Entri Terkini :

Aku Bukan Korea - Bab 5

ZAFRIL bersiap sedia untuk memulakan perniagaannya. Gerainya tidak berapa jauh dari rumah sewa. Sesungguhnya hati Zafril sangat senang. Tambah lagi hati itu berbunga-bunga malah tersenyum sendiri terkenangkan apa yang telah berlaku. Bertemu dengan seseorang yang menawan membuatkan hatinya tertawan. Selepas solat maghrib dia membuka perniagaannya itu. Jam 8 malam adalah waktu dia mula berniaga sehingga jam 12 tengah malam.
Izad datang menyibuk. Bukan Zafril tidak suka tapi kalau suka bercerita tentang keburukan pelajar sahaja rasa bosan pulak. Zafril tidak mahu kecilkan hati Izad tapi harap Izad faham. Tidak semua perkara yang buruk dalam dunia ini tidak memberikan impak yang baik. Contohnya bencana alam. Jika tidak diturunkan bala maka tiada iktibar dan pengajaran yang diambil. Izad masih tidak faham. Keburukan bukan untuk diperdebatkan tetapi diperbaiki.
“Sibuk nampaknya.” Sapa Izad sebaik sahaja parkir kereta.
“Agak sibuk juga memandangkan malam ini merupakan malam terakhir aku berniaga.” Ujar Zafril sambil meletakkan bungkusan roti di tempatnya. Izad hairan.
“Apesal pulak? Kau dah dapat kerja lain ke?” Izad membantu meletakkan botol sos serta mayonis di atas rak gerai.
Zafril menggeleng.
“Dah tu, kau nak kerja apa kalau kau tak berniaga?”
Zafril tersenyum.
“Aku tanya pun kau jawab dengan gelengan dan senyuman. Apa kes?”
“Bagaimana dengan keadaan kelas?”
“Kau bukan dekan untuk aku melaporkan keadaan kelas aku.” Izad agak tidak berpuas hati kerana pertanyaan darinya belum dijawab.
“Paling tidak aku cuba meringankan bebanan fikiran kau itu. Kemungkinan hari ini kau menghadapi masalah memandangkan riak wajah kau ketika tiba ke sini tadi sungguh kelihatan muram.” Sengaja Zafril menduga sembil memakai apron yang diperbuat daripada kain pelikat. Jahitan sendiri sungguh cantik. Di bahagian tali apron kain pelikat itu terdapat riben.
Zafril menduga Izad tapi Izad seperti tersinggung. Bukan disebabkan pertanyaan Zafril tapi kerana hal pelajar. Kalau sudah diberi peluang, hati Izad sakit. Kalau dibiarkan tanpa ada cara menyekatnya maka hati Izad bertambah sakit. Sakit mengenangkan sikap pelajar yang seorang itu.
“Aku tak sengaja terkasar.” Cepat-cepat Izad minta maaf dan duduk di bangku. Zafril faham perasaan Izad sekiranya dalam keadaan marah. Di situ Zafril berdiri lalu memandang Izad yang resah.
“Kenapa dengan kau hari ini?”
“Pelajar aku semakin melampau.”
“Berilah dia peluang. Kau dan dia berbincang.” Zafril menepuk bahu Izad supaya banyak bersabar. Itu sikap Zafril sekiranya ditimpa masalah namun bagi Izad lain pula keadaanya. Izad sudah mengeluh panjang.
“Okay, maybe you not understand about feeling.” Izad mengerling.
“Tolong berbahasa Melayu.”
“Ah, takkan sikit pun tak boleh?”
“Aku cintakan bahasa ibundaku. Aku lebih agungkan bahasa ini daripada mencampur-adukkan bahasa perbualanku ini dengan bahasa yang lain. Bukan aku tidak menghormati bahasa orang lain tetapi kita seharus lebih mengangkat martabat bahasa kita sendiri. Bagaimana sekiranya hati dan perasaan juga begitu? Apa kamu mahu perasaan cinta yang ada di dalam hati kamu berganti kebencian?  Bahkan kebencian itu terus merasuk jiwa kamu dan sudahnya kamu hidup dalam suasana yang tidak tenteram.” Zafril sambung kerja selepas membebel.
Izad sudah mula rasa bosan. Izad mesti ingat, untuk menjadi seorang sahabat yang baik, dia seharusnya menerima kekurangan dan kelebihan seseorang. Izad bangun dan mengambil sarang telur lalu dikeluarkan telur itu terus dimasukkan ke bekas. Dibawa ke paip untuk dibasuh. Telur mesti dibasuh dan itu yang selalu dilakukan Zafril sebelum Izad mengambil alih tugas itu.
Izad ingat pesan Zafril, telur yang tidak dibasuh merupakan najis. Najis yang belum disucikan itu mestilah diambil cakna. Dalam pemakanan, kebersihan adalah tunggak utama. Tanpa kebersihan maka kualiti makanan itu menjadi tidak seimbang. Bayangkanlah najis yang tidak disucikan itu diberi makan kepada orang lain pula lalu menjadi darah daging manusia. Daripada itu ia mempengaruhi hati. Mencari yang halal di sisi syarak merupakan tuntutan. Mungkin ramai yang lupa perkara yang dianggap remeh.
“Nasib baik kau melakukannya tanpa disuruh. Ia terakhir kali mungkin.” Zafril tersenyum melihat Izad membersihkan telur ayam itu.
Izad yang terbongok itu menegakkan badan. Dia menoleh kepada Zafril yang sedang mengatur bekas berisi salad dan bawang.
“Kau nak ke mana, dari tadi tak cakap pun lagi.”
“Janganlah kau khuatirkan aku. Aku baik-baik sahaja.” Ujar Zafril kemudian melangkah mengambil tong gabus lalu diletakkan di atas meja kayu. Gerai Kejora Burger Arjuna dihiasi lampu neon indah. Walau bagaimanapun pelita tetap dinyalakan. Sesiapa yang datang pasti berasa damai bersama irama lagu retro diputarkan daripada kaset. Tetapi malam ini radio digantikan.
“Eh? Mana kau dapat benda tu?” Izad tertanya-tanya. Di zaman serba moden masih lagi digunakan rekod gramofon atau dikenali sebagai piring hitam.
“Selama aku berniaga di sini rasa kurang lengkap tanpa pemain piring hitam ini. Jesteru itu aku bawa ke sini. Lama aku mengambil masa untuk membaiknya setelah ia mengalami kerosakan. Nah, sekarang ia lengkap!” Zafril mengukir senyuman puas.
Izad teruja untuk melihatnya. Baru dia perasan benda itu merupakan pemain piring hitam. Patutlah dia nampak ada benda yang dibungkus dengan kain tadi di atas meja. Rupa-rupanya barang antik.
Dengan itu berkumandanglah lagu-lagu lama. Izad turut tersenyum kagum. Betul-betul dia tak sangka. Zafril seorang pengumpul barang-barang antik. Patutlah dia nampak banyak barang yang ada di dalam rumah itu. Jam antik, lukisan-lukisan lama. Lencana serta pelbagai lagi yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Ia amat menakjubkan.

