Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 5)


“YA ALLAH budak-budak ni..” desis Mak Piah yang kebetulan lalu di situ untuk ke rumah Ismail iaitu sepupunya. Dia melihat insiden malang itu telah menimpa Adam.

Tercalit rasa kasihan di dalam diri mak bidan itu. Kehadiran Mak Piah tidak disedari oleh mereka yang lagut menyindir dan mencaci Adam tanpa belas kasihan. 

Kenapa harus mereka bersikap biadap sebegitu rupa sedangkan Adam tidak pernah membuat perkara senakal mereka? Layakkah Adam menerima tindakan itu sedangkan dia tidak selasak mereka?

Tatkala dia mahu menyertai aktiviti mereka, maka setiap kali itu dia dihalang dan tidak pernah peluang diberikan untukknya. Tiada langsung keadilan buat dirinya yang dipinggirkan. Dia bukan menjauhi mereka malah mahu berkawan dengan mereka namun herdikan berbaur cemuhan itu sering kali dilemparkan ke arahnya. Cuping telinganya telah lali mendengar semua itu.

Bukan semua masyarakat dapat menerima keadaan dirinya. Mata orang-orang kampung tidak dibukakan dengan luas. Malah pemikiran mereka terlalu sempit hingga tidak nampak erti di sebalik semua ini. Insan yang tidak pernah mengerti apa-apa sejak kecil lagi selalu menjadi mangsa keadaan. Sampai bilakah ketenangan akan menyuluh ke dalam dirinya dan menerangi segala-galanya?

Mungkin bukan sekarang tapi mungkin di masa akan datang yang tidak tahu entah bila akan tiba saat bahagia untuknya. Adam Mursyid seorang yang berjiwa lembut tetapi kelembutan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus hidup. Malah dia harus berjiwa kental dan tidak mudah punah tatkala ada yang mahu meruntuhkan jiwanya.

Kala ini Mak Piah meluru ke arah mereka yang senang memperlakukan Adam seperti binatang yang tidak berkawanan itu. Hati Mak Piah sikit tercalar kerana anak sepupunya turut ada bersama. Terkilan rasa hati kerana Borhan turut menyertai mereka dalam arena membuli itu.

“Astarghfirullah Al`Adzim… Apa yang korang buat ni hah?” Mak Piah mengucap panjang sambil menggeleng-gelengkan kepalanya dengan deras.

Menyedari mereka disapa oleh Mak Piah di atas tebing itu maka mereka sungguh kaget. Terutama sekali Borhan yang tiba-tiba sahaja melompong. Seraya itu dia berkata,

“Mak Piah.. Kami nak selamatkan Adam, dia jatuh dalam sungai,” sunguh tidak logik alasan yang dicerna oleh otak Borhan.

Saat ini Borhan perlukan sokongan padu dari kawan-kawan. Ejam berusaha meyakinkan Mak Piah. Tapi semua itu tidak dapat diterima pakai.

“Kalau betul dia jatuh dalam sungai, kenapa kamu semua gelak-gelak? Perkara ni lucu sangat ke sampai mesti ketawakan orang? Kalau dia lemas macam mana? Tahu ke dia nak berenang hah? Borhan! Kau balik sekarang, kalau tidak Mak Piah report kat ayah kamu,” marah Mak Piah sambil memegang ranting kononnya untuk menakut-nakutkan mereka.

Tergagap-gagap mereka untuk menjawabnya. Ejam mengomel mulutnya seperti mengatakan sesuatu yang sukar difahami oleh Mak Piah.

“Mak Piah, kami memang nak tolong dia naik ke atas tapi dia jual mahal, salah kami jugak ke?” Joe memberi alasan lagi tidak mahu mengaku salah.

Adam yang berada di dalam air begitu kesejukan dengan tubuhnya menggigil-gigil sambil menyilang tangan serapat-rapatnya. Rambutnya yang sedikit panjang hampir menutupi bahagian mata dan menghalang pandangannya.

Borhan pula masih kekal di situ dan tidak berganjak sambil mengerling ke arah Adam. Ejam pula pura-pura tenang.

“Kamu anak Roslan kan? Kamu pun buli anak arwah Mustafar. Kamu tak sedar ke yang ayah dia dulu banyak tolong ayah kau hah? Kau senang-senang kacau dia. Ada ke dia kacau kau orang semua?” Mak Piah tidak henti-henti memarahi mereka sambil bercekak pinggang.

Mereka terdiam.

“Mak Piah pun akan report kat ayah kamu! Anak ketua kampung perangai macam ni, buat malu ayah kau je..” Marah Mak Piah lagi.

Ejam, Borhan, Naqib dan Joe berpandangan sesama sendiri. Cuma Naqib sahaja yang nampak agak kelam yang dilahirkan pada hari gelap.

Mereka membisu sambil tertunduk kepala pula.

“Orang lain habis sekolah terus balik rumah, kau orang tidak, buang masa kat sini, macam dah tak ada kerja lain nak buat, Mak Piah nak kamu tolong Adam tu bawa naik ke atas! Siapa bos antara kamu ni hah?” soal Mak Piah lantang sambil berleter panjang.

“Dia!” kata Borhan, Naqib dan Joe serentak sambil menunding ke arah Ejam.

“Jadi kamu anak ketua kampung yang jadi bos?! Mak Piah nak kau bantu Adam naik! Kalau tidak Mak Piah report kat ayah kamu!” arah Mak Piah sambil mengugut bagi menakut-nakutkan Ejam.

Ejam memang takut pada ayahnya yang bermisai lebat itu. Wajah Roslan sangat bengis. Hanya arwah Mustafar sahaja yang mengerti Roslan kerana mereka bersahabat baik semenjak kecil. Roslan dan Mustafar sungguh akrab.

Dengan berat hati dan keterpaksaan dia turun ke dalam air untuk menjemput Adam naik ke atas. Sungguh dia tidak mahu tetapi kalau dia tidak berbuat sedemikian nanti perkara ini akan dilaporkan oleh Mak Piah kepada ayahnya. Kemungkinan selepas itu rotan panjang akan menjengah ke tubuhnya.

Anak nakal mesti akan dapat upah tapi Ejam selalu mendapat perlindungan dari ibunya, cuma kadangkala ibunya tewas dengan berang ayahnya itu.

Setelah mendekati Adam yang sedang berdiri di dalam air itu, Ejam menghulurkan tangan menawarkan bantuan yang tidak ikhlas. Terpancar wajah yang amat menjengkelkan di mata Adam. Lelaki lembut itu tahu bahawa Ejam terpaksa berbuat baik selepas melakukan perkara sekejam itu.

Adam menjeling dan jual mahal.

“Hmmm…cepatlah..berlagaklah pulak..” gumam Ejam.

“Tak payah! Aku boleh naik sendiri!” balas Adam.

Ejam mengangkat keningnya manakala Adam memaling wajahnya dan segera melangkah naik ke darat membiarkan budak bedebah itu terpinga-pinga.

Konco-konconya memekup mulut menahan gelak.

“Kau tengok Si Ejam tu,muka tak puas hati tu..” bisik Naqib di cuping telinga Joe.

“Habislah Adam lembik tu nanti sebab Ejam tidak akan pernah putus asa,” desis Joe pula.

Borhan dari tadi memang dah kecut perut sebab dia takut Mak Piah akan beritahu ayahnya. Tapi kalau dia pandai memujuk Mak Piah sudah pasti ayahnya itu tidak akan mendapat tahu. Borhan jenis yang pandai bodek. Tapi mungkinkah kali ini dia akan berjaya?

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.