DATUK Zulhasri bersama isterinya iaitu Datin Azizah tidak sabar-sabar menunggu ketibaan Mukriz. Datin Azizah bersungguh meminta anaknya itu datang bertemu mereka kerana ada hal yang hendak dibincangkan. Tidak beberapa lama kemudian si teruna itu sampai ke rumah orang tuanya.
“Assalamualaikum, mama..papa..” ucap Mukriz sambil bersalam dengan mama dan papanya itu.
Setelah salam yang dihulurkan itu disambut baik oleh kedua orang tuanya, Mukriz terus menghenyakkan punggungnya di sofa seraya menatap kedua-dua wajah itu dengan pandangan yang cukup ceria.
“Bibik…!” Datin Azizah memanggil orang gajinya.
Datuk Zulhasri menekup telinga kerana si isteri menjerit terlalu kuat di sebelahnya itu.
Usai itu orang gaji pun tergesa-gesa datang sambil membawa sebatang penyapu bersama. Seperti mahu menghalau kucing lagaknya.
“Ya Datin..” sapa pembantu itu setelah dirinya dipanggil.
Datin Azizah menoleh ke arah orang gaji itu dengan pandangan yang cukup kaget.
“Kalau ya pun, penyapu tu jangan bawak sekali, macam nak pukul orang aje,” tegur Datin Azizah.
Datuk Zulhasri hanya tersengih manakala Mukriz menahan gelak. Dia faham benar sikap orang gaji mama dan papanya itu. Memang selalu gabra kalau mamanya terjerit-jerit memanggilnya. Mesti kelam kabut jadinya.
“Maaf Datin, tadi saya lagi bersih lantai di dapur,” ujar orang gaji itu sambil terangguk-angguk.
“Buatkan minuman untuk Mukriz,” pinta Datin Azizah.
“Baik Datin...” patuh orang gaji.
Selepas itu Datin Azizah menoleh semula ke arah Mukriz sambil mencuit peha Datuk Zulhasri. Si suami seakan mengerti bahasa isyarat antik itu. Dan terus Datuk Zulhasri bersuara perlahan.
“Awaklah yang cakap,” desis Datuk Zulhasri sambil mengerling mata ke arah Mukriz.
“Aih mama.. papa.. kenapa main cuit-cuit ni, kata ada benda penting nak bincang dengan Riz, apa dia?” soal Mukriz yang tidak sabar-sabar ingin tahu sementara mama dan papanya main tarik-tarik tali dengan cuit mencuit.
“Aduh…sakitlah,” adu Datuk Zulhasri setelah pehanya dicubit oleh Datin Azizah.
Menyeringai Datuk Zulhasri.
“Baiklah, biar saya aje yang cakap, nak harapkan awak haram takut dengan anak...” marah Datin Azizah.
“Eh! Apa kena dengan mama ni papa, pelik je…?” soal Mukriz kaget dan terus bersandar.
“Sejak kebelakangan ni mama kau ni memang ada sindrom gatal tangan, asyik nak mencubit dan mencuit je kerjanya,” seloroh Datuk Zulhasri.
Mukriz ketawa.
Datin Azizah mencemikkan bibirnya.
“Ini airnya, Datin,” celah orang gaji yang membawakan minuman dan terus diletakkan di atas meja.
“Terima kasih,” ucap Datin Azizah.
Kemudiannya orang gaji itu berlalu tapi malangnya tersadung di kaki sofa menyebabkan dia kaget dan terus terjatuh. Cepat-cepat dia bangun sambil menoleh deras ke arah Datuk, Datin dan Mukriz dengan mulut yang melompong. Orang gaji itu menahan malu dan terus tergesa-gesa meninggalkan mereka di ruang tamu. Mukriz pekup mulut.
“Dah dah, jangan nak ketawa pulak, kamu dah tahu orang gaji tu macam tu, tak baik gelak dia, Riz…” tegur Datuk Zulhasri.
Datuk Zulhasri mengerling sahaja melihat telatah anaknya yang tiba-tiba sahaja ketawa lucu. Pantang ada benda yang tidak kena pasti terlebih dahulu ketawa.
“Mana ada gelak pa,” nafi Mukriz yang masih tersengih.
“Nampaknya kita kena cari orang gaji barulah lepas ni...” ucap Datin Azizah selepas orang gajinya meluru deras ke dapur. Malu agaknya.
“Okey berbalik pada tujuan asal, apa yang hendak dibincangkan?” Mukriz mengingatkan mama dan papanya itu.
“Erm… minum dulu..” pelawa Datin Azizah.
Mukriz mengambil cawan berisi air kopi o panas itu lalu dihirup perlahan-lahan. Usai itu diletak semula di atas meja.
“Sedap?” soal Datin Azizah.
Mukriz mengangguk.
