“ADAM! Cepat tolong mak di dapur ini,” Aku dengar ibu memanggil aku berulang kali. Kerja sekolah tidak dapat aku siapkan buat ketika ini.
“Sekejap mak, Adam datang ini..” Aku menyahut panggilan ibu.
Segera aku tinggalkan meja tulis itu dan segera mengayun langkah mendapatkan ibu yang berada di ruang dapur. Rasa tenang menghuni jiwa ini tatkala aku telah pun menunaikan kewajipan aku.
Biarpun kerja sekolah aku belum disiapkan namun aku mesti patuh pada ibu aku sendiri. Aku tidak mahu menjadi anak yang menderhakai orang tua. Sesungguhnya menderhakai orang tua Neraka tempatnya. Aku sentiasa ingat pesan ustaz.
Aku mencepatkan langkah supaya ibu tidak terpekik lagi. Kalau aku lambat-lambatkan nanti ibu akan meradang, maklumlah ibu hanya ada aku sahaja di rumah ini. Akulah satu-satunya anak tunggal ibu. Ayah…erm..
Ayah aku sudah lama meninggal dunia, akibat kemalangan jalan raya. Masa itu aku memang tidak mengerti apa-apa pun. Baru berusia tujuh tahun. Kala itu aku sedang seronok main masak-masak dengan kawan-kawan. Walaupun ayah sudah tidak ada lagi namun aku masih terasa kehilangannya. Ayah aku belikan apa sahaja yang aku minta. Kadangkala ada juga perkara yang dia tidak dapat belikan untuk aku.
Ketiadaan ayah merupakan satu kekurangan dalam kehidupan aku. Aku sedar bahawa ini adalah ketentuan ILAHI. Demi ALLAH, aku sayang ibu. Demi ALLAH aku cinta ayah. Dan demi ALLAH jua, segala-galanya. Dia Maha Agung. Apa yang berlaku adalah kehendak-Nya. Dia Maha Mengetahui.
Aku redha, dan aku berjanji dalam diri aku akan menjadi seorang anak yang taat. Anak yang boleh dibanggakan oleh ibu. Seorang anak yang akan menjaga ibu di hari tua. Aku berdoa pada ALLAH supaya aku dan ibu sentiasa dalam pelukan rahmat-Nya.
Kaki aku sudah menjengah ke ruang dapur, dan aku melihat ibu sedang menyiapkan makan malam. Sepatutnya dari tadi lagi aku membantu ibu, namun oleh sebab kerja sekolah yang masih berlambak untuk aku siapkan, maka aku terpaksa tangguhkan.
“Mak masak apa ini..?” Aku bertanya sekilas memandang wajah ibu.
“Mak mahu masak sambal tumis, Adam tolong mak mayangkan bawang itu,” pinta ibu.
Aku mengangguk patuh.
Bawang aku mayangkan dan cili juga aku potong kecil-kecil. Apa lagi? Hah! Minyak masak aku tuang ke dalam kuali dan aku tumis bawang-bawang itu. Hebatnya aku sudah pandai memasak.
Dari kecil lagi aku memang selalu tolong ibu memasak. Aku boleh masak lauk pauk istimewa untuk ibu aku. Hanya ibu aku seorang sahaja yang sudi menjamah masakan aku. Bagi aku pula, resipi ibu merupakan yang paling enak di hati aku.
Buku-buku resepi selalu aku beli dan aku belajar dari buku-buku tersebut untuk mengetahui resipi-resipi baru. Aku suka mengkaji sesuatu yang baru. Bukan untuk menjadi seorang chef tapi untuk menjadi diri sendiri. Selain itu buku-buku agama turut menjadi rujukan buat aku. Dari bukulah aku dapat pengetahuan. Kalau ada sebarang kemusykilan, aku pasti akan bertanya pada ustaz dan pada mereka yang arif.
“Kerja sekolah sudah siap ke, Adam?” Aku menggeleng setelah ibu bertanyakan tentang kerja sekolah itu.
Tidak mungkin kerja sekolah aku dapat disiapkan sepantas yang boleh kerana aku sukar untuk membuat kiraan yang tepat dalam subjek matematik itu. Soalannya payah!
“Adam belajar elok-elok, buktikan pada mak yang anak kesayangan mak ini boleh berjaya..” Ibu membakar semangat juang aku.
Ibu memang mengerti aku. Dia sayang aku dan begitu juga aku. Aku juga ada seorang kawan yang aku sayangi. Dia adalah Irwandi Redzuan. Dia seorang sahaja yang setia bersahabat dengan aku semenjak di bangku sekolah rendah lagi sampai ke peringkat menengah.
Untuk menjaga hati sahabat bukan sesuatu yang enteng. Aku mempertaruhkan hati dan perasaan aku sendiri. Kala dia menyepi pasti aku akan terasa sunyi. Kalau dia marah aku akan berasa takut dan kalau dia sedih, aku turut merasai kesedihannya.
Aku sayangkan Irwandi dan aku tidak mahu kehilangan sahabat baik aku. Saat aku buntu, dia hadir membantu tatkala anak-anak lain sibuk mencaci aku. Ya! Aku cukup sedar! Aku remaja yang lemah lembut dan aku gemalai bagai sotong! Bukan aku yang mahu jadi begini dan aku langsung tidak mengharapkannya. Tolonglah mengerti!
Saban hari aku menangis sendiri di dalam bilik, tiada siapa yang mendengarnya walaupun pada ibu sendiri. Kata-kata cacian dan penghinaan dari masyarakat menjadi tohmahan pedas buat diri ini. Terngiang-ngiang di cuping telinga dan masih terasa hangat.
