AMRAN masih kaget. Kala ini matanya sukar dipejamkan apatah lagi untuk lena. Matanya tertancap pada jam dinding yang menunjukan pukul 2.30 pagi. Selepas komputer ribanya dimatikan dia terus sahaja terbungkam di katilnya.
Fikirannya menerawang terbang melayang di awan-awangan terfikirkan apa yang dilalui tadi ketika berada di rumah Mukriz. Dia ke sana semata-mata untuk mengambil dompetnya yang tercicir. Dia menduga tepat bahawa di situ dompetnya tertinggal.
Akhirnya dia mendapat semula dompetnya itu di bilik bacaan rumah banglo Mukriz itu.
Hari ini dia menerima satu kejutan hebat. Dia benar-benar tidak menyangka. Mengapa harus dia menerimanya? Dia sendiri tidak tahu dan kenapa pula Mukriz sanggup berikan apa yang dirinya sendiri tidak harapkan.
Sungguh di luar jangkaan. Mukriz terlalu baik tapi apakah tujuan sebenarnya? Pelbagai teori lahir dari ledakan rasa ingin tahu. Begitulah spekulasi Amran yang mungkin akan mati seperti cicak yang tersepit di celah pintu atau seperti anak ayam mati terpijak.
Lebih kurang begitulah.
Bermula dari hal mencari surat hingga kepada yang baru terjadi pada malam ini.
Abaikan dulu.
Bermula dari hal surat itu. Apa kepentingan surat itu? Mukriz begitu mengharapkan surat itu ditemui.
‘Tapi kenapa aku jahat sangat?’ soal hatinya.
Amran seperti melakukan satu kesalahan. Kesalahan apakah yang telah dia lakukan hingga dia memaki hamun dirinya sendiri?
“Aku tak fahamlah..Bos aku ni.. siapa dia yang sebenarnya?” desisnya sendiri di atas katil sambil lengan kanannya menapak pada dahi.
Kala ini pula Amran teringatkan bicara Mukriz,
“Am, saya harap sangat dapat jumpa balik dengan surat itu, surat itu benar-benar bermakna buat saya, saya cuai saya tak tahu mana saya letak, saya bingung Am..bingung…” kata Mukriz dengan penuh emosi.
“Sabarlah Mukriz, mungkin nanti jumpalah tu, cuba Riz ingat balik kat mana sebenarnya Riz letak surat itu,” balas Amran yang cuba biasakan diri dengan memanggil bosnya dengan nama seperti itu.
Mukriz mempamerkan wajah hampa dan kendur sekali. Soratan mata yang ditonjolkan itu sungguh malap dan sayu. Kecewa yang teramat dalam sekali.
Amran runsing. Dia rasa bersalah. Dia boleh dikatakan sebagai seorang yang telah mengambil kesempatan. Kenapa begitu?
Memang patut dia rasa bersalah! Semalam dia sebenarnya telahpun menjumpai surat itu di dalam sebuah novel bertajuk Noda karya Richie Rachman yang secara kebetulan terjatuh lalu terbuka, maka terlihatlah surat berwarna biru air laut itu tapi dia cepat-cepat sorotkan semula ke dalam bajunya surat itu. Sengaja dia bawa balik ke rumahnya pula. Novel apakah yang dibacakan oleh Mukriz itu? Dia sendiri tidak pasti tapi dari tajuknya itu, dia seperti dapat mengagak cuma kebenarannya belum lagi terungkap.
Itulah kesalahan yang dilakukan Amran. Dia tidak jujur. Tapi sehingga saat ini dia belum lagi membaca isi surat itu. Namun perasaan ingin tahu begitu ketara sekali. Perlukah dia membacanya atau pulangkan semula kemudian mendapat habuannya dengan segala hutangnya itu secara automatik akan terhapus?
“Tolonglah saya kali Am, kalau awak temui surat itu saya akan berikan apa yang awak nak, ini janji saya,” kata-kata Mukriz penuh dengan harapan.
Mukriz merayu-rayu hingga menampakkan betapa hebatnya surat itu. Ini membuatkan dia ingin membuka surat itu dan membaca kandungan surat itu.
Segera dia bangun dan mengambil surat itu yang diletakan di atas meja kecil dalam biliknya. Surat bersampul biru air laut itu dicapainya. Dia menilik berkali-kali, dilihat stem yang tertampal di bucu surat itu terdapat cop dari Hong Kong. Jelas menunjukkan surat itu adalah sepucuk surat lama bertahun lamanya berdasarkan tarikh yang tertera di situ.
Amran hendak buka dan baca surat itu?
Amran ragu-ragu. Perlukan dia membacanya? Tega hatinya membaca rahsia orang lain. Mungkin dia ingin tahu rahsia surat itu. Ya! Dia benar-benar ingin tahu.
Adakah Amran akan membukanya?
Jantungnya berdetak kencang. Seandainya dibuka surat itu maka dia bertambah tidak jujur. Akan tetapi rasa ingin tahu membuak-buak. Bisikan syaitan mahukan dia membuka surat itu.
