Entri Terkini :

Cerpen : Rindu Terbawa Aku Ke Situ

Cerpen ini diubahsuai dari cerita asal Rindu Terbawa Aku Ke Situ 1
Enjoy Reading...


AKU dengannya hanya bertemu sekali sahaja itu pun pertemuan bermula di dalam bas. Renungan pertama dalam mengamati riak wajahnya yang selamba benar-benar membuatkan jiwaku goyah. Aku dan dia kebetulan di dalam bas yang sama. Ketika itu pulang dari majlis konvesnyen perwakilan pelajar. Pada waktu itu ia diadakan di Pekan, Pahang. Pertemuan pertama itu sungguh bermakna sehingga aku seringkali membayangkan dirinya benar-benar wujud di hadapan mataku.
Saat di dalam bas, aku berada tidak jauh darinya. Dengan beraninya aku cuba bercakap. Cuba berkenalan biarpun aku tiada modal paras rupa. Sesungguhnya rasa suka telah membawa hati aku untuk dekat dengannya. Sekeping kertas aku keluarkan dari poket bajuku bersama sebatang pen dengan harapan dia sudi memenuhi permintaanku.
Aku kosongkan permikiran aku. Aku cuba positif supaya perkara negatif dapat aku singkirkan dari pemikiran. Semua itu kerana aku tidak mahu terus berada dalam ketakutan. Aku harus berani agar permintaan hati dapat ditunaikan biarpun aku tahu ia tidak semudah mengira 1, 2 dan 3 menggunakan jari.
Siapa sangka lelaki yang tidak tampan seperti aku ini cuba bertindak bagaikan seorang hero Hindustan dalam filem Bollywood mengejar heroin untuk merebut hati umpama kristal agar menjadi hak milik kekal. Besar sungguh harapan aku itu. Jika aku kecewa bagaimana? Mungkinkah hati aku akan terhiris begitu sahaja? Sudah pasti ia sangat pedih seperti daging yang lapah kulitnya. Oh!
Semua itu aku tolak ke tepi. Belum cuba belum tahu! Jadi, aku pegang kata-kata itu dan semangat di dalam diri ini dikuatkan agar berhadapan dengannya nanti aku akan kelihatan seperti seorang lelaki bersemangat kental walaupun pada dasarnya ia tetap gugup.
Laju punggung ku angkat dan melangkah mendekatinya. Kenapa kau berani sangat? Kata-kata dalam kepala mula merasut. Kalau dia sama dengan perempuan lain bagaimana? Bisikan itu melanjutkan kata-katanya. Apa aku peduli?! Laju aku meningkah hasutan itu yang mahukan aku mengalah. Bukan ke aku sudah kata, belum cuba belum tahu. Takkan semua perempuan di dalam dunia ini sama sahaja? Kalau begitu di mana jodoh kita? Itulah pertanyaan yang aku usulkan pada diri aku sendiri.
Kekecewaan lalu bukanlah penghalang untuk merebut cinta suci. Kekecewaan yang lalu mengajar aku mengenali siapakah pemilik cinta sejati. Ya, cinta pada Allah tetap aku abadikan dalam hati tetapi ini adalah kasih dan sayang sesama manusia. Ia juga perlu dan tidaklah Tuhan jadikan kaum Hawa melainkan sebagai peneman kaum Adam. Siapa peneman hidupku? Hatiku kesunyian tanpa teman.
Aku duduk di tempat yang kosong. Sengaja aku beralih tempat duduk agar aku berada dekat dengannya. Tidaklah aku duduk bersebelahan dengannya tetapi aku duduk di bahagian belakang tempat duduknya.
“Assalamualaikum.” Salam aku hulurkan. Dia duduk di seat hadapan aku. Aku berada di seat belakang. Aku mengharapkan salam aku mendapat respon kerana sebelum itu aku telah mendapat satu respon yang kurang menyenangkan dari seorang perempuan yang lain. Perempuan itu langsung tak layan. Aku sedar siapalah diriku ini untuk dibandingkan dengan dirinya. Sekarang gadis bertudung yang aku tegur tu menoleh. Manis sungguh wajahnya saat mengukir senyuman. Senyumannya itu menggoda jiwaku.
