PERTEMUAN Amran dengan Mukriz dilanjutkan, dari restoran nasi kandar terus sahaja menghala ke sebuah taman yang indah dan mengasyikkan. Waktu tengah hari yang telah menjengah petang itu tidak dihiraukan.
Amran memang tidak datang kerja juga pada hari ini. Mukriz sedia maklum tentang hal itu dan dia tidak kisah.
“Riz, dari tadi awak diam sahaja, kenapa?” soal Amran yang duduk di bangku sedang berdua-duaan dengan Mukriz cuma agak jarak sedikit.
Amran melihat Mukriz bermain-main dengan jari-jemari sendiri seperti sedang memikirkan sesuatu. Sesekali dia melihat Mukriz sedang menggosok pipi. Amran masih belum mengetahui kisah Mukriz telah ditampar oleh Suraya sewaktu di restoran tadi. Mungkin Mukriz tidak mahu menceritakannya atau juga dia segan.
Pertanyaan Amran hanya dibalas dengan keluhan yang cukup berat. Hal ini menyebabkan Amran menguis lembut dagu Mukriz untuk menghalakan wajah tampan Mukriz itu melihat ke dalam matanya.
“Kenapa ni, muram saja? cubalah senyum sikit..” pujuk Amran.
Tiba-tiba sahaja Amran mengambil berat tentang Mukriz. Selama ini dia tidak serius begini. Kebiasaannya Amran selalu sahaja berseloroh dan akan membuatkan Mukriz rasa ingin ketawa dengan cerita-cerita lucu waktu dipejabatnya.
Setelah disoal begitu, Mukriz tersenyum namun masih nampak kaku. Biarpun dia cuba menyembunyikan masalahnya namun sedia terpamer garis-garis halus pada kerutan di dahinya itu.
“Awak suka dengan apa yang saya berikan pada awak malam tadi?” tiba-tiba Mukriz menyoal pula sambil menoleh ke arah Amran yang nampak sedikit terkejut.
Mukriz sengaja bertanyakan hal malam tadi kepada Amran demi merahsiakan apa yang baru berlaku. Mungkin saat ini Amran tidak tahu tapi bila perkara tersebut sudah mula jadi buah mulut orang, Amran akan tahu juga. Rasanya lebih elok dia berkongsi masalah dengan Amran, siapa lagi yang dia boleh harapkan?
Dari sudut itu pula Amran seperti gabra. Persoalan yang diajukan kepadanya begitu sensitif kerana dia merasakan harga dirinya seperti dipertaruhkan. Mungkin sebab malam tadi sewaktu Mukriz meminta dia hulurkan tangan. Memang Amran menghulurkan tangannya tapi telahan yang dibuat adalah meleset sama sekali. Mukriz meletak kunci kereta di telapak tangannya.
Pada waktu itu Amran kaget, benar-benar tidak menyangka kerana Mukriz meminta dia menggunakan kereta Honda Accord. Kenapa sampai begitu sekali tindakan Mukriz?
“Am, saya tanya awak, kenapa tak jawab?” Mukriz menyoal lagi kerana Amran tidak terus menjawab pertanyaan itu.
“Ya saya, sorry bos..” ucap Amran yang teringatkan peristiwa malam tadi.
“Mukrizlah!” balas Mukriz deras.
“Ya Mukriz..hehe..” tawa Amran setelah Mukriz mengingat dirinya supaya jangan dipanggil bos lagi.
“Awak setuju ke dengan cadangan saya tu, Am?” Mukriz menyoal Amran.
“Cadangan apa bos?” Amran buat-buat lupa.
“Mukriz!” ingatnya lagi.
“Ya cadangan apa Mukriz? err jangan marah Riz, makan masa sikit nak panggil awak macam tu..” Amran kadang-kadang tersasul dan kadangkala dia berkata dengan penuh kelembutan serta agak manja.
Mukriz termuncung mulut, kali ini nampak comel pula dengan ekpresi wajah seperti itu. Tanpa disengajakan Amran bertindak spontan dengan menonyoh lembut bibir Mukriz.
Dengan pantas Mukriz mengangkat keningnya sambil mengetap lembut bibirnya yang nampak merah. Bibir seperti itu memang nampak cantik kerana Mukriz bukan seorang perokok, begitu juga dengan Amran. Merokok tidak bagus untuk kesihatan.
