Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 31)


SEBULAN kemudian Mukriz telah keluar dari hospital setelah menjalani pembedahan hati. Pemergian Amran amat mendukacitakannya. Mukriz membiarkan Wisma Wasadi itu diuruskan oleh kakaknya. Dia masih bersedih dengan kehilangan pekerja kesayangan. Mukriz baru sahaja hendak memulakan hubungan persahabatan dengan Amran tetapi Tuhan lebih menyayangi Amran.

Dania pula telah didakwa atas kesalahan cuai ketika memandu hingga menyebabkan kematian. Tapi dia dibebaskan dengan ikat jamin. Semenjak itu Dania tidak lagi kelihatan. Ia seperti hilang entah ke mana.

Niezam sering melawat Mukriz di rumah bagi meninjau keadaan pesakitnya meskipun Mukriz telah pun dibenarkan keluar dari hospital.

Kehilangan Amran masih terasa. Setiap detik dan saat ia seakan ada di sisi menceriakan hari-harinya. Begitu juga Niezam. Namun Niezam adalah orang yang paling dekat dengan Amran pada sebelum ini. Dia lebih terasa dengan kehilangan itu.

Nabila kekasih Amran hidup tertekan setelah ketiadaan orang tersayang. Dan dia selalu kemurungan hingga membawa dirinya pulang ke kampung halaman untuk memulakan hidup baru di sana.

Kala ini Niezam berada di rumah Mukriz. Dia merenung dalam ke mata Mukriz yang sedang memalsukan senyuman.

“Selama ini saya tidak tahu yang saya menghidap masalah hati yang kronik. Terima kasih kerana berjaya melakukan pembedahan ke atas saya, tapi boleh saya tahu siapakah pendermanya?” tutur Mukriz.

“Penderma mahukan identitinya dirahsiakan,” balas Niezam.

Mukriz tidak langsung dapat menduga bahawa organ yang berfungsi di dalam badannya itu adalah milik Amran. Entah kenapa dia berasa begitu bertuah sekali kerana ada insan yang sanggup mendermkan hati untuknya.

Mukriz mengetap lembut bibirnya. Tatkala ini tumbul satu rasa aneh di dalam dirinya. Rasa sayang pada Niezam mula berputik. Dia berhutang nyawa pada Niezam setelah segala-galanya diceritakan oleh Niezam bagaimana dirinya telah diselamatkan seawal dulu. Perkara itu telah menjadi satu titik permulaan untuk dirinya rapat dengan Doktor Niezam.

“Beritahulah, siapa orangnya..” rayu Mukriz.

Niezam menggeleng.

Suasana di kala senja memang mendamaikan dengan kocakan air terjun menjunam ke kolam. Mereka berdua berada di halaman rumah.

“Please…” Mukriz merayu lagi dan mengharapkan Niezam dapat memberitahunya.

Niezam tetap menggeleng. Sejurus itu Mukriz mengeluh hampa.

“Boleh saya tahu satu perkara?” soal Niezam.

Mukriz mengangguk.

“Mengenai surat..” Mukriz terkejut kerana bagaimana Niezam tergerak hati bertanya tentang surat dan dari mana dia tahu.

“Surat?” Mukriz cuba menafikan.

“Saya sendiri tidak tahu tapi kata-kata terakhir arwah, dia sebut pasal surat dan dia minta maaf kerana menyimpannya.” dengan pantas Mukriz berdiri spontan setelah mendengar pasal surat yang selama ini dicarinya.

Wajah Mukriz berkerut.

“Simpan? di mana?” soal Mukriz deras.

Niezam berjongket bahu kerana dia tidak pasti.

Mukriz membuat telahan. Mungkin surat itu berada di dalam bilik Amran. Dia terus melangkah masuk ke dalam dan meluru ke bilik Amran dengan meninggalkan Niezam terpinga-pinga di luar.

Tidak beberapa lama kemudian Mukriz kembali setelah menemui surat tersebut di dalam bilik Amran yang diletakkan di atas rak. Di tangan Mukriz memegang surat bersampul warna biru air laut itu.

Dia duduk semula di kerusi sambil merenung mata Niezam. Ditenung dalam-dalam hingga Niezam tidak keruan. Kemudian dia melepaskan keluhan kecil setelah dihela nafasnya.

Kala ini matanya tertancap pada sepucuk surat itu dan diberikan pada Niezam untuk dibuka. Mengapa begitu mudah Mukriz memberikan surat itu pada Niezam sedangkan kandungan tersebut adalah tulisan rahsia.

Niezam mencapainya kemudian lipatan kertas itu dibuka. Memang tidak dapat difahami oleh Niezam.

“Boleh awak membacanya?” tanya Mukriz.

“Awak buat lawak ke? Sedangkan awak tahu saya tak akan dapat baca isinya tapi kenapa awak berikan pada saya?” Niezam menyoal semula dengan rasa kehairanan.

Kening Niezam terangkat.

Mukriz mengerling.

“Saya tak buat lawak, dan memang saya tahu awak tidak dapat membacanya. Tapi awak dapat baca siapa si pengirimnya.

“Arfan Jamaluddin? Dia ke yang awak maksudkan yang dikatakan seiras saya?” duga Niezam.

Mukriz mengangguk sambil mengeluarkan satu foto dari kocek bajunya lalu dihulurkan pada Niezam.

Foto itu dicapai oleh Niezam lantas melihatnya. Dia terkejut, memang pelanduk dua serupa. Niezam menunjukkan ekspresi wajah kagetnya itu dengan menjegilkan biji mata.

“Kerana surat itu saya resah mencarinya dan kerana ingin bertemu dengan si pengirim itu saya terlibat dengan kemalangan..”

