Entri Terkini :

E-Novel : Takdir Atau Pilihan (Bab 2)

KEBAHAGIAAN  di dalam hidup aku seakan hilang walaupun petang ini aku diajak ke pantai untuk meninjau orang-orang yang sedang mandi-manda di sana. Mungkin Irwandi mahu menghabiskan sisa waktunya di sini bersama aku dan diri ini tidak mengharapkan yang sedemikian akan berlaku.
Sebelum tiba di sana, aku meminta sedikit waktu untuk menunaikan solat Asar di surau. Saat ini azan telah pun berkumandang. Laungan azan yang cukup indah, menjengah di telinga ini dan ia mengingatkan aku tentang kisah Bilal Bin Rabah. Insan mulia yang diangkat tinggi darjatnya oleh ALLAH SWT.
Lelaki mulia itu telah melaungkan azan pertama di atas Kaabah. Merdu suaranya menyebut kebesarkan ALLAH dan menyeru sekalian umat mengerjakan solat. Itulah kisah yang diceritakan pada aku ketika di sekolah rendah dulu oleh seorang ustazah.
Selepas aku dan Irwandi berangkat pulang dari surau di sekolah ini. Kala ini aku dan dia gerak bersama di tempat yang di ajak oleh Irwandi.
Irwandi memandang aku dan aku membalas pandangan itu. Aku dan dia saling berpandangan. Dia seperti ingin katakan sesuatu. Aku biarkan dia memulakan dulu kata-katanya.
“Saya tengok awak ketika di dalam kelas tadi seolah-olah tidak ada semangat, kenapa?” Akhirnya Irwandi menyoal di saat aku dan dia berjalan sambil beriringan selepas turun dari basikal menuju ke pesisiran pantai.
Kenapa dia harus tanya soalan bodoh itu?! Bukannya dia tidak tahu bahawa aku sekarang sedang bersedih hati kerana dia akan meninggalkan aku! Aku menyumpah seranah diri ini kerana bersedih hati mengenangkan dia akan melangkah pergi ke Kuala Lumpur pada hari esok.
Sebabnya awak akan tinggalkan kampung ini..tapi tidak mengapa kerana kita akan berjumpa lagi nanti,” Bodohnya aku kerana melafazkan kata seperti itu yang seperti merelakan dia pergi. Hakikatnya aku membohongi hati sendiri.
Mata dia merenung ke dalam mata aku. Aku lihat ada sinar di sorotan matanya yang kemudian berkelip pantas. Dia mahu menangis ke? Pelik! Lelaki jangan menangis nampak buruk! Tolong jangan buat aku bersedih! Tubir matanya bergenang. Wei! Aku yang patut menangis bukannya dia. Mata dia merah dan berair.
“Cepat tolong tiup mata saya ini, tolonglah pedih sangat.. habuk telah masuk dalam mata saya..” Rupanya habuk masuk dalam matanya aku ingat dia bersedih kerana akan tinggalkan aku. Hmm…
Aku cepat-cepat memegang lehernya dengan lembut dan meniup deras ke dalam matanya. Usai itu dia menenyeh biji matanya berulang kali sambil tertunduk. Habuk yang diterbangkan sang angin tadi telah melanggar matanya. Kasihan.
“Apa yang awak rasa sekarang?” Tanya aku setelah melihat dia mengaduh pedih.
“Okey! Okey!.. errr saya sudah okey,” balasnya laju.
Irwandi menegakkan semula badannya. Aku pula menoleh ke arah sang ombak yang menghempas pantai. Tiupan angin di sini sungguh mengasyikkan. Orang ramai sedang seronok berenang-renang dengan pelbagai skill. Ada kuak lentang, kuak dada dan cara duyung berenang pun turut dipersembahkan. Sungguh kreatif budak-budak kampung aku ini.
“Awak.. tengok sana!” pekik Irwandi sambil menghulurkan tangannya menunjukkan arah yang patut aku heret pandangan ini ke situ.
Aku nampak ada seorang mak saleh sedang menunggang kuda. Hebat gaya yang dipersembahkan. Aku sungguh tertarik dan teringin juga hendak menunggang kuda seperti itu.
