SEKUMPULAN remaja nakal sedang lepak di tebing sungai. Ada di antara mereka melakukan kegiatan yang tidak bermoral dengan menghisap rokok. Ibu bapa berikan duit untuk buat belanja sekolah tapi rokok pula yang dibeli mereka. Kalau disimpan wang dalam tabung lagi elok dari membazir. Benda yang mengundang padah itu juga yang tega dicari.
Mereka ingat dengan menghisap rokok akak buat diri mereka berasa hebat atau rasa macho? Baru nampak jantan, kononnyalah?
Ejam dengan konco-konconya akan menghabiskan waktu di situ. Mengadakan pertunjukan aksi dramatik mereka dengan beradu kekuatan dalam gusti lengan. Tidak cukup dengan itu akan diadakan pula acara renang berirama di sungai itu tanpa ada peringkat saringan terlebih dahulu.
Bila rasa hendak balik rumah maka mereka akan balik. Suka-suka hati saja. Kalau ditanya oleh ibu bapa mereka kenapa balik lambat, maka alasan yang biasa akan diberikan oleh mereka ada kelas tambahan kononnya. Budak-budak ini sudah pandai menipu. Malah lebih lagi berbanding dengan orang dulu-dulu yang takut dengan rotan.
Kala ini mereka masih setia melepak. Selagi racun belum puas disedut selagi itu kekal menapak di situ.
“Ejam, tolong baca nota itu, kami mahu dengar,” pinta Borhan rakan seperjuangan Ejam yang setia dalam aktiviti mencuri ayam kampung untuk dijualkan kepada pemborong.
“Yalah Ejam... sia-sia saja kau cabut nota itu tapi tidak dibacakan isinya, buat suspens saja,” sampuk Naqib salah seorang kawan Ejam. Dia pula setia dalam aktiviti mencuri gula-gula di dalam koperasi sekolah untuk dibahagi-bahagikan kepada kawan-kawan yang lain.
Kurang asam mereka ini. Dosa pahala memang tidak pernah difikirkan. Yang pasti mereka tahu bergembira sahaja.
“Aku saja cabut dari kotak itu tapi tidak ingin aku baca tulisan dari budak gemuk itu!” sinis Ejam.
Kawan-kawan lain gelak dengan kenyataan yang Ejam lemparkan. Sungguh besar fitnah itu. Hebat mulut Ejam ini kerana boleh tahan juga lasernya. Mereka memang menganggap Irwandi itu seorang yang poyo tapi tidak pernah pula menyuarakannya kerana sekali Irwandi debik maka jatuh terkulai mereka semua. Irwandi seorang gergasi gemuk terulung. Jangan buat lebih kurang nanti sakit berpanjangan. Mereka tidak pernah berani.
“Kalau kau tidak mahu membacanya, kau bagi kami yang baca, mana tahu ada ungkapan sayang-sayang… boleh dijadikan bahan esok… haha!” gelak Borhan yang cukup alergi dengan kelembutan Adam itu.
Minda mereka sudah dipengaruhi oleh Ejam anak si Roslan selaku ketua kampung ini supaya menyampah dengan Adam.
“Mesti si lembut itu sedang menangis di dalam bilik, huuu! huuuu! habis rosak jam tangan yang teman lelaki aku berikan… huu! huuu!..” duga Si Naqib sambil mengejek.
Dia memang tidak sedar diri yang berkulit hitam legam macam arang. Kalau keluar malam pasti orang tidak nampak dan tidak perasaan, manusia ke atau orang minyak agaknya.
Mereka terus tergelak dengan demo yang ditunjukkan oleh Naqib si hitam itu sebentar tadi cuma Joe agak lambat sikit memberikan respons kerana dia akan jadi pekak badak sekiranya tumpuan itu lebih ke arah permainan video di tangannya.
Si kurus kering itu pun terus bangun lalu melangkah mendekati Ejam lalu merampas nota itu. Ejam terkinja-kinja macam monyet.
Nota itu dibuka cepat dan Joe membacanya dengan kuat-kuat.
“Selamat hari lahir buat sahabat saya, Adam. Saya minta maaf kerana tidak dapat meraikan hari lahir awak bersama-sama. Sebelum saya berangkat ke Kuala Lumpur saya telah berikan hadiah ini kepada Ardila supaya diberikan pada awak. Diharapkan ini adalah satu kejutan buat awak, kerana ini merupakan hadiah pertama saya untuk awak yang telah membahagiakan hidup saya dengan celoteh manjamu itu. Saya harap awak suka. Ikhlas dari sahabat awak Irwandi Redzuan.” Joe membaca dengan nada mengejek.
“Dengan celoteh manjamu itu, ayat poyo memang begitu.. suka layan si auw… auw... hahaha!” Borhan mencelah dengan niat menyindir sambil buat-buat lentokkan jari dengan lagak seorang pondan.
