KETIKA membuat ujian ‘x-ray’ pada bahagian dada Mukriz, Niezam jadi kaget. Terdapat satu masalah yang cukup rumit. Mukriz menghidap masalah hati. Niezam seakan tidak percaya. Panyakit itu bukan baru bemula malah ia seakan parah. Doktor ini tidak pasti sama ada Mukriz sebelum ini telah mengetahuinya atau pun tidak.
Bagaimana untuk dikhabarkan berita itu kepada ahli keluargannya kerana Niezam tidak tahu dari mana dia harus memulakannya.
Kala ini ramai yang datang melawat Mukriz di bilik khas. Niezam masih gigih di dalam makmal perubatan menelaah segala-galanya dengan terperinci. Wajahnya cukup kendur tatkala melihat gambaran itu. Memang terdapat masalah di situ. Pada bahagian kepala Mukriz pula tidak terdapat tanda-tanda yang mencurigakan. Malah ia semakin pulih. Namun tidak pada bahagian hati. Penyakit hati itu bukan disebabkan dari kemalangan tetapi ia telah lama bersarang.
“Nurse, tolong bawakan dokumen pesakit ni ke mari..” pinta Niezam.
Selepas itu dokumen tersebut dihulurkan dan ia terus diambil. Niezam terus mencatat perkara penting sebagai laporan menyelidikannya.
“Err nurse, awak panggilkan pelawat nama Encik Amran di bilik khas pesakit Mukriz Zulhasri itu masuk ke pejabat saya.
“Baik doc,” patuh jururawat berkenaan.
Selepas jururawat itu berlalu, Niezam pula terus melangkah masuk ke ruang pejabatnya. Di situ dia bersandar rapat pada kerusi dengan dahi yang berkerut. Diurut-urut dahinya.
Tidak berapa lama kemudian, pintu diketuk. Niezam membenarkan orang diluar untuk masuk. Tombol pintu dipulas dan terpacak Amran di muka pintu itu dengan mempamerkan wajah yang muram. Mungkin masih sedih mengenangkan keadaan yang menimpa Mukriz.
“Duduklah, Am..” pelawa Niezam sambil tersenyum menyembunyikan kebimbangan.
“Hari ini Datuk Zulhasri ada datang melawat tak?” soal Niezam sebaik sahaja Amran melabuhkan punggung di kerusi.
Amran mengangguk.
“Tapi datuk dah balik..” kata Amran.
“Ohh.. ermm.. aku nak bincangkan sesuatu ni,” ucap Niezam.
Amran berhak untuk tahu mengenai perkara itu kerana Niezam telah dimaklumkan oleh Amran bahawasanya Amran merupakan pembantu peribadi Mukriz.
“Cakaplah terus terang jangan sekat-sekat macam ni, tapi kalau hal peribadi kita, aku memang tak berminat nak bincang?” ucap Amran.
Niezam mengerling.
“Bukan mengenai peribadi kita tapi mengenai penyakit Mukriz,” kata Niezam dengan deras dan jelas.
Amran menjegil mata. Kaget mendengar soal penyakit.
Niezam menceritakan perkara itu. Kemudian terpancar garis-garis resah di wajah Amran. Dalam keadaan ini Niezam masih lagi menganalisa penyakit itu. Penyakit hati berada di tahap yang begitu kronik. Cuma Niezam tidak pasti berapa lama lagikah Mukriz dapat bertahan. Dia bukan Tuhan untuk menentukan hidup dan mati seseorang tapi dia cuba sedaya upaya yang boleh.
Amran keluar dari bilik Niezam dengan ekspresi wajah hambar. Dia melangkah perlahan menuju ke bilik khas itu. Setelah itu Amran melihat wajah Mukriz yang sedang tersenyum dari muka pintu sedang melayani pekerjanya yang datang menziarah. Di situ dia melihat Nafisa sedang cuba menghiburkan hati Mukriz di samping Nadia sering mencebik setelah melihat kemesraan antara Nafisa dan Mukriz. Nadia memang kuat cemburu. Turut berada di situ, Hizaimi dan juga Majid.
