Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 3)

MEJA Irwandi kosong. Hari ini sudah masuk hari ketiga meja itu terbiar kosong. Sesekali aku menoleh ke kiri seakan Irwandi masih wujud di sebelah aku. Sebelum ini setiap hari di sekolah Irwandi juga tempat aku mengadu. Sekarang aku duduk keseorangan saat rakan-rakan lain duduk berpasangan.
Waktu belajar yang membosankan tanpa sahabat baik yang menemani. Sungguh perit untuk aku menghadapi semua ini. Fikiran aku menerawang jauh. Aku teringatkan bibit-bibit kenangan yang tercipta bersama Irwandi.
“Adam! Tolong selesaikan permasalahan ini..” suruh Cikgu Murni.
Aku gabra dan kaget apabila nama aku dipanggil. Matilah aku! Macam mana hendak aku selesaikan masalah pada soalan Matematik Tambahan di papan hitam itu? Dari tadi fikiran aku telah tersasar jauh.
“Kamu boleh buat atau tidak?” soal cikgu Murni setelah melihat aku bangun dan tercegat sahaja di meja aku dan tidak berganjak pergi ke papan hitam.
“Sudah pasti dia tidak boleh buat, cikgu.. selama ini pun Irwandi yang selalu tolong dia…” Ejam menyampuk, kemudian disusuli dengan tawa rakan-rakan yang lain.
Ingat aku bodoh sangat ke?! Ah! Aku boleh buat, aku yakin aku boleh buat dan aku kena berani diri kerana tidak mahu disebabkan ketiadaan Irwandi akan menjadikan perasaan aku kian parah dan jauh ketinggalan dalam pelajaran, bentak hati ini cuba meyakinkan diri.
Aku merengus geram.
Ejam sempat mengenyit mata ke arah aku. Gila! Dia memang buat aku sakit hati. Selama aku tahu sikap Ejam yang kuat cemburukan Irwandi itu. Dia cemburu dengan kepandaian Irwandi. Dia ingat dia mampu menyaingi kebijaksanaan Irwandi dalam kelas. Ejam tidak sehebat Irwandi? Tapi…Irwandi tidak bersekolah di sini lagi. Hurm… Aku mengeluh hampa.
Aku berani diri melangkah ke depan untuk menjawab soalan itu. Habislah formulanya aku sudah lupa. Macam mana ini? Aku hanya memegang sahaja kapur putih itu tapi masih teragak-agak untuk menjawabnya.
“Saya sudah cakap, cikgu. Gerenti dia tidak boleh jawab punya..” sinis Ejam.
Melampau sungguh Ejam ini. Macamlah dia pandai sangat.
“Kamu ini asyik banyak cakap saja, macam mulut murai.. mari kedepan kamu pula yang jawab,” tempelak Cikgu Murni.
“Saya? Err..” Ejam terkedu apabila dirinya disuruh pula menjawab soalan yang sama.
Ejam cakap banyak, buatnya tidak. Dia sendiri pun tidak mampu menjawabnya. Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih!
Padan muka!
“Alah! Kau pun tidak boleh buat tapi hendak berlagak macam bagus,” cetus aku melepaskan sedikit rasa geram.
Ejam membulatkan matanya sambil menyembunyikan jari-jemarinya. Lagak seperti mahu memukul aku. Kalau berani, datanglah dekat. Depan cikgu atau depan sesiapa pun aku akan lawan balik. Ingat aku takut ke? Aku meyakinkan diri sendiri.