“Kalau ada seseorang yang istimewa buatkan air untuk Riz mesti lagi sedap kan?” kias Datin Azizah.
Mukriz mengangkat kening. Dia cuba mentafsir kiasan mamanya itu. Akhirnya dia dapat menduga sesuatu tapi dia buat-buat tidak faham.
“Apa maksud mama?” Mukriz menyoal deras.
“Maksud mama kamu tu adalah berkaitan soal kahwin, bila kamu nak kahwin? Umur dah kamu dah makin meningkat, mama dan papa pun makin tua...” Datuk Zulhasri mencelah menyampaikan maksud yang sebenarnya.
“Kahwin?!” Mukriz tersentak.
“Kenapa terkejut? Mama teringin nak tengok kamu naik ke jinjang pelamin, sebab kamu adalah satu-satunya anak lelaki tunggal kami. Kami nak menantu perempuan, Riz,” ucap Datin Azizah tatkala Mukriz membulatkan mata dengan mulut yang terlopong.
“Dengan siapalah Riz nak kahwin ma…Riz belum bersedia lagi, banyak kerja nak kena diuruskan dulu, tu kerja di pejabat tu berlambak ma... Riz tak ada masa dan kalau ada jodoh nanti Riz kahwinlah, mama janganlah risau…” Mukriz memberi alasan.
Datin Azizah dan Datuk Zulhasri berpandangan sesama sendiri kemudian Datin Azizah menoleh ke arah Mukriz.
“Sampai kami dah tak ada di dalam dunia ini baru kamu nak kahwin ke Riz?” duga Datin Azizah.
“Apa yang mama merepek ni? Ala ma.. benda macam ni pun mama dan papa nak ambil kisah, kalau dah sampai seru Riz akan kahwin… soal ajal, maut dan jodoh tu kan di tangan Tuhan...” kata Mukriz.
Datin Azizah memang nampak agak tidak berpuas hati bila Mukriz membantah cakapnya. Pening kepala memikirkan anak lelakinya yang seorang ini.
“Memang Tuhan dah tentukan.. tapi kalau kamu tak cari jodoh kamu tu pasti tak akan dapat, jodoh tak akan turun dari langit dan jatuh di riba kamu tu… dah!! mama telah buat keputusan…” ucap Datin Azizah.
Mukriz memandang ke arah papanya kemudian pandangannya kembali tertumpu pada raut wajah mamanya pula.
“Keputusan apa pulak ni ma..? please ma, jangan aturkan hidup Riz…papa… ” Mukriz merayu dan terus memandang papanya untuk mendapatkan sokongan.
“Kamu dan Dania dah lama berkawan, jadi kami nak jodohkan kamu dengan anak gadis Datuk Risham tu.. bila kamu berdua kahwin nanti, hubungan korporat papa kamu ni semakin kukuh, sekali gus Wisma Wasadi juga akan bertambah maju...” tegas Datin Azizah.
Mukriz kehilangan kata-kata. Dia jadi serba salah dan tidak keruan. Dihela nafasnya dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan.
Sukar sungguh membuat bantahan terhadap harapan kedua orang tuanya. Keadaan ini membuatkan dirinya tertekan. ‘Macam mana ni? susah sungguh aku nak elak…tak sangka pula papa dan mama aku bincang mengenai hal perkahwinan…’ detik hati Mukriz.
Datin Azizah terus bangun dari sofa. Dengan wajah yang tidak puas hati itu dia merenung tajam ke arah Mukriz. Datuk Zulhasri hanya memerhatikan sahaja. Hendak menghalang, tahu sahajalah sikap Datin Azizah… pantang mendapat bantahan maka mula buat muka.
“Mama tak kira! Walau apa pun yang terjadi, mama nak Dania jadi menantu mama!” tegas Datin Azizah sekali lagi.
Berkerdip-kerdip mata Mukriz memandang mamanya yang terus berpaling dan melangkah deras naik ke tingkat atas. Ekor mata Mukriz tidak kalih dari terus memandang mamanya hingga kelibat mamanya hilang.
Mukriz menoleh kepada papanya. Begitu juga dengan papanya terus mengangkat punggung. Dia berharap papanya dapat membantunya dalam soal ini.
“Papa…” panggil Mukriz.
“Pandai-pandai kamulah Riz, papa sebenarnya tak kisah siapa pun pilihan kamu…” ujar Datuk Zulhasri.
Dia sebenarnya tidak kisah dengan sesiapa pun anaknya mahu menikah. Dia tidak suka memaksa namun Datin Azizah yang beria-ia sangat mahu mengatur hidup Mukriz.
Mukriz memang tidak dapat berfikir apa lagi sekarang ini. Dia memang kosong pada kelibat ayahnya yang turut melangkah naik ke atas.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)