Entri Terkini :

Aku Bukan Korea - Bab 3

IZAD perhati gerai Kejora Burger Arjuna tidak dibuka. Masuk hari ini sudah hari ketiga Zafril tidak berniaga. Apa sudah jadi? Pertanyaan itu membuatkan Izad ingin tahu maka dicari mana letaknya rumah Zafril dan akhirnya dia bertemu juga rumah sewa Zafril itu yang tidak jauh dari gerai tersebut. Itu pun sudah puas dia bertanya pada orang di taman itu. Jika tidak sudah pasti dia tidak jumpa memandangkan nombor telefon Zafril pun Izad tidak menyimpannya malah hendak berborak dengan Zafril pun rasa malas.
Mana tidaknya, kalau bercakap, bahasa Zafril tu sangat pelik. Bahasa baku teramat sangat. Kalau ya pun, gunalah bahasa yang mudah difahami. Bahasa kurun ke berapa pun Izad tidak tahu. Ingin sahaja disiasat siapa sebenarnya Zafril itu. Kereta dipakir lalu Izad keluar daripada perut Myvi warna hitam.
“Assalamulaikum…” Izad memberi salam seraya tiba di hadapan pagar rumah. Tapi salamnya itu tidak disambut. Sunyi aje rumah ni, ada ke tidak? Tanya Izad dalam hatinya. Jika dilihat sepi semacam, mungkin ada dan mungkin tiada.
Sekali lagi Izad menghulurkan salam namun keadaan masih sama. Mana pula dia pergi? Balik kampung ke? Eh? Ada kampung ke dia tu? Izad menduga. Tidak pernah pun Zafril memberitahu Izad di mana tempat asalnya. Memang patut sejuta persoalan berlegar dalam benar Izad hari demi hari. Seperti ada batu yang mahu ditolak keluar daripada benak.
“Wa`alaikumussalam…” Terdengar suara daripada belakang.
Terkejut Izad. “Kus semangat…”
“Kenapa kau ke sini?”
“Aku ke sini kerana aku mahu bertemu kamu. Sudah tiga hari aku tidak melihat kau berniaga.” Eh! Apesal aku terikut-ikut cara dia bercakap pulak? Izad keliru sendiri. “Apa kena dengan tangan kau tu?” Izad perhatikan tangan Zafril berbalut dan tergantung kain di leher.
Zafril tadi keluar buang sampah menggunakan tangan yang satu lagi. Sebab itu pula dia muncul di belakang Izad. Sewaktu Izad beri salam, dia dalam perjalanan balik. Tong sampah ada dekat hujung sana sikit dan pergi hanya berjalan kaki sahaja. Memang di situ tempat segala sampah diletakkan dan pada keesokkan paginya pihak berkenaan akan datang mengambilnya.
“Gara-gara aku mahu mengelak budak motor lain daripada merempuh aku, maka ini hadiah yang aku dapat.” Beritahu Zafril lalu membuka pintu pagarnya menggunakan sebelah tangan. Tangan kirinya yang patah maka tangan kanan masih boleh digunapakai. Jika kedua-duanya patah maka tiada harapan untuk dia pergi buang sampah. Berehat sahaja di dalam rumah. Izad menurut langkah Zafril untuk masuk sekali ke halaman.
“Jadi bila kau start berniaga balik?” Izad ingin tahu jawapan Zafril itu. Gerai yang dikatakan penuh gilang gemilang itu ditutup. Sangat tidak berbaloi. Namun, Izad tahu bahawa dalam keadaan Zafril macam tu mana mungkin dapat menjalankan kerja. Pergerakan sudah terbatas.
“Bagaimana aku mahu berniaga sekiranya sakit ini masih belum sembuh? Apa kamu tidak mampu melihatnya? Atau mata kamu diletakkan dekat tempat lain?” Bebel Zafril kerana tangannya terasa sengal sahaja. Kasihan tangan kirinya berbalut simen. Boleh tahan juga Zafril ini. Rupa-rupanya kuat membebel juga. Ada ketika mulut ringan untuk berleter, ada ketikanya rasa malas hendak bersuara.
