HOTEL bertaraf lima bintang dijejaki. Kali ini Mukriz membawa Suraya dan Nafisa untuk makan malam di hotel yang terkemuka di kotaraya ini yang terletak di Kuala Lumpur. Jarang sekali Suraya dan Nafisa dapat makan di hotel sambil menikmati panorama keindahan malam di Kuala Lumpur. Sekarang di berpeluang menikmatinya bersama orang yang disukainya.
Bagi Suraya, malam ini dia cukup bertuah kerana telah diajak keluar makan malam dengan Mukriz untuk pertama kalinya. Hati Suraya terpaut dengan lelaki kacak dan tampan seperti Mukriz yang sedang berpakaian tidak formal itu sehingga menampakkan bentuk badannya yang sasa dan berketul-ketul. Keningnya pula seperti Asraf Muslim pelakon televisyen itu, manakala rambutnya lurus dan sedikit berkumis begitu menjadi dambaan Suraya.
Meskipun Mukriz seorang bos yang kadangkala bersikap tegas namun dia prihatin terhadap setiap pekerjanya. Oleh itu ramai pekerjanya setia bekerja di Wisma Wasadi. Setiap bulan pasti ada saja bonus diberikan. Tetapi bukan itu sahaja yang diharap Suraya, malah lebih daripada itu. Dia mahu cinta Mukriz. Dia mahukan cinta lelaki yang sedang duduk di depannya itu yang saat ini sedang tersenyum puas.
“Awak yang awak sengihkan, Su?” soal Mukriz.
Menyedari Suraya sedang tersengih itu Mukriz terus sahaja bertanya, hairan benar dia, cepat pula rajuk di hati Suraya reda. Mungkin salah Mukriz kerana sering marah-marah pada Suraya semalam, tapi itu hanya di dalam waktu kerja. Mukriz kadangkala dapat membezakan kerja dan masalah peribadi tapi sejak kebelakangan ini tidak. Masalah peribadi ini terlalu rumit baginya.
Suraya di ketika ini pula sedang menggelabah setelah fikirannya sekejap tadi melayan telah disapa oleh Mukriz.
“Eh! Tak ada apa-apa.” balasnya deras dan dengan pantas dia menyisip minuman.
Nafisa yang berada di sebelahnya dapat meneka. Suraya sebenarnya mengelamun dan berangan cuma Nafisa tidak pasti apa yang berada di fikiran Suraya saat ini.
Suraya begitu anggun dengan imej bertudungnya. Sesekali nampak dia sedang membetulkan tudungnya yang dirasakan sedikit senget padahal sebenarnya tidak. Mungkin juga rasa terkejutnya itu masih bersisa apabila sapaan Mukriz menjengah ke cuping telinganya sebentar tadi.
“Tahu tak kenapa saya ajak kamu berdua makan di sini?” tanya Mukriz yang tidak lekang menguntum senyuman.
Sungguh manis wajah si jejaka tampan berlesung pipit di saat dia tersenyum. Terpaku setiap wanita yang memandangnya. Kecuali Nafisa, dia tidak boleh memendam rasa sedemikian kerana Nafisa tunang orang. Untuk ke sini tadi pun awal-awal lagi dia sudah memaklumkan pada tunangnya itu.
Suraya dan Nafisa menggeleng perlahan kerana dia tidak pasti apakah tujuan sebenar Mukriz mengajak mereka ke hotel ini.
“Sekarang saya nak ucapkan terima kasih untuk kamu berdua kerana membantu saya pagi tadi.” Kata Mukriz yang menyatakan tujuan sebenarnya mengajak mereka berdua makan di situ.
Maka fahamlah mereka. Mukriz mahu membalas pertolongan cemas yang diberikan oleh Suraya dan Nafisa.
Suraya hanya tersengih sambil menoleh ke arah Nafisa.
“Saya okey je bos, tapi Fisa ni, dia masih takut-takut lagi,” ucap Suraya.
