Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 27)


HATI Amran sudah tidak keruan lagi. Sudah hampir seminggu lebih Mukriz hilang tanpa khabar berita. Setelah mengambil kira segala aspek dan menelaah kata-kata mereka, akhirnya Amran bersedia membuat laporan polis mengenai kehilangan Mukriz.

Setelah bangun pagi, dicapai telefon bimbitnya untuk menelefon Datuk Zulhasri bagi memaklumkan perkara itu. Dilihat pada skrin telefon terdapat tiga panggilan tidak dijawab. Nombor yang dikenalinya dan sudah lama tidak dihubungi.

‘Untuk apa dia call aku malam tadi?’ soal hatinya.

Malam tadi dia keletihan dan ketiduran di sofa. Tidak tersedar ada panggilan masuk. Usai itu dia membalas panggilan itu untuk bercakap dengannya pada pagi ini.

Tujuannya untuk menghubungi Datuk Zulhasri tergendala sebentar kerana dia mahu menghubungi kawannya terlebih dahulu.

Hello Niezam” sapa Amran setelah panggilannya mendapat respon.

Hello …! Ha hidup lagi rupanya, aku ingat dah tak nak call aku balik, kau buat apa malam tadi?” tanya Niezam di hujung talian.

“Tidur,” jawabnya sepatah.

“Tidur? Amboi awalnya kau tidur kan, erm kau apa carita sekarang, sepi je?” soal Niezam.

Amran menggaru kepalanya yang gatal. Kemudian digaru tengkuknya sebelum mendengus. Rasa kurang selesa kerana dia belum mandi.

Busuknya.

“Aku macam biasa, tak ada apa-apa yang menarik,” balas Amran perlahan.

“Sekiranya aku kata kau sedang hidup bahagia macam mana?” duga Niezam.

“Bahagia?” Amran menyoal deras.

“Ya.. kerana kau dah bahagia jadi kau boleh lupakan aku..” Niezam sengaja menduga begitu bagi mendapatkan respon Amran.

Seandainya tidak berkata begitu Amran mungkin akan menafikannya. Oleh yang demikian memang begitulah sikap Niezam. Mahu mengorek rahsia sebelum menceritakan peribadinya pula.

“Kau jangan nak ungkit kisah lama, aku tak suka okey, so apa tujuan kau telefon aku malam tadi, atau nak beritahu yang kau ada buah hati baru? Kau memang tak serik-serik kan?” kata Amran deras.

Amran mendengar Niezam berdehem.

“Kau ni kan ada aje nak point aku.. erm aku call sebab nak tanya khabar kau, tak semestinya selepas segala-galanya berakhir kita tak boleh berhubung lagi..” ucap Niezam hambar.

“Sudahlah, aku tak nak kau ingatkan aku tentang kisah lama antara kau dan aku. Sekarang aku nak tahu perkembangan kau, Zam.”

Niezam mahu khabarkan pada Amran mengenai perkembangan semasa. Dia tahu benar sikap Amran ini. Kalau sudah menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan. Al-kisahnya dia sengaja menggamit sisa kenangan lampau agar Amran berminat untuk mengetahui keadaannya sekarang ini.

Pertemuan dia dengan Mukriz diceritakan pada Amran tetapi tidak disebut namanya. Sengaja mahu merahsiakannya kerana ia satu perkara yang belum pasti. Hanya perasaannya sahaja yang mendambarkan Mukriz namun ia tetap menjadi tanda tanya. Boleh ke Niezam memiliki Mukriz tatkala Amran masih menyiasat siapa bosnya yang sebenar-sebenarnya.

Seorang doktor telah berminat dengan pesakit sendiri. Menaruh perasaan yang berputik indah manakala Amran pula tidak menceritakan prihal kehilangan bosnya itu dan siapakah nama bosnya itu kepada Niezam. Keadaan ini bertambah kacau. Hakikatnya sudah tertulis Mukriz diselamatkan oleh Niezam. Masing-masing berahsia maka ia kekal terbuku.

Maka bermulalah episod penangan cinta antara dua bekas kekasih dalam menelaah siapakah orang yang bertakhta di hati masing-masing. Kala ini Mukriz berada di tengah-tengah situasi yang menjunamkan dirinya ke dalam dilema yang berpanjangan.

Pasti jahanam hati dan perasaan Mukriz ini. Lebur dibaham bara yang tidak berkesudahan. Kenapa Arfan yang selalu dirinduinya mengapa cinta Dania ditolak mentah dan Suraya pula jadi terpinggir.

***

LAPORAN polis telah pun dibuat dan Datuk Zulhasri pula telah dihubungi. Reaksi yang dipamerkan oleh datuk ketika diceritakan kehilangan itu, dia sungguh terkejut sekali. Maka syarikat Wisma Wasadi itu dikawal buat sementara waktu oleh kakak dan abang ipar Mukriz.