“Seronoknya kalau dapat naik kuda..” desis aku.
“Memanglah seronok tapi kalau kuda itu tidak reti bahasa aniaya kita dibuatnya..” balas Irwandi selamba. Lantas aku menoleh ke arahnya dengan kening aku terangkat.
Aku tidak puas hati dengan kata-kata Irwandi itu. Bukannya mahu beri harapan untuk aku supaya suatu hari nanti aku dapat menunggang kuda.
“Kenapa pula hendak aniaya, okey apa dapat naik kuda..satu pengalaman yang menarik” balas aku.
“Awak tunggang lembu pun tidak lepas, ada hati mahu tunggang kuda, hahaha!” kata Irwandi dengan penuh sinis sambil menggila tawa.
Perlukah aku tunggang lembu?! Geramnya aku rasa! Mahu sahaja aku debik dada dia. Tapi tidak boleh, nanti dia sakit pula.
Aku dan Irwandi melabuhkan punggung di atas pasir pantai sambil menikmati panorama ciptaan Tuhan yang Maha Esa. Deruan sang ombak membisikkan kata rindu yang bakal aku tanggung nanti. Aku melepaskan satu keluhan yang sarat dengan bebanan. Irwandi terus menoleh lantas dia terus mengubah kedudukannya dan duduk menghadap aku. Saat ini Irwandi duduk berdepan dengan aku sambil membelakangi laut.
“Awak tengok mak saleh itu..” kali ini aku pula yang terpekik.
Irwandi terus mengalih pandangan dengan mengikut arah muncung mulut ini. Aku dan dia dapat melihat satu pertunjukan sarkas yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Mak saleh itu hilang kawalan. Kudanya menggila masuk ke dalam laut. Agaknya sudah sebulan kuda itu tidak dimandikan dan teringin untuk turut serta dalam arena sukan renang di laut.
Irwandi ketawa terbahak-bahak. Aku juga begitu. Lawak sungguh. Naik kuda pun boleh buat orang jadi tidak keruan. Betul kata Irwandi kalau kena kuda yang tidak reti bahasa alamatnya begitulah jadinya. Kasihan mak saleh itu terpaksa melompat terjun ke dalam air bersama kuda kesayangannya.
Aku fikir mesti dia sedang memaki hamun kudanya itu kerana telah mengaibkan dirinya selaku penunggang kuda profesional tahap dewa lagaknya.
Aku betul-betul terhibur meskipun perasaan ini masih bersisa resah. Aku meminta agar Irwandi selalu menghubungi aku melalui surat apabila dia sudah di Kuala Lumpur nanti.
“Wan...” panggil aku lembut.
“Ya Adam,” balasnya sambil merenung ke dalam mata aku.
“Masa awak di Kuala Lumpur nanti, jangan lupa kirim surat, tahu?” pesan aku.
Betul-betul aku mengharapkan darinya walaupun sepucuk surat. Aku tidak mahu banyak, cukuplah hanya sepucuk surat sahaja dalam seminggu. Wah! Kalau sebulan aku mesti menerima empat pucuk surat. Laratkah Irwandi mengirimnya? Bengap! Benda mustahil untuk dilakukan Irwandi. Kenapa aku perlu meminta dia berbuat begitu.
“Janganlah risau, bukan sahaja surat, malah bom atom pun saya akan kirimkan,” Irwandi cuba menghiburkan hati ini.
“Bom atom untuk buat apa?!” tanya aku kaget.
“Supaya awak dapat letupkan rumah Si Ejam itu, biar dia merana sebab selalu buli awak..” hebat! Kalaulah boleh aku berbuat begitu sudah lama aku letupkan rumah lelaki itu. Tapi di manakah dia akan dapatkan bom atom itu? Teruklah Irwandi ini. Buat lawak bodoh pula.
Petang itu terisi dengan gelak dan tawa sahaja tatkala aku cuba mengusir keresahan. Irwandi terpaksa bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 8 malam ini. Aku tidak sanggup melihat dia pergi. Aku akan berkurung di bilik sahaja. Aku tidak rela. Tidak!

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.