Entri Terkini :

Aku Bukan Korea - Bab 2

FARAH datang ke rumah Norisya. Sudah berapa kali dipesan jangan datang namun Farah tetap berdegil. Bingung Norisya jadinya. Takut nanti ibunya melenting kerana sudah menjadi prosedur dan peraturan di rumah. Semua itu telah ditetapkan. Norisya tidak dibenarkan melanggar peraturan-peraturan itu. Banyak larangan termasuklah,

‘Tidak dibenarkan sesiapa dijemput masuk
tanpa keizinan daripada Rosnah Mat Jambul.’

Oleh sebab itu Norisya dihambat keresahan. Dalam lemah lembut Rosnah pasti ada tegas. Norisya tahu ibunya itu memang tegas tapi belum lagi sampai ke tahap menjentiknya.  Loceng ditekan beberapa kali dan Farah sedia menunggu. Norisya tergesa-gesa keluar bersama apron yang sedia dipakai. Ditangannya juga dipegang sesuatu. Farah tidak dimaklumkan mengenai peraturan-peraturan itu dan Farah juga tidak tahu betapa Norisya tertekan ketika berada di rumah. Namun, Norisya memilih untuk merahsiakannya dahulu.
“Kenapa kau datang sini?” Norisya ingin tahu kerana sudah dipesan supaya jangan datang. Kalau tidak buruk padahnya.
Farah pula manalah tahu. Tapi selama mereka berkawan memang Farah tidak pernah dijemput untuk datang ke rumah melainkan hari raya sahaja. Itupun hari raya tahun lepas Farah datang sekali sahaja. Kalau diikutkan memanglah nampak pelik kerana Farah kalau datang pun hanya sampai depan pintu pagar aje. Tidak pula sampai ke dalam laman. Isy!
“Kau lambat sangat jadi aku datang jemput kau. Kau buat apa ni tak bersiap lagi?”
“Aku memasak.” Beritahu Norisya yang belum menyiapkan diri. Ketara wajah Norisya nampak risau. Farah dapat merasakannya tetapi dibiarkan sahaja. Norisya suka menyimpan sejuta masalah dalam hati.
“Laa… masak pulak dah. Kawan-kawan dah tunggu tu. Cepat sikit. Aku tunggu dalam kereta.” Suruh Farah tetapi itu tak mungkin akan terlaksana. Suka untuk Norisya berbuat sedemikian.
“Aku tengah sibuk, tak jadi. Ni kau tolong berikan hadiah ni dekat Mia, okey?” Norisya menghulurkan kotak kecil kepada Farah untuk dikirimkan kepada Mia rakan mereka.
“Dah tu kau nak makan dekat rumah je la? Tak nak raikan birthday party Mia? Kecil hati si Mia tu nanti, Isya. Kau janji nak datang… lagipun kau takkan tak tahu mulut Mia tu macam mana? Please… tak best la kalau kau tak ada.” Farah dah pakai lawa-lawa tercegat depan pintu pagar memujuk Norisya namun sia-sia.
Sorry Farah aku masuk dulu.” Norisya segera berundur. Lagak Norisya seperti terkejar sesuatu.
Farah masuk semula ke dalam perut kereta. Malam itu Norisya tidak jadi ikut mereka meraikan birthday party Mia. Cara Norisya itu mungkin membuatkan Mia atau sesiapa sahaja berkecil hati namun bukan niat Norisya untuk membatalkan undangan itu kerana dia ada alasan tertentu yang sukar untuk diterangkan.
Maafkan aku Farah… detik hatinya mengharapkan kawannya itu tidak fikir yang bukan-bukan. Rasanya Farah boleh faham mengenai keadaan dirinya dan keluarganya. Tambahan pula Farah kawan baiknya. Ada kalanya rasa ingin dikongsikan. Rasa duka cuma tidak sepenuhnya. Itulah Norisya, sudah berjanji tetapi terpaksa batalkan bila ada perkara lain yang lebih mendesak dirinya.
Sudahlah kuat berangan, ingin menjadi apa yang ingin jadi tetapi semua itu disekat. Huh! Ingin hidup dalam dunia perasan bagus tetapi terpaksa hidup dalam dunia yang baik dan sopan. Memang la itu yang patut diajar kepadanya tetapi kalau segala-galanya terhalang bagaimana? Ulat dalam batu pun boleh mati. Erk!
