KALA ini Dania turut tergesa-gesa pergi ke hospital setelah dia mendapat berita tentang kecelakaan yang menimpa Mukriz dari papanya. Dia dalam perjalanan ke hospital dan hampir tiba. Dania berada lebih ke depan berbanding Suraya yang jauh tertinggal di belakang. Kebetulan pula mereka menuju ke destinasi yang sama.
Amran masih termenggu di perhentian bas tiba-tiba matanya tertancap pada seorang kanak-kanak buta yang sedang melintas jalan. Kanak-kanak itu tidak dipimpin oleh sesiapa. Sungguh berani dia melintas jalan seorang diri. Kalau ada kereta datang langgar bagaimana?
Dania memecut laju sambil berbual dengan seseorang melalui telefon. Pedal minyak ditekan lagi bagi menambahkan kelajuan.
Kanak-kanak itu masih meraba-raba mencari arah. Entah siapa ibu bapanya yang membiarkan budak itu merayau-rayau. Amran menoleh deras dan dia nampak sebuah kereta Mercedes berwarna kelabu meluru pantas. Amran tahu bahawa kereta itu tidak akan sempat brek kalau dia ternampak kanak-kanak itu. Mungkin pemandunya tidak perasan kelibat kanak-kanak itu. Kalau dia brek sekalipun pasti kanak-kanak tersebut akan dirempuhnya.
Tanpa berfikir panjang lagi dia pantas berlari mendapatkan kanak-kanak itu. Sedaya upaya yang boleh dan selaju yang mampu bagi menyaingi kelajuan kereta itu.
“Adikkkkkkkk!!!!” jerit Amran sambil menolak budak itu ke depan sampai terpelanting jatuh ke bahu jalan seberang sana.
Amran mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang berhak untuk terus hidup berbanding dirinya yang selama ini telah menderita menghidap barah otak. Tiada sesiapa pun yang tahu melainkan doktor yang pernah merawatnya.
Takdir penentu segala-galanya dan Tuhan Maha Mengetahui.
Wajah Dania jadi pucat kerana menjerit sekuat hati di dalam perut kereta. Dia tersedar telah terlanggar seseorang. Jasad Amran melayang dan terbaring kaku berlumuran darah. Hentakkan kuat menyebabkan tempurung kepalanya retak manakala kanak-kanak tersebut menangis ketakutan kerana terdengar bunyi dentuman hasil dari pelanggaran itu. Deria pendengaran sahaja bisa digunakan.
Cepat-cepat Dania keluar dari perut keretanya dan melihat orang yang dilanggarnya tadi. Dia terkejut besar kerana orang itu adalah Amran. Dania gelisah. Orang ramai berpusu-pusu ke tempat kejadian. Amran tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.
Tidak lama kemudian Suraya tiba di dalam kesesakan itu. Dia juga keluar dari kereta dan berlari ke depan dengan rasa penuh ingin tahu apa yang terjadi.
Dengan rasa terkejut setelah melihat Dania resah dan tidak tentu arah itu. Dia terdetik untuk melihat mangsa. Lantas Suraya segera menonong masuk di dalam kerumuni manusia itu. Dia lihat Amran terbaring tidak bergerak tapi masih bernafas. Suraya hampir pitam di tempat kejadian.
Kemudian hatinya sarat dengan rasa marah yang teramat sangat maka dia terus meluru ke arah Dania.
“Kau langgar Amran!?? Kau pembunuh!!! Kau pembunuh!!!” pekik Suraya sebak.
Dirinya tidak menyangka ini akan terjadi.
Mulut pula Dania terlopong dan menggeleng beberapa kali dengan deras.
“Aku tak bunuh dia!! Aku bukan pembunuh!!” laung Dania yang ketakutan.
“Ahhh!!! Kau memang pembunuh!!” tidak henti-henti Suraya menyalahkan Dania.
Akhirnya Dania memekup wajahnya dan terus teresak-esak. Dia betul-betul tertekan dengan keadaan ini.
