Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 19)

KALI ini lain tanggapannya tidak seperti dulu, baginya untuk menelaah apa yang bakal berlaku selepas membuat pilihan adalah bukan sesuatu yang enteng. Pusing kanan dan pusing kiri balik-balik nampak muka Tembok Besar China itu lagi. 

Suraya mengeluh berat tatkala dia sedang gelisah menunggu Mukriz hadir bertentang mata di restoran ini. Suraya tidak senang duduk kerana tiba-tiba pula Nadia juga berada di sini. Entah bagaimana si tembok itu boleh ubah angin makan tengah hari di restoran nasi kandar ini pula. Selalunya dia ke restoran Melayu.

Patutlah dia tidak selesa. Geram benar dia dengan Nadia itu hingga hampir tindak tanduknya diperhatikan oleh si wanita itu. Mungkin dia rasa tergugat dengan kewujudan perasaan Suraya terhadap Mukriz gamaknya.

Panahan rasa memantulkan bibik-bibik cinta itu amat tidak disenangi Nadia kerana dia juga menaruh perasaan cinta, sayang dan kasih pada Mukriz. Mampukah dia menyaingi Suraya yang sedetik lagi akan berkepit dengan bos sendiri di dalam telenovela yang bakal dipertontonkan kepada mata-mata runcing.

Makan hati Si Nadia selepas ini yang sedari tadi sering menjeling sarat dengan rasa menyampah dan meluat itu. Pasti mendidih darah si wanita berkulit hitam manis apabila melihat Mukriz makan bersama Suraya sekejap lagi. Mungkin Mukriz dalam perjalanan ke situ. Suraya berkali-kali menjengah jam di tangannya. Kelibat bosnya belum terpacul lagi. Suraya mengeluh kecil.

Sorotan hambar matanya hanya menoleh perlahan kiri dan kanan. Sekilas dia menyisip minuman berkarbonat itu.

‘Mana bos ni, lembap betul! Janji tengah hari tapi sekarang waktu lunch pun dah nak tamat,’ getus hatinya.

Tiba-tiba Suraya tersenyum mempamerkan keindahan pada garis wajahnya yang tadi berkerut sahaja. Akhirnya kelibat Mukriz yang ditunggu-tunggu itu pun tiba. Dalam masa yang sama Nadia menyentapkan diri dengan meninggalkan tempat makannya itu dengan tersera-sera, mungkin rasa meluat kian membukit yang sukar untuk ditarah lagi.

Dijadikan cerita Nadia cepat-cepat meluru pantas berdepan dengan babak lakonan ciptaan sendiri, rupanya dia ada agenda. Terus dia mengayun langkah dengan pantas seperti minah rempit dikejar polis lagaknya.

Kala Mukriz tercari-cari di manakah kedudukan Suraya kerana di dalam restoran itu terdapat banyak orang maka matanya harus meliar deras. Di saat ini juga Suraya melambai-lambai sambil ekor matanya sempat memandang pada kelajuan Nadia yang berjalan tanpa batasan itu menuju ke arah Mukriz. Bosnya itu tidak perasaan kewujudan Nadia di situ yang seperti halimunan terus melanggar bahu Mukriz dengan sengaja dan buat-buat jatuh.

Hebat perempuan itu yang kononnya sedang mencari sesuatu di dalam beg tangannya sehingga terlanggar Mukriz. Walhal tindakan itu sudah dapat diagak oleh Suraya yang kebetulan memerhatikan tingkah laku Nadia itu. Mukriz mempamerkan wajah serba salah setelah melihat Nadia terjatuh itu dan merintih sakit. 

Plastik sangat.

“Eh! Nadia awak tak apa-apa ke?” tegur Mukriz sambil membantu Nadia untuk bangun.

Banyak mata yang memandang termasuk Suraya melihat Mukriz sedang memapah Nadia bangun. Begitu menjengkelkan sekali cara Nadia itu.

“Aduh..sakitnya pinggang saya bos..” adu Nadia.

“Sorry Nad, saya tak sengaja..” ucap Mukriz.

“Bukan salah bos, salah saya yang jalan tak tengok orang,” balas Nadia.

Kali ini terbalik, darah Suraya yang sebenarnya mendidih parah rupa-rupanya setelah melihat insiden yang disengajakan itu. Tempat kejadian yang tidak berapa jauh itu telah tersedia dilaporkan oleh mata dan ditelaah oleh hati lalu dipersembahkan oleh otak itu dengan tegas mencetus rasa panas yang meledak-ledak.

Suraya terus mencebik manakala Nadia pasti keriangan dan mungkin sedang berkata ‘Yeay! Padan muka Suraya!’ dalam hatinya.