“Aku tanya je, jangan marah. Aku rindu kat kau.” Izad tersengih.
“Amboi, rindu. Kalau rindu buatkan aku air, boleh?” Zafril tersengih juga.
“Tuan rumah la yang sediakan.” Izad duduk. Tiba-tiba sahaja dia sudah masuk sampai ke dalam rumah Zafril tanpa dijemput. Memang muka tak tahu malu betul terus sahaja duduk. Hanya ada satu sahaja kerusi di rumah tamu itu. Izad agak terkejut. Di jubin lantai ada tikar mengkuang. Dekat dinding penuh dengan potret lukisan permandangan. Gambar yang indah-indah terlakar.
Rumah teres yang disewa Zafril tiada banyak kelengkapan. Kecuali peti sejuk untuk disimpan segala barang berniaga burger itu. Di penjuru tangga itu terdapat sebuah rak. Di atas rak itu terdapat frame gambar kecil. Dilihat gambar itu. Gambar burger. Ceh!
Zafril duduk bersila sambil memerhatikan Izad yang melilau mata ke setiap arah. Izad masih kehairanan. Mahu tidak, tak pernah dia jumpa rumah semacam itu. Kosong! Macam mana Zafril boleh hidup dalam dunia macam ni? Jangan nak banding dengan ulat dalam batu. Itu Cuma ulat. Guna perumapaan lain aje. Ini adalah manusia, yang tak makan besi.
“Maaf ya, dalam rumah ini tiada apa-apa melainkan apa yang kau lihat sahaja.” Zafril terus mencapai radio kecil lalu stesen radio yang sering mengutarakan lagu-lagu retro terus berkumandang setelah ditekan punatnya.
“Kau boleh hidup ke macam ni? Atau kau memang memulakan hidup baru? Sebelum ni kau kerja apa je selain jual burger? Atau kau baru keluar penjara?” Uiks! Mulut Izad langsung tidak berlapik. Terus terang betul pertanyaan itu.
“Pertanyaan yang cukup bagus.” Zafril kerling mata.
Izad rasa serba salah pula apabila Zafril berucap seperti itu. Izad ni pun satu hal, jangan la tanya benda-benda mengarut. Ada ke orang keluar penjara boleh jadi macam tu? Ada kejutan budaya sangat ke dalam penjara tu? Izad menggeleng sendiri. Penjara pun bukan, Zoo Negara lagi la bukan. Zafril itu manusia. Manusia pelik!
“Sorry Zaf.”
“Rasanya aku perlu sediakan kau minuman.” Zafril mahu bangun.
“Eh tak payah. Aku tak haus. Aku datang ni pun sebab nak tengok keadaan kau. Risau juga sebab dah tiga hari kau tak berniaga. Aku ingat kau balik kampung.” Izad sengaja memancing agar Zafril menceritakan latar belakangnya.
“Bagaimana dengan pelajar kamu itu Izad? Masih mengejar cintamu?” Zafril ketawa mengubah topik. Lain yang Izad tanya lain pula yang dijawabnya. Zafril tidak lama terasa hati. Seketika sahaja dan dia tidak fikirkan sangat dengan kata-kata Izad sebentar tadi tu.
Izad pula sekarang ni seolah-olah dapat merasakan bahawa Zafril enggan mengulas lanjut akan hal diri sendiri. Izad mahu sangat dengar salasilah keluarga Zafril itu. “Semakin menjadi-jadi. Sekarang ni kuat berangan di dalam kelas.” Beritahu Izad.
“Mahu menarik perhatian kamu agaknya.” Zafril memperlahankan suara dari corong radio kecil itu.
“Kau kata, kalau di gerai burger sahaja kau akan cakap macam ni tapi dekat rumah pun sama je. Kau tak boleh cakap biasa ke?” Izad ingin tahu lalu dia pun ikut duduk bersila di atas tikar mengkuang. Izad seorang yang ingin mengetahui lebih lanjut maka dia akan terus menerus menyoal sehinggalah dia dapatkan jawapannya namun kesulitan Zafril memberikan kerjasama amat menyulitkan pencarian jawapan itu.
