SURAYA ingin bertanya pada Nafisa, kenapa si perempuan bermuka Tembok Besar China itu mengajak Nafisa minum bersama dan ingin juga dia tahu apa yang dibualkan oleh Nadia itu. Tapi, adakah dia perlu tahu?
Lebih baik dia tumpukan perhatiannya pada Mukriz, lebih bagus dari peningkan kepala fikirkan reaksi perempuan itu. Dia tersempit sekarang ini. Si gadis ini masih ragu-ragu. Biarkanlah dulu, dia mesti menelaah untuk hari esok. Berdepan dengan bos sendiri adalah satu cabaran yang merumitkan.
“AKU hairanlah, bos dan Am tak datang office pun hari ni, apa masalahnya ya?” Suraya menyoal Nafisa di ruang tamu rumah mereka.
Kaca televisyen ditatap oleh Nafisa seakan tidak memberi tumpuan terhadap pertanyaan Suraya itu. Suraya memandang Nafisa dengan penuh rasa geram. Lantas dia menghempuk bantal kecil ke bahu Nafisa. Serta-merta dia kaget.
“Hei! Kacaulah, aku tengah syok layan movie Titanic ni,” marah Nafisa.
“Cerita dah lapuk pun kau masih nak tengok,” kata Suraya.
“Of courselah, cerita ni best, seratus kali aku tengok pun tak puas tau,” balas Nafisa.
Suraya mencebik.
Soalan yang ditanya tadi tidak dipedulikan oleh Nafisa. Akhirnya satu keluhan berat dilepaskan lalu dia mendagu di sudut itu sambil memandang kosong pada kaca televisyen itu. Fikirannya menelaah apa yang patut dilakukannya di saat ini. Ingin berbual dengan Nafisa, dia seperti tidak hendak. Mungkin Nafisa lagut menghayati kisah itu.
Satu dua dan tiga kiraan dibuat, lantas dia bangun dan mematikan siaran televisyen. Nafisa terjegil biji mata memandang rakus pada Suraya yang bercekak pinggang sedang berdiri di depannya.
“Kenapa kau tutup?” Nafisa mahu marah.
Suraya terus mengeluh dan bersedia untuk berkata-kata.
“Aku tanya tapi kenapa kau tak jawab?” kata Suraya.
Kala ini Nafisa tidak suka diganggu ketika menonton movie kegemaran. Suraya sengaja menyekat minatnya ketika ini dan menghapuskan sama sekali padangan matanya ketika melihat Jack yang di bintangi oleh Leonardo DiCaprio dalam filem itu sedang digari pada batang besi. Detik-detik cemas yang mahu diikutinya kini sudah terpadam. Nafisa menjeling. Suraya menjatuhkan tangannya.
Suraya menonong ke sofa dan melabuhkan punggungnya di sebelah Nafisa yang sedang merajuklah kononnya. Lalu dia memaut tangan si gadis itu dengan harapan Nafisa tidak memarahi dirinya. Saat ini Suraya memerlukan sokongan kawan baiknya.
Sebelum ini kalau Suraya ada masalah Nafisa selalu membantu, takut kalau dia tersilap membuat keputusan maka dia akan bertanya pendapat Nafisa terlebih dahulu. Bila sudah berpuas hati maka tindakan akan dibuat. Sudah tentu hasilnya begitu meyakinkan. Namun sekarang ini isunya lain sikit kerana membabitkan soal hati dan perasaan.
Nafisa telah lama mengetahui tentang itu, cuma ia bukan sesuatu yang enteng. Tambah pula orang yang Suraya suka mempunyai ramai peminat. Anak orang kaya pula, siapa yang tidak mahu mencuba kecualilah dirinya yang sudah ada kekasih ada. Kalau ada peluang sekalipun dia tidak hendak juga kerana dia tahu siapa dirinya.
Matanya dipejam, dengusan nafas Nafisa jelas kedengaran. Seperti seorang bomoh lagaknya sedang menilik nasib di sisi Suraya sambil jarinya sedang bergerak-gerak. Terkebil-kebil Suraya dibuatnya.
“Fisa, aku bingung ni, kau tolonglah sattlekan masalah aku, tentang cerita tu esok lusa boleh tengok lagi, sekarang ni masalah aku lagi besar, aku dah buat keputusan,” kata Suraya.
“Jadi kau setuju?” soal Nafisa dengan matanya yang masih terpejam serta dalam berkeadaan statik pula.
“Ya,” jawabnya sepatah.
“Kalau macam tu, kau telefonlah dia..” usul Nafisa.
“Nak telefon buat apa, hari ini dia tak datang kerja, Amran pun sama. Aku tak tahu apa masalahnya,” gerutu Suraya.
Nafisa pula mengeluh dan membuka semula kelopak matanya setelah seminit dua dipejamkan.
“Masa nilah kau ambil berat tentang dia, tanya dia, hello bos, kenapa bos tak datang kerja hari? Bos tak sihat ke? Tanyalah..” balas Nafisa.
Suraya menggaru kepalanya yang tidak gatal. Segan pula untuk dia berbuat sedemikian. Cadangan Nafisa boleh diterima pakai tetapi bagi dirinya susah sangat.
