“CEPATLAH! Terhegeh-hegeh betul la kau ni.” Tangan Norisya ditarik laju. Keadaan penuh sesak. Farah, si gadis gendut terlalu teruja untuk berada di barisan paling hadapan. Norisya rasa pelik kenapa Farah begitu terdesak?
“Fa!”
“Diamlah!” Marah Farah. Dalam keadaan sekarang minta tolong sangat supaya Norisya jangan halang niat Farah. Sekarang bukan waktunya untuk Norisya membebel kepada Farah. Farah tidak mahu dengar. Farah cuma mahu dengar apa yang dia mahu dengar saja. Norisya tunjuk tiket dan dihadap ke muka Farah supaya sedar diri tu sikit tapi Farah langsung tidak hairan dengan tindakan Norisya yang memang ganjil sekarang ni. Mana ada orang pergi tengok konsert pakai macam tu. Memang ketinggalan zaman betul!
“Fa!” Norisya memanggil lagi tapi Farah macam tak endah sahaja. Kemudian Norisya menyentap tangannya dari terus ditarik Farah. Norisya mematikan langkah. Farah menoleh lalu berhenti.
“Kita dah tak sempat duduk depan tu la.” Kata Norisya. Maksud Norisya tunjukkan tiket tu sebenarnya mahu menunjukkan tiket masih di tangan dan memang sukar untuk masuk ke dalam dengan kadar segera. Ini bermakna segalanya terlambat.
Ruang masuk ke pintu stadium sesak dengan orang ramai. Betul kata Norisya mana sempat lagi. Kalau pun ada ruang hanya bahagian belakang. Tak nampak la muka artis tu. Huh! Farah sedikit kecewa.
“Redah je la Isya. Apa kau nak kisah sangat?” Cadang Farah.
Norisya tak sedap hati. Dia enggan masuk namun Farah tarik tangan Norisya semula. Jangan jadikan alasan lambat itu sebagai penghalang. Sekarang ni adalah peluang untuk mereka bertemu dengan artis pujaan.
Nafas Norisya rasa sesak. Memang sempit rongganya sekarang ni. Isy! Ada sorang mamat ni main hembus-hembus asap rokok pulak. Grrr geramnya. Rokok, rokok, rokok! Bencinya. Norisya mengibas rongga hidung dengan tangan. Busuk!
Farah sudah tak sabar lagi. Kali ini dia tetap nak tengok juga! Kalau Norisya tak nak tak apa. Dia boleh pergi sendiri. Tapi…
“Isya! Apa yang kau tercegat lagi tu?”
Ah! dia ni. Norisya ikut je. Orang yang ada dekat situ memang tak ambil kisah lagi dengan gaya dan cara Norisya tu. Tapi, ada ke orang pergi tengok K-Pop pakai baju kebaya macam aku ni? Adoyai! Norisya nak pakai baju biasa aje, ayah pulak menghalang. Arghhh!!!
“Ye la ye la…” Norisya mengalah dan nekad ikut Farah mengasak masuk. Mereka berikan tiket itu kepada penjaga. Fuh! Memang ramai gila orang layan k-pop.
Farahh dah menjerit.
“Woooo!!!”
“Wei!”
“Diamlah, Isya!”
Dari jauh dah nampak artis ada atas pentas. Ada pula di antara peminat fanatik yang melompat macam kera dan ada yang joget-joget macam orang mabuk todi. Ada yang berpeleseran. Wei… apa ni? Norisya rimas la suasana macam ni.
Mereka semua bercampur gaul tidak kira lelaki dan perempuan. Tubuh Norisya asyik bersentuhan aje dengan orang yang bukan muhrim. Rasa macam orang kampung terlepas masuk bandar.
“Isya!!! Tu!!! Super Junior!!!” Farah teruja gila-gila dah macam orang mabuk kepayan tertelan biji durian sampai sesak nafas layan artis luar masuk Malaysia.
Wahhh handsomenya Eunhyuk!!! Tiba-tiba Norisya jatuh hati. Eleh… hatinya memang sudah lama berkenan. Jangan tak nak mengaku, Farah dah masak dengan sikap Norisya yang suka berpura-pura tu.
“Mana-mana?” Buat-buat tanya.
“Yesung!!!” Farah suka si Yesung tu muka dia comel. Bibir lembut berkulit licin. Hidung sudah pasti mancung. Sememangnya menjadi kegilaan Farah.
Norisya pulak, suka semua. Tiada kompromi lagi.
Dringggg!!!
Tiba-tiba jam loceng menganggu mimpi! Arghhh kacau betul. Rasa malas nak bangun. Bayangan tadi lenyap macam tu sahaja. Bukan senang mengharapkan mimpi begitu bertandang. Sejuta tahun sekali mungkin.
Tidakkk!!!
