HAMPA sungguh rasa hatinya seperti sedang dileburkan oleh bahang api tersangat marak hingga membakarkan segala impian yang tersimpan sekian lama itu. Kini ia bakal menular lebih parah lagi dan menjadikan dirinya hilang arah. Bagaikan sinar sang matahari di siang hari yang akan lenyap dan digantikan pula dengan malam yang diterangi redup cahaya sang bulan. Dingin dan menghibakan.
Pernah dulu difikirkan tetapi sukar untuk dimengertikan hakikat yang sebenar-benarnya. Jauh di sudut hatinya itu masih terdampar satu harapan untuk menemui semula sahabat lamanya iaitu Arfan.
Sejak semalam lagi dia gelisah, hari ini juga sama kerana sepucuk surat itu masih menjadi tanda tanya, ke manakah ia berada sekarang. Berkurung satu hari di dalam rumah memang satu kerja gila di kala keresahan mencengkam jiwanya. Terhimpit di antara dua dunia yang terlalu banyak bezanya.
Pertolongan Amran begitu dihargainya meskipun dia telah menyusahkan pekerjanya sendiri dan biarpun surat itu masih lagi belum ditemui. Namun, sekurang-kurangnya masih terdapat juga usaha untuk mencarinya kembali.
Amran tidur di rumahnya hari ini, saat lelaki itu berbaring di sofa dan tidak tidur di bilik tetamu seperti yang dimintanya itu, pandangan mata Mukriz tertancap pada seraut wajah yang mempamerkan kepenatan. Dia membenarkan Amran untuk tidak bekerja hari ini dan sekali gus memberi ruang pada Amran untuk berehat sahaja.
Hanya tidur sekejap sahaja pada pagi tadi dan bila tiba tengah hari mula menjengah, aktiviti mencari disambung semula. Bagi Amran, hari ini terlalu istimewa dan sedikit pun kepenatan tidak dirasainya kerana terdapat satu hal yang membuatkan dia terpegun mengenai bosnya itu.
Mukriz seorang yang fleksibel, bisa melakukan apa sahaja. Dia juga seorang yang peramah, penyayang dan baik hati walaupun kadangkala bersikap tegas. Ketegasannya adalah untuk mendapatkan sesuatu benda yang benar-benar bermutu dan berkualiti. Dan itu memang diperlukan.
“Saya tak sangka bos pandai memasak rupanya dan sedap pula masakkan bos, memang cukup rasa.” puji Amran kala Mukriz telah menyediakan santapan tengah hari.
“Saya memang suka memasaka, hehe!” tawa Mukriz setelah pujian menggunung itu diterima.
“Tak sama dengan kawan-kawan saya, semuanya malas nak masak sendiri, selalu makan restoran sahaja..saya pun macam tu jugak,” balas Amran sambil membasuh tangannya setelah habis makan.
Mukriz tersenyum sahaja memandang Amran. Satu pandangan yang cukup aneh dilemparkan.
“Bos! Kenapa bos tengok saya macam tu? Macam pelik je?” soal Amran yang terus memuncungkan mulutnya.
Nampak comel pula bila Amran buat reaksi wajah begitu.
“Orang dulu-dulu kata kalau makan nasi, jangan sampai menapak di bibir, nanti dapat anak tiri,” seloroh Mukriz setelah melihat sebutir nasi masih bersisa di bibir Amran.
“Oh! Sedap sangat bos masak, sampai tak perasan..” balas Amran.
“Gelojoh sangat.” kata Mukriz.
“Saya memang gelojoh..”
“Tak apa, asalkan bahagia..”
“Bahagia?” Amran kaget.
Mukriz mengangguk perlahan.
Amran terus mengangkat kening.
“Saya tak rasa masakkan saya ni sedap, tapi saya gembira bila awak cakap macam tu, thanks ya untuk pujian tu.” dalih Mukriz.
“Mervellous!”
Amran teruja dengan masakkan Mukriz, dia benar-benar tidak menduga seorang lelaki berbadan tegap, sasa dan cukup sempurna kelakiannya itu mampu memasak dengan baik dan sedap. Kelebihan yang jarang dimiliki oleh mana-mana lelaki lain termasuk diri Amran sekali, setiap hari selalu makan nasi kedai sahaja.
Kadang-kadang maggi menjadi pilihan bila malam menjelma. Tidak ada siapa yang boleh memasak untuknya. Orang bujang, semua kena buat sendiri, malas betul dia rasakan. Tapi kenapa Mukriz boleh dan dia pula tidak boleh? Amran kena fikirkan.
***
KALA ini Mukriz sendiri, Amran telah pun pulang pada petang tadi dan semalaman Amran berada di sini untuk membantu dirinya mencari apa yang perlu ditemui itu. Sungguh dia terpaksa mendapatkan bantuan Amran, dia sebenarnya tidak mahu melibatkan orang lain, tapi memandangkan sukar untuk dia terus begitu, maka dia tiada pilihan.
Melodi lagu indah kedengaran, matanya beralih pada telefon bimbitnya yang berada di atas meja tulis. Mukriz yang sedang bermalas-malasan di tilam terus bangkit dan mencapai telefonnya yang menanti punat jawapan yang perlu ditekan. Dia melihat skrin telefon itu, tertera nama Amran.
