Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 28)


RASA sayang dan rindu terhadap Amran dilipat kemas di relung hati. Niezam terbaring kaku di tilam. Dia merenung siling dengan pandangan yang cukup hambar. Amran tidur dirumahnya. Dia mengizinkan Amran menginap untuk satu malam meskipun sebelum ini rumahnya adalah begitu tidak asing buat Amran.

Kala ini dia berasa sungguh janggal kerana dirinya sudah lama ditinggalkan. Dia sendirian saat malam bertandang, dia kerinduan apabila sisa-sisa kenangan berputaran di minda. Bila nama Mukriz Zulhasri diamati. Dia teringatkan kenalan secara tidak disengajakan di internet. Bila dibayangi semula wajah yang sudah luka dengan calaran itu akhirnya dia dapat mengenali Mukriz Zulhasri.

Seorang lelaki yang dia kenali di ruangan facebook. Dia memang menunggu lelaki itu. Akhirnya wujud di depan mata tetapi wajah Mukriz tidak seperti di facebook. Ini adalah kerana akibat dari kemalangan itu telah mencacatkan sedikit wajah tampan Mukriz sehingga dia tidak cam.

Kerana kekecewaan yang melampau dia tidak dapat berfikir secara rasional hingga tega untuk membunuh diri gara-gara terlalu cintakan Amran yang saat ini berada di rumahnya. Amran telah membuatkan hidupnya menderita, tersiksa dan begitu tidak bererti lagi. Entah kenapa dia membiarkan lelaki itu tidur di sini. Namun Mukriz dapat tenangkan dirinya.

Niezam bukan seorang yang pendendam. Walau sekulat mana pun dihati dan diguris tajam sehebat pisau pemotong daging, dia akur juga.

Biarkanlah dia rahsiakan tentang semua ini agar Amran tidak tahu bahawa dirinya sebelum ini pernah terfikir untuk membunuh diri. Dia seperti mendapat nafas baru. Nafas yang diberikan oleh Mukriz menghidupkan ruang usang hatinya. Dalam masa yang sama dia tidak dapat melupakan Amran.

‘Aku mesti menggunakan kesempatan ini, aku harus dekat dengan Mukriz agar bayang-bayang Amran dihatiku ini bisa menjauh dan terhapus. Dan aku tidak akan menerima keluahan darinya lagi. Sudah cukup dia membuatkan batinku menjerit selama ini. Aku tidak rela ia terus berulang,’tegas hati Niezam.

Tidak mudah untuk menghapuskan sesuatu yang telah dilalui bersama, pahit, suka dan duka itu kekal berlegar meskipun berkali-kali diusir akhirnya ia datang lagi. Melupakan seseorang itu merupakan sesuatu yang agak payah. Tidak seenteng membalingkan kasut ke dalam sungai yang terus dibawa arus sampai ke muara dan terus hilang dari pandangan yang entah ke mana.

Begitu jugalah yang berlaku dengan Mukriz. Melupakan Arfan tidak semudah yang disangkakan. Apa yang berlaku di antara Mukriz dan Arfan masih menjadi tanda tanya. Amran juga turut merasakan tempiasnya yang saat ini fikirannya menerawang jauh.

Tidak senang duduk dia di sofa. Di dalam bilik dirasakan sungguh panas hingga membawanya berbaring di sofa. Gelisah yang berpanjangan mengenangkan apa yang berlaku. Sekejap dia bangun sekejab dia duduk dan berbaring. Pusing kanan dan pusing kiri tidak dapat juga dia mengusir kegelisahan.

“Am…” tiba-tiba Niezam menyapa lembut.

Keresahan Niezam juga membuatkan dirinya tidak lena dan sengaja berjumpa dengan Amran di ruang tamu itu.

Amran kaget. Matanya membulat dan lengan yang berada di dahinya terus dijatuhkan.

“Ohh Zam, kenapa tak tidur lagi?” soal Amran.

Niezam menggeleng perlahan.

