Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 17)

MASIH terbayang wajah Amran yang nampak cemberut sahaja bermain-main di matanya. Mukriz tersengih sendiri. Sedang dia menuang air ke dalam gelas tidak disedarinya pula ia telah menimpah. Pada awalnya pekerjanya itu menyimpan pelbagai telahan namun ternyata meleset sama sekali. Mukriz!! Air telah melimpah! Dia tidak sedar lagi rupanya.

Habis satu botol air dituangnya itu namun fikirannya masih di situ. Angan-angan yang tidak berkesudahan.

Apa sudah jadi?!

Lama juga dia statik di ruang dapur. Air di dalam gelas belum lagi diminumnya. Penyakit angau atau penyakit sindrom buah berangan yang begitu kritikal sekali sedang dihidapi oleh Mukriz. Satu penyakit yang sukar untuk diubati biarpun doktor pakar dari luar negara datang sekali pun tidak akan mampu menyembuhkan penyakit jenis kronik ini.

Ada dia kisah ke?!

Lamunan terhenti bak kata lagu Aris Ariwatan. Dia tersentak dengan bunyi telefon bimbitnya yang sedang menjerit rakus itu. Gangguan yang tidak disangka-sangka itu telah melenyapkan bayang-bayang Amran.

Diceluk sakunya dan dicapai telefon itu lantas matanya tertancap pada nama yang tertera di situ. Dia perlu menjawab panggilan tersebut. Seandainya tidak, pasti akan lain jadinya. Dalam masa yang sama dia menggelabah kerana air yang dituang tadi bercurahan membasahi lantai.

Biarkan.

Hello…” sapa Mukriz dengan sedikit dileretkan nadanya.

Hello bos,” balas si pemanggil.

“Ya Suraya.. ada apa?” Oh! Suraya rupanya yang sedang bercakap dengan Mukriz di lewat malam begini.

Panggilan itu memang disengajakan kerana Suraya mendengar cadangan Nafisa dan dia sedia mencuba. Sekarang suaranya sedang didengari oleh Mukriz dari jarak jauh. Begitulah untungnya ada telefon, yang jauh terasa dekat.

Canggihnya teknologi.

“Erm.. Bos apa khabar? Kenapa pagi tadi tidak hadir ke pejabat?” Suraya bersusah payah bertanyakan tentang itu walhal dia segan sebenarnya.

“Saya kurang sihat,” balas Mukriz.

“Bos tahu ke yang Amran pun tidak datang kerja hari ni?” soalnya lagi.

“Tahu.. memang saya beri dia cuti,” jawab Mukriz jujur.

“Cuti? Dia sakit ke?” Suraya mengambil berat.

“Bagaimana dengan syarat tu?” Mukriz sengaja berdalih seperti mahu mengelak dari menjawab pertanyaan itu.

Suraya terbungkam sekejap. Mukriz mendengar keluhan Suraya. Berat bunyinya.

“Err.. kita bincang esok, boleh?” kata Suraya.

“Okey, tapi esok saya masuk lambat, kita jumpa masa lunch, ya?” balas Mukriz.

“Dekat restoran biasa ya, jangan lambat sangat tau.” pesan Suraya pula.

Mukriz bersetuju dan panggilan ditamatkan.

Dia memang tidak lupakan rancangannya dan Suraya mungkin bersetuju. Itu yang diduga oleh Mukriz. Syarat yang begitu mudah. Mustahil kalau Suraya tidak dapat tunaikan. Kalau soal keewangan dia boleh bantu memang dia akan tanggung segala-galanya. Suraya tidak perlu bimbang langsung tentang itu.

Jejaka ini akhirnya terpaksa membersihkan tempat yang telah dibasahi air itu. Biarpun dalam keadaan itu dia tetap tersengih macam kerang busuk pula. Kemaruk apakah dia saat ini? Mungkin sedang membayangkan Amran lagi atau juga sedang memikirkan bagaimana rupa Dania nanti bila melihat Suraya berkepit dengannya. Tunggu dan lihat sahaja apa yang bakal berlaku.

***

DALAM dunia moden pada hari ini banyak kecanggihan teknologi pesat membangun, begitulah dengan kemudahan internet yang sedia ada. Transfomasi demi transfomasi berubah dari semasa ke semasa. Mukriz, dia sedang menghadap skrin laptopnya. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang yang pernah berhubung dengannya di ruangan facebook tempohari.

Lelaki tersebut masih wujud lagi. Mujurlah dia tidak membunuh dirinya. Lelaki Terluka menghantar pesanan di peti facebooknya. Dia membuka kiriman itu lantas membacanya.

