Entri Terkini :

Novel : Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 8)

Nasi Kicap Telur Goreng (Bab 8)


“Dekat mana kau jumpa?” Laju pertanyaan itu meniti di bibir Hazrina yang melihat apa yang diberikan padanya. Ia sangat berharga.
“Aku nak lap bibir aku dan aku nampak sapu tangan ni ada atas meja tulis tu. Tapi… aku nampak nombor telefon Awan. Sekarang baru aku tahu, Awan yang telah menyelamatkan kau.” Ucap Noris yang selama ini salah faham. Tetapi bulan salah Noris. Hazrina yang masih takut menceritakan hal sebenar.
Noris sudah boleh menerima kehendak sebenar Hazrina. Sebenarnya Hazrina sudah mula sayang pada Hazwan tetapi susah mahu mengucapkannya. Ia sukar untuk diterbitkan dengan kata-kata kerana terus terpendam sedalam-dalamnya. Kalau ia mampu terpacul dengan mudah maka pasti Hazwan dapat melihat perasaan berbunga cinta.
“Memang aku rindukan dia.” Selafaz rindu diungkapkan tetapi bukan dapat didengari oleh jejaka itu. Hanya Noris sahaja yang mendengarnya. Dan sebagai seorang perempuan, Noris juga mengerti akan perasaan tersebut.
Noris faham dan setiap ungkapan rindu ada nilainya. Lagipun manusia normal akan memiliki rasa itu kecuali manusia robot. Manusia seperti itu memang diciptakan untuk tidak berperasaan dan hanya menurut apa sahaja yang sudah disetkan dalam memori.
“Sabarlah, Rin. Lupakan apa yang berlaku. Aku ingatkan kau betul-betul kena dengan Badrul tu.” Noris salah anggap. Selama ini dia berfikir bahawa kesucian itu telah diragut oleh lelaki buas bernama Badrul. Kalau itu yang berlaku maknanya ia satu malapetaka.
“Tak, Is.” Hazrina menyeka air matanya yang luruh bak titisan hujan yang mencurah-curah di ladang gandum. Mengalirnya pula bagaikan empangan yang pecah. Raut wajahnya pula sugul dan bermuram durja mengakibatkan wajahnya umpama tokang pecah.
Noris bersimpati di atas nasib yang menimpa Hazrina. Bersimpati sahaja tidak cukup seandainya tidak turut sama merasainya. Namun, apa yang berlaku ini ada cerita. Ada hikmah. Ada bermacam-macam andaian yang mungkin akan membawa pada satu keajaiban. Inikan soal cinta, jadi Noris akan tenangkan hati si kawan bernama Hazrina.
Hazrina terlalu sebak di dada. Gara-gara itu dia tidak senang duduk. Mahu sahaja dia teriak sekuat hati tetapi kalau dia bertindak begitu, Noris akan pekup mulutnya dan pasti mengatakan dirinya gila. Ini kolej bukannya zoo.
“Kalau aku cakap sesuatu kau jangan marah ek?” Noris takut-takut dan dahinya terlakar garis-garis risau. Kerisauan yang mungkin akan bertindak balas dengan emosi Hazrina.
Hazrina mengetap bibir.Noris pula tergaru-garu cuping telinga. Tabiat kalau sedang serba salah. Keadaan begitu sentiasa berlaku kalau masing-masing berahsia.
 “Apa dia?” Jantung Hazrina mula berdetak laju. Ada sesuatu yang tak kena. Pelik sahaja cara Noris memandang dirinya. Kadang-kadang nampak jelas mulat terkumat-kumit seperti membaca mentera. Adakah itu sihir? Mungkin tidak. Tapi, yang betul Noris terseringai.
“Boleh tak kau jangan pijak kaki aku? Kau selalu macam ni.” Noris mengheret ekor matanya ke bawah supaya Hazrina juga perasan.
“Masya-Allah!” Hazrina tersentak. “Kau yang patut marahkan aku, bukannya aku. Maafkan aku Is… aku ingatkan kotak kasut tadi.” Alasan diberikan bagi menafikan kesalahan. Memang Hazrina tidak sengaja dan memang patut dialihkan kerana tidak sedar. Isy! Masa bila pula aku boleh terpijak kaki Noris ni? Hatinya bertanya.
