Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 32)

SESUATU kebahagiaan itu tidak terletak hanya pada satu sudut sahaja. Skopnya begitu meluas dan menjanjikan seribu satu macam keindahan dan kemanisan. Cuma adakah ia kekal dan dapat bertahan seperti karang di lautan yang bisa menahan setiap gelombang yang mendatang? Mukriz mesti membuat pilihan.
Kala ini Mukriz masih termenung. Sukarnya mengharungi liku-liku hidup ini. Mencari sebuah ketenangan yang hakiki adalah sukar sekali. Dia perlu meraih semua itu dengan kecekalan dan ketabahan.
“Selama ini hatinya hidup dalam diriku, sudahnya aku daif kerana kesal dengan naluriku yang berputik ini.” Mukriz menyalahkan dirinya setelah Niezam yang akhirnya terpaksa berterus terang siapakah penderma hati itu biarpun Amran mahukan dia rahsiakannya.
Mungkin gerak hati Niezam mahu menceritakan perkara sebenar. Maka dia mengharapkan ini akan mendatangkan kebaikan.
“Awak patut berbangga kerana dia sanggup berikan hatinya untuk awak. Dan dia telah melakukan satu perkara yang amat mulia, saya begitu mengharapkan rohnya dicucuri Rahmat. Tentang Arfan pula biarkan masa yang menentukan, mungkin awak akan ditemukan semula walau pun bukan sekarang. Ada hikmah di sebaliknya yang kita tidak tahu..” nasihat Niezam yang berpura-pura tabah bagi menyembunyikan kesedihan.
Mukriz menekup wajah dan kemudian segera Niezam menariknya semula supaya Mukriz tidak menyembunyikan wajah itu.
Dengan perlahan-lahan Niezam menyeka air mata Mukriz yang mengalir bak sungai yang deras.
“Kalau awak menangis, saya akan turut menangis. Dia berpesan pada saya supaya kembali ke pangkal jalan. Saya akan berusaha kerana saya yang bersalah. Saya tahu dia masih sayangkan saya walaupun sebagai seorang sahabat.” ujar Niezam sambil mencebik.
Mukriz kehilangan kata-kata dan membiarkan Niezam berucap panjang.
“Dia mahukan awak turut berubah sekiranya awak juga memiliki naluri yang sama. Dia mahu awak berkahwin agar naluri songsang yang baru berputik dapat dihapuskan.” kata Niezam.
Mukriz mengeluh kecil lantas dia berkata.
“Saya tidak pasti Zam, kerana saya tidak pernah berhubungan seperti itu. Apa yang saya rasakan, saya memang sayangkan kaum sejenis dan belum terdetik di hati saya untuk berkahwin. Saya belum bersedia untuk berumah tangga walaupun mama saya suruh saya kahwin dengan seseorang yang saya tak suka,” ujar Mukriz.
“Berkasih sayang tak salah tapi kalau terlanjur sayang, jiwa pasti merana maka akan jadilah macam diri saya ni yang tidak dapat menerima hakikat apabila ditinggalkan hingga saya hampir melakukan dosa yang lebih dahsyat lagi…” tutur Niezam meluahkan isi hatinya.
“Dosa yang dahsyat?”
“Ya, saya mahu membunuh diri kerana tidak dapat mengawal perasaan, tapi setelah awak nasihatkan saya di facebook dan kemudian saya berfikir semula, saya memang tidak patut menjadi korban cinta terlarang ini walaupun ia amat perit sekali berbanding cinta normal,” terang Niezam.
Niezam menceritakan bagaimana dia telah melakukan satu kesilapan besar dalam hidupnya. Mukriz mendengar dengan penuh penghayatan tatkala air mata masih kekal menitis kerana menahan sebak.
“Lelaki Terluka itu adalah awak?” Mukriz kaget dengan matanya membulat.
Niezam mengangguk perlahan.
Diketap lembut bibirnya dan Mukriz terus tertunduk. Direnung kata-kata Niezam itu dan disematkan ke dalam hatinya.
“Saya ingat diri ini akan bahagia dengan memiliki naluri seperti itu maka saya terus membiarkannya hanyut dibawa arus, hakikatnya tidak dan ia amat menyakitkan. Awak jangan cuba-cuba dekatkan diri awak ke dalam dunia seperti ini. Dengan adanya perkahwinan, maka akan menyelamatkan diri awak dari terus mencambahkan naluri sukakan lelaki,” pesan Niezam.
“Bagaimana kalau tidak?” Mukriz menyoal untuk mendapatkan kepastian.
“Saya tak tahu diri saya sendiri begini, tapi saya sokong kalau awak mahu menghalang kehendak itu. Saya juga mahu berubah. Kita sama-sama berubah wak..” kata Niezam dengan mempamerkan ekspresi wajah yang hambar.
Sememangnya ALLAH swt itu Maha Berkuasa. Hanya DIA yang dapat memberikan hidayah pada sesiapa yang dikehendaki-NYA. Sesungguhnya bila kita berusaha ke arah kebaikan adalah amat digalakan di sisi Agama Islam. Kesedaran dan nilai-nilai murni sejagat perlu diperkasakan agar tidak terpesong akidah dan melampaui batas.