Lantas peha Suraya cepat dicubit oleh Nafisa. Malu agaknya.
“Awak jangan risau tentang Dania, dia tidak akan berani buat apa-apa terhadap awak, lagi pun saya kenal dia tu macam mana.” Kata Mukriz kepada Nafisa yang sedang tertunduk.
“Tapi saya betul-betul tak faham, kenapa bos tiba-tiba sahaja tak suka dia dan mahu dia menjauhi bos?” balas Nafisa setelah dia mengangkat sedikit dagunya dan memandang Mukriz.
“Ha`ah apa kurangnya Dania tu? Cantik dan menawan, malah seksi lagi..” Suraya mencelah seperti menyuarakan rasa cemburu.
Mukriz mengetap lembut bibirnya. Dia tidak mampu untuk berterus terang dan otaknya ligat mencerna alasan. Mungkin agak luar biasa tapi tidak janggal bagi dirinya. Lantas dia berkata,
“Lakonan kamu berdua begitu hebat, tahniah, boleh masuk drama tv lepas ni, haha!” ujar Mukriz sambil ketawa yang sengaja dibuat-buat kerana tidak mahu menjawab pertanyaan itu.
Suraya dapat menduga bahawa Mukriz tidak akan menceritakan sebabnya dan dibiarkan saja terbuku begitu sahaja. Nafisa pula tidak dapat menahan rasa takutnya. Dia pula bersuara,
“Tapi bos dah usap pipi saya, jadi bos kena cerita juga,” balas Nafisa.
Terbungkam seketika Mukriz di situ. Sekejap dia menoleh kiri dan kanan. Rasa serba salah pula singgah di hatinya kerana menggunakan mereka. Terpaksa dia aturkan lakonan itu untuk menghindari Dania. Idea tersebut datang secara tiba-tiba. Tidak pula dia menduga bahawa tindakannya itu membuat perasaan mereka jadi tidak menentu.
“Saya minta maaf Fisa, Su, saya terpaksa dan bukan niat saya melibatkan kamu berdua dalam masalah saya, tapi…” kata-kata Mukriz terhenti di situ kemudian dia mengusap lembut wajahnya.
Suraya dan Nafisa mendengar keluhan berat yang dilepaskan Mukriz. Kemudian bosnya itu menghela nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan-lahan. Mereka berpandangan sesama sendiri.
Terasa berat untuk Mukriz meluahkan masalahnya kepada pekerja sendiri terutama terhadap Suraya dan Nafisa yang dianggap rapat dengannya, cuma kalau boleh biar dia sendiri yang menyimpannya. Bukan dia tidak mahu tapi susah untuk dia menceritakan hakikat sebenarnya. Lidahnya pula kelu tiba-tiba.
“Kalau bos keberatan untuk beritahu tak mengapalah, mungkin sekarang ni bos belum bersedia, saya dan Fisa tidak akan memaksa,” ujar Suraya.
Nafisa yang mendengarnya juga terpaksa membiarkan sahaja apatah lagi Mukriz sekarang ini sedang dibelenggu perasaan sedemikian. Resah dan berbaur serba salah. Ingin dicampak jauh-jauh rasa itu tetapi ke mana pula arahnya harus dia bermula.
“Sebenarnya saya masih perlukan sangat bantuan kamu berdua dan saya harap kamu berdua dapat tolong saya, cuma sekali ini sahaja. Lepas ni saya janji saya tidak akan libatkan kamu lagi.” Kata Mukriz selepas dia membisu sekejap tadi.
Nafisa mengigit jarinya. Suraya pula mengetap perlahan bibir tebalnya. Saat ini Mukriz memandang dengan penuh harapan terhadap mereka berdua.
Tidak diduga oleh mereka bahawa Mukriz masih lagi berharap sedemikian. Mereka fikir itu untuk yang terakhir kali tapi lain pula jadinya. Nafisa gugup seketika, dia berat hati untuk membantu sekali ini, seperti sudah serik, tapi secara tidak langsung dia memang sudah terjebak, apa pula kata tunangnya nanti.