Banyak soalan yang ditanya Izad sebentar tadi tidak dijawab Zafril. Ada masalah mental ke si Zafril ni? Hairan bin Ajaib aku rasa. Tak pernah aku jumpa orang macam dia ni. Kalau ada pun orang yang mundar-mandir tersenyum sendiri. Itu pun tak lama mesti berangkut ke Hospital Bahagia.
“Boleh tak kau berterus dekat aku?” Izad terus angkat kening.
“Apakah kamu mencurigai aku, sahabat?”
“Kau panggil aku sahabat kau pula? Hari tu panggil kawan, hari ini sahabat pulak. Apa beza kawan dan sahabat?”
“Oh, definisi kawan ya? Kawan itu orang yang kita kenal namun jika seorang kawan mula rapat dan mengerti akan diri kita maka ia berpontensi menjadi seorang sahabat. Itu secara ringkas. Ia berbeza dengan sahabat kerana sahabat merupakan orang yang sentiasa bersama kita susah dan senang serta tidak pernah cuba menyakiti atau memungkiri sesuatu janji bahkan sering membela malah membetulkan salah faham yang berlaku. Seorang sahabat yang baik tidak akan sesekali membuka aib orang yang dia bersahabat.” Zafril senyum.
Izad mengangguk. “Jadi aku boleh layak ke bersahabat dengan kau?”
“Terpulang, mencuba itu lebih baik daripada membiarkan sahaja.” Ujar Zafril.
Cara Zafril itu seolah-olah memiliki suatu kelebihan yang sangat luar biasa. Namun apakah sebenarnya yang ingin dicarinya? Izad terus dihambat rasa ingin tahu. Jadi sahabat dia pun best jugak ni, boleh aku belajar selok belok bahasa khazanah yang kini seringkali dicemari dengan bahasa yang tidak senonoh, detik hati Izad.
“Kalau macam tu kau kena beritahu aku siapa kau sebenarnya?”
“Kenapa Izad? Pentingkah?”
“Kerana kau telah gelarkan aku sahabat. Baru tadi kau sebut.” Izad bangga setelah berjaya memerangkap Zafril. Tapi… Zafril membalas pertanyaan itu dengan senyuman.
Isy!

***

DIA bukanlah perjuang bahasa dan dia bukanlah seorang yang berilmu tinggi di dada namun itulah prinsip hidupnya mendapatkan cinta yang menghuni dalam hati. Dari bahasa maka dia menilai dalam diri seseorang. Dari tutur bicara maka dia menelaah setiap inci makna itu. Bahasa mencerminkan bangsa.
Rasa sakit dilengan itu sudah beransur pulih. Simen yang membalut pergelangan tangannya telah pun dibuang. Tangan yang yang terasa kebas selama proses penyembuhan kini kembali ringan. Alhamdulillah lega benar rasanya.
Zafril sedar bahawa setiap kesakitan yang datang itu adalah peringatan daripada tuhan agar kita sentiasa ingat Dia. Jangan pernah lupakan Dia walaupun susah dan senang kita. Dalam ingatan juga masih menangkap ruang wajah terhadap gadis yang cantik pada malam itu. Cantik dari kaca mata Zafril. Ya, benar cantik kerana kelihatan sangat manis dari cara penampilan. Sungguh menawan hatinya.
Zafril keluar minum. Tapi bukan ke restoran mewah, tetapi dia keluar ke warung sahaja. Masih terdapat warung di celah kesibukan kota. Di situ dia suka habiskan masa untuk tenangkan fikirannya seketika. Makanan tengah hari disantap. Lauk ala kadar sahaja kerana tidak perlu untuk membazir merasai lauk yang bukan-bukan. Tentang selera, Zafril tidak kisah sekalipun nasi berkuah kicap. Jika itu rezeki yang diberikan tuhan maka dia akan redha, dia sentiasa bersyukur di atas nikmat rezeki itu.