‘Lama saya tunggu awak, kenapa tak online? Bila saya on facebook saya, memang awaklah orang pertama yang saya cari. Di sini saya nak ucapkan terima kasih kerana sudi membantu saya.’ kata Lelaki Terluka berstatus ‘online’ pada ruangan itu.

Mukriz tidak membalas kiriman itu malah dia terus ke ruangan sembang dan mencari gelaran ‘Lelaki Terluka’ itu. Mujur ada. Terus dia menghubunginya.

Mukriz Zulhasri : Hai…

Lama juga Mukriz menunggu kata balas dari lelaki itu, namun masih belum terjawab. Dia mendagu sahaja di meja tulisnya. Dia menjengah jam pada skrin komputer ribanya, sudah pukul 1.15 pagi.

Beberapa minit kemudian.

Lelaki Terluka : Hai..lama tak online? Pergi mana?

Mukriz Zulhasri : Baru berapa hari je, lagipun sejak kebelakangan saya busy sangat.

Lelaki Terluka : Sudah baca ke kiriman pesanan saya?

Mukriz Zulhasri : Sudah.. err so apa yang awak rasa sekarang?

Lelaki Terluka : Seperti yang saya katakan dalam kiriman tu, saya okey sekarang, thanks.

Mukriz tersenyum dan dia sedikit lega mendengar jawapan itu. Lelaki Terluka rancak berborak dengannya. Lelaki Terluka juga nampak gembira. Sepatutnya dia sudah boleh menukar nama samaran itu. Tidak perlu lagi kepada ‘Lelaki Terluka’ jadikan sahaja ‘Lelaki Bahagia’ lebih mudah.

Mukriz Zulhasri : Hope awak dapat bina hidup baru dan lupakan kisah awak dengan girlfriends awak tu..

Lelaki Terluka : Girlfriends?

Mukriz Zulhasri : Yap! Orang yang kecewakan awak tu..

Lelaki Terluka : Bukan girlfriend, but boyfriend, saya kecewa dengan ex-boyfriend saya.

Mukriz Zulhasri : Erk?!

Mukriz terkedu seperti tercekit biji durian sahaja. Dia terkejut mendengar kisah itu. Rupanya kecewa dalam percintaan seperti itu. Mati-mati dia ingat ‘Lelaki Terluka’ itu dikecewakan oleh seorang perempuan. Tapi terlalu rumit bunyinya hingga mahu membunuh diri.

Dasyat.

Lelaki Terluka : Hello

Mukriz diam tidak membalas ucapan itu.

Lelaki Terluka : Hello

Sekali lagi Lelaki Terluka menyapa dan Mukriz masih tidak membalasnya.

Lelaki Terluka : Hello…………….

Mukriz masih diam lalu tangannya pantas menekan butang keluar daftar dari facebook. Dia benar-benar terkejut dengan perkara ini. Atau sengaja tidak mahu melayan lelaki itu.

Mungkin.

Mukriz menepuk dahi sendiri. Bingung pula rasanya. Tidak masuk dek akal kerana cinta begitu sanggup melafazkan perkataan ingin membunuh diri pada waktu dia mula-mula bersembang dengan lelaki itu.

Satu keluhan berat dilepaskan. Mukriz terus bangun dari meja tulisnya dan terus merebahkan badan ke katil. Dia kebingungan pula. Tidak dapat mentafsir segala-galanya. Belum pernah dia dengar seorang lelaki yang putus cinta mahu membunuh diri. Bunuh diri kerana kecewa dengan kaum sejenis.

Jika sebelum ini dia biasa menerima pesanan orang yang mahu memilikinya, iaitu sejantina dengannya tetapi tidak langsung dilayan. Malah dia hanya bersikap biasa sahaja tidak mahu lebih-lebih. Dengan pantas dia akan katakan tidak dan maaf.

Pelbagai pujuk dan rayu mahu bersama dengan dia dan juga bermacam-macam kata-kata puisi untuk memesongkan dirinya. Dia tidak akan termakan dengan kata-kata itu. Biarkan beribu yang datang menggoda dia akan tetap dengan dirinya yang mahu sibukkan diri dengan kerja.

Mukriz mengeluh.

Dihela nafas sedalam yang boleh dan dilepaskan deras. Dia lepas hawa panas barangkali. Atau mungkin juga melepaskan satu rasa yang merentap relung hatinya di kala ini. Lebih baik dia lupakan apa yang terjadi itu dan mengalihkan perhatiannya pada apa yang akan berlaku esok.

Tanpa sedar dia telah terlena pula bersama dengan sekeping rasa yang sarat dengan persoalan.

Tidurlah…

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.