Bila terdengar sahaja suara Mukriz itu jantungnya seakan mahu gugur. Suara yang begitu romantik dirasakannya akan membuatkan dia sentiasa berada dalam pelukan cinta. Terpana sejuta rasa hingga lenanya sentiasa bertamu wajahnya Mukriz berlegar diruang mindanya. Sorotan matanya tergambar wajah ganteng itu.
Bukan susah, hanya menghubungi Mukriz dan tanya apa masalahnya, lagi pula Nafisa telah meluahkan idea yang paling bernas di alaf ini. Itu belum termasuk lagi tentang apa yang diutarakan pada Nadia di restoran pagi tadi. Kalau Suraya tahu mungkin kembang semangkuk.
Biarkanlah dulu dan saat ini Nafisa perlu mendengar cerita Suraya biarpun cerita Titanic pujaan hatinya tidak dapat ditonton sekarang.
‘Mungkin sekarang Jack sedang menunggu Rose datang membawa kapak untuk memotong rantai besi yang telah bergari pada tiang besi itu, atau mungkin juga mereka berdua sedang berenang-renang mencari jalan keluar. Jahatnya! Kunci pintu lif mungkin sudah jatuh!’ duga Nafisa yang masih sempat berkhayal mengambarkan situasi dalam cerita itu.
Fanatiknya.
“Wei! Kau ni macam tak serius je!” bentak Suraya setelah melihat Nafisa melompong.
Seperti terkena kejutan elektrik 240 watt lagaknya yang terus tersentak bila Suraya memberhentikan sarat ingatannya pada jalan cerita yang indah dan romantik.
“Seperti yang aku cakap tadi, kau call dia, tak ada cara lain dah,” balasnya selamba.
“Wajibkah?”
“Up to you..” jawab Nafisa sambil berjongket bahu.
“Aku dah agak, kau mesti tak serius..”
“Pulak! kalau aku tak serius aku tak bagi idea segempak itu tau! Dan aku siap cakap lagi yang kau bakal bergelar kekasih Mukriz pada Nadia,” tersasul pula Si Nafisa ini.
‘Oppss!’ Nafisa memekup mulutnya sendiri.
“Apa??! Kau jangan macam-macam, Fisa! Aku tak suka kau buat mulut macam tu..” Suraya terkejut mendengar ucapan Nafisa sebentar tadi.
“Rilekslah, biar Nadia tu rasa tergugat sikit, dia ingat dia cantik dan terlalu bagus untuk memiliki Mukriz, lagi pula aku tak suka dia selalu merendah-rendahkan kau. Come on Su, you are my best friends, kebahagiaan kau adalah kebahagiaan aku jugak,” kata Nafisa.
Suraya mengeluh.
Nafisa menepuk-nepuk perlahan bahu Suraya. Biar gadis ini setenang air di kali. Nafisa menganggap Nadia itu sebagai tumbuhan parasit yang suka mengambil kesempatan sahaja. Nafisa berhasrat supaya Nadia akan tumpas di tangan Suraya.
Seorang sahabat sepertinya sudah mengerti dan mengetahui siapa Suraya, seorang gadis yang luhur dan tidak akan pernah mengambil kesempatan. Dirinya cukup memahami Suraya seorang yang jujur dan tulus dalam berkata-kata.
“Kau suka Mukrizkan? Kau mahu juga mahukan Dania pergi dari hidup jejaka idaman kau kan? Dan aku akan pastikan Nadia tidak dapat menghidu rancangan ni..” Nafisa sengaja menduga.
Suraya mengangguk perlahan di saat dia sudah kehilangan kata-kata. Suraya memang mengharapkan sedemikian. Dia mahu hidup dengan jejaka itu. Itulah cinta pertamanya, kerana sebelum ini dia tidak pernah pun merasakan manisnya bercinta. Tidak salah kalau dia mencuba. Sudah tiba masanya untuk dia melebarkan sayap-sayap cinta dan melayarkan bahtera asmara di lautan kasih serta mendaki gunung-ganang keasyikan di lembah kerinduan.
“Aku nak kau jadi seperti rama-rama yang boleh menarik perhatian Mukriz selepas ini,” kias Nafisa.
Suraya melopong.
“Rama-rama?” soalnya.
“Ya, si rama-rama, yang cantik dan memukau setiap mata yang mendang..” ujar Nafisa.
“Maksud kau, aku kena ubah penampilan diri aku seperti yang kau cakapkan sebelum ini?” duga Suraya.
Nafisa mengangguk perlahan.
“Tapi taklah sampai dedah sana dan dedah sini, masih juga seperti sekarang tapi dimodenkan sedikit..” balas Nafisa lembut.
Suraya memuncungkan mulutnya. Dia akan menanti hari-hari yang berikutnya. Dia akan cuba menjadi sesuatu yang baru, namun dia tetap merasakan tersangat asing seandainya perkara yang tidak diingini berlaku. Misalnya, Mukriz tidak menerima dirinya. Atau mungkin juga tidak cocok. Saat ini dia semakin celaru apabila syarat-syarat berkenaan berlegar dibenaknya.Takut semuanya serba serbi tidak menjadi.
Nafisa masih menekankan soal penampilan. Jenuh dia mengelak tapi masih tersepit di celah-celah kasus ini.