Sebentar nanti dia mahu mendapatkan barang-barang keperluan di pasaraya. Barang yang dimaksudkan adalah roti, daging, ayam dan sayur-sayuran. Yang jelas kelengkapan itu adalah untuknya melangsungkan perniagaan.
“Puas aku cari dekat sini rupanya.” Suara Izad mengetuk gegendang telinga Zafril.
“Bagaimana kau boleh tahu aku berada di sini?” Zafril hairan.
“Aku selalu makan dekat warung sebelah sana, kebetulan aku nampak kau dekat sini jadi apa kata kita makan sekali.” Izad mahu makan tengah hari bersama. Sempat menjeling ke dalam pinggan Zafril. “Kedekutnya kau ni. Makan nasi dengan telur aje ke? Jangan seksa perut kau tu…” Izad seolah-olah tidak percaya akan apa yang Zafril makan.
Izad duduk.
Zafril senyum.
“Kau makan la apa-apa je, tak apa aku belanja.” Izad bangun dari duduknya untuk mendapatkan lauk untuk Zafril. Ya aku kan nak jadi sahabat dia. Tak sanggup aku tengok dia makan lauk macam tu. Ayam goreng diletakkan ke dalam pinggan. Seketul sahaja kemudian diambil pula seekor ikan goreng.
“Nah…” Izad berikan.
Zafril hanya melihat sahaja.
“Jikalau aku ingin santap lauk ini, sudah dari tadi lagi akan aku ambil. Aku cuma mahu rasa lauk  sebagaimana mak cik dan anaknya makan dekat meja sana tu. Seharusnya mereka lebih layak menerima pelawaan kau itu.” Ujar Zafril.
Tercengang Izad mendengarnya sambil matanya melilau cari kelibat orang yang dimaksudkan Zafril sebentar tadi.
“Kenapa tak cuba berikan?”
“Telah aku cuba namun mereka hanya mahukan lauk itu sahaja. Betapa mulia hati mereka, bukan? Sedangkan sekarang jika kau lihat di sekeliling kau, boleh kau lihat?” Tanya Zafril terhenti menyuap nasi ke mulut.
Izad pening tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Masih berdiri kaku di situ lantas perlahan-lahan melabuhkan punggung di kerusi menghadap Zafril.
“Lihat apa?”
“Lihat umat manusia.”
“Ya la aku tengok la ni tapi aku tak faham.”
“Kau dapat memahami akan apa yang mereka kerjakan itu benar-benar mendatangkan kebaikan atau mereka memerlukan bantuan orang lain untuk mendapatkan keuntungan? Tolong jawab Izad.” Zafril tersenyum seketika sambil keningnya terangkat sebelah.
“Apa maksud kau sebenarnya ni? Berbelit-belit la.”
“Kau fikir mereka mengambil peduli akan keperluan dan hak orang lain?” Tanya Zafril lagi. Wajah Zafril nampak serius. Pertanyaan Izad sebentar tadi seolah-olah terbiar.
“Mana aku tahu, bukannya mereka beritahu aku pun.”
“Maka begitu jugalah mereka, tidak pernah tahu akan apa yang orang lain cuba beri kepadanya sedangkan nikmat dikurniakan tuhan ada dalam pelbagai bentuk dan ia tidak kelihatan kecuali mereka yang benar-benar bersyukur sahaja akan merasainya.”
Izad terus terdiam.
“Ya sudahlah, aku makan lauk ini. Terima kasih.” Tutur Zafril lagi setelah melihat wajah Izad seperti kebingungan sahaja.
Aduhai… mentang-mentang tangan dia sudah sembuh berbakul-bakul dia bagi ceramah, detik hati Izad yang agak kecewa. Kecewa kenapa la aku tak ambil kelas sastera ketika dahulu kalau begini jadinya apabila kau berhadapan dengan orang macam Zafril? Bisik hatinya lagi.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.