Setelah kaki diangkat barulah Noris berasa lega sedikit tetapi kesan kesakitan itu tetap terasa. Hazrina tidak agak-agak langsung. Kaki Noris jadi mangsa. Sudah tertekan jadinya kelam kabut. Kaki orang disangkanya kotak. Apa hal. Noris tarik nafas. Hazrina pula masih minta maaf.
“Baiklah, masalah biasa aje. Kalau teruk sangat aku masuk ICU.” Seloroh Noris. Sebenarnya ada perkara lain yang mahu dibicarakan Noris.
Hazrina memerhati Noris yang bangun cepat-cepat dan duduk di bangku dekat dengan meja tulis. Di situ Noris mengeluh sambil melakukan tabiatnya.
“Aku rasa ada benda lain yang kau nak cakap.” Hazrina meneka.
“Tepat! Tapi macam mana kau tahu?”
“Kalau kau masih tergaru-garu cuping telinga tu memang ada benda la yang kau nak cakap. Aku dah kenal kau dari awal semester lagi, Is. Tak payahlah kau nak berdalih. Lebih baik kau beritahu aku.”
“Eleh… kau pun sekarang ni dah banyak berahsia dengan aku. Macam mana mula-mula perkenalan kau dengan Awan tu pun aku boleh tak tahu…” Noris mengungkit kerena berasa sedikit kecewa. Hazrina bangun dan menghampiri Noris.
“Tapi aku beritahu juga, kan.”
“Tapi selepas aku desak kau, Rin.”
“Erm…” Hazrina mula dihambat rasa serba salah. Kekecewaan Noris juga merupakan kekecewaan dirinya. Dia sudah fikir semasak-masaknya bahawa tidak mahu mengheret Noris ke kancah masalah hidupnya. Masalah ini terlalu rumit. Ia melibatkan soal hati dan perasaan. Kalaulah Noris faham bagaimana terlukanya hati dituduh dengan gelaran yang tidak sepatutnya, mungkin Noris tidak mahu terperangkap.
Lagi, Noris terlalu baik dengan Hazrina. Keakraban mereka berdua sukar dipisahkan. Noris pernah berkata bahawa kalau paha kanan dicubit, paha kiri aka terasa sakitnya juga. Hazrina sentiasa ingat. Ketahuilah Noris bahawa aku tidak mahu seorang sahabat seperti kau berduka di setiap duka-duka aku. Hazrina terus merintih. Aku mahu kau selalu tersenyum. Hazrina benar-benar berharap setiap orang di sekelilingnya menguntum senyuman agar perit di hati hilang.
“Baiklah! Aku akan bantu kau dapatkan Awan.” Noris mahu menolong.
“Jangan! Aku tak nak kau masuk campur.”
What?
“Ya, Is. Jangan sesekali kau masuk campur dalam masalah ni. Aku tak mahu kau dihina sama seperti aku.” Hakikatnya Hazrina mahu berkongsi tetapi tidak mahu Noris sangsi. Sangsi terhadap setiap hal yang terjadi. Ini soal maruah. Noris patut faham.
“Berani mereka nak hina aku? FYI, aku dah pun masuk campur. Aku dah call Awan.” Noris berucap dengan lagak superwomen. Memang tiada lelaki yang berani kacau Noris. Sekali menjerit, gunung boleh pecah.
“Hah?” Hazrina tersentak.
Noris kerdip-kerdip mata.
“Is… kenapa aku rasa macam nak cekik leher kau aje ni.”
“Sebab kau rasa cemburu bila tahu aku call Awan.” Jawab Noris selamba sambil bersiul-siul.
“Eee…”
“Tapi, tapi…”
“Tapi apa?”
“Tapi aku call dia cuma nak aturkan dinner kau orang berdua saja.”
“Hah?” Lagi sekali Hazrina terkejut. “Apa kau merepek ni?” Hazrina merenung Noris dalam-dalam. Noris memandai-mandai sahaja mengatur pertemuan. Bukannya Noris tidak tahu bahawa Awan sakit. Ada patut paksa lelaki tu berjumpa. Mahu ke? Eh? Bukan ke Is kata dah aturkan dinner?
“Is…” Aduhai…
“Dia dah pun setuju.”
Hampir pitam Hazrina dengan rancangan Noris tiba-tiba berubah angin. Pada mula-mula beria-ia sangat benar mahu maki hamun Hazwan tetapi sekarang lain pula jadinya. Entah apa yang Noris beritahu Hazwan pun tidak pasti.

