SEMENJAK kemalangan itu, Mukriz hanya terbaring kaku. Dengan perlahan-lahan matanya dibuka. Kegelapan dunia ketika dia koma kini sudah berakhir. Ibarat nyawa di hujung tanduk kerana dia mengalami kecederaan parah di kepala. Kala ini kepalanya berbalut tebal. Rasa bingung menjengah di fikiran tatkala dia sedar dari koma.
Saat matanya terbuka, dia menoleh kiri ke kanan dan menyedari bahawa dirinya sekarang berada di sebuah hospital yang entah di mana letaknya. Mukriz mengaduh sakit apabila kepalanya mula berdenyut-denyut. Dirinya sukar untuk bernyawa dan nafasnya tersekat-sekat seperti bernafas dalam lumpur.
“Doktor, pesakit ni dah sedarkan diri..” ucap seorang jururawat perempuan setelah mendapati tindak balas positif ditunjukkan oleh Mukriz.
Doktor lelaki yang dipanggil oleh jururawat tersebut pun menoleh dan melangkah ke arah katil Mukriz. Kala ini Mukriz berada di wad rawatan rapi yang memerlukan jagaan serius. Kesakitan yang dialami oleh anak Datuk Zulhasri ini tidak dapat dibayangkan lagi kerana tangannya juga telah patah dan dibaluti simen. Sungguh malang nasib Mukriz.
Anak tekak jejaka malang ini terasa sungguh kering bagaikan kehausan di padang pasir yang dahagakan setitis embun pagi. Sekurang-kurang dapat meneguk sedikit air sudah memadai baginya. Namun lidahnya mengejal untuk menyuarakan hasratnya itu.
Doktor yang dipanggil oleh jururawat perempuan itu telah berada di birai katil Mukriz sambil menguntumkan senyum manis. Senyuman yang terukir itu sungguh indah sekali. Doktor lelaki berkenaan memang menjadi rebutan di hospital ini termasuk ‘cleaner’ perempuan yang masih solo amat menggilai doktor ini. Kelebihan yang ada pada doktor berkenaan mampu memukau mata setiap gadis yang memandang.
Hebatnya doktor ini yang memiliki seraut wajah yang bersih dan polos walaupun penampilan agak skema dan berkaca mata masih boleh membuatkan ramai gadis-gadis terpikat dengannya. Tidak kurang pula ada sesetangah pesakit pula mengambil kesempatan untuk berkenalan.
Mukriz menghela nafas berat bersama jantung yang berdetak deras itu. Dia cuba bertenang dengan keadaan ini biarpun sungguh pedih menahan kesakitan yang keterlaluan ini. Sesekali terdengar dengusan Mukriz yang runcing itu. Kecelakaan yang tidak diduga ini menjerakan dirinya terlantar di hospital.
“Nurse, bawakan saya segelas air suam..” pinta doktor itu kepada jururawat yang berada di sisinya.
Jururawat itu mengangguk.
Pandangan mata Mukriz pula sekejap terang sekejap kabur dan mula berpinar. Terasa hendak pitam. Kelopak matanya lemah untuk disekang lagi seperti bunga yang kelayuan. Wajahnya tercalar kesan dari serpihan cermin keretanya yang pecah terus mencalit garis-garis luka itu. Harap ia tidak berkekalan.
Sementara menunggu jururawat membawa segelas air yang diminta itu, doktor berkenaan membuka kacing baju Mukriz. Mukriz memandang lemah. Dia tidak berdaya untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak. Badannya kekebasan.
Mukriz kebisuan. Lidahnya mahu menutur kata namun hanya kelihatan bibirnya sahaja tercebik. Dia mahu memberitahu bahawa dadanya sakit. ‘Tolong jangan ditekan.’ jerit hatinya.
Telahan yang tiada benar. Doktor itu tidak mahu menekan dadanya. Lagipun untuk apa perlu berbuat sedemikian. Doktor lelaki itu hanya ingin meletakkan testoskop di situ untuk menguji tahap nadi Mukriz sama ada stabil atau pun tidak.
“Apa yang kamu rasa sekarang?” soal doktor itu.
Mukriz tidak dapat langsung bersuara. ‘Tolong jangan ditanya, aku tidak dapat menjawabnya.’ rayu hati Mukriz.
Tentang perasaannya itu usah disoal berkali-kali kerana sudah tentu dirinya sakit. Dia kebingungan kerana tidak mengenali siapa dirinya dan dari mana pula dia datang hingga kekang di sini. Mukriz bagaikan sudah hilang ingatan. Mahu diingat apa yang sudah terjadi sebelum ini namun hampa. Apa yang dia tahu, dia sedang kehausan. ‘Berikan aku air..’ rayu hatinya.
Tidak beberapa lama kemudian, jujurawat perempuan itu membawa segelas air.
“Doktor Niezam, ini airnya,” ucap jururawat itu.
Doktor Niezam namanya. Satu nama yang cukup indah bila dipanggil dengan nama penuh iaitu Hasnur Niezam Al-Rasyid sebagaimana yang tertera di tanda nama pada bajunya.
Niezam mencapai air yang dihulurkan kepadanya kemudian diletakkan di atas rak. Usai itu dia memulas satu objek di birai katil itu hingga membuatkan kepala katil berkenaan terangkat dan menjadikan Makriz seakan sedang bersandar. Mukriz cuba membulatkan matanya dengan membuka seluas-luasnya namun tenaga yang dikerahkan hanya sia-sia. Mungkin selepas dia meminum air itu dia akan merasa sedikit lega.