Suraya menoleh. Sebuah stretcher telah dibawa pergi bersama dengan jasad Amran di atasnya. Suraya terus berlari mendapatkan Amran. Dia kini berada di birai stretcher yang sedang tersorong itu.
Suraya merenung sorotan mata Amran yang sungguh hambar. Bibir Amran bergerak-gerak seperti ingin menyuarakan sesuatu.
“Su…”
“Am.. tabah am! Tabah!” kata Suraya yang sedang menitiskan air mata.
“Su.. te..tengokkan Mukriz ba..baik-baik Su.. tolong maafkan dia..” ucap Amran dengan nafasnya tersekat-sekat.
Suraya meraung sedih tidak dapat menahan sebak melihat jasad Amran berlumuran darah. Insiden yang tidak dijangka telah berlaku.
Niezam mendapat berita kemalangan itu segara bergegas mendapatkan mangsa. Dia begitu terkejut sekali melihat keadaan ini. Dia mesti menyelamatkan Amran semampu yang boleh. Dia mesti!
Sungguh tidak terjangkau dek fikiran doktor yang bernama Niezam bahawa semua ini akan terjadi ke atas Amran. Dia mula sebak. Tidak dapat berfikir dengan rasional namun dia seorang doktor perlu mengawal situasi ini.
Amran dimasukkan ke unit rawatan rapi. Cuba sedaya upaya menyelamatkan nyawa Amran bersama dengan doktor dan pembantu yang lain.
Amran masih bernyawa, dan dia memaut tangan Niezam lantas mengerahkan sisa-sisa tenaganya untuk berkata-kata.
“Za..zam, ma..maafkan aku dan jangan selamatkan aku kerana a..aku tidak dapat bertahan lagi,” kata Amran dengan nafasnya yang tersekat saat ini dia mula rasa sakit yang teramat sangat.
“Am, cekal hati kau Am.. aku mesti selamatkan kau dan tolong jangan bercakap lagi,” balas Niezam dengan tubir matanya sudah bergenang.
“Tunaikan permintaan terakhir aku, Zam.” kata Amran dengan suaranya semakin perlahan.
Niezam terpaksa mendekatkan telinganya pada bibir Amran. Dia harus mendengar dengan teliti apa yang ingin disampaikan oleh Amran.
“Katakan Am, aku dengar.” pinta Niezam.
Dengan susah payah Amran menyusun kata yang agak tidak jelas tetapu masih boleh difahami oleh Niezam.
“Dermakan hati aku pada Mu..Mukriz..” Niezam terjegil mata.
Betapa Amran sanggup memberikan hatinya pada Mukriz. Seorang insan yang sedang berdepan dengan maut telah melafazkan satu pengorbanan yang mesti ditunaikan oleh Niezam.
“Am.. sabar Am, kau mesti terus hidup.. bertahan..” Niezam cuba meyakinkan Amran.
“Ti..tidak, masa aku sudah sampai, katakan pada Mukriz aku minta maaf kerana menyimpan suratnya,” desis Amran.
Niezam bergenang air mata tatkala memandang wajah itu. Tidak tega hatinya membiarkan Amran tersiksa. Amran mengingatkan Niezam tentang surat. Dia juga mahukan Niezam sampaikan pohon maaf kepada Mukriz.
“Tolong rahsiakan..” pinta Amran yang sedang nazak.
“Mengucap Am.. mengucap,” suruh Niezam.
Amran sempat melafazkan khalimah suci itu sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mata itu terpejam buat selamanya. Masa di dalam bilik itu seakan terhenti. Wajah sayu Amran ditatap oleh Niezam sepuas-puasnya. Amran telah kembali ke Rahmatullah.
Sudah tertulis Amran pergi dengan cara ini. Dia pergi dengan membuat satu pengorbanan yang sukar dilakukan oleh orang lain.
Suraya masih setia menunggu di luar bilik kecemasan. Dalam masa yang sama Dania melangkah ke situ tapi dihalang oleh Suraya. Dia memarahi Dania sehingga matanya tidak mampu untuk melihat wajah Dania lagi.