***

“ABANG aku cakap ada satu tempat ni, burger dia sedap gila. Kalau kau makan pasti nak lagi.” Farah menceritakan pengalaman abangnya membeli burger di tempat itu. Cuma Farah belum merasainya sendiri. Dia hanya dapat bercerita sahaja kepada Norisya tanpa menunjukkan bukti.
“Banyak la kau sedap. Semua burger sama je la rasanya. Tak ada beza. Lagipun aku mana suka makan burger. Kenyang pun sekejap je.” Norisya tidak hairan langsung. Malah tidak pula meleleh air liurnya mendengar keenakan burger yang dimaksudkan Farah itu.
Buku nota dilipat. Waktu kelas sudah tamat. Dia mahu keluar.
“Chup! Kau nak ke mana ni?”
“Nak usyar tempat burger yang kau maksudkan tu.”
“Ceh!”
Dalam pada itu Mia datang. Mia datang membawa khabar selepas menghantar assignment kepada Puan Husna yang dikumpulkan tadi untuk dibawa ke dalam bilik pengajar.
“Kau ada scandal dengan Encik Izad ke?” Selamba Mia bertanya selepas tiba ke tempat duduk Norisya. Soalan langsung tidak bertapis. Barangkali masih marah dengan Norsiya berkenaan kes tidak hadir ke majlis hari lahir. Tapi itu sudah berlalu. Tidak perlu melarat sampai ke hari ini.
“Wah, lancang kuning mulut kau ni Mia… please, tak mungkin la…” Norisya menafikan.
“Ha`ah kau ni Mia, agak-agak la. Takkan Isya yang comel ni nak berscandal dengan pensyarah sendiri? Lagipun takkanlah Encik Izad tu nak pandang Isya.” Farah pula sarkastik.
Norisya cubit lengan Farah.
Terseringai Farah jadinya.
Auch! Sakit la Isya…”
“Tahu pun.” Norisya angkat kening.
“Aku ni jujur dan amanah. Nah!” Mia agak berang sambil menghulurkan sesuatu.
Norisya tercengang.
“Eh… surat…” leret nada Farah.
Cepat-cepat Norisya mengambilnya daripada tangan Mia kurus lidi itu sebelum Farah menyibuk. Mia muncung mulut.
“Sebenarnya aku minat dekat Encik Izad tu tapi tak apa. Aku beralah dengan kau Isya…” Suara Mia seolah-olah hampa. Makan hati agaknya.
“Tak payah cakap la Mia, aku pun dah lama tahu.” Farah mencelah. Opps!
“Sekarang zaman teknologi, ada lagi main pakai surat segala kan?” Mia menyindir lalu beredar meninggalkan kelas tatkala pelajar lain sudah lama pulang.