Jam loceng dicapai sesudah dia bangun secara malas. Matanya terjegil seperti mahu keluar sahaja bebola mata dari sangkar. Segera dia mengengsot punggung turun dari katil. Gadis yang comel bertahi lalat kecil di hidung belah kanan itu menambahkan lagi keserian. Tapi kalau dah pagi macam ni tambah lagi baru bangkit tidur memang dirinya langsung tidak terurus. Rambut seperti puntianak sedang stress.
Dia masuk dalam bilik air dan termenung lagi walaupun sudah lambat. Tersenyum pula dia teringatkan mimpi tadi. Farah oh Farah… dia teringatkan Farah suka bercerita tentang artis Korea. Kadang-kadang tergelak juga mendengar celoteh kawan baiknya itu. Apa yang tidak disangka, kenapalah mimpi itu masuk dalam tidurnya? Usai mandi dia selesaikan kewajipan, Solat Subuh dikerjakan. Alhamdulillah… tiada alasan untuk tidak mendirikan solat.
***
LANGKAHNYA laju mengejar waktu. Dia mendaki tangga naik ke tingkat dua untuk ke bilik kuliah. Harap pensyarah tidak meradang. Jam di lengan dilihat lagi, aduhai, lambat setengah jam ni kut, hatinya mendesis risau.
Pintu dikuak. Sempat lagi Norisya menarik nafas sedalam-dalamya dan dihembus perlahan. Leganya… nasib baik boleh cool lagi. Norisya melihat pensyarah tidak ada di dalam bilik itu. Dia mendapatkan tempat duduknya di sebelah Farah.
“Kenapa kau lambat?” Farah menampakkan wajah risau. Rakan yang rapat dengan Norisya. Bertubuh comel-comel berisi. Pipi tembam suka makan cokelat.
“Letih kut malam tadi aku bersengkang mata siapkan tesis ni.” Norisya mengeluarkan nota tugasannya yang telah disiapkan walaupun agak tidak teratur. Dia pun tidak bercerita berkenaan mimpi lucu tu kepada Farah. Nanti dululah. “Lagipun pensyarah belum masuk lagi kan?” Norisya menduga kerana menilai ketiadaan kelibat Izad di meja melegakan hatinya yang tadi tersangat risau.
“Banyaklah kau belum masuk. Dia pergi ambil rotan kut, tengok kau tak masuk lagi.” Beritahu Farah.
Sanggup ke Encik Izad tu rotan aku? Norisya sudah menggelebah. Jikalau betul bagaimana? Ini bukan sekolah rendah lagi hendak dirotan segala. Ni dah kolej, ada sedikit kebebasan namun dalam kebebasan itu ada batasan. Norisya tidak boleh melanggarnya.
“Kau ni biar betul?”
“Tak betul lagi ke?” Bisik Farah kawan Norisya sambil matanya melihat kelibat yang sangat digeruni.
Terpacak kelibat Izad di hadapan mata mereka. Norisya adalah orang menelan laju air liurnya.
Glurp!
“Mana Norisya binti Mustafa?!” Sengaja Izad menyebut nama itu dengan lantang walaupun dia sudah terlihat kelibat Norisya yang duduk di sebelah Farah. Mentang-mentang aku duduk sebelah Farah dia buat-buat tak namapak kut?
Norisya mengetap bibirnya lalu bangun. “Saya…” Sambil angkat tangan.
“Oh awak ke Norisya binti Mustafa? Saya fikir saya tak ada pelajar nama tu. Rupa-rupanya ada la pulak.” Sungguh Izad berkata-kata sinis terhadap Norisya.
“Ye itu nama saya.” Norisya berdiri kaku.
“Sini.” Izad yang memegang rotan di tangan kanan memanggil dia supaya tampil ke hadapan. Mahu diajar sedikit tentang waktu. Mahu diperkenalkan tentang tatatertib. Bukan datang ke kuliah ikut suka hati sahaja. Sesiapa pun marah. Mana-mana pensyarah pun akan rasa geram.
Langkah Norisya tiba di hadapan Izad sambil diperhatikan pelajar-pelajar lain. Mereka pelajar semester dua belum lagi mengenali sepenuhnya sikap dan perangai Izad memandangkan pada semester yang lepas Izad tidak mengajar mereka kini pensyarah itu mengajar subjek keusahawanan. Cara mengajar memang macam cara sekolah rendah aje. Geramnya… gumam Norisya. Tapi… kacak pensyarah ni…
***
TAH TAH TAH!
Farah memetik jari di hadapan wajah Norisya. Melihat Norisya tersenyum sendiri timbul pula rasa risau. “Kau kenapa senyum dari tadi? Macam orang tak betul aje.”
