SUASANA di dalam Wisma Wasadi begitu sibuk. Pekerja-pekerjanya tergesa-gesa menyiapkan tugasan masing-masing. Ini adalah kerana Mukriz akan tiba dalam masa 10 minit lagi. Suraya pula kelihatan kelam kabut ketika mengaturkan jadual kerja bosnya pada hari ini.
Mesyuarat ahli lembaga pengarah akan diadakan sekejap saja lagi. Namun kebanyakan pekerja-pekerja lain belum menyiapkan kerja-kerja yang disuruh oleh bosnya. Sudah lama waktu diberikan namun masih belum diselesai. Habislah mereka kali ini.
Sejurus kemudian kelibat Amran berlari-lari menuju ke ruang mejanya sambil berkata,
“Bos dah datang!” sebaik sahaja dia melihat dari jauh kelibat Mukriz.
Keadaan yang kelam kabut sebentar tadi telah kembali senyap secara tiba-tiba. Semuanya bergegas ke meja masing-masing hanya Suraya sahaja yang terus meluru ke muka pintu masuk untuk menjemput Mukriz.
“Selamat pagi bos,” sapa Suraya sebaik sahaja pintu tersebut terbuka secara automatik.
“Pagi…” balas Mukriz dengan berwajah ceria.
Namun wajah itu bakal berubah bila-bila masa sahaja apabila dia mengetahui bahawa kerja yang disuruhnya itu belum disiapkan oleh pekerjanya.
“Bos! pagi ni bos ada mesyuarat dengan ahli-ahli lembaga pengarah, kemudian bos ada appointment dengan pengurus Syarikat Putera Holding pada pukul 11 pagi, selepas itu pada tengah hari bos akan makan bersama dengan Dania.” ujar Suraya dengan deras sambil membelek fail catatannya .
Sebaik mendengar perkara yang terakhir itu dia membuka tapak tangannya selepas di angkat.
“Nanti-nanti! Makan tengah hari bersama Dania?” tanya Mukriz.
“Ya.” Glurp! balas Suraya dengan menelan deras air liurnya.
Kening kanan Mukriz diangkat. Dia terfikir, ‘bila masa pula aku ada temu janji untuk makan tengah hari dengan Dania ni… Hurm…’ keluhnya.
“Awak batalkan makan tengah hari itu dan gantikan dengan waktu tidur saya. Sebab saya dari malam tadi tidak dapat melelapkan mata.” tegas Mukriz.
Dia menolak serta-merta janji yang dibuat entah dari siapa itu. Tiba-tiba sahaja setiausahanya mencatatkan perkara sedemikian.
“Tapi bos, inikan temu janji yang diaturkan oleh Datin Azizah, mama bos.” balas Suraya dengan berkerut dahi.
“Apa? Mama I?” Mukriz terkejut.
Suraya mengangguk deras, mungkin dia berasa takut dengan Mukriz.
“Tak tak tak! saya tak peduli, awak batalkan saja!” balas Mukriz dengan keras.
“Tapi bos...”
“Tak ada tapi-tapi lagi! Awak tu bekerja dengan saya, bukan dengan mama saya, dan satu lagi, kalau ada hal yang berkaitan dengan Dania, tolong jangan inform apa-apa pada saya kerana saya tidak mahu ada kaitan dengan dia, faham!” bentak Mukriz.
Kemudian dia terus meluru masuk ke ruang pejabatnya meninggalkan Suraya terpinga-pinga. Pekerja lain berpandangan sesama sendiri. Ada di antara mereka menggosok-gosok dada sendiri. Ada pula yang berkerut dahi melihat Suraya kena marah sebentar tadi.
Mereka terlepas dari ditanya tentang kerja yang diberikan itu. Mungkin Mukriz terlupa agaknya kerana dibenamkan dengan rasa mengantuk setelah tidak dapat melelapkan pada malam tadi. Apa pula yang sedang membelenggu fikirannya sehingga dia tidak terlena sampai ke pagi.
