KALA ini pihak berwajib telah menghubungi pihak hospital dan menyatakan identiti sebenar pemilik kenderaan BMW hitam berkilat yang kemalangan itu. Kes itu diklasifikasikan sebagai kecuaian. Mukriz cuai dalam memandu kenderaan.
Niezam pada awalnya mahu menghubungi saudara mara Mukriz tetapi tidak dapat kerana telefon milik mangsa telah dicuri. Maka tiada usaha tambahan yang dilakukannya untuk menjejaki ahli keluarga mangsa memandangkan dia mahu merawat mangsa terlebih dahulu supaya benar-benar stabil.
Tugas seorang doktor adalah menyelamatkan mangsa sedaya upaya yang boleh. Sudah menjadi tanggungjawabnya memastikan setiap pesakit dirawat dengan sempurna.
Relung hari Mukriz dilingkari persoalan siapa, kenapa dan bagaimana. Dia tercari-cari jawapan pada setiap keluhan itu. Makanan yang ada di depannya tidak dijamah. Seleranya hilang. Dia mahu bersuara dan cuba mengejutkan dirinya dari lamunan. Dia merentap hati sendiri supaya bangun dari mimpi ngeri.
Masih terngiang persoalan di telinganya dengan pertanyaan Doktor Niezam berkaitan siapa dirinya. Sukar dia menelaah. Dia tidak mendapat petunjuk. Digeledah sisa-sisa kenangan terakhir namun tidak terungkap juga. Seperti orang mati yang hidup semula dirasakannya.
Akhirnya Mukriz melepaskan keluhan berat. Dari keluhan ingin dipaculkan kata-kata.
“Siapa aku?!” tanyanya sendiri dengan kasar.
Akhirnya Mukriz dapat berkata-kata setelah diperahkan otaknya mencari diri sendiri. Suara dari keraguan berlagu perit. Serta-merta kepalanya yang masih berbalut itu menggila sakitnya. Lantas dipegang bahagian kepalanya. Semakin lama semakin sakit. Dia tidak tahan lagi. Lalu dia menjerit. Suara jeritannya itu didengari oleh jururawat dan kebetulan pula Niezam lalu di situ.
Dengan serta-merta Niezam meluru laju mendapatkan Mukriz yang sedang beremosi. Anak mata Niezam memandang Mukriz meronta-ronta di katil itu. Bercambah rasa kasihan setelah melihat Mukriz berkeadaan begitu.
Desir dari daun rindu Mukriz terhadap satu nama yang terpacul di mulut itu jelas menjengah ke cuping telinga Niezam. Satu nama yang cukup asing baginya.
“Arfannnnn!” Mukriz leret menyebut nama itu.
Tiba-tiba Mukriz menangis. Entah kenapa Mukriz boleh mengalirkan air mata. Niezam terpinga melihat keadaan itu. Dia menduga Mukriz menangis kerana menahan kesakitan tapi setelah nama itu disebut Mukriz bertambah tidak keruan.
Selepas itu Niezam mendengar lagi kata-kata Mukriz.
“Aku tak nak kawinnnnnn!” laung Mukriz dengan mata yang terpejam rapat bersama lelehan air mata dan tangannya masih meramas ubun kepala.
Ingatan Mukriz seperti mahu pulih. Dia dapat mengingati nama Arfan dan dapat diamati semula apa yang berlaku dalam ruang legar otaknya. Segalanya bermain di fikiran.
Niezam membuat keputusan untuk memberikan ubat penenang. Lantas itu yang terjadi. Mukriz disuntik.
Keadaan wad kembali sepi tatkala banyak mata yang memandang.
“Ida..” panggil Niezam lembut.
“Ya doc..” jawab Ida.
“Tolong pindahkan pesakit ini ke bilik khas,” arah Niezam.
“Baik doc..” patuh Ida seorang jururawat yang tidak pernah melanggar arahan dan etika kerjanya.
Usai itu Niezam kembali menyambung tugas.
***
DI lewat malam Mukriz membuka kelopak matanya yang cukup sarat dengan bebanan. Terlalu berat dirasakan. Dia lemah namun dikerahkan segala sisa tenaga yang berbaki untuk dia bersandar pula.
Matanya menoleh kiri dan kanan. Dia tidak tahu di mana pula dia berada. Tapi dari bau ubat begitu jelas menusuk rongga akhirnya dia mengerti bahawa dirinya berada di sebuah bilik dalam hospital. Kali ini ingatannya benar-benar pulih.
Dirasakan baru sekejap tadi dia memulakan perjalanan untuk menemui seseorang tapi tidak disangkanya dia tiba di hospital pula. Lagu dari Wali Band seakan terpasang dan terngiang-ngiang di telinga. Waktu ini sepatutnya dia berada di dalam perut kereta dan sedang memandu. Mukriz tidak sedar bahawa dia sudah berada selama 8 hari di hospital. Termasuk 3 hari dia berada dalam koma.
Dia meraba kepalanya dan dia merasa sedikit sakit. Kepalanya itu masih berbalut.
‘Kenapa kepala aku?’ soalnya.