“Isy! Kau ni kacau betul la!” Marah Norisya yang masih teringat kes kena denda tadi. Orang lain kena denda mesti tarik muka ketat tapi lain pula yang terjadi kepada Norisya. Senyum memanjang sambil menopang dagu di dalam perpustakaan.
Farah memerhati Norisya. Norisya, gadis remaja yang begitu menitikberatkan soal aurat. Meskipun sikapnya tersangat riang dan ada kalanya menjengkelkan namun kewajipan itu tetap dijaga.
Farah mencontohi gaya Norisya yang sederhana dan Farah juga amat mengagumi cara Norisya meskipun kelihatan agak pelik. Ada lagi ke orang zaman sekarang memakai pakaian seperti Norisya? Baju kurung dan berkain batik. Baju kurung tu pula pattern zaman kuno aje.
“Kena ketuk ketampi pun kau boleh senyum ke? Kalau aku memang dah mengamuk. Malu tu…” Ujar Farah membuka plastik gula-gula lalu disumbat ke dalam mulut.
“Aku bukan macam kau, aku suka la Encik Izad tu denda aku. Hari-hari nak aje aku kena denda dengan dengan dia. Maklumlah orangnya handsome… tapi kau rasa Encik Izad tu dah kahwin ke belum?” Norisya berminta ingin tahu.
“Jangan kau cakap yang kau dah syok dekat dia Isya… katakan tidak.” Mulut Farah sudah ternganga.
“Tak la, aku cuma nak tau je. Itupun salah ke?” Norisya belek buku nota.
Bohong benar Norsiya ni, barangkali hati dah terpaut kut, Farah angkat kening. Boleh jadi Norisya suka, tapi belum sampai ke tahap meraban tidak tentu fasal. Ini bukan Norisya yang gedik! “Please Isya, katakan bahawa kau tidak dilamun cinta.” Farah kehairanan gula-gula yang sepatutnya manis tiba-tiba masam. Berubah riak wajah Farah.
“Kau kenapa?”
“Masam!” Farah menahannya. Menyesal beli gula-gula manis-manis masam. Lebih baik beli masam masam manis ada juga manis di akhirnya. Ini tidak, manis dahulu kemudian masam!
Norisya cuba rasa gula-gula itu dan ia menjadi serupa. Wajah Norisya lagi teruk, berkemut-kemut menahan rasa masam. Aku benci masam! Norisya mengehek semula.
“Huh! Siapa yang kasi kau gula-gula ni?”
“Aku beli.”
“Jangan beli lagi. Tak sedap!”
“Syhhh….” Tiba-tiba terdengar suara orang menyuruh mereka berdua diam. Ditoleh ke belakang lalu terlihatlah kelibat Encik Izad yang sedang meletakkan jari telunjuk dekat bibir sebagai isyarat. Mata Izad melilau mencari siapa yang berbuat bising itu.
Norisya sembunyikan wajah lalu memerhatikan Farah yang ada di hadapannya. “Farah… tu dia… inilah masanya…” bisik Norisya.
“Kenapa?”
Farah dapat rasakan Norisya cuba merancang sesuatu.
Tiba-tiba Norisya menulis sesuatu lalu dilipat kemas. Farah cuba melihat tapi Norisya sengaja menghalang.
“Bagi la aku tengok…” Bisik Farah.
“Kau tolong bagi…” Tiba-tiba.
“Eh?”
“Please.” Norisya merayu sambil buat muka kasihan mengharapkan simpati Farah.
“Tak nak la aku. Kau bagi la sendiri! Katakan itu bukan surat cinta!” Bentak Farah mengakibatkan konsentrasi pelajar lain terganggu dan sekaligus mencuri perhatian Izad.
Norisya tergamam. Kenapa dengan kawan aku ni? Meroyan ke? Norisya cemas pula gara-gara sikap menggelabah Farah tu bakal menggagalkan segalanya.
***
NORISYA BINTI MUSTAFA, berumur 19 tahun bercita-cita mahu menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Tidak mahu gagal dalam hidup tetapi mahu menggagalkan hidup orang lain yang cuba menggagalkan hidupnya tetapi sampai sekarang belum tercapai hasratnya itu.
Norisya, gadis riang. Gadis yang suka tengok Encik Izad, tapi Encik Izad ni dah berpunya ke belum? Serius Encik Izad, hati saya terpegun melihat wajah tampan itu. Kalau dah ada isteri pun tak apa saya sanggup jadi nombor dua.
Belum sempat surat itu habis dibaca, Encik Izad sudah mengecilkan biji mata merengus geram. Pelajar aku ni memang buat aku confuse. Nak belajar ke atau nak main-main? Kalau sibuk nak bercinta tak payah belajar. Kalau nak belajar bercinta bukan dekat situ. Geram Encik Izad.