***

LAMA Norisya memandang Rosnah yang duduk menonton televisyen bersama Mustafa. Sekilas Norisya memandang jam di dinding. Dia berharap sangat supaya dapat keluar makan malam. Lidahnya seolah-olah kelu. Ya, susah hendak meminta kebenaran gara takut permintaan itu akan ditolak nanti. Berdoa Norisya dalam hatinya.
Rosnah perasan akan dirinya dipandang. Lalu dipandang wajah Norisya. Ketika itu Norisya bermain dengan jari jemari sendiri. Malam yang terasan dingin kerana petang tadi hujan telah turun. Cuaca benar-benar tidak menentu. Apabila diramalkan cerah tetapi hujan pula. Sememangnya ramalan bukanlah menentukan ketepatan.
“Kenapa dengan Isya?” Tegur Rosnah seterusnya mencuit paha suami, Mustafa. Menoleh Mustafa. Tumpuannya terganggu ketika menonton movie.
“Errr…” Jawab Norisya.
“Isya…” Panggil Mustafa.
“Ya.”
“Anak ayah mesti lapar, bukan? Kenapa tadi tidak turun makan bersama? Kasihan mak dan ayah makan malam tanpa Isya tadi.” Mustafa mewakili ucapan yang terhiris. Sebenarnya sedikit berkecil hati kerana tadi Norisya tidak turun makan bersama. Sengaja dia membisu ingin melihat sama ada Norisya akan menegurnya atau pun tidak.
“Maafkan Isya… errr sebenarnya…” Norisya tergagap-gagap.
Rosnah mengukir senyuman seolah-olah memahami sesuatu. “Ada apa-apa yang Isya ingin beritahu mak dan ayah ke?”
“Ada.”
Sekali lagi Mustafa menoleh. “Apa dia Isya? Bilang sahaja… ayah akan mendengarnya dengan teliti.” Mustafa senyum.
Selama ini Norisya seperti hidup di zaman dahulu. Dalam rumah ini semunya barang-barang antik. Sungguh, untuk berbahasa juga sedemikian rupa. Kecuali apabila bersama Rosnah. Rosnah akan melonggarkan peraturan itu ketika ketiadaan Mustafa. Mustafa bertegas perlu berbahasa sopan dan luhur. Tidak boleh menggunakan bahasa lain di dalam rumah. Satu hari berbahasa baku.
Huh! Hari Selesa adalah hari yang sangat tidak disukai Norisya. Hari Selasa merupakan hari wajib berbahasa Melayu baku. Mana boleh rojak. Kalau tidak, Norisya tidak akan diberi layanan istimewa oleh Mustafa. Tapi mujurlah tidak mengunakan bahasa purbakala ataupun zaman hulubalang Kesultanan Melayu Melaka. Jikalau tidak, berbelit-belit lidah Norisya menyebutnya. Semenjak dari kecil lagi begitulah keadaan Norisya.
Tetapi bukan itu yang dirisaukan Norisya. Sebenarnya bantahan yang mungkin diterima. Tidak diizinkan keluar merupakan jawapan yang digeruni. Yang bakal menghampakan dirinya. Yang mungkin akan membuatkan dia berkecil hati. Janganlah… tolong tolong! Ayah kena bagi peluang dan ruang untuk aku. Norisya berharap.
“Assalamualaikum…” Terdengar leret nada orang memberi salam. Rosnah dan Mustafa berpandangan sesama sendiri.
Jantung Norisya berdegup kencang. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya, cuba untuk bertenang. Janganlah ada curiga di hati ayah dan mak. Jikalau ombak yang menghempas mampu mengubah pantai, kenapa tidak dirinya? Dia akan cuba berusaha untuk memujuk kedua ibu bapanya agar membenarkan kemahuan hatinya itu terlaksana.
Ucapan salam itu diselang dengan bunyi loceng. Rosnah bangun untuk melihat siapakah orang yang datang bertandang? Langsir diselak terlebih dahulu untuk memastikan kelibat seseorang. Semua itu dilakukan demi langkah keselamatan dan tidaklah perlu tergesa-gesa membuka pintu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
“Abang, ada lelaki dekat luar. Elok abang sendiri yang bertemu dengannya.”
“Ayah… biar Isya yang tengok.” Norisya bangun.
“Eh?” Mustafa angkat kening sambil memandang Norisya pula. “Duduk sahaja di situ. Biar ayah yang lihat.”
Norisya sudah mula bimbang.
Mustafa bangun dan mengorak langkah untuk bertemu dengan lelaki itu.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.