“Tak dapat nak tidur, fikirkan kau,” balas Niezam dan sepantas kilat Amran membangunkan tubuhnya dan duduk di sofa sambil menoleh ke arah Niezam yang statik berdiri di tepinya.

“Fikirkan aku? Tapi kenapa?” soal Amran sambil ekor matanya memerhatikan Niezam sedang melabuhkan punggung ke sofa di sebelahnya.

Niezam berdehem.

Amran pula sengaja membatukkan dirinya.

Selepas itu Niezam menarik nafas kemudian dilepaskan perlahan-lahan dan dia memalsukan senyuman. Amran dapat membaca senyuman itu. Senyuman terpaksa yang sungguh kaku.

Dalam seminit dua Niezam diam diri begitu juga dengan Amran yang tidak melepaskan pandangan. Akhirnya satu keluhan berat dilepaskan oleh Niezam hingga memecahkan kesepian malam.

“Am..” tegur Niezam yang ingin memulakan bicara.

“Ya..” balas Amran sepatah.

“Erm..” Niezam teragak-agak untuk berkata-kata.

Amran mengerling.

“Kenapa pandang macam tu?” soal Niezam.

“Sebab kau nampak macam takut-takut,” balas Amran.

Niezam mencebik lagi.

Amran menanti apa yang ingin dibicarakan Niezam. Dia menggaru telinganya selepas diusap rambut yang nampak berserabut.

“Kau masih sayangkan aku tak?” serta-merta Amran menjegil matanya setelah disoalkan dengan perkataan sayang.

Masih wujud lagikah kata sayang? Mungkin ya tapi adakah Amran akan menyuarakan kebenarannya. Atau masih cuba menyembunyikan sesuatu dari Niezam.

Niezam sengaja menyoalnya dengan sedemikian rupa kerana dia mahukan kepastian. Meskipun mereka kini bergelar sebagai teman biasa.

“Kenapa kau masih ungkapkan perkataan sayang pada aku? Bagaimana kalau aku katakan yang aku tidak sayangkan kau lagi?” Amran ingin menduga.

Kemilau cahaya kasih seakan terpadam setelah Amran berkata begitu. Mahu menguji tahap hatinya. Sudah tentu tidak tertanggung lagi. Usah bermimpi di siang hari, kalau benar Amran masih sayangkannya, dia tidak akan tinggalkan Niezam. Tapi hanya Amran sahaja yang tahu.

“Tapi aku nak tahu kenapa kau beria-ia tinggalkan aku.. mesti ada sebab lain lagi selain kau mahu bersama Nabila, tolong jelaskan pada aku, Am,” desak Niezam.

“Aku sudah kata, aku mahu berubah.. jadi tolong faham. Tak ada apa-apa lagi.” balas Amran.

“Tipu!” bentak Niezam sambil berpaling wajah.

Tatkala ini Niezam terlalu mengharapkan satu kata yang berharga dapat dipaculkan dari mulut Amran. Hanya satu ungkapan ‘sayang’ mahu didengarnya namun jendela hati Amran tidak akan terbuka lagi. Ia telah tertutup rapat dan bertegas tidak akan kembali lagi ke dunia itu.

Suasana agak hambar dan nampak kaku. Masing-masing mendiamkan diri. Amran tunduk membisu. Selalunya dia akan mempertahankan haknya tapi kali ini dihantui rasa serba salah. Satu noktah hitam ingin dipadamkan. Biarpun perit biarpun pedih dia ingin menghapus jejak itu. Sebuah jejak yang ingin ditinggalkan. Jejak tapak kaki dipersisiran pantai hati pasti hilang bila ombak datang menghempasnya. Dengan rela dia mahu berkubur di situ. Fahamilah kehendak hatinya usah dipaksa sedemikian rupa.

Dengarlah sang angin yang datang membisik, kata hati usang itu mahu dilepaskan pergi. Tidak ingin berpaling lagi. Wahai sang mentari, tolong sinari hati dan terangilah langkah kaki itu di dalam perjalanan hidup ini. Dia tidak mahu kesepian. 