“Kau kenapa Izad? Dari tadi aku tengok muka kau kebas semacam je, tahan sembelit ke?” Zafril sibuk menggoreng sesuatu di atas kuali lebar yang besar berbentuk segi empat. Di bawahnya sudah tentu ada dapur, sudah ada dapur tentunya ada tong gas. Membakar sesuatu yang memikat aroma menusuk rongga, sekali makan sekali ternganga, kalau tak makan nanti perut merana. Satu taman ni sukakan burger ciptaan Zafril.
Sekarang Zafril sibuk menyiapkan tempahan seorang diri. Ya betul sebelum ini seorang diri tapi semenjak Izad ni datang dan berborak-berak dengannya terus jadi kawan baik. Hampir setiap malam Izad akan datang membantu sekiranya tidak sibuk. Untung dapat kawan dari jenis yang tak berat tulang. Namun setiap kali datang mesti ada sahaja hal si Izad ni merungut, maka Zafril akan menadah telinga mendengarnya.
Tentang latar belakangnya tidak pula diceritakan kepada Izad, tentang Izad sudah tentu Zafril tahu. Dari a sampai f, tak sampai z kerana bukan kenal dari kecil pun. Kenal pun dah berusia 25 tahun. Sebaya pulak tu.
Surat itu dilipat semula. Sengaja bawa bersama lepak dekat gerai burger Zafril yang bertapak bawah pokok mempelam berdekatan dengan sebuah taman. Sudah tiga bulan Zafril berniaga di situ. Bertapak secara sah.
“Student aku sorang tu pelik. Kalau tengok daripada gaya dia nampak macam sopan tapi sebenarnya, nauzubillah…” Surat itu sudah berada dalam poket seluarnya. Izad menyambung tugas membungkus yang tergendala gara-gara terfikir nak baca lagi surat itu. Sudah tahu menyakitkan hati kenapa perlu dibaca lagi, barangkali Izad pun berkenan kut?
Zafril yang berkulit cerah dan gaya berambut belah tepi ala-ala zaman Melayu 70-an itu terus terhenti sejenak. Tertarik agaknya mendengar kisah itu dan mahu mengikuti sambungan. Apa yang penting lagu retro terbaik kedengaran dari corong radio. Meminati lagu-lagu klasik yang sentiasa menemani malamnya di situ. Oleh itu dia memilih gaya pemakaian sebegitu. Itulah penarik dan konsep yang diguna pakai oleh Zafril sebagai tema, Gerai Kejora Burger Arjuna. Tepat!
“Kenapa dengan gayanya itu, apa ada salahnya?”
“Sama macam kau. Klasik!” Jeling Izad.
“Kalau iya mahu marah usah pada aku, kawan. Aku hanya bertanya jadi tidak usah kau beriak wajah seperti itu.” Ucap Zafril.
“Aku tak marah la… tapi budak tu berkelakuan macam orang tak betul je. Menggeletis tak tentu fasal. Gerun aku dibuatnya.” Izad herot bibir.
“Barangkali dia suka sama kau,” duga Zafril lantas menyambung kerjanya.
“Eh, ya ke? Isy, tak mungkin aku akan jatuh cinta pada student aku sendiri. Tak agak langsung.” Izad memasukkan burger yang siap dibungkus terus ke dalam plastik kemudian dihulurkan kepada pelanggan yang berdiri dari tadi asyik memerhatikan gaya Zafril menggoreng daging burger. Siap terbang lagi. Fuh! Dahsyat.
“Cuba sahajalah Izad. Mana tahu itu jodoh kau. Jodoh tidak kira siapa asalkan kau dengan dia sama-sama jatuh cinta.” Zafril kalau dah bercakap soal cinta mahu sampai empat karun guni. Izad serta merta buat-buat sibuk. Sibuknya mengalahkan YB. Dia terus potong sayu, mayang bawang dan belah timun.
“Wei Zafril, aku nak tanya kau ni. Sebenarnya memang dah lama aku nak tanya tapi tak terkeluar pulak,”
“Apa?” Zafril menoleh sambil mengesat peluh di dahi dengan tuala.
“Selama aku kenal kau, gaya kau cakap ni macam orang zaman dulu-dulu dan ala-ala orang seberang. Bingung aku. Kau datang dari abad ke berapa sebenarnya ni?” Izad angkat kening. Memang keliru dengan cara itu. Fuh! Sesak nafas dibuatnya.
“Ini tema gerai, jadi kalau mahu berbahasa dengan aku, kau perlu berbicara sebagaimana aku. Ini merupakan identiti Kejora Burger Arjuna.” Beritahu Zafril dalam nada tegas.
Izad seolah-olah tidak berpuas hati dengan penerangan itu. Mustahil sungguh. Dari awal kenal sampai sekarang tiada langsung bahasa moden. Rasa macam berkawan dengan orang zaman retro. Tengok dari gaya rambut dan pakaian Zafril pun mampu mengundang curiga.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)