Untunglah bagi orang-orang yang dapat membezakan antara yang baik dan buruk serta antara yang benar dan yang batil.
Mukriz mengucap panjang. Hati milik Amran itu membuka ruang untuknya beristighfar dan bertaubat. Sekeping hati yang ditinggalkan pergi oleh Amran yang sudah memohon keampunan dari ALLAH Pencipta yang Maha Agung ini kepada Mukriz yang tercalit seribu kekesalan seakan dapat dirasakan oleh Mukriz.
Semoga ALLAH menerima taubat hamba-hamba-NYA yang insaf.
Mulai detik itu Mukriz bersahabat baik dengan Niezam yang juga mahu berubah. Semenjak itu Niezam tidak lagi mengadakan hubungan terlarang itu dengan mana-mana lelaki. Dia juga akan berkahwin dengan seorang jururawat, Ida namanya. Jururawat yang telah berjaya membuka hati Niezam untuk menerima dirinya biarpun Ida mengetahui dari mulut bakal suaminya itu sendiri yang menyatakan bahawa dia seorang bekas pencinta lelaki.
Jarang didengar seorang perempuan mampu menerima lelaki seperti itu. Niezam sungguh bertuah dan berbekalkan keazaman, dia mahu melepaskan dirinya dari dunia begitu. Peluang kedua untuknya berubah telah dihulurkan oleh insan yang bergelar perempuan. Kesanggupan dan kesetiaan Ida tidak dapat dipertikaikan lagi.
“Amboi, dah nak kahwin rupanya” sapa Mukriz dengan senyuman.
“Awak bila lagi?” tanya Niezam yang ditemani Ida di sisinya.
“Saya datang nak bagi kad jemputan untuk awaklah ni,” ujar Mukriz.
“Eh! Ye ke…? Dengan siapa?”
“Dengan setiausaha saya.. hehe,” tawa Mukriz yang berjaya memujuk Suraya untuk kembali bekerja semula Wisma Wasadi.
“Hebat… mesti cantik..” puji Niezam lantas lengannya dicubit oleh Ida yang menganggap Niezam mula menggatal.
“Sudah tentu… hehe,” Mukriz ketawa kecil melihat gelagat mereka sekejap tadi.
Suraya juga seperi Ida. Dia dapat menerima kenyataan dan sedia membantu Mukriz dari segala segi. Sememangnya golongan ini layak diberi peluang dan ia perlu dibantu bukannya dicaci dan dihina atau dipandang hina oleh mata masyarakat. Golongan begini punyai hati dan perasaan yang sukar untuk digambarkan bagaimanakah hebatnya cara pemikiran mereka. Cuma kadangkala lemah tersungkur dek tewas kerana nafsu tanpa pegangan yang kuat. Oleh itu ia perlu dibantu dan diberikan sokongan padu kembali ke jalan yang lurus.
Perkara itu menjadi rahsia mereka dan tidak didedahkan kepada mana-mana pihak termasuk ahli keluarga sendiri. Nadia gigit jari kerana menahan malu dia terus berhenti kerja. Sesuai dengan sikapnya yang suka jaga tepi kain orang. Nafisa pula bakal mendirikan rumah tangga dengan tunangnya itu tidak lama lagi.
Arfan yang ingin ditemui oleh Mukriz pada malam tragedi itu menghilang entah ke mana. Dia tidak lagi menghubungi Mukriz. Entah masih hidup atau pun tidak. Tiada lagi khabar yang dikirimkan olehnya buat Mukriz yang setia menanti kepulangan sahabatnya.
Lima tahun kemudian.
“Comelnya anak kau, Su..” Ida memuji anak kelahiran kedua Suraya.
“Tengoklah anak siapa..hehe..” Suraya ketawa kecil.
Mukriz dan Niezam berpandangan sesama sendiri melihat isteri masing-masing bermanja dengan anak-anak. Kehadiran Niezam sebagai tetamu terhormat itu disambut baik. Isteri Mukriz selamat melahirkan anak lelaki keduanya hasil lima tahun perkongsian hidupnya bersama si suami yang dicintainya ini. Manakala Niezam juga mempunyai dua orang anak perempuan yang tetap comel.
Ketika mereka sedang gelak ketawa, Nafisa datang bertandang bersama si suami tercinta dengan anaknya yang berusia tiga tahun itu. Maka bertambah gamat suasana rumah Mukriz dengan gelagat anak-anak kecil mereka. Cahaya kebahagiaan terpancar pada wajah masing-masing.
Mata Mukriz tiba-tiba terpandang kelibat seseorang di depan pintu pagar rumahnya yang sedang mengintai-intai. Penampilan seseorang itu seperti perempuan. Menyedari kehadiran dirinya telah dilihat oleh Mukriz, cepat-cepat dia berundur dan masuk ke dalam perut kereta lantas beredar dari situ.
“Abang tengok siapa tu?” Suraya menyapa.
“Tak ada apa-apalah,” balas Mukriz kaget dan dengan cepat dia memalsukan senyuman.
Entah siapalah yang dilihatnya itu. Cuba untuk membuat telahan namun tidak tercapai akalnya.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.