Entri Terkini :

E-Novel : DILEMA (Bab 10)

“APA kata kau setuju dan kau sain aje kontrak tu, lagipun inilah peluang kau untuk mendekatkan diri kau dengan bos kita tu,” Saran Nafisa dengan bersungguh-sungguh.

Suraya perlu mempertimbangkan syarat-syarat itu maka dia meluahkan segala-galanya pada Nafisa agar kawannya itu mampu memberikan dia satu pandangan yang cukup bernas. Dia sudah habis fikir sudah malah semakin bercelaru dan serba salah.

“Kau tak fikir ke dia macam nak main-mainkan aku,” balas Suraya dengan mengerling mata ke arah Nafisa.

Dalam situasi ini Nafisa mengusap bibir lembutnya dengan jari telunjuknya sambil mengeluh. Mati akal juga dibuatnya, namun sedaya upaya dia akan memberikan pandangan terbaik untuk Suraya.

Suraya terus bangun dari sofa dan melangkah ke buaian yang berada di luar rumahnya sambil diekori oleh Nafisa. Seterusnya dia melabuhkan punggung di situ sambil mengayun pelahan buaian itu manakala Nafisa hanya berdiri di tepi sahaja melihat wajah Suraya yang sedikit berkerut.

“Erm! Itu cuma perasaan kau je.. kalau dia nak main-mainkan kaulah kan, memang dia tak akan terima kau jadi teman wanita olok-olok dia tau, habis tu kau nak lepaskan peluang ni macam itu je ke?” sinis Nafisa.

Suraya tersentap seketika dan kemudiannya dia menoleh ke arah Nafisa. Buaian itu pula sengaja diberhentikan dari terus berayun.

“Kau cakap memang senang Nafisa, tapi aku pulak rasa macam orang bodoh kalau aku ikut semua kehendak dia,” balas Suraya dan setelah itu dia mencebik.

Saat ini dia benar-benar meragui segala-galanya. Betapa dia dihujani keresahan dengan semua itu. Seharusnya dia perlu sedikit berusaha dan bersusah payah untuk mendapatkan sesuatu atau lebih tepat lagi digelar cinta.

Cinta Mukriz begitu didambakannya. Dia ingat cinta itu macam makan roti canai atau cinta ikan sardin yang tersimpan di dalam tin, mudah dipesan dan dirasai. Kalaulah cinta seperti itu begitu senang saja untuk didapat, cuba kalau cinta itu seperti permata, mampukah dia memilikinya?

Sememangnya cinta itu bernilai namun saat ini dia sedang berdepan dengan cinta segera. Cinta sementara untuk dia melangkah menggapai cinta yang sebenar-benarnya. Teriris hati sendiri tiada siapa pun nampak.

Nafisa cuba memujuk Suraya supaya menerima kontrak itu, tapi sukar pula bagi Suraya membuat pilihan yang sewajarnya biarpun dia sebenarnya tiada pilihan lain lagi untuk bersama dengan Mukriz. Hanya ini sahaja peluang untuk dia dipatrikan rasa cinta bersama bos sendiri dan ini.

Otaknya diperah dengan kuat namun tetap juga mati akal. Sesekali dia merengus geram dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Mukriz. Kenapa harus ada semua itu? Dia sendiri tidak dapat menerimanya apatah lagi untuk mengubah dirinya sendiri.

“Su, hari tu kau juga yang beria-ria sangat offer diri nak jadi teman wanita dia, sekarang ni pula kau macam nak lari.. cubalah kau fikir baik-baik, peluang ni hanya datang sekali je tau?” ujar Nafisa sambil melangkah ke atas buaian itu.

“Nampak sangat aku ni terhegeh-hegeh dengan dia kan?” balas Suraya ketika Nafisa baru sahaja melabuhkan punggungnya.

“Tau tak pe..” seloroh Nafisa.

“Ceh! Tapi kau juga yang menambah aku ni pandai belakon depan Mukriz hari tu hari tu kan? Sekarang kau nak salahkan aku pulak..” balas Suraya pula sambil menjeling mata pada Nafisa.

Nafisa hanya menggosok-gosok perutnya yang masih terasa kenyang selepas makan nasi bungkus tadi.

“Aku bukan salahkan kau, tapi aku kesian tengok kau asyik mengharap je, apa salahnya kalau kau dapat merasa kemesraan bersama dengan Murkriz tu walau hanya seketika, jadi tak adalah kau kempunan sangat.. haha!” sinis Nafisa lagi.

“Tolong sikit, kau ingat aku ni apa? Pengemis cinta?” getus Suraya.

“Kenyataannya memang yak an? Ala Su, lebih baik kau terima je lah..” balas Nafisa sambil tersengih dan menyarankan supaya Suraya terima bulat-bulat.

Saat ini Suraya mendongak sedikit ke dada langit untuk melihat sinaran bulan yang bercahaya terang dan dipagari bintang itu.

‘Bulan oh bulan, kau sungguh bertuah kerana terdapat bintang-bintang mengeliling kau, aku ni tak ada siapa yang nak..’ sempat lagi Suraya mengadu nasibnya di dalam hati.