Digali kenangan dan cuba diingat saat-saat akhir pada sebelum ini sambil mengusap lembut pipinya tiba-tiba dirasakan bagaikan berparut. Jelas dia dapat mengutil sisa kulit yang kekeringan dipipi. Dilihatnya dan didapati wajahnya luka. Mukriz berasa pedih sekali.
‘Arghh! Kenapa dengan wajah aku?!!” bentak hatinya.
Wajah Mukriz masih dapat dipulihkan cuma memerlukan masa. Saat ini dia tertekan sekali akibat parut luka itu. Dia terus bangun dan mencari kalau-kalau ada cermin. Dia mahu menilik wajahnya. Badannya masih terasa kebas namun digagahkan juga. Dia percaya bahawa dia mengalami kecacatan sementara di wajahnya. Tidak sama sekali.
Dalam waktu yang sama, tombol pintu bilik khas itu dibuka. Menyedari ada seseorang diluar yang ingin masuk ke dalam, Mukriz segera mematikan langkah dan matanya tertancap pada bahagian pintu itu.
Niezam muncul di situ. Mata Mukriz terjegil dan sungguh kaget sekali. Kegelisahan di garis wajahnya itu bertukar bahagia. Mulutnya melompong luas. Rasa teruja teramat dalam hingga membuatkan langkahnya laju menghala ke arah Niezam. Doktor itu turut kaget melihat Mukriz tiba-tiba seperti mahu menerkamnya.
“Arfannnnn!!!” laung Mukriz sambil mendepakan tangan.
Niezam tercengang.
Dalam separuh sedar, Niezam telah dipeluk erat oleh Mukriz. Saat ini Niezam betul-betul gabra. Entah kenapa Mukriz mendakap tubuhnya. Jantung Niezam berdetak deras dengan mulutnya masih terbuka. Ekspresi wajah tenang tidak terlihat lagi.
“Fan…aku rindu kau fan..kenapa kau menyepi sekian lama?” desis Mukriz yang tersedu-sedu melepaskan rindu yang terbuku.
“Eh! Kenapa ni?” balas Niezam terkejut.
“Jangan tanya kenapa, Arfan! Aku benar-benar rindu.. biarkan aku mendakap tubuhmu sepenuh hatiku..” balas Mukriz yang bergenang air mata telah membasahi baju di bahu Niezam.
“Awak dah salah orang ni, saya bukan Arfan..” kata Niezam bersungguh.
Mukriz tidak menghiraukan menafian itu malah dakapannya diperkemaskan lagi. Niezam hampir kelemasan. Dada bertemu dada. Nafasnya mula tersekat-sekat.
“Tolong lepaskan saya, please..” rayu Niezam.
“Tidak! Aku takkan akan lepaskan, aku tak nak kau berjauhkan dengan aku lagi.” bentak Mukriz.
“Saya bukan Arfan, saya adalah Doktor Niezam yang merawat awak,” getus Niezam.
Setelah mendengar ucapan itu, Mukriz melepaskan pelukan itu. Dia merenung tajam ke dalam mata Niezam yang disangka itu adalah Arfan. Bagaikan rasa tidak percaya bahawa orang yang berdiri di depannya adalah bukan Arfan kerana wajahnya seiras. Niezam memiliki tubuh ‘tough’ seperti Arfan sebagaimana Arfan yang dia kenal dulu.
Diusap wajah itu, dipegang dagu Niezam yang statik di situ. Disorong ke kiri dan ke kanan untuk menilik wajah Niezam. Diamati dalam-dalam. Memang Arfan.
“Kau memang Arfan.. jangan nak tipu aku, tadi kau telefon aku dan nak berjumpa dengan aku..!” tegas Mukriz.
“Tadi?! Bila saya call awak?! Tiga hari awak koma kat hospital ni tau dan lepas tu awak sedar tapi awak tak ingat apa-apa sebab ingatan awak tiba-tiba hilang.” terang Niezam.
Mukriz tidak menghiraukan kata-kata itu. Ucapan itu tidak dapat menafikan bahawa Niezam bukan Arfan yang sebenar-benarnya. Mukriz tidak percaya. Tapi, cuma satu sahaja cara yang boleh dibuktikan bahawa Niezam adalah bukan Arfan.
“Cepat! Tanggalkan pakaian kau!” arah Mukriz sambil mengangkat kening sebagai tanda tidak puas hatinya.
Kerja gila! Mukriz menyuruh Niezam tanggalkan pakaian di depannya. Untuk apa? Niezam tidak sanggup berbuat sedemikian kerana ia melanggar etika kerja dengan mendedahkan susuk tubuh pada pesakit.
Teganya Mukriz menyuruh perkara yang sedemikian rupa. Dia menurut rasa tidak puas hatinya itu maka dia memaksa Niezam dengan keras dan melemparkan satu renungan tajam.
Niezam mengerling sekilas dia merengus geram kerana pesakitnya bersikap kurang ajar. Mahu disepak sahaja pipi Mukriz tetapi kasihan juga kerana pipi itu masih luka.