Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 22)

ANAK mata jernih Amran melihat jam di dinding, sudah pukul 2.30 pagi dan Mukriz masih juga belum pulang. Di situ dia terbaring kaku di atas tilam empuk dengan begitu selesa sekali. Namun begitu, dalam keadaan ini hatinya kalut dan tidak setenang sungai yang mengalir hingga ke muara. Nafas ditarik dengan perlahan sekali dan dihembus lembut. Amran mahu melapangkan dadanya buat seketika.

Keluhan rasa yang bersarang di relung hati itu semakin berpusaran sehingga menerbitkan kegelisahan. Dada yang ingin dilapangkan pula menjadi parah dan bergelora. Dengan tiba-tiba sahaja jantungnya berdetak kencang bagai badai datang melanda telah meranapkan atap jiwanya yang sekali gus diterbangkan oleh sang puting beliung tanpa belas itu.

Kemalangan yang menimpa Mukriz tidak diketahui oleh Amran namun nalurinya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Jelas dan teramat mendalam rasa itu hingga dia tidak dapat melelapkan mata.

Hari ini sudah masuk malam ke dua Mukriz hilang. Rakan-rakan pejabat juga tidak tahu ke mana Mukriz pergi. Amran sudah berkali-kali menghubungi Mukriz namun panggilannya itu tidak dapat disambungkan. Di kala itu Amran membuat telahan bahawa bosnya itu mungkin pulang ke rumah Datuk Zulhasri.

Walau apa sekalipun telahan dibuat yang pastinya semuanya adalah tidak tepat. Mukriz tidak ke rumah Datuk Zulhasri tetapi Mukriz terlibat dengan kemalangan. Hari ini sudah dua hari dia tidak pulang. Bagaimana keadaan Mukriz ketika ini agaknya dan di mana dia berada masih menjadi persoalan.

Digali lubuk rasa yang tidak berkesudahan itu dan dikambus semula dengan tinta-tinta kerinduan agar hati Amran bersyair merdu tanpa sebarang keraguan.

‘Aku mahu tahu siapa kau yang sebenarnya, sungguh dan terpaksa aku menurut kehendakmu biarpun ia tanpa relaku. Aku tidak akan ke sini melainkan demi rahsia itu. Perasaan ingin tahuku ini tidak akan terhapus sampai bila-bila. Tetapi di manakah kau berada sekarang? Pada malam ini aku mahu menyoalmu dan pada malam ini juga aku ingin..’ saat Amran bermonolog sendiri, akhirnya kata-kata itu tidak dapat disudahkan kerana dia menerima satu panggilan telefon di pagi buta ini.

“Assalamualaikum, Am,” kedengaran suara Nadia di hujung talian.

Amran menjawab salam yang dihulurkan itu dengan suara yang sedikit garau lantas dia menyoal Nadia kenapa menghubungi di lewat pagi ini seperti Nadia tahu sahaja dia tidak dapat melelapkan mata. Mesti ada informasi yang hendak disampaikan.

“Aku nak beritahu kau yang Suraya nak berhenti kerja,” cerita Nadia.

“Tapi kenapa?” Infomasi itu menarik perhatian Amran untuk mengetahui selanjutnya dan bersedia menerima dengan sebarang jawapan yang akan diwar-warkan oleh Nadia sekejap lagi.

“Aku dengar dua hari lepas dia sepak bos kat restoran,” ujar Nadia.

“Ya ke? Kau jangan buat cerita pulak Nad..”

“Ya betul! Kalau kau tak percaya kau boleh tanya Si Kamal pekerja restoran tu, dia yang beritahu aku,” kata Nadia.

“Restoran mana ni?” soal Amran agak kaget.

“Restoran Nasi Kandar Mukmin tu..” balas Nadia dengan kata yang dileretkan sedikit.

Sukar untuk Amran mempercayainya. Kenapa baru sekarang Nadia menceritakannya atau mungkin Nadia sengaja ada-adakan cerita. Mudah sangat percaya cakap orang lain.

“Masa tu aku ada laa dan aku memang nampak Suraya kat situ tapi tak ada pulak aku rasa ada benda pelik yang berlaku kat bos kita tu,” Amran menyangkal kebenaran.

Tidak kena dengan waktu untuk Nadia memberitahu semua ini. Padahal dia boleh tunggu hingga esok sahaja. Sengaja mahu menghangatkan suasana.

“Suraya tu memang melampau,” tempelak Nadia.

“Tak baik kau cakap macam tu, mesti ia bersebab kalau tak masakan Suraya sanggup sepak Mukriz,” duga Amran.

“Kau belalah Suraya tu, bukan dapat apa pun!” bentak Nadia.

“Kau nak marah sangat ni kenapa?”

“Mestilah aku marah sebab Mukriz hilang! Semalam dan hari ni aku tak nampak muka dia, kalau muka Suraya aku tak nampak tak apalah jugak! Tapi aku nak beritahu kau satu perkara lagi, Suraya bakal berhenti kerja. Baru senang hati aku..” kata Nadia yang sarat dengan emosi dan penuh rasa benci.

