Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 26)


MUJURLAH tiada sesiapapun yang nampak Niezam membuka bajunya di dalam bilik khas itu. Dia telah menyahut cabaran demi membuktikan bahawa dia bukan Arfan seperti yang didakwa oleh Mukriz itu.

Kala ini Niezam memakaikan semula baju yang ditanggalkannya itu. Mukriz mengeluh hampa kerana Niezam telah membuktikan kebenaran. Wajah jejaka yang sarat menanggung rindu itu kembali berkerut dahi. Saat bahagia lenyap dengan tiba-tiba. Dan hanya yang tinggal adalah satu rasa hiba mencalit parah di jiwa.

Tiada tanda lahir di dada Niezam sebagaimana Arfan. Hanya tanda lahir itu yang akan membuktikan Niezam adalah orang yang dirinduinya selama ini. Terpana rasa kecewa di relung hati Mukriz. Doktor itu mendengar keluhan berat yang dilepaskan oleh Mukriz. Wajah Mukriz berubah kesal. Telahannya tidak tepat sama sekali.

“Maafkan saya..” ucap Mukriz perlahan.

“Tak apa, saya faham,” balas Niezam yang mengerti perasaan Mukriz.

Mukriz terduduk memandang ke lantai manakala Niezam mendekati Mukriz dan menggosok lembut belakang Mukriz lantas berkata,

“Bertenang..” katanya.

Mata lelaki hampa itu dipejamkan serapat yang boleh. Kemudian tidak semena-mena dia mencemar maruahnya lagi dengan menitiskan air mata. Sungguh terdesak kala ini. Dia tidak dapat menahan titisan itu dari terus membasahi pipinya.

Melihat keadaan itu, Niezam segera melutut di depan Mukriz lalu menguis dagu jejaka yang sedang kehampaan itu untuk disorong sedikit ke atas. Saat ini Niezam mahu Mukriz bertentang mata dengannya.

Mukriz masih terpejam sambil mencebik.

“Siapa Arfan tu..?” soal Niezam perlahan.

Mukriz terbungkam. Sesekali Niezam terdengar sedu tangisnya.

“Kalau awak percayakan saya, awak boleh luahkan segala yang terpendam kat lubuk hati awak tu, biar awak jadi tenang dan saya senang kalau awak ni jenis yang suka berterus terang.” Niezam memujuk Mukriz dengan bersusah payah.

Mukriz memekup wajahnya. Lantas Niezam menarik tangan Mukriz untuk dijatuhkan semula agar Niezam dapat melihat semula wajah yang cuba disembunyikan itu. Sudahnya Mukriz memegang kepalannya yang masih berbalut itu sambil perlahan-perlahan membuka kelopak matanya. Air mata masih tega mengalir. Berlenangan dari tubir mata.

Spontan Niezam menyeka air mata itu dan Mukriz membiarkan sahaja.

“Orang lelaki kalau menangis nampak buruk. Sudah.. berhentilah menangis,” pujuk Niezam sambil meletakan kepala Mukriz di bahunya dan cuba menenangkan jiwa Mukriz yang berantakan dengan mengusap lembut ubun kepala Mukriz yang berbalut itu.

Mukriz nampak sedikit tenang sedari tadi nampak beremosi sahaja. Kemudian Doktor itu memapah Mukriz untuk dibawa kembali ke katil dan dibaringkan tubuh yang lemah itu ke situ. Mukriz tidak lepas dari memandang wajah Niezam seperti dia sedang melihat sahabat bernama Arfan cuma sahabatnya itu tidak berkaca mata sahaja.

Niezam umpama kembar Arfan tetapi ada sedikit perbezaan kalau ditelaah betul-betul pada bulu mata itu. Bulu mata Niezam nampak lentik semula jadi. Jarang sekali lelaki berbulu mata selentik itu. Nampak comel.

Mukriz tidak beralih pandangan dan terus tertancap di wajah Niezam hingga membuatkan Niezam tidak keruan.

“Kalau boleh saya juga mahu mengenali Arfan, kerana awak menganggap saya sebagai Arfan, jadi mungkin wajah dia seiras saya,” kata Niezam sambil menyelimuti tubuh Mukriz.

“Memang wajah awak seperti dia, saling tak tumpah, wajah awak tu mengingatkan saya pada dia..” desis Mukriz.

Air mata Mukriz sudah mula kering.