***

“MAKANLAH dulu,” pujuk Mukriz.

“Tak apa, saya dah nak masuk office..bye” rajuk Suraya.

Suraya mahu mengejar masa. Kelewatan Mukriz itu telah membenihkan rasa tidak puas hati di dalam dirinya, ditambah lagi dengan kejadian tadi sungguh menjengkelkan.

Saat Suraya mula melangkah yang mahu meninggalkan Mukriz terkulat-kulit itu, tiba-tiba dia merasakan tangannya dipaut. Hangat betul sentuhan itu. Berderau darah Suraya ketika itu saat dia menoleh deras. Mukriz memegang tangan Suraya untuk tidak melangkah meninggalkan dirinya.

Mata Suraya membulat besar maka satu tenaga yang telah dipertingkatan dengan enjin pemanas yang berkuasa tinggi di hati itu telah membuka telapak tangan dengan seluas-luasnya dan terus merentap deras tangannya itu lalu menampar pipi Mukriz. Pang!

Seorang pekerja menampar bos sendiri di dalam restoran. Sungguh mengaibkan. Hebat sungguh Suraya menjadi popular selepas ini. Atau mungkin akan dibuang kerja. Mukriz melompong sambil menggosok pipi sendiri. Sakit agaknya. Datin Azizah dan Datuk Zulhasri pun tidak pernah buat dia, sampai nyamuk pun langsung tidak mahu dibagi gigit tubuh Mukriz. Selama hidup ini dia tidak pernah ditampar apatah lagi dicubit.

Mata Mukriz kemerahah. Suraya pula membulat besar matanya sambil merengus geram. Suraya tidak rasa bersalah dengan tindakan itu. Mukriz menerima habuan yang setimpal dengan caranya yang dirasakan sungguh biadap hingga mampu memegang tangan perempuan. Suraya punyai maruah diri tidak mudah disentuh dengan sesuka hati oleh seseorang yang bergelar lelaki.

Tapi bagus, susah hendak mencari lelaki seperti Mukriz yang nampak tenang sahaja biarpun dimalukan sebegitu. Mungkin dia sedar perbuatannya itu telah menimbulkan rasa marah Suraya. Dia layak menerima satu tamparan agar dapat dijadikan pengajaran.
Tidak dapat dibayangkan betapa tinggi kesabaran Mukriz ketika ini. Dia masih rasional cuma kehidupan sosialnya sahaja yang terbatas.

“Walaupun awak bos saya jangan suka-suka hati nak pegang tangan saya! Awak tak ada hak!” marah Suraya.

Mukriz tunduk.

“Su, sorry..” minta Mukriz dengan suara yang agak perlahan.

Insiden itu diperhatikan oleh banyak mata. Memang malu tambah lagi ada yang mengenali Mukriz. Mesti akan jadi buah mulut selepas ini.

“Pada mulanya saya memang bersetuju nak tolong awak! Tapi memandangkan apa yang awak dah buat saya tak jadi tolong awak! Lebih baik awak cari orang lain je!” bentak Suraya yang sudah hilang rasa hormat terhadap Mukriz.

Dia tidak sedar apa yang dia cakapkan kerana dia sedang berbohong. Hatinya memang mahu menjadi teman wanita olok-olok pada Mukriz tapi saat ini dia rasakan maruahnya sebagai seorang perempuan sungguh tercalar.

Wajah Mukriz berkerut dan tidak dapat diduga apa yang sedang bermain di benaknya kala ini. Tentang Suraya pula dia merenung tajam ke arah Mukriz yang sekejap-sekejap tertunduk. Dia tidak dayus untuk membalas semula seperti apa yang Suraya lakukan sebentar tadi. Lelaki penyabar sepertinya telah pun pasrah.

Akhirnya Suraya meninggalkan Mukriz yang terpinga-pinga dan di saat dia meluru pantas keluar dari restoran, dia bertembung pula dengan Amran yang baru melangkah masuk ke dalam restoran. Amran tidak ada di pejabat pada pagi tadi sekarang kelibatnya terpacul di situ.

“Tepilah mangkuk!” bentak Suraya dalam bentuk arahan setelah hampir berlanggar dengan Amran yang seakan menghalang laluannya.

Amran hanya mengerling matanya melihat Suraya yang sedang marah-marah dengan wajah berkerutnya.

Ketika ini Suraya tidak terfikirkan lagi kenapa Amran tidak masuk kerja pada awal pagi tadi kerana dia benar-benar marah dan hanya merengus geram membayangkan situasi tadi.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.