“Tapi awak tak boleh salahkan dia..”

“Saya tak salahkan dia, dan saya tahu ini adalah takdir buat saya,”

“Habis tu?”

“Habis tu surat dan gambar itu sudah tidak bermakna lagi kerana saya telah menemui Arfan yang baru dalam hidup saya..”

“Siapa?”

“Awak,” kata Mukriz.

Setelah mendengar adalah dirinya yang dimaksudkan sebagai Arfan yang baru dalam hidup Mukriz terus sahaja Niezam membulatkan mata. Jantungnya berdetak kencang.

Niezam mengetap kuat bibirnya tatkala memandang wajah Mukriz yang begitu serius. Dia cuba melarikan wajah tapi lehernya kaku. Kemudian dia teringatkan kata-kata Amran sedang bermain di fikirannya saat ini.

Aku juga mahu kau berubah, Zam. Jangan pernah kau lakukan perkara yang sama kepada orang lain pula. Cukuplah aku yang menjadi mangsa kau. Dan hidup aku merana dan tidak pernah tenang. Memang aku curigai Mukriz sama seperti kita juga tapi aku masih ragu-ragu untuk menyatakan ia adalah benar. Kalau betul sekalipun, aku mahu dia berubah dan fikirkan masa depan serta harapan keluarganya. Tolong Zam. Sekali ini. Dia bos aku. Dia perlukan perempuan dalam hidupnya. Bukan lelaki.

Serta-merta kelopak mata Niezam bersinar. Di tubir matanya bergenangan cecair jernih.

“Awak menangis?” sapa Mukriz setelah melihat Niezam mencebik.

“Mata saya tiba-tiba jadi pedih, sorry,” nafi Niezam dan dengan pantas dia menyeka air matanya.

Dengan sebak dia menyuruh Mukriz membaca isi surat itu ke dalam bahasa yang mudah difahami.

Mukriz akur lalu membacanya untuk Niezam.

Buat sahabatku yang disayangi, Mukriz Zulhasri.

Di sini aku mewartakan khabarku buatmu. Aku kini berada di Hong Kong kerana telah mendapat kerja di bumi orang. Mungkin rezeki aku di sini jauh dari tanah air. Hati aku cukup senang tapi akan lebih senang lagi bila kau ada bersama.

Aku masih ingat lagi waktu mula-mula kita berkenalan, kau selalu bertegang leher dengan aku. Tidak mahu mengalah. Kau kata aku kekampungan, minda sempit. Aku terima dan aku ubah penampilan aku. Kalau kau nak tahu, dalam hati aku masa itu memang menyumpah seranah pada kau sebabnya kau selalu malukan aku depan orang ramai.

Tapi lama kelamaan, bila aku rapat dengan kau, aku lihat kau berbeza dari kawan-kawan yang lain. Selalu ambil berat pasal aku dan kalau aku tidak cukup duit kau sering membantu walaupun aku tidak mahukannya. Bagiku, kau adalah seorang sahabat yang hebat kerana menyelamatkan aku dari kebuntuan dalam percintaan. Mati-mati aku percayakan Hanita seorang perempuan yang baik padahal dia sengaja hendak mempergunakan aku. Kau bukakan mata hatiku untuk melihat kebenarannya.

Selain itu kau adalah lebih dari segala-galanya bagiku. Kaulah temanku yang mengerti aku. Kau kuat dan aku pula lemah. Kau tabah dan manakala diriku selalu saja rebah tidak kira tempat.

Khidmat nasihat yang kau berikan padaku tidak pernah jemu dan tidak pernah lekang di bibirmu itu. Kau seorang yang pandai memujuk hingga aku dapat menghapuskan duka.

Mukriz, aku ikhlas memujimu kerana ia adalah sesuatu yang pasti. Ia benar dan tidak palsu. Walaupun semenjak peristiwa itu, aku lihat kau seakan membenciku. Bukan aku ingin pergi jauh darimu tapi sepanjang malam aku tidak lena tidur kerana mengenangmu. Jujur aku katakan bahawa aku masih sayangkan persahabatan ini tetapi aku terpaksa membawa diri. Mungkin aku salah dan mungkin juga aku tersilap, maafkan aku kerana tidak mendengar kata-kata mu di saat aku dikecewakan lagi.

Aku juga mahu kau maafkan aku di atas setiap keterlanjuran kata-kataku dan maafkan juga aku kerana membuat biji mata kau lebam dan bibir kau berdarah. Aku tidak sengaja pada waktu itu kerana kau telah menamparku di depan seorang perempuan. Aku jadi marah tapi bila difikirkan semula ia memang salahku kerana membiarkan diriku hanyut dinoda gadis-gadis cantik dan sanggup menghabiskan wang untuk mereka.

Betul kata kau, kita tidak boleh percayakan sesiapa dengan hanya satu pujian. Kita harus selidik latar belakangnya dulu dan memahami setiap gerak-gerinya. Pintu hatiku kini tertutup rapat dan tidak akan terbuka lagi. Diriku tidak mahu bercinta lagi. Aku sudah serik.

Mukriz, aku harap kau akan selalu ingat padaku, bila tiba saatnya nanti, aku pasti akan kembali.

Dari insan yang selalu merinduimu,

Arfan Jamaluddin.

Kata Arfan menyuarakan apa yang terbuku dilubuk hatinya selama itu di dalam surat tersebut dan sampai sekarang kelibatnya masih tidak dapat dilihat oleh Mukriz.

Tiada pengertian yang dapat dihuraikan dan tiada kesahihan tentang kebenaran yang tersirat. Hanya Arfan yang tahu apa yang harus dia lakukan seterusnya.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.