kena sekeh dengan Borhan. Joe mengadu sakit.

“Kau gila! Buat apa hendak gegar rumah dia malam-malam buta begini? Kalau abang dia keluar nanti apa pula kau mahu jawab ha? Abang dia itu kaki pukul tahu, silap hari bulan kita kena ganyang.” marah Borhan.

Joe kehilangan kata-kata. Dia terbungkam sahaja namun Ejam pula sedang ligat mencari akal bagaimana hendak menguruskan Naqib. Memang nampak jelas bahawa Naqib sudah berpaling tadah dari mereka. Salahkah Naqib berubah? Mungkin Naqib sudah dapat memikirkan yang mana baik dan buruk. Budak itu sudah insaf.

Rancangan asal tidak dapat dilaksanakan dan ia ditangguhkan. Pada malam ini sepatutnya itik Pak Wahab akan menjadi mangsa mereka namun semuanya tidak jadi gara-gara memikirkan keadaan yang bakal berlaku nanti tanpa Naqib.

“Budak hitam itu hendak kena dengan aku,” Ejam merengus geram.

Habislah Naqib kali ini. Seseorang yang ingin berubah jadi baik bakal menerima tentangan pula. Perang persahabatan bakal meletus.

Siapa sangka masa berlalu dengan begitu pantas. Nampaknya Ejam tidak berani juga membuat apa-apa tindakan terhadap Naqib. Ini adalah kerana Naqib mempunyai seorang abang yang sangat-sangat garang. Ejam jadi kecut perut. Sekali debik jatuh pengsan.

***

HARI demi hari berlalu sehingga tinggal dua bulan sahaja lagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia akan berlangsung. Mereka semua sudah berada di tingkatan lima. Perjalanan untuk sampai ke hari itu seperti biasa, Adam sentiasa diusik tetapi sudah tidak keterlaluan. Mengapa agaknya ya?

Ibu Adam, Syaziela mengadu hal itu pada Roslan, memang pada mulanya Roslan tidak percaya namun setelah diselidik, Ejam didapati bersalah maka Ejam mendapat upah yang setimpal. Dia dikawal sepanjang malam dan tidak dibenarkan keluar sama sekali tanpa izin. Duit belanja sekolahnya juga dikurangkan. Di hati Ejam telah tersemat segumpal perasaan geram dan benci terhadap Adam Mursyid yang tidak berkesudahan. Dia berjanji selepas sahaja peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia itu selamat diduduki, maka rancangannya akan disambung semula.

“Tidak lama lagi kita akan menempuh peperiksaan, masa depan kita bergantung pada keputusan,” ujar Ardila.

“Perasaan aku berdebar-debar,” balas Adam.

“Aku juga, Adam.” Naqib mencelah.

Mereka bertiga menghabiskan waktu petang untuk bersantai di pantai. Mendengar deruan sang ombak menghempas pantai. Sungguh damai sekali.

“Memandangkan minggu peperiksaan itu amat mendebarkan kita semua, apa kata aku belanja kau dan Ardila ais batu campur,” ucap Naqib.

“Ais batu campur?” Adam membulatkan mata matanya.

Ardila terus gelak kerana dia teringat tragedi lampau yang menimpa Adam.

“Jangan risau, tidak akan ada telur katak lagi,” sinis Naqib.

Ardila gelak kerana membayangkan saat Adam sedang mengemam telur katak itu. Ketika itu dia tidak tahu apa-apa sehinggalah Ejam ketawa lalu memberitahu Adam apa yang dimakan olehnya itu adalah telur katak. Serta-merta Adam termuntah di situ juga. Jahatnya mereka.

“Aku tidak mahu makan ais batu campur lagi, kau dan Ejam jahat, Naqib.” jawab Adam sambil menampar lembut lengan Naqib.

Naqib memuncungkan mulutnya. Dia sudah meminta maaf tidak lama dulu jadi mengapa harus Adam mempertikaikannya lagi. Mungkin Adam fobia agaknya.

Ardila hanya merenung sang ombak itu. Angin yang menghembus itu membisikkan sesuatu hingga dia menciptakan satu rangkap puisi.

“Biarpun sang ombak menghempas pantai dan membuatkan ia berubah, namun hatiku tetap sama kerana angin yang berlalu telah menyapa rindu ini agar setia berteman dan bersahabat dengan kalian hingga ke akhir hayat. Sebagai teman dan sahabat, jiwaku akan sentiasa berada dalam pelukan ketenangan ini selama-lamanya. Dengarlah bisikan angin ini bahawa dia sedang menyebut nama kalian. Satu persatu ia membuai perasaan. Bila kita besar nanti aku yakin mimpi indah akan tercipta dan memberikan kita semua satu kebagiaan,” ucap Ardila dengan puitis sekali nadanya bagi menyambung perbincangan.

Adam yang mendengarnya terus membalas ucapan Ardila itu.

“Sekeping hati adalah anugerah dari ILAHI, dan aku mensyukuri. Namun aku sentiasa terkapai-kapai kelemasan kerana dihanyutkan arus deras menyebabkan aku terdampar di sini setelah tergelam ke dasar lautan itu bersama angan-angan yang tidak kesampaian. Tahukan kau wahai Ardila bahawa aku bukanlah yang terbaik dan aku juga bukanlah sehebat mereka yang pernah menggulingkan aku dalam keaiban. Sungguhpun begitu, sekeping hati yang terluka ini tidak akan pernah mahu mengalah. Aku ingin berjiwa kental seperti seteguh karang yang bisa menahan gelombang yang mendatang.” ucap Adam.

Naqib terus menungkat dagunya sambil mendengar mereka berbalas rangkap. Mungkin dia terpegun mendengar bicara itu agaknya.

“Memang hati itu adalah anugerah dari ILAHI, kita tidak dapat hendak mempertikaikannya lagi, tetapi ais batu campur pula ingin aku belanja ini….jomlah kita pergi ke warung sana itu..” tiba-tiba Naqib mencelah dan merosakan madah puitis yang sedang dilantunkan oleh mereka berdua.

“Kau bikin rosak programlah,” ucap Ardila sambil menoleh ke arah Naqib.

“Program apa pula?” tanya Naqib.

“Tidak perlu tahu, ini hal kami berdua..” kata Adam.

“Cakaplah, aku mahu tahu, tolonglah.” Naqib merayu.

“Macam mana Dila, mahu beritahu Naqib ke tidak?” Adam bertanya pada Ardila untuk meminta kebenaran.

Ardila dan Adam sedang mengaturkan rancangan khas. Apakah dia? Naqib mencebik kerana dia beria-ia mahu mengetahuinya.

P/s : harap maaflah kerana terdapat kelewatan untuk posting bab seterusnya. Mungkin bab ni nampak kaku memandangkan penulis tak sihat. Hee.. tapi walau mcm mana pun penulis cuba untuk puaskan hati korang ye.. hope kalau ada yg tak kena tolong tegur ye.. plssss....... 

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.