Usai itu dia mengalih pandangannya kepada wajah polos Nafisa yang sedang melurut-lurutkan rambutnya itu. Sekilas Nafisa membalas dengan senyuman.

“Pada mulanya aku memang berharap sangat tapi itu sebelum dia letakkan syarat-syarat bodoh tu, sekarang ni dia bagi masa aku tiga hari untuk berfikir, kau ingat senang ke nak ubah gaya dan penampilan seperti yang dia nak tu?” kata Suraya dengan nadanya yang lembut.

“Apasal tak boleh? Bagi aku itu perkara mudah..” cepat-cepat Nafisa membalas ucapan Suraya itu.

Dia cuba memberikan sokongan pada Suraya semampu yang boleh. Suraya mesti menghargai bantuan Nafisa yang sentiasa mahu menolongnya walau dalam kedaaan apa sekali pun.

“Itu kata kau Fisa, bagi aku lain pulak, tak semudah apa yang kau fikirkan.. kau pun tahu aku ni jenis susah nak berubah dengan drastik tambahan pula untuk aku memenuhi kemahuan orang lain, ish! Aku rasa terlalu beratlah..”

“Su..Su.. kau yang rasa benda tu berat, hakikatnya benda tu sebenarnya mudah dan remeh je.. kau pun ada cakap dia cuma nak kau ubah supaya kelihtan anggun dan menewan. Inilah masanya kau buktikan pada Mukriz yang kau boleh lakukannya supaya dia lebih berkeyakinan terhadap kau.. tapi itu pun kalau kau masih nak dapatkan dia. Jikalau tak mahu, baik kau lupakan ajelah angan-angan kau tu.. ” kata Nafisa dengan panjang lebar.

Suraya menggaru kepalanya. Bertambah bingung dirasakannya. Mulut segan hati mahu. Mana satu jawapan yang akan diluahkan nanti kepada Mukriz.

“Apa aku nak buat ini, esok dia nak tahu jawapannya, dah dua hari aku kusut fikirkan perkara ni..” gerutu Suraya.

“Terpulang, aku tak nak memaksa.. kau sendiri tahu apa jawapannya Su.” getus Nafisa pula.

“Erm..” Suraya kehilangan kata-kata dan dia terus mengetap lembut bibirnya.

“Su, kau cantik, tapi sayang.. kau tak gunakan kecantikkan kau tu sebaik-baiknya, cuba kau tenung diri kau di depan cermin, mata kau, hidung kau dan rupa kau ada daya penarik cuma kau kena tonjolkan sikit, barulah dia akan terpikat dengan kau..” Nafisa memberikan kata perangsang buat Suraya supaya lebih berkeyakinan.

Meskipun Nafisa sedaya upaya mahu membantu mengembalikan keyakinan yang mula susut dari jiwa Suraya namun dia tidak berjaya mengubah pendirian Suraya yang saat ini dalam kebingungan. Kenapa harus Suraya mempertikaian semua ini. Dia lebih kenal siapa dirinya cuma seperti yang Nafisa katakan tadi, dia perlu menggunakan kelebihan yang dia ada.

Untuk membuat pilihan memang susah, bukan main pilih tanpa selidik, segala-galanya mesti terperinci agar tidak menyesal di kemudian hari.

Suraya tidak memberikan sebarang maklum balas malahan dia terus terbungkam di situ. Dia memenjamkan matanya serapat yang boleh. Dia terus menghela nafasnya sedalam-dalamnya dan terus dilepaskan serentak bagi membebaskan segala resah yang membelenggu relung hatinya.

“Fisa, perlukah aku berterus terang sahaja padanya bahawa aku telah jatuh cinta?” soal Suraya lembut.

“Kalau kau berani teruskan, but ada ke perigi cari timba?”

“Tapi zaman sekarang ni memang macam tu, nak harapkan timba, jangan harap dia layan perigi buta macam aku ni,” kata Suraya.

Nafisa hanya menggeleng sahaja setelah Suraya seperti orang yang sudah berputus asa.

“Memang agak janggal bagi kita yang perempuan ni meluahkan perasaan pada lelaki, tapi Su, aku rasa lebih baik kau cuba buktikan dengan perbuatan, maksud aku kau tunjukkan sikap ambil berat kau terhadap dia, seperti yang kau sedang alami ini.. kau kena bantu dia betul-betul..”

“Tapi bagaimana kalau Mukriz akhirnya bersama Dania?” Suraya menduga.

“TUHAN yang tentukan jodoh kita Su dan seandainya sudak tertulis bahawa Mukriz itu adalah jodoh dia maka kau kena redha. Terimalah dengan hati yang terbuka..” ujar Nafisa.

Perkara itu yang Suraya tidak mahu terjadi. Dia tidak mahu Mukriz menjadi milik orang lain. Suraya bersetuju kalau dia patut buktikan pada Mukriz, cuma soal jodoh adalah perkara amat menakutkannya. Dia mungkin patah hati kalau Dania bersama Mukriz. Dia mesti buat sesuatu.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.