Namun, Norisya seolah-olah tidak mampu melawan. Tapi, sebenarnya dia bertahan. Bertahan selagi mampu untuk berada di samping keluarga. Ada perkara yang keluarganya pantang iaitu C-I-N-T-A yang macam kumpulan XPDC selalu nyanyi tu.
Dia masuk ke dalam rumah dan mula untuk meluru ke dapur semula tetapi belum sempat disambung niatnya itu, Rosnah memanggil Norisya.
“Isya ke sini sebentar…” Panggil Rosnah yang duduk di sofa.
Norisya melangkah mendekati ibunya. Seorang ibu yang baik. Seorang ibu yang penyayang dan sangat mengambil berat tentang dirinya meskipun dia tahu bahawa dirinya merupakan anak tiri sahaja. Namun Rosnah tega memberikan peraturan yang sangat ketat. Rumah ini umpama penjara.
“Ya ibu,” Norisya berdiri di hadapan Rosnah yang menguntum senyuman manis. Senyumanlah semanis kurma sekalipun tidak mampu mengubah Norisya yang benar-benar kecewa tetapi tidak ditunjukkan sikap sedemikian melainkan patuh pada setiap arahan.
“Mari duduklah di sini.” Rosnah menepuk-tepuk perlahan pada sofa sebagai isyarat buat Norisya supaya duduk disebelah. Gelang yang dipakai Rosnah bergemerisik bunyinya bersama hayunan tangan ketika menepuk tadi. Maka duduklah Norisya di situ sambil tertunduk kepala.
“Ibu mohon maaf kerana menghalang Isya keluar bersama kenalan. Ini kan peraturan rumah kita… Isya kenalah patuh, ya?” Rosnah mempamerkan wajah simpati dan mengingatkan Norisya akan peraturan yang sedia ada.
“Tak apalah ibu… lagipun Isya tak nak ibu sendirian di rumah. Birthday party itu tak penting melainkan jaga ibu di rumah. Hah, ibu… Isya nak siapkan dinner dulu. Ibu tunggu ya.” Norisya terus bangun dan meluru ke dapur. Nada Norisya sedikit kecewa. Siapa tidak kecewa jika kebebasan seolah-oleh disekat. Hidup Norisya bagaikan dirantai.
Kata orang, rumahku syurgaku tetapi tidak bagi Norisya kerana rumahnya sepi setelah segalanya disekat. Ya Allah… sampai bila aku mampu bertahan untuk terus hidup macam ni? Bisik hati Norisya hampa.
Di dapur dia menyediakan makanan malam. Untung jadi Norisya, sudahlah cantik, pandai masak pula tu. Satu pakej yang cukup lengkap untuk dijadikan isteri namun di rumah dia nampak sangat matang namun apabila berada di kolej sikapnya lain. Suka merapu malah bertindak tanpa berfikir panjang.
Norisya tidak suka berpura-pura tapi Norisya terpaksa. Terpaksa menjadi anak yang baik. Walhal semua itu tidak seperti yang disangka. Dia dicorakkan sebagaimana kemahuan keluarga. Dia mahu membina coraknya sendiri tetapi selagi berada di dalam sangkar ini maka semua itu tidak akan terlaksana.
“Assalamualaikum, Isya anak ayah…” Kedengaran suara Mustafa mengalun di cuping telinga.
“Wa’alaikumussalam…” Jawab Norisya seraya menoleh. “Wah! ayah dah balik?” Norisya terus memeluk ayahnya setelah menoleh. Bahagianya ayah kesayangan sudah balik.
“Ayah belum pulang. Masih di London lagi ni.” Mustafa berseloroh.
“Ayah…” Norisya tumbuk-tumbuk manja dada ayahnya.
Mustafa terus membalas dakapan Norisya. Dua minggu di London rasakan bagai sepuluh tahun di tinggalkan. Rindu sangat pada keluarganya terutama sekali Norisya. Rindu pada anak kandungnya itu.
Alahai, hendak bermanja la tu. Manja sangat dekat ayahnya. Rindu, cinta ayah, sayang ayah, belaian ayah sangat diharap-harapkan supaya tidak hilang. Norisya hidup dengan kasih sayang ayahnya. Norisya bangga mendapat ayah seorang yang berjiwa seni.