Mukriz menjawab panggilan itu.
“Hello Am,” ujar Mukriz.
“Hello bos, Assalamualaikum..” ucap Amran dan Mukriz menyambut dalam yang diberi.
“Ada apa Am telefon saya ni?” soal Mukriz yang agak kaget.
“Saya sekarang ada kat depan rumah bos ni, dah banyak kali saya tekan loceng tapi bos tak keluar-keluar,” kata Amran.
Dengan tiba-tiba sahaja Amran ada di depan rumah Mukriz. Apa dia hendak malam-malam buta ini setelah petang tadi dia sudah pulang dan saat ini kembali lagi. Mukriz mula berfikir kerana dia tidak pula berjanji untuk Amran datang membantunya lagi pada malam ini. Dia mahu berehat. Oleh itu loceng rumahnya sengaja dimatikan.
Mukriz terus menyelak langsir biliknya dan mengintai dari dalam dan dia terlihat seorang lelaki sedang memekup telefon pada telinga sedang berdiri di depan pintu pagar rumahnya. Lelaki berseluar pendek dan berbaju ‘tshirt’ tidak berkoler berwarna putih itu adalah Amran.
Tanpa banyak soal, Mukriz terus mematikan telefonnya dan terus menekan punat pada alat kawalan jauh untuk membuka pintu pagar itu.
Bermacam-macam perkara yang berlegar di ruang mindanya. Kadangkala merasakan satu perasaan yang aneh dan ada juga dirasakan satu jiwa yang bergelora kencang. Mukriz cuba meredakan perasaanya sendiri.
Pelbagai telahan diputarkan. Otakknya ligat mencari jawapan pada persoalan yang sebenarnya jelas akan diperkatakan sedetik lagi.
Berkerut dahi Mukriz. Dia yang memakai boxer di kala ini cepat-cepat menyarungkan kain sarung. Dia berkain sarung tetapi tidak berbaju itu mahu melangkah turun. Difikirkan semula bahawa itu tidak sepatutnya maka dia mencapai sebarang baju untuk dipakainya.
Sebaik dipulas tombol pintu bilik, dia berasa tidak selesa pula, maka dia berundur semula dan kembali ke cermin, dia mahu manatap wajah sendiri. Adakah masih kemas atau pun tidak. Rambut! Rambut dia berserabut lalu dia terus menyikatnya. Seperti akan menghadiri temu janji lagaknya mahu nampak kemas.
Matanya memandang kain sarung yang dipakainya. Dia berasa kurang selesa pula. Lantas ditanggalkan semula kain sarung itu lalu mengenakan seluar pendek juga. Sempat lagi dia menyemburkan minyak wangi.
Amran diluar rumah mungkin telah menunggu terlalu lama menanti hadir Mukriz untuk bertentang mata. Amran menguis dagunya selepas menggaru cuping telinga yang sedikit gatal.
Lelaki bermisai lebat itu selesa mengelus-elus misainya sendiri. Dia cuba bertenang dan sabar menunggu. Angin malam menghembus lembut hingga menengakkan bulu romanya. Betis kakinya pula terasa kedinginan dilanggar angin sepoi-sepoi bahasa itu.
Nafasnya dihela panjang-panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. Tidak berapa lama kemudian, Eddy datang, dia menggesel-gesel tubuhnya pada kaki Amran. Kehadiran Eddy secara tiba-tiba itu amat memeranjatkan Amran. Mungkin Eddy senang dengan bulu betis Amran agaknya.
Soratan mata Amran terus bersinar setelah memandang kelibat Eddy yang sungguh comel. Dia terus mengambil Eddy dan dibiarkan berada dalam pelukannya. Amran mengayun langkah duduk di bangku yang berada di taman ciptaan itu di samping bunyi air terjun di kolam buatan itu amat mendamaikan. Cahaya neon pula sungguh mempersonakan.
Satu cita rasa yang cukup tinggi dan sempurna dipersembahkan oleh Mukriz. Amran sukakan suasana rumah Mukriz. Halaman rumah banglo ini sungguh indah dan tersangat cantik.
Amran menggomol Eddy, sungguh wangi baunya. Mukriz pandai jaga Eddy sehingga kebersihan Eddy sentiasa terjaga.
“Kau pasti sunyikan? Kau pujuklah tuan kau tu supaya carikan kau calon, dia akan faham.. sampai bila kau nak hidup single macam ni, kesian aku tengok,” ucap Amran sendiri sambil menggosok lembut kepala Si Eddy itu.
Nampaknya Amran telah menyayangi Eddy. Dia bercakap dengan Eddy namun adakah Eddy akan faham apa yang disampikannya? Mungkin ya mungkin tidak, kerana manusia sukar untuk meramalkan sesuatu.
“Nanti aku bawakan kau kawan, itu pun kalau tuan kau nak,” kata Amran lagi.
“Bawalah, agar Eddy tidak akan kesunyian lagi..” tiba-tiba Amran terkejut dengan bisikan satu suara yang menjengah di telinganya dari arah belakang.
Cepat-cepat dia menoleh seraya dia tercium bau harum. Amran kaget dan dia terus statik selepas dilepaskan Eddy. Hampir tercium pipi Mukriz ketika dia menoleh deras kerana Mukriz sebentar tadi berbisik di telinganya.