Amran mencebik setelah Mukriz merenung tajam ke arahnya. Amran menyangka Mukriz marah dan dia tahu tindakan itu adalah tidak sepatutnya. Namun tangannya itu cepat benar bertindak.
Deruman kata di jiwa Amran sungguh laur biasa, tidak dapat didengari oleh Mukriz yang ketika ini mata jejaka itu sedang tertancap pada pohon bonzai yang ada di sebelah mereka. Jejaka berbulu mata lebat ini pula tidak mampu tersengih kerana masih dihantui oleh rasa serba salah terhadap Mukriz. Entah kenapa dia sering dipukul oleh rasa itu.
Dinding hatinya diketuk kuat dan bertalu-talu mahu ditembusi jua persoalan-persoalan yang sekian lama dicerna oleh mindanya. Namun belum lagi terjawab.
Mukriz mengeluh setelah Amran masih bertanya tentang apa cadangannya padahal Amran telah pun mengetahuinya. Mukriz hanya menunggu kata putus dari Amran.
Hampir seminit dua dia menandang ke tepi akhirnya dia menoleh semula ke arah Amran agar dirinya dapat mengetahui jawapan Amran.
“Cadangan saya pada malam tadi tu..awak setuju ke tak?” Mukriz cuba mengembalikan ingatan Amran seakan-akan terhapus itu.
“Setuju!” jawabnya deras.
Jawapan sudah terpacul dari mulut Amran biarpun pada malam tadi dia berdalih hebat kerana Mukriz telah pun ada setiausaha di pejabat. Untuk apa lagi dia perlukan pembantu peribadi pula. Kata Mukriz, di pejabat memang Suraya sebagai setiausahanya tapi dalam kehidupan sosialnya pula dia mahu Amran membantu.
Persetujuan telah diberikan. Jawapan itu telah membuatkan Mukriz tersenyum puas. Akan tetapi tidak bagi Amran yang terpaksa mempertaruhkan harga dirinya yang terpaksa tunduk dengan kemahuan Mukriz semata-mata kerana hutang.
Apabila Amran bersetuju maka Mukriz menghulurkan sekeping kertas yang terlipat kemas dalam kocek kemeja lengan panjangnya bersama dengan sebatang pen. Perjanjian harus dibuat dan Mukriz memang pantas dalam bab perjanjian. Mungkin dengan adanya persetujuan maka segala perubahan atau pun ketidakjujuran maka mudah bagi Mukriz mendakwa Amran.
Nampaknya Mukriz seorang yang berhati-hati seperti kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Bukan dia tidak percayakan Amran tetapi dalam soal ini dia perlu menjaga kepentingan peribadinya agak tidak dicemari.
Amran mengambil surat perjanjian itu dari tangan Mukriz lalu membacanya.
1. Mesti jujur
‘Aku tak jujur!’
2. Simpan rahsia
‘Mulut boleh tahan’
3. Berfikiran terbuka
‘Aku cuba..hehe’
4. Tidak boleh mendedahkan perkara-perkara yang sensitif
‘Aku suka’
5. Bezakan situasi antara pejabat dan luar pejabat
‘Sudah tentu’
6. Menurut arahan dan tidak membantah.
‘Selama ni aku tak pernah kurang ajar’
7. Jangan sembunyikan perkara yang sepatut majikan perlu tahu.
‘Aku dah sembunyikan banyak perkara dari dia’
8. Mesti tinggal di rumah majikan
‘Arghhh!! Yang ini aku takut!!’
Terlalu banyak syarat yang dikemukan namun seandainya Amran bersetuju maka dia perlu menurunkan tanda tangannya di situ. Tapi adakah mulut Amran selari dengan hatinya? Dia bersetuju dari mulut tapi apa pula reaksinya setelah membaca syarat-syarat itu? Semua mudah sahaja kecuali tinggal di rumah Mukriz.
Kalau Mukriz memberi syarat, mesti ada yang terkedu. Seperti sebelum ini, Suraya juga kaget dengan salah satu syarat yang ada di dalamnya. Tapi soal Suraya sudah terjawab kerana setiausahanya itu tidak setuju. Itu tanggapan Mukriz. Maka dengan itu dia perlu mencari seseorang yang lain. Dalam masa ini otak Mukriz belum dapat memproses perkara itu. Dia perlu menumpukan perhatian pada tangan Amran. Adakah tangan Amran akan menanda tangani kontrak terbabit?
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)