“Aku tahu kau syok kau syok kat Mukriz tu, jangan bermimpilah Nad, kau cermin diri kau tu dulu, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong..” kata-kata Amran sudah pasti membangkitkan rasa marah Nadia.

“Porah!! Pipi aku tak mancung tak apa asalkan aku bukan binatang yang banyak bulu..” cetus Nadia.

Mereka membalas keji mengeji antara satu sama lain. Amran mungkin rasa tercabar dengan mulut Nadia. Tapi mulut Amran juga boleh tahan. Sebelum ini dia jarang perli nadia seperti itu tapi sekarang sudah berubah. Mungkin dia sudah menjadi pembantu peribadi Mukriz agaknya.

“Orang kata spesis yang banyak bulu macam aku romantik okey! Aku bukan macam kau mulut monyet kena belancan,” balas Amran pula.

Sudah tersasar jauh dari topik asal perbualan mereka. Sampai ke tahap mencaci kelemahan masing-masing.

“Ooo lupa pulak aku, kau sekarang dah jadi PA Mukriz, mesti kena berlagak kan? Dan kau pasti tahu mana dia pergi kan? Cepat cakap! Aku tahu kau nak berahsia dengan aku..” Nadia perli Amran.

“Kredit kau masih banyak lagi ke?” soal Amran.

“Aku pakai line la wahai mangkuk tingkat!” kata Nadia.

“Ooh lupa la yang kau ni kera sumbang..” Amran membalasnya.

“Tu la banyak sangat makan maggi otak jadi lembap! Cepatlah cakap bulu!!!”

“Alamakkk!! Bateri aku kong!!” pekik Amran beralasan.

‘tutttt tuttt tutttt’ talian terputus.

Amran sengaja memutuskan talian. Malas hendak melayan Si Nadia itu kerana pasti ada sahaja gosip-gosip terkini yang ingin disampaikan kepadanya. Sampai esok pagi pun tidak akan habis. 

Kadang-kadang dia geram dengan sikap Nadia tapi dia sudah faham perangai sebenarnya. Jadi dia tidak terlalu ambil berat dengan apa yang dikatakan Nadia cuma terdapat sedikit keraguan, ‘Pada masa bilakah Suraya menampar Mukriz?’ tanyanya sendiri.

‘Pada waktu aku bertembung dengan Suraya, sebelum tu mungkin dia dah tampar Mukriz, but..why Mukriz tak beritahu aku? Eh! Perlu ke aku tahu? Aku dah tanya kenapa dia muram selepas tu, tak ada pulak dia nak cakap..! Kenapa Suraya tampar Mukriz ya? Ni yang buat aku naik angin ni, suka-suka hati tampar bos sendiri..’ Amran membuat telahan sendiri. Dia menelaah setiap sudut.

Dari birai katil dia segera bangun dan berjalan ke muka tingkap. Diselak langsir dan direnung ke luar. Pagi yang berkabus diterangi pula dengan sinaran bulan meredupkan lagi rasa di pantai hatinya. Letih merungkai persoalan ini.

***

“FISA! Tolong ke tepi sikit.. jangan hadang laluan PA bos kita tu..” Nadia sengaja menyakiti hati Amran sebaik sahaja dia tiba ke Wisma Wasadi.

Tatkala Nafisa sedang menghulurkan fail kepada salah seorang pekerja yang lain itu, Nadia telah berkata-kata seperti itu meminta dia memberi laluan pada Amran. Pada dasarnya tidak ada kena mengena langsung. Perempuan itu memang sengaja mahu menyakiti hati pemuda berbulu ini.

Nafisa mengangkat kening. Selama ini dia ingatkan Nadia seteru dengan Amran. Tapi kenapalah Si Nadia seperti mahu kondemkan Amran pula.

“Wei kera sumbang! Kau apahal?!” Amran memarahi Nadia.

“Wahh!! PA marah.. err Amran! Suraya dah berhenti kerja..!” cepat benar Nadia mewarkan informasi terkini.

Bergoncak alur hati Nafisa mendengar ucapan Nadia kepada Amran. Perempuan gedik seperti Nadia mempamerkan wajah bahagia kerana Suraya tidak datang hari ini dan dia mendapat tahu bahawa Suraya membuat keputusan untuk berhenti kerja walaupun Mukriz masih belum mengetahuinya.

Amran menoleh lalu merenung tajam ke arah Nadia. Dia memang bengang gila dengan sikap paranoid Nadia.

“Kau pernah makan kasut saiz 14 tak? Kalau kau nak rasa aku minta Si Bob suapkan kat mulut kau tu! Aku dengar dia pun dah lama nak beri kau makan kasut dia tu!” Nafisa memekup mulutnya menahan rasa ingin gelak apabila Amran berkata seperti itu. Deras pula lidah Amran menyusun kata.

Muncung panjang galah Nadia tercoret di situ. Mengerling pula dia pada Amran lali menghentak-hentak kakinya dan mengayun langkah masuk ke ruang bilik buat air.

Padan muka. Malu dia sebab Bob yang dikatakan oleh Amran itu merupakan budak hantar surat. XXL saiznya. Dia minat dan suka pada Nadia. Tidak boleh dibayangkan macam manalah agaknya kalau Nadia merempit dengan Si Bob itu.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.