SUASANA di dalam pejabat sungguh hening sekali, di sudut itu kelihatan Suraya resah menanti Mukriz hadir ke pejabat. Sekarang sudah pukul 10.00 pagi. Mukriz masih belum tiba lagi. Suraya menoleh ke kanan cuba mengintai seseorang yang juga tidak kelihatan. Amran! Pemuda itu juga tidak datang kerja hari ini.
Segera mengayun langkahnya menuju ke arah Nafisa yang sedang menaip. Suraya mencuit Nafisa dengan pena. Lantas Nafisa menoleh.
“Am tak ada kerja hari ni.. kenapa ek?” soal Suraya.
“Kau risaukan Amran ke atau kau risaukan bos sebenarnya?” Nafisa sengaja menduga.
“Dua-dualah!”
“Boleh pulak macam tu, sorrylah Su, aku pun tak tahu kenapa Am tak datang kerja hari ini.” ucap Nafisa.
Selepas itu Suraya mengetap lembut bibirnya. Dia terus berpaling menuju ke mejanya selepas berjongket bahu ke arah Nafisa sebentar tadi. Mereka berdua menyambung kerja. Namun di hati Suraya tercalit seribu keresahan. Jawapan sudah tersedia namun kelibat Mukriz pula tidak kelihatan.
Nadia! Suraya nampak Nadia pergi ke arah meja Nafisa. Apa dia mahu? Mesti sibuk-sibuk hendak tahu pasal Suraya atau juga berkenaan kes tempohari. Dari situ Suraya memerhati sahaja.
“Fisa, boleh aku duduk?” pinta Nadia.
“Eh! Nadia.. Amboi! bos tak ada boleh pula kau merayau ya..”
“Biasalah, kerja aku sudah siap, aku nak ajak kau pergi minum ni,” ucapnya.
“Aku banyak kerja lagilah..”
“Tinggalkan kejap, jom kita pergi minum dulu lepas tu kau sambunglah balik kerja kau tu ya.” pujuk Nadia si gadis bermata galak.
Nafisa mengikut kemahuan Nadia kerana dia biasa-biasa sahaja dan tidak mencampur adukan urusan kerja dengan hal peribadi Suraya terhadap Nadia. Dia sedia tahu Nadia iri hati dengan Suraya manakala gadis itu pula sudah cuak melihat Nadia. Meskipun berada dalam keadaan itu, Nafisa masih berkawan dengan Nadia itu.
Baginya sikap profesional mesti dipamerkan. Kalau hendak diikutkan hatinya memang dia lebih memihak pada Suraya berbanding gadis itu.
Nasi lemak ikan bilis disuap ke mulut kemudian Nadia menyisip pula nescafe panas. Nadia mengelap bibirnya. Nafisa memerhatikan sahaja, dia tidak selera makan, lagi pula dia sedang berdiet. Di ruang restoran ini tidak ramai orang, mungkin orang jarang makan pagi agaknya. Tapi Nadia sengaja mengisi perutnya sedangkan selama ini dia memang jarang makan pada waktu ini. Nafisa menduga mesti ada sebab lain.
Gadis bertudung litup itu membetulkan sedikit tudungnya lalu memandang Nadia yang sedang mengusap wajah dengan reaksi kaget.
“Apa hubungan Suraya dengan bos sebenarnya?” Nadia mula menyoal setelah beberapa minit terdiam.
Sengaja menutur kata dengan soalan yang agak berbaur cemburu itu. Nafisa berjongket bahu sahaja.
“Hari tu Dania datang serang bos kan dan kau ada kat dalam masa tu, apa kau buat?” tanya Nadia seperti seorang detektif lagaknya.
Malas betul Nafisa mahu menjawab soalan itu. Sudah tiada soalan lain hendak ditanya. Kadangkala Nafisa jenuh hendak melayan perasaan Nadia yang suka syok sendiri. Baginya Mukriz itu bukan hebat mana pun, memang dia kaya dan tampan tapi dia kurang suka dengan cara Mukriz menggunakan dirinya pada hari tragedi itu. Mulut kata tidak mengapa tetapi hatinya tidak dapat menerimanya. Sepatutnya biarkan sahaja Suraya yang berada di tempat itu, bukan dirinya.
Nafisa mengeluh.
“Apa yang kau keluhkan? Aku tanya kau tak jawab, apa kena kau ni.?” Nadia menonjol rasa tidak puas hati.
“Aku tak nak masuk campur hal diorang, lantaklah.. kau ni pun satu Nad, kalau kau syok sangat kat bos tu kau pergilah tackle dia, macam bagus!” tempelak Nafisa.
“Apa kau cakap? Hello! Aku memang nak tackle dia tapi kau pun tahu Suraya tu macam nak potong line aku je,” ujarnya.