“Budak lembik hendak main bola?! Haha!” Mereka ketawakan aku ketika subjek Pendidikan Jasmani di sekolah.
“Boleh ke dia tendang bola?” balas salah seorang dari mereka iaitu Ejam.
“Hei! Jangan buli dia! Kalau kamu semua sentuh dia, nahas!” tegas Irwandi mempertahankan aku.
Mereka semua terdiam kerana takutkan Irwandi kerana dia anak polis. Tatkala aku bersama dengan Irwandi, aku berasa sungguh selamat.
Mereka sindir aku. Aku cuba menahan kata-kata itu dari terus mengetuk dinding hatiku tetapi perasaan ini telah dirobek-robek rakus. Namun aku tetap tebalkan kesabaran sehinggalah Irwandi datang membantu aku.
Entah kenapa Ejam bersikap begitu dengan aku. Apa dosa aku? Setahu aku, tidak pernah aku buat salah dengan mereka. Menyakitkan hati mereka jauh sekali apatah lagi untuk menjentik telinganya.
Kala fikiran aku menerawang jauh, aku melepaskan keluhan yang mata berat. Keluhan itu didengari oleh ibu.
“Kenapa ini? Adam menangis ke?” soal ibu setelah melihat garis-garis gusar di wajah aku.
“Tidak ada apa-apalah mak, asap dari kuali ini telah membuatkan mata Adam jadi sangat pedih.” Alasan aku kena dengan situasi biarpun tubir mata sudah berkaca jernih dek terkenangkan apa yang telah berlaku.
Betapa aku kini begitu sensitif dan mudah bergenang air mata meskipun aku sering kali cuba untuk tabah. Tahukah mereka bahawa sukarnya untuk aku berpura-pura tabah? Payah untuk menyembunyikan perasaan sebenar.
Aku sudah tidak punya ayah menjadi tempat untuk aku mengadu sekali gus ingin merasakan benar-benar selamat. Aku perlukan kasih sayang seorang ayah. Mereka tidak pedulikan itu semua. Tidak ambil tahu langsung soal hati aku yang terseksa dan kian parah ini melainkan Irwandi seorang sahaja.
“Assalamualaikum..” tiba-tiba aku terdengar suara seseorang mengucap salam dari luar rumah.
“Walaikumussalam,” serentak aku menjawab dengan ibu.
“Itukan suara Irwan, bolehlah jemput dia makan malam dengan kita sekali,” kata ibu seraya memandang aku yang masih memegang sodek.
Aku mengangguk pasti dan sememangnya aku tahu itu adalah suara milik Irwandi. Tapi aku tidak tahu tujuannya datang ke rumah aku pada malam ini. Dia sedia maklum bahawa aku tidak dibenarkan keluar rumah pada waktu malam. Jadi, sekiranya dia mahu bertemu dengan aku, maka dia mesti datang ke rumah.
Lazimnya kalau ada kerja sekolah yang banyak untuk disiapkan bersama-sama, dia akan datang setelah berjanji, tapi pada saat ini dia telah datang tanpa berjanji terlebih dahulu. Hal ini amat menghairankan aku.
Aku meminta izin dari ibu untuk menjengah ke luar. Dan ibu mengangguk tulus. Lantas aku segera melangkah dengan perasaan yang gembira namun masih terselit rasa hairan.
***
AKU benar-benar kaget dengan apa yang Irwandi katakan dan aku harap ia tidak benar. Bohong dan sengaja ingin membuatkan aku rasa tidak keruan. Tolonglah Irwandi jangan tinggalkan aku.
Hati aku merayu-rayu untuk tidak ditinggalkan. Aku tidak sanggup berdepan dengan kawan-kawan yang selalu mengejek aku. Seandainya Irwandi terus berada di sini, aku terasa dilindungi dari panah penghinaan. Irwandi seperti perisai buat aku. Cacian dan hinaan selama ini seakan melumpuhkan semangat aku dan tidak dapat ditepis dengan seorang diri melainkan Irwandi ada di sisi. Namun sekiranya benar Irwandi akan bertukar ke sekolah yang baru, maka ini adalah satu mimpi ngeri buat aku.
Seorang sahabat baik bakal berpindah ke sekolah lain. Aku kaku di birai tangga. Aku termangu di situ sekilas memandang wajah Irwandi dengan pandangan yang hambar sekali. Tidak putus-putus aku mengeluh. Dihela nafas sedalam yang boleh dan dilepaskan perlahan. Irwandi sedar keadaan aku yang sedang gelisah.
“Wan, kenapa awak tidak kekal bersekolah di sini saja Wan, awak boleh tinggal di rumah mak saya ini..” usul aku kerana Irwandi juga berat untuk berpindah ke sekolah lain jauh nun di Kuala Lumpur kerana ayahnya ditugaskan bekerja di sana. Di Bukit Aman.
Hingga ke tahap itu pun aku masih tidak merelakannya. Mengusulkan perkara yang amat mustahil untuk Irwandi lakukan.
“Sudah puas saya pujuk ayah saya untuk tinggal dengan nenek saja, tapi…” katanya dengan nafas yang tersekat-sekat dan aku agak memang tidak akan dapat berbuat sedemikian.
Berat sungguh hati aku. Beban rindu pasti berpusar hebat setelah ketiadaan Irwandi nanti dan aku tidak dapat membayangkannya. Aku mungkin tidak akan seteguh karang lagi kerana urat nadi aku akan hilang. Dunia ini aku rasa bagaikan terhenti. Sebenarnya diri ini tidak mahu masa indah berlalu pantas. Kalau aku dapat memutarkan kembali masa-masa itu pasti aku ingin kekal bersahabat dengan Irwandi.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)