Dodoikanlah dirinya dengan gemersik alunan bayu seindah nyanyian rindu pada insan yang dapat dia hamparkan kasih dan sayangnya. Dan temukanlah dia dengan satu cita-cita yang bisa dilunaskan dengan semangat dan keazaman. Dia ingin pergi jauh dari kemelut ini.

Puas dia merayu dan puas dia merintih. Semestinya Amran sayangkan Niezam. Di lubuk hatinya masih ada sayang tetapi bukan lagi cinta. Niezam perlu mengerti Amran.

Niezam menoleh lagi dengan pandangan yang hambar menatap wajah usang Amran yang tiba-tiba redup. Saat ini Niezam tidak mengerti apa yang dirahsiakan oleh Amran selama ini. Telahannya tertumpu pada rasa cemburu. Digodek sampai dalam seluas lembaran kata sayang selama dia berhubungan.

“Am, aku masih sayang, tidakkah kau pedulikan rasa hatiku? Jujur aku ingin tahu kenapa? Katakanlah Am, adakah kau sayangkan aku lagi?” sekali ini Niezam bertanya lagi dengan suaraya dialunkan selembut yang boleh agar Amran bisa tenang.

“Zam.. aku tidak mahu terus hidup begini, untuk pengetahuan kau perasaan itu masih wujud dan sukar untuk aku padamkan. Sememangnya payah tapi aku cuba Zam.. kalau aku tidak nekad mulai sekarang, bila lagi?” kata Amran.

Niezam harus pasrah dan memberi sokongan pada Amran. Niezam memberanikan diri dan masih mahu meramas lembut tangan Amran sebagai seorang sahabat. Kali ini Amran membiarkan tangannya diusap lembut oleh seseorang yang pernah hidup bersamanya.

“Aku yakin Am, kau pasti boleh. Aku memang mengharapkan yang kau tidak akan pernah lupakan aku. Selama ini kau adalah sanjugan hidupku. Siang dan malamku adalah untukmu dan hanya nama mu sahaja meniti dibibirku, tetapi kalau ia masih menyukarkan dirimu untuk terus berubah maka padamkan aku dari kamus hidupmu. Mulai saat ini, kau perlu biarkan sahaja apa yang ingin aku lakukan dan jangan pernah menghalang..” ucap Niezam.

Pantas Amran menarik tangannya. Matanya kembali membulat. Dia mencurigai kata-kata yang tepacul dari mulut Niezam.

“Aku tahu kau berhasrat untuk memiliki Mukriz! Kau jangan bersikap biadap Zam! Dia bos aku!” tengking Amran yang sudah dapat membaca gerak hati Niezam.

Niezam tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukannya saat ini. Mampu mendiamkan diri sahaja sambil memandang ke lantai.

“Aku juga mahu kau berubah, Zam. Jangan pernah kau lakukan perkara yang sama kepada orang lain pula. Cukuplah aku yang menjadi mangsa kau. Dan hidup aku merana dan tidak pernah tenang. Memang aku curigai Mukriz sama seperti kita juga tapi aku masih ragu-ragu untuk menyatakan ia adalah benar. Kalau betul sekalipun, aku mahu dia berubah dan fikirkan masa depan serta harapan keluarganya. Tolong Zam. Sekali ini. Dia bos aku. Dia perlukan perempuan dalam hidupnya. Bukan lelaki.” ujar Amran dengan penuh emosi.

Hati Amran berlainan sekali. Kenapa dia bersikap sedemikian hingga menghalang kehendak naluri Niezam. Niezam kaget dengan kata-kata itu. Dia menduga sesuatu yang bukan mutlak. Adakah Amran masih mengharapkan Niezam atau sebaliknya?

Segala-galanya menjadi sebuah kekeliruan. Tiada siapa yang dapat memahami perasaan mereka ketika ini. Sukar untuk diramalkan apa yang bakal terjadi. Masing-masing tidak bersuara untuk sekian lama.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.