Mereka muka macam tongkang pecah. Jangan risau memang tidak laku melainkan Ejam seorang sahaja yang berwajah tampan dan kacak dengan berbadan sasa tapi penakut. Wajah iras-iras Robbie William kerana ayahnya ada darah campuran Inggeris. Rambut Ejam pula sedikit keperangan.
Saat ini mereka gelak besar. Ejam mengembungkan pipinya lalu menghasilkan bunyi dari sisipan itu. Tabiat spontan dilakukannya bagi menahan gelak yang melampau batas kerana dia mudah semput. Kalau curi ayam bukan main laju lagi tidak pula kenal erti semput dengan bau tahi ayam begitu menusuk rongga di dalam reban itu. Setiap minggu pasti ada sahaja ayam kampung yang hilang.
Alasan biasa kalau dibual orang, mereka buat-buat cerita kata dibaham musang. Amboi banyak betul musang berjanggut di kampung ini. Dapat duit terus berjoli dengan melepak di warung-warung dan gelak tawa di sana sambil bergosip. Anak ketua kampung ada hobi yang cukup pelik. Encik Roslan orang senang, memiliki tanah berlot-lot tapi anak perangai seperti manusia bertopeng syaitan. Suka buli budak-budak lemah. Yang selalu jadi mangsa siapa lagi kalau bukan si Adam itu.
“Ejam... itu!” panggil Borhan sambil memuncungkan mulut ke arah Adam yang sedang melenggang di bawah sinar matahari petang bersama payung.
“Hai cik adik manis… dari mana hendak ke mana? Boleh abang tumpang menguratkah? Auw…” ejek Ejam sebaik sahaja Adam melintas di hadapan mereka.
“Fewittt…” bunyi lagak menggoda Naqib.
Adam buat tidak kisah dan meneruskan perjalanannya ke rumah Ardila.
“Marilah lepak dengan kami. Wahai cik adik manis, tidak sudi ke mahu baca apa yang di tangan kami?” ujar Joe sambil melambai-lambaikan nota itu agar dilihat oleh Adam.
Adam masih buat tidak kisah dan menebalkan kesabaran. Dia menganggap semua itu adalah suara-suara sumbang yang tidak perlu diambil berat. Adam yang berbaju warna merah jambu dan berseluar denim warna hitam itu tidak mahu menoleh ke arah mereka.
Ejam terus meluru ke arah Adam dan mengadang laluannya.
“Hei! Tepilah...” pekik Adam yang bersuara lembut. Nada marahnya nampak lembut sahaja.
“Hei! Tepilah…” ajuk Ejam yang masih mendepakan tangan.
Kalau boleh Adam memang tidak mahu langsung menyusuli laluan ini. Dia sudah tahu bahawa di tebing sungai itu adalah tempat Ejam dan rakan-rakannya selalu lepak. Tiada jalan yang lebih dekat lagi untuk dia berjalan kaki untuk ke rumah Ardila kerana basikalnya pancit.
“O... tadi kau bukan main lagi malukan aku depan Cikgu Murni ya..” kata Ejam.
Dia tidak dapat menyudahkan balas dendam pada waktu pulang sekolah tadi kerana dia fikir nanti ada pula orang kampung yang nampak dan akan memberitahu ayahnya tentang insiden membuli Adam.
Kemudian Ejam menarik rakus tangan Adam hingga lelaki yang berperwatakan lembut itu meronta-ronda minta dilepaskan. Kudrat Ejam lebih kuat darinya. Akhirnya dia diseret oleh konco-konco Ejam yang datang dan turut sama mengheret si malang ini.
Sepatu Ejam tertanggal. Amat zalim cara mereka membuli Adam. Insan yang tidak berdosa itu dilemparkan ke dalam sungai. Adam yang tidak tahu berenang itu sungguh bernasib baik kerana Ejam dan kawan sekutunya melempar ke tempat air yang cetek. Habis basah kuyup Adam dibuli mereka yang tidak bertimbang rasa itu.
Adam sebak, selama ini Ejam tidak sekejam ini. Tetapi entah kenapa dia tega menyeksa diri Adam dengan tindakan bodohnya itu.
“Pandan muka kau! Kalau kau berani-berani mengadu, aku tidak akan teragak-agak akan buat lebih teruk lagi..!” ugut Ejam.
“Hoi! Bapuk! Selama ini kau fikir hebat sangatkah bila si gemuk itu ada dengan kau? Sekarang aku mahu tengok sejauh mana kau boleh bertahan sewaktu di dalam kelas nanti...” Borhan mencelah.
Joe dan Naqib hanya ketawa terbahak-bahak melihat Adam yang kebasahan itu.
Adam hanya mampu mengusap wajahnya dan kehilangan kata-kata dek kebiadaban mereka. Adam mencebik namun dia berpura-pura tabah.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)