“Wa`alaikumussalam.” Wah! dia jawab salam aku. Bertuah sungguh. Tapi tidaklah ku tanam harapan setinggi seperti Gunung Everest setelah layan diberikan olehnya kerana bagi aku, diriku sukar untuk ditegur oleh perempuan. Barangkali aku tak ada pakej kut.
“Balik mana?” Soalku.
“Marang.” Aisey... dia nak balik Marang.
“Sehaluan kan. Best tak majlis tu?” Soalku lagi yang memulakan bicara tanya itu dan ini. Aku fikir dia tak nak jawab kut memandangkan dia senyap seketika.
“Okey je.” Katanya.
“Nama saya Rasyid. Nama awak?”
“Nama saya Ima.” Cantik jugak namanya. Secantik orangnya juga. Kecantikan fizikal seseorang perempuan adalah suatu anugerah. Bagiku semua wanita yang ada di dalam dunia ini cantik. Walaupun Ainul Mardhiah merupakan bidadari tercantik di akhirat kelak namun kecantikan seorang isteri yang solehah tetap mekar di hati suami apabila berada di syurga Allah kelak kerana Allah telah menjanji Ainul Mardhiah itu adalah milik syuhada.
Aku dah mula nak borak-borak dengannya kerana dia memberikan respons positif. Senyuman manisnya membuatkan jantung aku terus berdetak kencang dan bakal gugur bila-bila masa sahaja. Alahai kenapa aku boleh rasa macam ni? Mungkin inilah rasa normal. Aku pun hukurkan kertas dan sebatang pen padanya.
“Apa ni?” Tanyanya kehairanan melihat kertas dan pen yang aku hulurkan itu. Aku pun bingung kenapa tangan aku cepat bertindak sebelum otak sempat mengatur strategi? Rasanya tidak perlu aku pertikaikan lagi apabila hati sudah suka.
“Boleh awak turunkan tandatangan awak dan nama awak sekali. Saya nak buat tanda kenangan.” Beritahu aku dan memang itulah niat aku kerana aku nak simpan kenangan tu setelah berkenalan dengan para perwakilan pelajar yang lain. Aku tak sangka pulak dia ni peramah orangnya. Tanpa banyak tanya dia pun ambil dan terus tulis. Apa yang best....
“Nak nombor telefon sekali ke?” Soalnya pada aku. Ima siap bagi respon macam tu. Kalau dah nak kasi boleh kut, tapi aku tak harap sangat cuma kalau dia kasi itu satu bonus. Aku pun tengok dia catit nombor telefon bimbitnya di atas nota tu. Hati aku melompat riang. Kalau aku melompat betul-betul nanti jadi sewel pulak.
“Terima kasih.” Aku senyum dia pun senyum. Hati lelaki aku cair beb.
Akhirnya Ima kasi nombor telefon. Sesudah aku dan dia berpisah dari kenderaan itu. Aku jadi rindu. Rindu yang teramat dalam padanya. Kala malam sebelum tidur aku perhatikan sahaja buku nota tu. Tak berani aku nak telefon dia. Aku fikir yang bukan-bukan. Aga-agak dia layan tak kalau aku call? petanyaan dalam kepala aku berbicara. Aku tak call jugak. Aku tak berani. Satu benda je yang aku kurang senang. Adakah dia sudah milik orang lain?
Tidak lama selepas tu aku beranikan diri hantar SMS. Dia bagi respon, aku pun senyum bahagia Ima... aku tak sangka kau balas sms aku. Tapi aku tak yakin dengan diri aku. Aku mendiamkan diri kerana perasaan aku sudah menyatakan dia sudah ada yang punya.
