Entri Terkini :

Novel : Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 9)

Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 9)


Nafas dikawal dengan baik agar tidak nampak panik. Raut wajah yang tenang dihadiahkan kepada seorang gadis di hadapan mata. Sebenarnya hatinya cukup tenang melihat wajah cantik itu. Gaya dan personaliti Hazrina lain daripada yang lain. Terpegun Hazwan menatapnya. Gadis itu nampak elegan dengan pakaian berwarna hitam berkulit cerah dan berbulu mata lentik serta harum wangian yang dipakai Hazrina. Ia sungguh memikat kalbu.
“Untuk apa kita jumpa?” Hazrina memecahkan tembok kebisuan antara mereka.
Hazwan senyum dan dalam senyuman terlakar kebimbangan. Ia dapat dilihat dari kerutan pada dahi. Itu adalah gelisah yang mesti dipadamkan.
“Untuk makan malam bersama-sama dan…” Tersangkut pula bicara Hazwan kerana saat begini dia mesti tegas. Apakan daya, aura Hazrina begitu utuh.
“Kaki awak dah okey?” Hazrina memintas dengan pertanyaan.
Hazwan mengeluh lalu tersenyum.
“Dah…” Katanya.
“Errr Rin…”
“Ya.” Hazrina mengukir senyuman.
“Saya nak minta maaf.”
“Kenapa?”
“Pernah hina awak dan malam ni saya janji, saya habiskan makanan ni.” Hazwan memerhatikan nasi kicap telur goreng di hadapan mata.
“Semuanya sebab kawan saya, kan?” Noris yang dimaksudkan Hazrina.
“Eh, tak tak.” Laju Hazwan menidakkannya. Semua ini bukan kerana Noris tetapi dari pemerhatiannya sendiri. Semenjak dia melemparkan penghinaan dan salah anggap, hatinya tidak selesa bahkan merasakan kata-katanya itu terlalu kesat. Menyesal sungguh melukakan hati seorang gadis yang Nampak tulus itu padahal dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian.
Hakikat rindu yang menyala terhadap Hazrina membuatkan hati Hazwan terpaut. Entah dari mana datangnya perasaan itu yang sukar untuk ditafsirkan. Memanglah semakin hari semakin sayang tambah lagi dia dapat tahu Hazrina datang cari dirinya. Kalau hendak diikutkan Noris yang paksa Hazrina. Tetapi semua itu tidak penting. Hazwan tahu bahawa Hazrina adalah si gadis yang sangat sopan.
“Sebenarnya dah lama saya maafkan awak. Cuma…” Hazrina sukar menghabiskan kata-katanya lalu Hazwan beriak wajah dengan mengangkat kening supaya Hazrina meneruskannya.
“Cuma apa?” Soal Hazwan.
“Terus terang saya katakan. Setelah apa yang berlaku, sukar untuk saya memaafkan Badrul walaupun saya tahu dia sepupu awak. Apa perasaan awak kalau awak diperlakukan macam tu seolah-olah semua perempuan yang ada di atas  muka bumi ni terlalu keji?” Perlahan-lahan air mata Hazrina luruh.
Pastinya ia sangat menyakitkan. Hazwan buat-buat faham dan cuba memahami dengan mata hatinya. Memanglah Badrul tidak patut layan Hazrina seperti itu tetapi Hazwan tidak tahu bagaimana perempuan sebaik Hazrina boleh masuk ke dalam perangkap Badrul? Tidak ada sedikit syakkah? Soal hati Hazwan. Syak Hazrina terhadap setiap helah Badrul sukar dihidu.
“Kenapa awak begitu mudah percayakan dia?”
“Kerana saya tak suka menghampakan perasaan orang lain.” Hazrina tunduk lalu menyeka air matanya sendiri lantas bangun untuk beredar sementara. “Saya nak ke tandas sekejap.”
“Rin, awak okey ke?”
“Saya okey.” Hazrina mengatur langkah.

***

Wajahnya ditatap. Tangisan itu mungkin tidak dapat difahami oleh lelaki yang bernama Hazwan di luar sana. Betapa terseksa dirinya. Kalau boleh dia tidak mahu menzahirkan keperitan di hadapan Hazwan. Dia mahu terus segar dan meyakinkan. Kadang-kadang rasa malu, kadang-kadang rasa rendah diri dan kadang-kadang rasa mahu sorok sahaja wajah sendiri di dalam bekas makanan.
Air paip ditutup selepas tangan dibasuh. Tisu yang menyeka air mata dibuang ke dalam tong sampah. Dia menyusun langkah untuk keluar dari tandas. Aku kena kuat. Biar apa pun yang berlaku, aku mesti terus menghormati Hazwan. Dia yang telah menyelamatkan aku. Dia adalah lelaki yang harus melindungi aku dan aku yakin dialah lelaki yang boleh jaga aku. Bisik hati kecilnya.
Malam yang dingin itu terus membawanya hanyut dalam buaian perasaan. Ditambah lagi suasana di tempat makan tersebut sungguh indah. Lampu neon menyinar cantik bahkan kolam air terjun turut menambahkan seri. Jadi tidak hairanlah kenapa pasangan kekasih memilih tempat ini sebagai tempat temu janji mereka termasuk Hazrina dan Hazwan.
“Cantik awak malam ni…” Dia mendapat pujian semasa dijemput ke sini. Hazwan memujinya cantik. Dan Hazwan bukanlah lelaki pertama yang memujinya sedemikian tetapi ramai lelaki berbuat sedemikian demi memenangi hatinya termasuk Badrul. Badrul pernah puji dia sebegitu tetapi pujian yang Badrul berikan adalah satu perangkap. Sungguh tidak disangka.
Aku tidak pernah merasakan diri aku cantik, tetapi apakah yang menyebabkan Hazwan layan aku dengan baik sekarang ni? Aku sudah mula rasa pelik. Setelah apa yang berlaku, aku sudah mula takut. Bisik hati kecilnya lagi yang semakin resah.
Dalam langkahnya yang perlahan, dia melayani perasaan sendiri. Fikirannya menerawang jauh teringatkan peristiwa hitam mencengkam jiwa. Tatkala itu dia merasakan itu adalah jodoh pertemuan dengan Hazwan. Adakah ini takdir aku?
Beberapa meter untuk kembali semula ke meja, dilihat Hazwan tiada di situ. Mana dia pergi? Dia menebar penglihatan ke sekeliling restoran itu tetapi kelibat Hazwan tidak terdapat lagi. Hazwan tiada di di hadapan Hazrina.
Tiada pesan dan tiada khabar, ghaib begitu sahaja. Hazrina hampa dengan sikap sedemikian. Kalau ya pun ada kerja kenapa tidak sedikitpun diberitakan terlebih dahulu?

bersambung~ suka cerita ni? like sahaja di bawah :-)

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.