Dengan perlahan-lahan Niezam mengambil semula segelas air minuman itu sambil diperhatikan oleh jururawat tersebut.
“Ida, awak boleh pergi sekarang.. saya akan uruskan pesakit ni dan nanti saya akan panggil kamu kalau saya perlukan apa-apa,” kata Niezam dalam rupa arahan.
Jururawat itu mengangguk faham kemudian beredar dari situ.
“Tolong buka mulut, minum air ni, saya tahu awak haus…” pinta Niezam yang seakan memahami Mukriz sedang kehausan.
Niezam seorang doktor maka dia tahu apa pesakitnya perlukan. Maka dia dapat membaca gerak hati Mukriz berdasarkan garis kedutan yang terpamer di rauk wajah duka itu. Jejaka mulus seperti Mukriz ini dilayan bagaikan budak kecil dengan disisipkan gelas berisi air itu ke mulutnya.
Sebelum ini Mukriz tidak lancar dalam menelan air liurnya. Tapi sekarang tekaknya yang kegersangan itu akhirnya sudah lembap. Niezam tersenyum melihat pesakitnya yang menurut kata.
Dunia ini bagaikan terhenti. Dirinya tidak pernah dilayan sebegitu selama ini. Dadanya diurut-urut perlahan oleh Niezam. Mukriz berasa lapang dan kesakitan itu bagaikan hilang buat seketika walaupun dia hanya membisu seribu bahasa. Siapa dia sekarang ini masih menjadi persoalan. Mukriz tidak dapat mengingati apa-apa melainkan wajah Niezam sahaja yang wujud di depannya.
Bagaikan seorang anak yang baru dilahirkan dan baru sahaja dapat melihat dunia. Itulah yang dirasakan oleh Mukriz saat ini.
Hari berganti hari. Sudah masuk satu minggu dia terlantar di hospital dan dalam tempoh itu dia makan bersuap. Niezam sering menyuapkan dia makanan dan selalu mengambil berat keadaan dirinya. Dia seperti pesakit yang terlalu istimewa berbanding dengan pesakit lain.
Kebisuan Mukriz selama seminggu itu menjadi tanda tanya buat Niezam. Adakah Mukriz ini benar-benar bisu atau dia memang terkedu dan trauma dengan insiden yang menimpa dirinya itu. Namun Niezam meletakkan satu kepercayaan dalam dirinya bahawa Mukriz tidak bisu dan mungkin dalam trauma.
Saat ini Mukriz menunjukan tanda-tanda positif, badannya yang seakan lumpuh itu dapat digerakkan. Tangan Mukriz pula sudah pulih. Hari ini dia makan tidak bersuap lagi. Dia boleh minum dan makan sendiri.
Melihat perubahan itu, Niezam melemparkan satu senyuman mekar. Seraya itu dia bertanya pada Mukriz.
“Apa nama awak?” Niezam menanyakan nama pesakitnya yang tidak diketahui identiti itu.
Mukriz terbungkam sahaja kerana dia sendiri tidak tahu siapa dirinya. Dia merenung tajam ke wajah Niezam persis Arfan. Dia cuba menalaah wajah itu. Dia seperti mengenali wajah itu tapi di mana. Untung Niezam kerana memiliki wajah seiras Arfan dan pada hakikatnya Niezam bukanlah Arfan.
“Kenapa awak pandang saya macam tu? Macam mahu makan saya saja..” seloroh Niezam yang sedang duduk di birai katil Mukriz.
Mukriz menggeleng dengan wajah yang berkerut.
Bertambah malang nasib Mukriz. Hentakkan kuat di kepalanya ketika kemalangan yang berlaku itu telah menyebabkan gegaran otak hingga mengakibatkan dia lemah daya ingatan. Diharapkan keadaan ini hanya sementara sahaja.
Ditakdirkan pada waktu kemalangan terjadi, Niezam melalui jalan itu ketika dia dalam perjalanan pulang dari kerja. Kereta BMW milik Mukriz remuk setelah bertembung dengan sebatang pokok di tepi jalan. Keadaan jalan pada waktu itu sungguh sunyi namun sorotan mata Niezam tertancap pada lampu motor yang diparkir di bahu jalan dan kelihatan ada sepasang manusia cepat-cepat meluru ke arah motor lalu beredar setelah menyedari ada kenderaan yang lalu.
Niezam curiga. Dalam keadaan begitu Niezam memberhentikan kenderaan yang dipandunya dan memberanikan diri turun dari perut kereta lalu menghampiri kenderaan Mukriz itu. Niezam kaget dengan situasi itu. Kehadiran dua orang lelaki di situ bukan untuk membantu malah merompak segala isi yang ada di dalam perut kereta Mukriz termasuk telefon dan dompet milik Mukriz dilarikan mereka.
Sungguh tidak berperikemanusiaan. Tergamak membiarkan mangsa kemalangan parah pengsan di situ.
Dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman di dada, dia tahu cara yang betul untuk mengeluarkan mangsa itu dan merangkul tubuh Mukriz sedaya yang boleh dan di bawa masuk ke tempat duduk belakang keretanya. Mangsa yang berlumuran darah itu tidak bergerak lagi dan hanya mendengar dengusan nafas turun dan naik. Ia menunjukan bahawa mangsa belum meninggal dunia.
Maka Niezam berpatah semula ke hospital untuk menghantar Mukriz yang parah. Takdir Tuhan tidak membiarkan Mukriz sendirian di situ. Dia dibantu oleh insan yang berhati mulia seperti Niezam.
p/s : harap ditegur kesilapan yang mungkin ada di dalam posting ini... terima kasih.. nantikan bab seterusnya...