“Eh! Su, kenapa dengan bos kita tu, tiba-tiba je angin dengan kau? Aku dengar tadi bila kau sebut je nama Dania, muka dia berubah. Apa yang tidak kena sebenarnya? Cuba kau cakap dengan aku.” Dengan tiba-tiba sahaja Amran menyapa dengan penuh ingin tahu,
Suraya pula sedang mengurut dahi sendiri. Pening agaknya dengan kerenah Mukriz.
“Entahlah Am, aku pun pelik dengan sikap dia,” balas Suraya.
Kemudian Amran mendengar Suraya melepaskan keluhan yang sangat-sangat berat.
Suraya kembali ke ruang mejanya. Di situ dia terduduk sambil menekup telinga sendiri. Sekejap dia menoleh ke kiri, kemudian menoleh ke kanan. Tidak tentu arah dibuatnya.
‘Kalau aku tak cakap salah, kalau cakap juga salah, aku pulak jadi serba salah,’ detik hati Suraya yang berasa kecewa yang terlampau.
Tiba-tiba Nafisa menepuk meja Suraya. Terperanjat dibuatnya. Mujur Suraya tidak ada penyakit lemah jantung. Kalau tidak mungkin dia sudah pengsan.
‘Ish! Dia ni bikin terkejut sajalah… kus semangat…’ bisik hati Suraya yang merenung kosong ke arah Nafisa.
“Aku tengok kau runsing je, apa kena ni? Pasal tadi tu ya?” Nafisa menduga.
Belum sempat Suraya menjawab, Nadia pula datang tanpa disuruh dengan wajah tersengih-sengih seperti mahu mengejek.
“Alah Fisa! Kau takkan tak tahu Suraya ni kan mabuk kepayang. Bos kita tu dah batalkan temu janji dengan Dania untuk makan tengah hari nanti, jadi sudah tentulah Suraya ni mahu cari akal untuk dia menggantikan tempat Dania tu,” sindir Nadia.
Suraya menggumam geram. Menyampah betul dia rasakan dengan sikap Nadia yang tidak henti-henti membuli perasaannya. Menyesal dia ceritakan pada Nadia bahawa dia sukakan Mukriz.
***
DI ruang pejabat Mukriz kelihatan dia sedang memicit-micit dahinya. Mungkin pening agaknya. Diurut lagi, kali ini lebih kerap dan kuat. Rambutnya yang tadinya disikat kemas kini kembali berserabut. Saat ini kecelaruan begitu rakus sekali menikam relung hatinya tanpa belas sehingga memeningkan otaknya.
Lantas dia berpaling ketika masih terduduk di atas kerusi sambil memusingkan pandangannya ke luar melalui cermin besar yang melekat pada dinding pejabatnya. Di tenung dalam-dalam Bandar besar Kuala Lumpur.
Bangunan Kuala Lumpur City Centre yang tinggi mencakar langit itu begitu jelas kelihatan dari tempat dia sedang duduk sekarang. Sedetik kemudian dia melepaskan satu keluhan berat.
Fikirannya menerawang entah ke mana. Matanya pula yang sedikit sepet mahu disengkang sekuat yang boleh tapi tidak termampu kerana dia benar-benar mengantuk. Dihela nafas dalam-dalam kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Diulang lagi dan dilepaskan perlahan-lahan. Teknik yang biasa dilakukan bagi mengembalikan kesegaran dalam kelesuan.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk, dia sedikit terkejut setelah fikirannya sebentar tadi yang terarah pada ucapan papa dan mamanya dua hari yang lalu terus lesap. Lantas dia bersuara dengan kuat.
“Masuk!” suruh Mukriz.
Setelah mendengar arahan maka tombol pintu dipulas perlahan dan Suraya terpacul di situ. Dia tidak dapat melihat wajah Mukriz kerana dia berada di belakang bosnya itu. Kemudian dia melangkah masuk perlahan-lahan dengan penuh debaran. Dia takut dimarahi lagi. Cukup perit rasanya. Dia selalu membayangkan bagaimanalah seandainya bosnya itu memarahinya dengan keterlaluan di depan pekerja-pekerja yang lain. Mungkin sukar untuk dia menerimanya.
“Bos..” ucap Suraya perlahan.
“Ada apa?” soal Mukriz sambil membetulkan kodnya.