Nafisa mengangkat kening. Perkara ini memang dia tidak gemar. Jangan Suraya pula yang dipersalahkan. Mukriz sudah menjadi rebutan. Tidak rasanya kerana Suraya hanya mendambarkan sahaja cinta dari Mukriz biarpun tidak berbalas. Tetapi lain pula bagi Nadia hanya perasaan lebih. Hakikatnya Mukriz langsung tidak pandang dia.
Kesian.
“Sorrylah kalau apa yang aku nak cakap ni menyinggung perasaan kau, erm aku rasa baik kau padamkan sahaja hasrat hati kau tu sebab bos memang pilih Suraya, so I hope you understand apa yang aku maksudkan tu..”
“Pilih? Yang ni aku tak faham, aku memang tak faham.. habis itu macam mana dengan Dania?” Nadia benar-benar kaget.
Nafisa berjongket bahu. Dia malas hendak beritahu Nadia tentang hal ini. Biarkan terus menjadi rahsia. Lagipun Nadia tidak berhak untuk tahu. Perempuan seperti Nadia ibarat penggoda yang dilanda kesepian.
Biarkan.
Nadia termuncung mulut. Sekilas dia memandang pelayan di restoran ini dengan pandangan yang cukup hambar. Benar-benar terkilan dengan kata-kata Nafisa sebentar tadi.
“Nad, aku tahu kau syok kat bos tu, tapi kau sendiri tahu dia dah ada Dania,” kata Nafisa.
“Tapi kenapa kau kata dia pilih Suraya?” pantas Nadia menyoal pula.
Nafisa masih berahsia. Kalau Nadia tahu tentang rancangan Mukriz tentu sekali akan menimbulkan masalah. Lebih baik dia diam.
“Sebab dia tak cinta Dania, dia cintakan Suraya,” kata Nafisa yang sudah mula berpropaganda.
Berani dia berkata begitu sedangkan dia masih belum mengetahui jawapan Suraya. Harap-harap Suraya bersetuju. Dia telah memulakan satu babak cerita cinta Suraya dan Mukriz. Nafisa menyedut teh o ais di pagi hari ini. Minuman kegemarannya sering kali menjadi pilihan. Biola hati mula mengalunkan muzik irama cinta direka khas. Nadia bertambah kaget.
“Kau ingat ni cinta semerah padi ke? Aku tak percaya Suraya dapat menakluki hati Mukriz! Aku rasa dia pasti teruk kena ganyang dengan Dania! Aku kenal siapa Dania tu, perempuan yang tidak boleh dipermainkan,” kata Nadia.
“Bagaimana pula dengan kau? Kau pun suka Mukriz kan? Pasti kau pun teruk kena ganyang.. haha!” tawa Nafisa merobek dinding hati Nadia.
Perempuan bertahi lalat di hidung itu mengerling Nafisa. Marah agaknya.
“Eleh! Macamlah Suraya tu cantik sangat,” tempelak Nadia.
“Lebih cantik dari kau.. haha!” gelak lagi Si Nafisa ini.
Bertambah geram Nadia dibuatnya. Telahannya tidak tepat untuk mendapatkan satu cerita malahan mendapat satu herdikan pula.
Nasiblah.
“Perempuan kampung macam tu pun layak ke untuk bos?” Nadia masih mampu menyoal biarpun hatinya parah diperli oleh Nafisa.
“Layak dari kau…haha!” gelak lagi.
Aduhai.
Luruh harapan Nadia bila Nafisa mengenakan dirinya. Baru kena buku dengan ruas. Nadia tidak berani dengan Nafisa sebab sebelum ini pernah ada ‘staff’ kena ganyang dengan dia. Mulut cabul selalu kena hentam tapi tidak pula bagi Nafisa, nasib dia baik sebab tidak pernah kena ganyang.
‘Harap-harap adalah yang sudi ganyang mulut Nafisa lepas ni,’ bisik rasa tidak puas hati Nadia.
Itu pun kalau ada.
Jangan sampai Nadia tahu hal ini. Nafisa membunyikan jari-jemarinya lalu mengetap lembut bibir itu. Sudah tiba masanya untuk dia tinggalkan tempat ini. Kerja masih banyak lagi, dia mesti siapkan.
Pandangan hambar dan berwajah kendur sedia terpamer pada wajah Nadia yang tiba-tiba sahaja menjadi usang. Kemaruk cinta mahukan orang kaya, mengutuk Suraya gadis kampung sedangkan dirinya apa kurangnya. Seorang gadis kampung seperti Suraya memiliki sepasang mata yang cantik begitu terserlah.
Biasalah kalau bab berpakaian memang Suraya agak jauh ketinggalan. Nafisa mengakui Suraya susah untuk berubah. Imej yang ditonjolkan oleh Suraya itu memang kolot namun tetap nampak ayu.
Nadia seorang gadis moden seperti Dania juga. Perbezaannya adalah Nadia orang biasa-biasa sahaja tapi pelik, dia mempunyai cita rasa yang tinggi mengalahkan golongan berada.