Entri Terkini :

Menjemput Cinta Bertandang Ke Hati


Baru-baru ini aku ada bercakap dengan seorang rakan facebook. Bercerita tentang kisah cinta. Memang kisah cinta yang terlalu rumit bagi dirinya. Mencintai seseorang yang tidak pernah menyatakan rasa suka. Pelik juga kerana dia terlalu mengharapkan insan yang disayanginya itu menyatakan perasaan.

Menyatakan suka dan tidak suka itu memang perlu tetapi tidak pada perkataan. Ia boleh dipamerkan melalui sikap. Walaupun tidak semua telahan kita itu tepat namun hati kita pasti mendapat respons. Percayalah bahawa hati tidak pandai berdolak-dalik menyatakan itu semua adalah dusta namun hati boleh didustai dengan sesuatu tindakan yakni otak kita seringkali mentafsirkan perkara yang buruk bakal terjadi. Sekiranya seseorang itu buta pada matanya, dia masih mampu lagi menilai dengan hatinya tetapi seandainya hatinya pula buta manakala matanya pula tidak buta maka mata yang tidak buta itu menjadi seolah-olah buta kerana dia tidak mampu untuk melihat kebaikan dan keburukan serta sekaligus gagal menilainya dari sudut rasional.

Aku mengatakan padanya bahawa jika kekasihnya itu masih lagi mahu bertemu, masih lagi mengambil berat dan masih lagi sudi berkongsi rasa maka teruskan sahaja perhubungan itu sebagai seorang kawan dan janganlah melampaui batas. Biarlah hatinya terus senang bersama kita. Biarkan dia selesa bersama kita. Jangan sesekali memaksa dia mengakui cinta kerana kita tidak akan tahu apa jawapan dari dirinya yang sebenar-benarnya kelak. 

Mungkin akan berlaku pertelingkah sekiranya dia tidak bersedia. Waktu dan ketikanya sangat penting. Jangan mengalah pada desakan perasaan kerana perasaan sememangnya selalu gelojoh dan ia tidak menentyu tetapi percayalah pada hati. Jika perhubungan dia dengan kekasihnya itu berlandaskan keikhlasan maka ia pasti kekal namun jika ia bersandarkan kepada kesunyian semata-mata maka ia akan berakhir dengan duka.

Dia pernah menyatakan bahawa dia juga senang bersama insan yang dianggap kekasih bagi dirinya itu walaupun tidak pernah dia mendengar kata balas dari insan yang disayanginya. Dalam masa yang sama dia merasa takut. Dia takut pada sebuah kehilangan. Hilang pasti berganti selagi kita tidak berputus asa. Yang patah akan tumbuh semula pala ranting atau dahan mungkin bertambah teguh setelah iktibar diambil daripada erti sebuah pengalaman.

Aku bercerita sekadar melontarkan pendapat sahgaja. Pendapat dangkal ini mungkin bercanggahan dengan mereka yang memang pakar tentang soal cinta. Sebagai insan biasa aku juga mempunyai kelemahan. Setiap orang ada kelemahan masing-masing dan aku seringkali megningatkan diri aku supaya jangan menjadi seorang yang suka mendesak. Desakan demi desakan akan menjadikan perasaan seseorang itu kurang senang. Apabila wujud rasa itu maka proses perkenalan pasti terbantut. Konklusinya dia akan teruskan perhubungan itu seperti biasa. Aku nasihatkan dirinya agar jangan menduga perkara yang negatif dan juga jangan terbang terlalu tinggi. Harapan yang ditanam biarlah memadai dengan usahanya itu. Usaha untuk menjemput cinta bertandan ke hati.

Seandainya dia berasa bahagia dengan perhubungan tanpa nama itu maka jangan dihancurkan dengan sikap gelojoh. Cinta tidak boleh dipaksa kerana cinta itu umpama bahan radioaktif yang boleh merosakan saraf pemikiran. Cinta juga umpama madu yang menjadi penawar. Maka di sini cinta itu boleh menjadi bermacam-macam sekiranya kita salah memacunya. Cinta memiliki pelbagai rencah dan citarasa yang berbeza-beza, terpulang pada mereka untuk membawa haluan cinta itu ke taman bahagia ataupun ke lembah derita. Pokoknya, cinta itu bukanlah hak milik kita tetapi ia milik yang Maha Esa yang dianugerahkan separuh ke hati manusia dan separuh lagi ke dalam hati manusia yang lain. Apabila ia bercantum maka ia menjadi satu jiwa untuk disyukuri.

Sekian.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.