***
Waktu beredar deras. Tiba waktu pulang ke rumah. Aku melangkah sendiri tanpa teman, kecuali Ardila.
“Adam! Tunggu…” pekik Ardila.
Dia memanggil aku tika aku sedang melangkah usang keluar dari pintu pagar sekolah. Lantas aku menoleh ke belakang. Aku nampak dia berlari-lari anak sambil menggalas beg. Aku pula hanya mengenakan beg yang disangkutkan di bahu sahaja. Aku suka beg sekolah jenis begini. Mudah...
“Amboi kau, Adam, melenggang sampai tidak tunggu aku…” sindirnya setelah dia menghampiri aku yang sedang mematikan langkah.
“Mana hendak perasan, selama ini kau tidak pernah mahu ikut aku pun…” kata aku ala-ala merajuk.
Ardila mengerling.
“Jangan cakap begitu Adam, kau ini sensitif sangatlah...” ujar Ardila sambil mencuit lengan aku.
Perjalanan yang terhenti sebentar tadi kini diteruskan dengan beriringan bersama Ardila.
“Entahlah…” jawab aku sepatah.
Kemudian aku menoleh ke arah Ardila yang sedang mengambil sesuatu dari begnya. Apa benda yang ingin dicari di dalam beg buruk dia itu.
“Erm, Adam...” ujarnya dengan nada meleret menyebut nama aku.
“Ya...” balas aku perlahan.
“Aku mahu sampaikan amanah orang...” katanya.
Amanah? Ardila buat aku kaget. Apa pula yang hendak disampaikan oleh Ardila sekarang ini? Sekejap aku berkerut dahi. Otak aku ligat menelaah apa yang bakal ditunjukkan oleh Ardila.
“Sepatutnya dari tadi lagi aku berikan ini untuk kau, tapi memandangkan ia adalah sulit jadi aku tunggu waktu balik sahaja. Ingat mahu kasi di rumah kau saja pada petang nanti, tapi kau tahulah ayah aku tu dia tidak suka aku merayau..” kata Ardila dengan panjang lebar sambil menghulurkan kotak hadiah kepada aku.
Aku begitu teruja ingin mengetahui tujuan sebenar kotak hadiah itu. Dari siapa dan untuk apa? Mustahil aku ada peminat misteri. Tapi kalau benar macam mana? Aku menelaah sendiri. Pelbagai telahan berlagu hairan.
“Hadiah apa ini, Dila?” Aku menggaru kepala.
“Yang ini untuk kau, dari aku dan yang ini pula dari Irwandi…” ujar Ardila sambil menghulurkan dua kotak hadiah yang dibungkus itu. Berbeza saiznya.
Ardila punya agak kecil sedikit berbanding dengan hadiah yang dikatakan dari Irwandi itu. Cuma aku tertanya-tanya untuk apa. Kemudian segera lidah aku menyusun kata dan mengucapkannya.
“Untuk apa?” tanya aku lagi.
“Selamat hari jadi, Adam…” ucap Ardila sambil tersenyum lebar.
Aku kaget. Hari jadi aku rupanya. Wah! Ada orang setia mengingatinya walaupun aku tidak pernah mempedulikan tentang tarikh kelahiran aku sendiri namun masih terdapat insan yang mahu menghargai aku. Sungguh terharu rasanya.
Sebaik sahaja hadiah itu mahu dihulurkan kepada aku, tiba-tiba ada satu tangan menggapai dan meragut kotak hadiah berkenaan dari tangan Ardila. Mata aku membulat kerana tiba-tiba aku dan Ardila dikerumuni oleh sekumpulan pelajar nakal di luar kawasan sekolah.
Budak-budak nakal ini adalah kawan Ejam. Konco-konco dia mengganas dengan menolak badan aku dan begitu juga dengan Ardila yang ditarik-tarik tudungnya.
“Hei! Kenapa dengan kamu semua ini?!” marah Ardila yang mula membulatkan mata.
Aku menyentap kuat tangan gara-gara dipegang oleh Ejam.
“Beri balik hadiah itu...” aku minta dan merayu.
Nampaknya aku dan Ardila dibuli rakus.
“Haha! Kau mahukan ini, ya? Cubalah ambil...” balasnya dengan nada menyindir.
Lantas aku cuba mengambilnya semula namun sia-sia. Hadiah itu dilempar pula ke arah rakannya. Begitulah seterusnya. Aku letih mengejarnya.
Tidak berapa lama kemudian mereka mengembalikannya semula padaku tetapi segala isi di dalamnya telah musnah dipijak-pijak mereka. Kejam! Kejam! Kenapa aku diperlakukan seperti ini?!
Hadiah hari jadi buat aku dari Irwandi. Dia titipkan kepada Ardila untuk diberikan pada aku bila sudah tiba  saat ini. Mungkin dia ingin membuat kejutan dan tidak aku sangka Irwandi mengingati hari lahir aku. Tapi malangnya jam tangan untuk aku sebagai hadiah hari lahir aku itu telah rosak. Aku seperti mahu menjerit sekuat hati.
“Sabar Adam, aku yakin satu masa nanti mereka akan dapat pengajaran. Pergi jahanam dengan mereka itu!” marah Ardila setelah cuba menenangkan perasaan aku.
Tanpa disedari air mata ini bergenang lantas ia terus mengalir deras. Aku teresak-esak sambil melutut di bahu jalan. Ardila memujuk aku supaya segera bangun. Kawan ini menyabarkan aku dengan menggosok perlahan belakang ini supaya aku bertenang.
Durjana! Bentak hati aku memaki hamun Ejam dan kawan-kawannya. Sungguh biadab mereka mengganggu aku dan Ardila. Tidak pernah mereka berputus asa menyakiti aku. Dari awal sampai sekarang.
Harapkan muka dia saja nampak polos tapi perangai macam pocong! rungut hati aku yang semestinya sudah lama menyimpan geram yang terbuku sekian lama namun aku harus bersabar. Pesan ibu, aku kena kuatkan semangat dan tebalkan kesabaran semampu yang boleh kerana kesabaran itu adalah sebahagian daripada iman.
Aku memang sedang bersabar, tapi setelah Ardila memberi tahu aku bahawa ada sekeping nota yang dilipat kemas pada bahagian kotak hadiah itu telah diambil oleh Ejam. Ini yang membuatkan aku mengepal tangan dan mahu debik muka Si Ejam itu. Biar lebam biji mata dia.
Tuhan saja yang tahu tentang perasaan aku di kala ini. Menangis tidak berlagu. Bedebah kau Ejam!

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.