Beberapa bulan kemudian, aku call dia kerana rindu aku terbawa aku ke situ, aku ke tempat di mana majlis konvensyen pernah berlangsung. Automatik aku ingat dia jadi dia aku hubungi. Di situlah bermula... kini aku dan dia menyambung persahabatan akan tetapi.... 
“Saya dapat tawaran belajar di Australia.” Beritahunya di hujung talian telefon. Aku sedikit kecewa kerana aku akan berjauhan darinya selama dua tahun. Aku hanya sekali bertemu dengannya dan takkan sekali itu sahaja? Tak apalah, dia dapat sambung belajar dekat negara orang. Apa yang aku mampu lakukan hanya doa untuknya semoga dia berjaya. Amin....



KOPI di atas meja sudah dingin. Tidak aku sisip ketika panas tadi dan kini meinuman itu terbiar begitu sahaja. Aku menopang dagu memikirkan soal jodoh. Man tidaknya, setelah tamat pengajian aku dua tahun lalu aku masih merinduinya. Rindu pada suaranya, rindu manatap wajahnya dan rindu segala-galanya. Dua tahun dia menyepi dan selama dua tahun itu juga banyak perkara yang berlaku. Tini gadis Facebook selalu menghubungi aku. Aku dan dia berkenalan di ruang maya itu. Tini seorang gadis yang rancak berborak. Tidak hanya pada ruang sembang di Facebook malah di dalam telefon juga dia suka bercakap. Aku pun tak tahu dia ni perempuan yang macam mana.
Sekarang ni otak aku kusut memikirkan kehendak hati yang kesunyian. Aku alihkan otak dari memikirkan  Tini kembali semula kepada Ima. Ima… dah dua tahun awak dekat Australia, kenapa tak pernah hubungi saya? Aku bersedih hati.
“Woi!” Terperanjat aku. Bergegar meja gara-gara disergah oleh kawan baik aku sendiri.
“Jang! kau ni apa hal?” Terpisat-pisat aku.
“Sergah sikit je dah terkejut.” Jang menarik kerusi lalu duduk di hadapan aku. Aku merengus geram sambil mengempal tangan. Kemudian aku lepaskan semula genggaman itu kerana aku tidak manuy mengikut rasa amarah yang bakal memusnahkan aku.
“Erm…”
“Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau muram je. Kenapa? Kerja banyak sangat ke siang tadi?” Jang lelaki kurus tinggi berkulit cerah dan berambut lurus itu berkerut dahi memandang wajahku yang bermuram. Mana tidaknya, penyakit rindu dah menyerang tidak kira tempat. Di kedai kopi juga aku melayani fikiran sendiri.
“Kau dari mana ni?”
“Aku dari rumah Siti, hantar card reader.”
“Pinjam lagi? Tak reti-reti ke dia nak beli sendiri?”
“Yang kau nak kisah sangat ni kenapa? Biarlah… untuk Siti aku sanggup bagi pinjam apa sahaja termasuk hati aku ni.” Selama Jang menjawab. Eleh, macamlah aku tak tahu bahawa dia tu syok dekat Siti. Dari dulu lagi dia berkenan dekat Si Siti tu, cuma Siti je yang tak tahu. Jang ni pun satu hal, tak berani meluahkan isi hati sebenar. Kalau tunggu perempuan yang mulakan dulu memang sampai kiamatlah Jang takkan dapat memiliki Siti.
“Cakap memang senang, habis tu kenapa kau tak luahkan isi hati kau dekat dia? Lambat-lambat nanti dia tu dikebas orang. Siti tu lawa orangnya. Bukan setakat cantik, rajin pula tu. Kalau aku dapat Siti tu, hari-hari dapat makan roti canai free.” Usik aku dan Jang berubah riak wajah. Dia seolah-olah terfikir. Mungkin dia berasa takut akan kehilangan Siti sekiranya dia terus memendamkan perasaan suka terhadap Siti. “Tapi malam ni dia tak menebar roti, kenapa? Sebab warung tu tak buka aku datang minum dekat sini malam ni.” Aku melanjutkan kata-kata supaya Jang tidak terus merenung tajam ke arah aku.