Suraya kehilangan kata-kata. Dia menelaah apa pula yang berlegar di ruang fikir Mukriz sekarang ini. Susah untuk dia menduganya. Dia faham bosnya memang begitu sikapnya. Selalu sahaja menjalar kemahuannya. Cuma dia tidak pasti sama ada dia perlu mengikut kehendak Mukriz yang seterusnya itu ataupun tidak.
Sukar pula untuk Nafisa buat pilihan, dia bermain dengan jari sendiri di bawah meja. Menghitung sanggup atau tidak setelah pagi tadi dia sudah di suruh bermesra dengan bos sendiri untuk dilihat Dania dan Suraya pula diminta supaya menghalang olok-olok bagi meyakinkan bahawa semua itu adalah benar.
Mukriz dapat akal untuk merencanakan lakonan itu sebaik sahaja dia mengetahui Dania mahu ke Wisma Wasadi. Maka dalam keadaan terdesak itu Suraya dan Nafisa harus memainkan peranan masing-masing.
“Begini, Fisa, saya mahu awak jadi teman wanita saya..”
“Apa? Teman wanita?” terkejut benar Nafisa dibuatnya.
Terbeliak biji matanya apatah lagi Suraya, terus mencuka wajah, mungkin cemburu agaknya. Tapi kenapa tiba-tiba Mukriz berkata begitu. Suraya tertanya-tanya manakala makanan di atas pinggannya itu hanya dikuis-kuis sahaja dengan sudu, langsung tidak disuakan ke mulut.
“Teman wanita olok-oloklah, bukan betul pun,” balas Mukriz sambil tersengih.
“Saya ingatkan dah selesai, rupanya ada lagi, bos saya fikir saya tidak sangguplah bos untuk menggalas tugas seberat itu, nanti apa pula kata tunang saya, saya tak nak dia fikir yang bukan-bukan pulak,” Nafisa memberi alasan.
Dia tidak mahu lagi terlibat. Dia takut perkara lain yang timbul maka cepat-cepat dia memberi alasan begitu agar Mukriz dapat pertimbangkannya.
“Biar saya yang jadi teman wanita bos,” Tiba-tiba Suraya mencelah.
Dengan rela hati dia menawarkan khidmat untuk berlakon menjadi teman wanita olok-olok pada Mukriz. Dia berharap bosnya itu akan bersetuju.
“Mana boleh macam tu, nanti lari pula jalan ceritanya, saya tadi dah planning awal-awal sebelum ke sini, susah untuk saya nak rombak balik,” ujar Mukriz.
Jawapan yang diberikan Mukriz begitu menghampakan Suraya memang benar-benar ingin membantu. Dia ingatkan dapatlah juga dia menyelam sambil minum air tapi hampa kerana Mukriz tidak mahu memberikan watak itu kepadanya.
Nafisa menggaru kepalanya yang tidak gatal, rasa hairan bercambah difikiran, sekejap dia mentafsir apa agaknya Mukriz ingin lakukan seterusnya tapi tidak tercapai pula akalnya.
“Bos kena rombak juga dan buat planning baru, sebab saya tak berani lagi, kalau saya kena tampar betul-betul dengan Dania tu, naya saya bos..bagi saja pada Suraya, dia pandai belakon sebelum ni saya pernah tengok dia berlakon untuk bantu adik dia siapkan assignment klip video. Ala bos! Bos kena percayakan kewibawaan Suraya ni..” kata Nafisa bagi meyakinkan Mukriz terhadap kebolehan Suraya.
Kembang semangkuk hidung Suraya dan tersipu-sipu malu jadinya. Sedikit sebanyak Nafisa cuba menyemai harapannya itu. Lantas dia tertunduk. Sesekali dia menoleh ke arah lain menyembunyikan rasa malu.