Setelah polis membuat siasatan maka segala-galanya terjawab, Mukriz dikatakan berada di rumah sakit. Tindakan pantas polis mengesan kedudukan Mukriz amat mendapat pujian kerana kecekapan mereka dalam menanggani isu kehilangan tidak boleh dipertikaikan lagi.

Amran merupakan orang pertama yang menjengah ke hospital sebelum Datuk Zulhasri dan Datin Azizah serta ahli keluarga yang lain tiba.

“Kenapa kau tak cakap yang bos aku ada kat sini?” soal Amran.

“Aku tak tahu pun dia adalah bos kau kerana tiada identiti yang ditemui pada dirinya.” kata Niezam.

Mereka berbual di luar bilik khas. Datuk Zulhasri dan Datin Azizah ada di dalam menemui anak mereka.

“Jadi, dia ke yang kau ceritakan tu?” duga Amran.

Dalam keadaan ini Niezam terpaksa menyembunyikan perasaan sebenarnya. Dia harus menafikan. Mukriz itu adalah bos Amran, maka dia mesti menjaga perasaan Amran. Biarlah dia menderita saat ini asalkan Amran tidak berfikirkan yang bukan-bukan mengenai dirinya.

Niezam memaut tangan Amran sebagai tanda memujuk. Namun cepat disentap deras oleh Amran.

Please..” larang Amran.

“Bukan dia.. tapi orang lain,” kata Niezam menafikan hakikatnya.

“Aku sedikit kecewa kerana kita pernah berjanji hendak berubah, tapi aku lihat kau masih begini, kenapa bos aku jugak yang kau pilih?” marah Amran dengan tiba-tiba.

Niezam mencebik.

“Kerana sebelum ini aku tak pernah didakap oleh kau sebagaimana eratnya dia mendakap aku!” Akhirnya Niezam menyuarakan kebenaran yang tersirat.

Amran tidak keruan. Dia merenung tajam ke dalam mata Niezam. Dia fikir ada sesuatu yang ganjil. ‘Mukriz mendakap Niezam! Adakah ini benar?’ soal hatinya.

Kalau benar bermakna persoalannya selama ini terjawab. Tapi itu belum memadai untuk dianggap tepat selagi Mukriz belum meluahkan perkara yang sebenarnya.

Kerana tidak mahu perbualan antara mereka didengari oleh sesiapa termasuk keluarga Mukriz, Lantas Amran menarik tangan Niezam untuk mengikutnya ke tempat lain. Mungkin ke kafe atau taman yang berada di perkarangan hospital berkenaan. Niezam membuntuti (ikut) Amran.

“Selama dia berada di sini aku tidak mahu kau buat yang bukan-bukan. Termasuk bermesra dengannya, ingat!” Amran memperingati Niezam tatkala mereka melabuhkan punggung di kerusi yang berada di taman hospital.

“Jadi..kau cemburu?” soal Niezam deras.

Amran mengerling.

“Aku tidak cemburu, tapi aku tak nak kau goda dia sebagaimana kau goda aku dulu. Please aku tak nak dia jadi macam kita, Zam.” Amran menafikan.

“Kau dah ada Nabila, jadi biarlah aku dengan hidup aku, Am. Waktu kau tinggalkan aku dulu ada kau pedulikan perasaan aku ni? Tak.. kau langsung tak fikirkan hati dan perasaan aku. Sejak Nabila muncul dalam hidup kau, perhatian dan kasih sayang kau itu diserahkan pada dia. Nabila telah meragut kebahagiaan yang aku kecapi selama ini bersama kau..” Niezam meluahkan segala-galanya.

Amran terbungkam. Dia tunduk menyembunyikan wajah. Betapa Niezam tersiksa sewaktu dia meninggalkannya dulu demi sebuah perubahan.

“Aku tersika Am kerana kau curangi aku dengan memilih Nabila sebagai pengganti aku. Sepatutnya aku berasa gembira kerana kau ingin berubah tapi setiap malam aku tidak lena tidur apabila mengenangmu, Am.” kata Niezam lagi yang hampir menitiskan air mata.

Niezam menanggalkan kaca mata. Tubir matanya pula sudah berkaca jernih hanya menanti saat ia mengalir sahaja. Kala ini Niezam menghela nafas cuba menenangkan dirinya manakala Amran kehilangan kata-kata.

Keadaan sekeliling menjadi redup apabila awan menutupi sinar mentari pagi. Angin pula bertiup lembut membelai tubuh mereka. Desiran dedaun jelas menjengah ke cuping telinga masing-masing. Amran mendongak ke dada langit melihat awan mendung berarak laju. Ini petanda hujan akan turun. Suhu menjadi dingin secara tiba-tiba.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.