Suraya mengetap bibir dengan kuat. Gusar untuk dia memberitahu apa yang sepatutnya Mukriz lakukan sekarang ini.
Suraya terbungkam seketika dan ini menyebabkan Mukriz tertunggu-tunggu apa yang mahu dikatakan setiausahanya itu. Tidak lama kemudian Suraya terdengar Mukriz batuk terbahak-bahak. Lalu dia menyapa dengan penuh kebimbangan.
“Bos tak sihat ke?” laju Suraya menyoal.
“Jangan pedulikan saya, cepat cakap apa yang awak mahu katakan tadi..” balas Mukriz sambil matanya masih memandang bangunan pencakar langit itu.
Suraya tergagap-gagap untuk menjawab tapi dikerahkan segala keberanian yang masih bersisa itu biar terkumpul ke dalam hatinya kemudian dia meluncurkan kata-katanya dengan deras.
“Ahli lembaga pengarah sudah lama menunggu bos di bilik mesyuarat!” ucap Suraya deras.
Perasaan berdebar dan takut itu sekian lama bersarang, entah bila akan tenang. Mukriz sejak kebelakangan ini selalu marah-marah. Apa yang sedang merusuh di fikiran Mukriz itu Suraya sendiri pun tidak tahu. Tidak pernah Mukriz mahu meluahkan kepadanya.
“Apa?!! Kenapa awak tak ingatkan saya?!” bentak Mukriz seraya dia terus berdiri dan menoleh ke arah Suraya dengan mempamerkan wajah garang.
Suraya jadi gugup, lantas dia menyembunyikan wajah. Sedangkan sebentar tadi dia sudah ingatkan bosnya itu awal-awal lagi di muka pintu. Memang itu yang diminta oleh Mukriz. Suraya sudah menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin. Tapi entah kenapa segala-galanya menjadi salah di mata Mukriz.
“Lain kali ingatkan saya, kang tak pasal-pasal awak pula saya marah.. Awak boleh keluar sekarang,” ucap Mukriz dengan sedikit lembut.
‘Kenapa dengan dia ni? selalu tak macam ni pun… tengok muka dah macam singa kelaparan… seperti mahu telan orang sahaja,’ kata hati Suraya tatkala dia memang tidak senang dengan cara Mukriz melayannya.
Mungkin Mukriz tersedar bahawa dia sudah berkasar dengan Suraya. Dia sebenarnya tidak sengaja, tapi perasaannya yang bercelaru menjadi penyebab dia berkeadaan seperti itu.
Suraya mencebik dan mengangguk berat. Dengan wajah yang hampa dia melangkah keluar dari ruang pejabat Mukriz sambil tertunduk. Dia sungguh tidak tahan lagi hampir setiap kalinya dia mesti berdepan dengan keadaan ini. Sampai bilakah dia akan bertahan?
Sebaik dia tiba di mejanya, dia terduduk di situ dengan melepaskan keluhan sambil bermain-main dengan jemari sendiri. Tidak lama kemudian, Mukriz keluar dari pejabatnya dengan tersera-sera menuju ke bilik mesyuarat. Apakah Mukriz lupa bahawa dia juga perlu ada bersama dalam mesyuarat itu?
Tidak lama kemudian Mukriz berpatah semula sambil tersengih pula. Dia menggaru kepalanya dan berkata.
“Awak merajuk ke? Cepatlah ikut saya…” ucap Mukriz.
Suraya memang sudah merajuk kerana perasaannya dirobek-robek setelah ditengking begitu. Malu dibuatnya. Wanita manalah yang tidak terasa hati bila dirinya dipersalahkan. Bukan sekali dua, tetapi selalu.
“Su…please… come.” pujuk Mukriz.
Bila Suraya dengar suara Mukriz selembut itu, perasaan sensitifnya terus hilang. Tambah lagi setelah dia melihat Mukriz tersenyum. Cair hatinya. Saat ini barulah dia sedikit tenang.
Usai itu dia mengangguk perlahan dan cuba menghadiahkan Mukriz sekuntum senyuman biar pun dalam keadaan terpaksa dan Itu sahaja yang dia mampu lakukan.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)