Bahu Norisya dipegang. “Ayah ada sesuatu untuk Isya…”
“Ayah nak buat surprise ke?”
“Tidak, cuma kejutan saja.”
“Ayah…”
“Serupa juga.”
“Ya… ayah… Isya tidak tahu pun ayah akan pulang, kenapa tak call dulu? Kalau tidak Isya dah masak sedap-sedap untuk ayah…” Lirih manja nada Norisya sesudah menatap wajah tampan ayahnya yang berkaca mata dan berjambang itu. Ayahnya berwajah bengis namun tenang kala dipandang. Wajah itu wajah bengis yang disayangi Norisya. Orang yang berwajah bengis tidak semestinya garang. Bagi Norisya, ayahnya sangat prihatin. Norisya cuba ingat sesuatu. Hari ni hari Isnin, Huh! Nasib baik. Semoga ayahnya tidak marah.
Rosnah memerhatikan gelagat dua beranak itu dekat dapur. Lalu melangkah mendekati mereka berdua. Tersenyum Rosnah melihat kepulangan suami. Sebenarnya Rosnah menghalang Norisya keluar kerana Mustafa akan pulang. Jadi Norisya patut berada di rumah menyambut kepulangan Mustafa.
Vreng! Vreng! Vreng!
Gedebung!
“Ayah, bunyi apa tu?”
“Ah? Kereta.”
“Kereta? Motor? Kemalangan?” Rosnah pula bertanya.
“Sebenarnya…” Mustafa terus melangkah keluar dari rumah.
Mereka tersentak tiba-tiba terdengar sesuatu yang berlanggaran di luar kawasan rumah mereka. Mustafa yang baru tiba terus melilau mata memerhatikan keadaan di hadapan rumah. Ada sesusuk tubuh terbaring di atas jalan hadapan rumahnya.
Norisya juga terkejut lalu mendekati ayahnya. Mustafa membantu lelaki yang terbaring. Motosikal yang ditunggang lelaki itu tersemat rapat dekat bontot kereta baru.
“Anak tidak apa-apa ke?” Tanya Mustafa membantu lelaki yang terbaring itu.
“Maafkan saya tuan, saya tidak sengaja. Adakah kereta itu kepunyaan tuan? Jika benar saya akan bayar ganti ruginya nanti.” Bicara lelaki yang masih tersentak dengan insiden yang tidak terduga.
“Jangan difikir dulu, anak sedang parah sekarang.” Ujar Mustafa lalu memaut bahu anak muda itu.
“Tidak, saya tidak parah. Saya sempat melompat tadi.” Ujar pemuda itu
Norisya hanya memerhatikan sahaja penuh risau dan bimbang melihat keadaan pemuda itu yang masih bertopi keledar. Dilihat ayahnya menanggalkan topi keledar tersebut agar lelaki itu selesa. Pemuda itu cuba stabilkan tubuh sambil dipaut oleh Mustafa.
Rosnah pula sudah tergaru-garu kepala melihat bahagian belakang kereta import telah rabak. Bahagian bumper juga terjejas teruk.
Wah! Handsomenya… hati Norisya memuji sebaik sahaja melihat wajah lelaki itu walaupun lelaki itu berkaca mata bingkai besar. Nampak sangat baik. Rambut belah tepi! Norisya suka. Susah nak cari lelaki macam itu sekarang ini. Kalau dekat kolej rata-rata berpakaian ala-ala K-Pop. Itu bukan budaya yang disukai Norisya walaupun sebenarnya dia berminat. Huh! Tak apa la, asalkan mukanya kacak.
Diperhatikan lama-lama, di sebalik kaca mata itu terlihat bola mata berwarna biru. Eh? Pelik sungguh matanya, bukan Melayu ke? Norisya tertanya-tanya dalam hatinya. Rasanya bukan, kalau Melayu kenapa wajahnya seperti itu? Berkulit cerah macam… kacukan kut. Korea ke tu? Yang tak tahannya, tengok rambut belah tepi. Rupa-rupanya, masih ada lagi fesyen rambut orang retro masuk pejabat walaupun zaman sekarang orang sibuk buat rambut dengan gaya terkini. Pacak sana, terpacak sini tetapi mamat tu rambut ala kadar aje. Nak jimat kos la tu, duga Norisya lagi.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.