***

Jam tangan dipakai, baju pula dikemaskan dan ia dimasukkan ke dalam seluar. Penampilannya memang cukup dijaga. Rambut pula disisir rapi terpacak. Seorang yang berjawatan dan seharusnya cara komunikasi juga mesti dijaga. Semuanya demi prestasi kerja. Di hadapan cermin kaca itu, dia memerhatikan wajah sendiri. Berasa selesa selepas dicukur. Sebelum ini agak tertinggal untuk  bercukur sekarang bertambah bersih.
Baju kameja lengan panjang berwarna biru dan berkolar putih itu dipadankan dengan seluar denim hitam begitu sesuai dengan gaya dan rupa Hazwan Syarhan bin Dato` Musa. Begitulah gaya hidup seorang yang berjaya. Usai itu dia keluar dari bilik dengan memakai wangian.
Dia terus tergesa-gesa untuk keluar walaupun langkahnya sedikit tempang. Ketika dia baru sahaja membuka pintu utama, ada pula suara yang menyapa mencucuk lubang telinganya. Bunyinya macam nada sindiran tapi bagi Hazwan, itu adalah suara sumbang orang yang tidak kenal untung.
Happy nampaknya malam ni. Sejak kaki dah sembuh tu dah selalu keluar malam.” Ujar Badrul mengungkit hal ligament lutut Hazwan yang putus semasa bermain ragbi.
“Hei hei… kau kenapa Bard? Kau jealous ke dengan aku?” Hazwan mendekati Badrul yang tadi menonton televisyen sudah berubah posisi bangun menghadap Hazwan.
“Aku dengar perempuan tu cari kau.” Badrul bersilang kaki.
“Perempuan mana pulak ni?” Hazwan buat-buat tanya.
“Kau janganlah buat-buat tak tahu pulak, Awan.” Badrul tersengih mempamerkan barisan gigi yang putih.
Hazwan juga tersengih sambil memasukkan tangan kiri ke dalam poket seluar. Kemudian dia menggosok sekejap hidungnya dengan tangan kanan lalu menala semula mata kepada Badrul.
“Aku tak faham.” Hazwan menafikannya lagi.
“Kau tak faham ke atau sengaja buat-buat tak faham?” Badrul mendesak.
Hazwan angkat dagu sedikit memandang semacam pada Badrul yang sangat sibuk bertanya peribadi orang lain. Kalau diikutkan Badrul masih mempunyai hak untuk ambil peduli tetapi tidak perlu terlalu banyak. Cukup sekadar sepupu sendiri.
“Apa masalah kau sebenarnya?”
“Yalah, kau larikan perempuan tu daripada aku semata-mata kau nak sedap seorang.”
“Jaga sikit mulut kau tu, Bard. Rin bukan seperti perempuan yang kau maksudkan. Dia perempuan baik!” Tengking Hazwan memihak pada Hazrina.
“Baik? Macam mana kau tahu dia baik?”
“Dahlah Bard. Kau memang cuba nak rosakkan dia pada malam tu. Aku dah kenal sangat dengan perangai kau tu.”
“Dia yang datang pada aku. Bukan aku yang cari dia.” Badrul menafikan.
“Sudahlah!”
“Bagaimana dengan Maya?” Terpacul nama itu.
“Kau jangan nak libatkan Maya dalam hal aku.” Tangan dituding ke wajah Badrul sebagai amaran untuk sepupunya itu agar tidak masuk campur. Jikalau tidak perkara buruk pasti berlaku.
“Tapi dia tunang kau.”
“Kau aje la ambik dia.” Hazwan berpaling dan menyambung niat untuk menunaikan janji temu. Badrul pula terus mengheret pandangan mata pada kelibat Hazwan sehinggalah bayangan Hazwan lenyap.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.