Amran menarik keluar sedikit, namun dia nampak ragu-ragu lagi lantas disorong masuk semula.
‘Aku tak boleh baca surat orang..tak boleh! Tak boleh!’ Amran melarang dirinya.
Dia menjadi tidak keruan. Dia memang tidak berhak membukanya biarpun dia tahu nama si pingirimnya adalah seorang lelaki. Arfan Jamaluddin nama si pengirim surat itu. Surat yang begitu bererti buat Mukriz yang dicari-cari itu.
‘Siapa Arfan ni buat Mukriz? Kenapa nampak seperti bermakna sekali surat ini? Aku tak boleh bertanya lagi, kalau aku mahu tahu aku mesti baca..’ bisik hatinya.
Amran perlu membukanya supaya dia tidak lagi tertanya-tanya. Demi sebuah persoalan dia perlu mengorbankan kejujurannya agar mendapat jawapannya. Dia memang sudah tidak jujur. Dan tidak perlu lagi teragak-agak.
Dia main tarik-tarik tali pula dalam hal ini. Sekejap hendak dan sekejap tidak hendak. Mana satu mahunya. Dia gelisah sahaja. Berkerut wajahnya. Mulutnya termuncung panjang sedepa boleh disangkut dengan penyangkut baju di situ.
Jiwanya mesti ditenangkan. Perlu banyak bersabar dengan situasi ini. Amran menghela nafas dalam-dalam saat dia sedang duduk dibirai katilnya. Kemudian matanya merenung tajam ke arah surat itu.
‘Buka sajalah, lagipun bukan dia tahu pun aku baca surat ni,’ kata hatinya.
Akhirnya surat itu dibukannya juga. Deras-deras dia meleraikan lipatan kertas itu. Tiba-tiba dia terbeliak biji mata.
Apa kena?
Dia tidak akan mengerti apa-apa pun. Dia tidak akan mengetahui kebenarannya. Padan muka dia. Siapa suruh buka surat orang. Jelirkan lidah buat dia biarkan hatinya tidak tenang.
Kod rahsia memang sukar dipecahkan, anti virus yang dipakai oleh Mukriz sungguh kuat. Ini bukan cetak rompak kerana ia adalah ‘original’ kekal begitu dan tiada siapa akan mengerti tulisan itu melainkan Mukriz dan Arfan sahaja. Itulah dia tulisan rahsia antara mereka.
“Ceh! Tulisan rahsia mana aku nak faham!” gerutu Amran.
Kesian Amran tidak dapat dia mengetahui isi kandunganya. Sia-sia sahaja dia main tarik-tarik tali tadi.
Nampaknya Amran kena pulangkan semula surat itu kerana ia akan kekal menjadi satu rahsia. Untuk apa dia sibuk-sibuk hendak tahu sedangkan dia tidak berhak langsung.
Pelik dengan sikap Amran ini. Kenapa dia berbuat sedemikan? Dia celaru ke hingga mahu mengorek rahsia Mukriz pula?
Dirinya benar-benar teringin tahu kisah Mukriz kerana apa yang berlaku ini sedikit sebanyak menimbulkan satu rasa yang cukup kaget buatnya. Ya, dia kaget dengan situasi itu. Rasanya dia perlu merapatkan dirinya dengan Mukriz agak bisa tahu hakikat sebenarnya.
Peribadi Mukriz mahu diselongkarnya. Semangat ingin tahu itu tidak ubah seperti Nadia yang masih sibuk-sibuk mengambil tahu hal Suraya. Manakala Amran pula timbul rasa ingin tahu tentang Mukriz.
Pada hari itu dia sudah mencurigai Mukriz ketika Dania datang. Secara tiba-tiba sahaja perang berlangsung. Memang itu yang dia nampak. Amran menelaah sendiri dan mahu mengikuti perkembangan Mukriz selanjutnya. Sengaja berbual dengan Nadia sewaktu Dania melangkah deras keluar dari Wisma Wasadi.
“Nad, aku pelik dengan bos kita tu, dulu bukan main mesra dengan Dania, sekarang bertengkar dalam office,” kata Amran.
“Bukan kau sahaja, aku pun rasa macam tu jugak. Pagi tadi aku nampak Suraya dan Nafisa masuk pejabat bos serentak. Apa mereka rahsiakan dari kita agaknya ya? Kau tahu ke?” soal Nadia yang mahukan kepastian.
Amran menggeleng sahaja sambil berkerut dahi.
Biasalah rakan pejabat memang begitu suka ambil tahu. Tapi tidak salah untuk mengambil kisah cuma jangan melampau-lampau. Namun sering kali itu yang terjadi bila soal hati dan perasaan menjadi perhitungan.
Bergaduh dan bermasam muka sesama rakan sepejabat kadang-kadang berlaku sehingga menimbulkan perselisihan faham. Kalau ada yang tidak tahan segera angkat kaki dan cepat-cepat bungkus dan cari kerja lain.
Nasiblah labu.