“Kalau macam tu anggap saja saya ni Arfan kalau itu boleh buatkan hati awak tenang, cuma saya nak tahu siapa Arfan tu, adakah dia saudara awak atau sahabat?” soal Niezam sambil duduk di birai katil.

Mukriz kehilangan kata-kata. Persoalan itu tidak mampu dijawabnya dan lantas dia mengiring cuba menyembunyikan wajah. Seperti sedang merajuk lagaknya.

“Tak apalah, err kemungkinan esok balutan dikepala awak akan dibuka, awak berehatlah ya dan jangan fikir yang bukan-bukan. Selamat malam.” ucap Niezam dengan lembut.

Kemudian Niezam mengangkat punggungnya untuk pulang ke rumah. Dia terpaksa bekerja lebih masa pada hari ini untuk menyiapkan segala laporan kerja.

***

SEMASA dalam perjalanan pulang, Niezam tersengih sendiri. Pertama kali dirinya didangkap seerat itu dengan penuh perasaan meskipun dia terpinga-pinga ketika itu. Dia suka dipeluk erat seperti itu tatkala dia tidak pernah merasainya walaupun dari seorang kekasih pada sebelum ini.

Melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran dan sekali gus melayakkan dirinya menjadi seorang doktor pada hari ini. Memang dia bercita-cita menjadi seorang doktor sejak kecil lagi.

Saat ini fikirannya menerawang teringatkan Mukriz.

‘Mukriz Zulhasri… erm aku lebih suka saat dia lupa siapa dirinya, setiap kalinya aku boleh suapkan dia makanan dan setiap malam juga akan aku selimutkan dia dari kesejukan, tapi sekarang ingatnya sudah kembali, bila dia betul-betul sembuh nanti sudah tentu dia akan lupakan aku..’ gerutu hatinya.

Berpusar resah hatinya. Niezam menghela nafas sedalam yang boleh dan dilepaskan perlahan-lahan. Waktu ini sudah berputik rasa simpati dan berbunga rasa rindu tatkala memandang wajah Mukriz yang terlantar. Terbayang-bayang di ingatan kala dia menyuapkan bubur ke mulut Mukriz, memberikan ubat untuk dimakan olehnya dan berbual dengan Mukriz di kala jejaka itu termenung sendiri biarpun tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Mukriz.

Niezam seorang yang tidak suka memendam perasaan lama-lama. Dia suka berkongsi dengan rakan-rakan tentang masalah yang dihadapi. Masalahnya adalah dia sudah jatuh hati. Bukan pada perempuan tapi pada lelaki. Jiwanya tertarik pada kaum sejenis. Nalurinya memang ke arah itu.

Niezam terpegun dengan cara Mukriz. Rajuk dan tangisan Mukriz begitu mempesonakan Niezam. Sejak awal Mukriz berada di hospital lagi dia telah menaruh perasaan. Sukar untuk ditafsirkan bagaimana dia boleh sukakan Mukriz. Tiada kelebihan yang dapat ditonjolkan oleh Mukriz saat dia sedang sakit begitu. Wajah yang luka dan dahi yang berkerut dan kadangkala tercengang memang tidak menarik langsung untuk ditatap. Tetapi tidak bagi Niezam. Dia tidak jemu-jemu mencuri pandang.

Bagaikan pucuk dicinta ulam mendatang dan seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Niezam punya satu peluang yang cerah. Dia harus memenangi hati Mukriz. Kelebihan yang dia ada adalah memiliki rauk wajah yang seiras orang yang dikatakan oleh Mukriz.

Dia mahu mahu menghubungi seseorang. Kawan lama yang jarang sekali dihubungi. Entah mengapa saat ini terdetik di hatinya untuk membuat panggilan.

Usai didail nombor yang mahu dihubungi itu, dia setia menunggu panggilannya dijawab. Kala ini dia memandu perlahan. Kalau ingin menghubungi atau bercakap dengan seseorang hendaklah menggunakan ‘headphone’ sahaja kerana ia lebih selamat ketika memandu sebegini.

‘Aih! Tak angkat pulak mamat nih! Takkan dah tidur kot?’ duganya.

Lantas dihubungi lagi. Dia tunggu. Selepas 30 saat panggilan dibuat, ia tetap juga gagal.

‘Masa aku call kau tak nak angkat, bila aku tak call, kau cakap aku lupa kawan pulak..’ gerutu Niezam.

Dia tidak berazam untuk menghubungi kawannya itu berulang kali lantas dicampakkan telefon itu ke tempat duduk di sebelahnya.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.