Pintu ditutup semula dan dia berundur keluar. Amran melepaskan keluhan berat. Dia mengambil telefon bimbit di dalam kocek lantas dia menghubungi Suraya.
Panggilan itu tidak dijawab. Dihubungi sekali lagi tapi hampa. Kemudia dia membuka kotak pesanan lalu menekan punat-punat hingga membentuk satu ayat.
‘Tolonglah datang melawat bos selagi kau berkesempatan, jangan keras kepala.’ kata Amran di dalam pesanan ringkasnya untuk dihantar kepada Suraya yang berkeras hati.
Suraya menerima pesanan itu. Dari tadi dia memang sengaja tidak mahu menjawab panggilan Amran. Dia lebih senang duduk terbungkam di sofa sambil menonton televisyen. Memang dia tidak dapat menafikan keresahan di dalam hatinya. Namun kerana maruahnya tercalar maka keegonya jadi begitu tinggi.
Akhirnya dia membalas pesanan Amran.
‘Aku akan datang tapi bukan sekarang.’
Kemudian Amran membalas semula.
‘Tak datang langsung pun tak apa!’ bentak Amran di dalam pesanannya.
Tercalit rasa serba salah di relung hati Suraya. Saat ini dia sukar untuk memaafkan Mukriz hanya disebabkan oleh satu kesilapan yang tidak disengajakan itu.
Dia terfikirkan ucapan Amran itu. Kata-kata Amran di dalam pesanan ringkas itu seperti cuba menyembunyi sesuatu. Dia tidak mampu untuk menelaah sedalam-dalamnya. Akhirnya dicapai kunci kereta dan terus memulakan perjalanan ke hospital.
Tatkala ini Amran runsing dan bingung. Dia pembantu peribadi Mukriz yang baru dilantik dan belum lagi dapat menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin tapi telah dikejutkan dengan berita itu. Otaknya tidak dapat menerima berita yang dianggap kejam dan merobek hatinya. Dia sayangkan bosnya dan dia juga sayang Niezam serta semua orang termasuk teman wanitanya.
Hiburan dulu telah jauh ditinggalkan tidak mungkin akan kembali lagi. Dia ingin bersihkan kekotoran di hati. Kecacatan di hati itu tidak akan dibiarkan. Dia berusaha mengubatinya agar tidak berkekalan. Dia benar-benar mahu berubah. Walaupun tercalit rasa suka pada bos sendiri ia adalah sekadar rasa suka. Bukan lagi cinta yang diagung-agungkan selama ini bersama Niezam. Itu cerita lama. Buku lama perlu ditutup. Lembaran baru disingkap.
Kebuntuan fikirannya itu membawa kakinya melangkah sampai ke pintu pagar masuk utama hospital berkenaan. Kecelaruan itu sungguh meresahkan. Dia terus melangkah perlahan dengan kedua belah tangannya di dalam kocek. Kepalanya tunduk sedikit ketika berjalan.
Di bahu jalan terdapat sebuah perhentian bas. Dia melabuhkan punggungnya di situ sambil melihat kenderaan lalu lalang. Sesekali dia menoleh kiri dan kanan melihat alam. Hampir satu jam lebih dia termenggu di situ hinggakan kawan-kawan yang lain telah pulang pun dia tidak sedar.
Dia teringkatkan kata-kata Niezam tadi,
Beberapa detik kemudian telefonnya menjerit minta diangkat. Dia terjaga dari lamunan dan terus menjawab panggilan yang datangnya dari Niezam.
“Kau kat mana ni, Am?” soal Niezam di hujung talian.
“Ada kat kawasan hospital ni jugak,” balas Amran.
“Aku ingat kau dah balik sebab tadi aku tengok kau tak ada kat dalam bilik Mukriz,” ucap Niezam melahirkan kebimbangan.
“Belum lagi.. erm Zam..” panggil Amran.
“Ya, kenapa Am?” tanya Niezam.
“Tak ada apa-apalah..” balas Amran yang serba salah untuk berkata-kata.
Telefon Amran mati sendiri akibat kehabisan tenaga bateri. Niezam tertanya-tanya apa pula yang mahu diceritakan oleh Amran. Tapi tidak mengapa mungkin nanti Amran akan menceritakannya. Biar masa yang menentukan.