“Dia demam.” Jawab Jang acuh tak acuh je.
“Oh demam…”
“Dah kau ni Syid termenung dekat sini apa hal? Bukan main parah dah kau ni. Fikirkan masa depan ke?”
“Masa belakang.”
“Hohooo… orang dah tak fikirkan masa silam la bro kerana masa silam akan terus tenggelam dan ia sudah ditinggalkan. Sekarang ni orang terkejar-kejar nak majukan diri tapi kau ni…”
“Dah. Jangan nak sekolahkan aku lak Jang. Aku tak separah seperti yang kau fikirkan.”
“Kau ya tak parah kenapa dalam air kau ni ada jentik-jentik?” Sempat dia mengusik aku.
“Tawar.” Selamba aku member alas an.
“O tawar… setahu aku Zeman buat air selalu manis, dan kau akan minta dia tambah air. Jangan nak kelentong aku la Syid. Kau teringatkan perempuan tu kan?”
“Perempuan mana pulak ni?” Aku buat-buat tak faham sedangkan aku tahu siapa yang Jang maksudkan. Aduhai dia ni sibuk betul la. Hal dia dengan Siti pun tak selesai sampai sekarang ada hati nak jadi doktor cinta dalam masalah aku.
“Ima.”
“Huh!” lemah jantung aku.
“Atau…”
“Jangan nak serkap jarang.”
“Biar aku habis teka dulu.”
“Ye la…”
“Kalau bukan Ima… mesti…” Jang belum sempat menghabiskan kata-katanya, telefon bimbit aku pula berbunyi. Aku terus mencapai telefon bimbit terbiar sepi di atas meja lalu memandang pada skrin, dia lagi… aku seperti tidak ikhlas melihat nama yang tertera.
“Tak ada orang lain lagi…” Usik Jang memerhatikan aku belum lagi menekan punat hijau. Aku mengalihkan pandangan mata kemudian aku telefon itu aku tekap pada telinga sejurus butang hijau aku tekan.
“Hello.” Jawab aku.
“Haa jawab pun. Kenapa susah sangat nak angkat telefon? Dah banyak kali hari ni saya call awak. Kalau ya pun busy hantarlah mesej beritahu yang awak tu busy. Tak adalah saya risau sangat. Dah macam-macam saya fikir. Adakah awak sakit ke? Awak deman ke? Sekarang ni musim orang demam tau. Erm, awak sihat tak?” Inilah salah satu sebab kenapa aku kurang berminat dengan cara Tini. Suka cakap banyak.
Sekilas aku memandang pada Jang. Nampaknya Jang hanya senyum mengejek. Dia faham situasi aku sekarang ni. Aduhai parah… parah… tadi aku kata tak parah. Bila panggilan Tini muncul keadaan mula kacau.



PULANG dari kerja aku terus rebahkan tubuh di atas sofa. Penatnya bukan kepalang. Biarpun kerja aku tidak memerlukan tenaga yang banyak tetapi memerlukan otak untuk berfikir. Apabila otak sudah lenguh berfikir maka saraf juga ikut penat. Sekarang jadilah rupa orang keletihan. Aku bekerja sebagai juruteknik komputer. Akulah bos dan akulah kuli. Dua dalam satu. Sebenarnya aku baru sahaja membuka perniagaan setelah dua tahun aku menimba pengalaman pekerja dengan syarikat swasta. Dengan duit yang aku kumpul selama dua tahun itu maka aku memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Belajar dari bawah.
Aku tidak memiliki harta kekayaan dan aku hanya ada sebuah motosikal Lagenda Yamaha berwarna putih. Dengan motosikal itulah aku berulang-alik mencari barang-barang yang mesti aku dapatkan serta dengan motosikal itulah yang membawa aku ke sana ke  mari. Motosikal tersebut banyak berjasa padaku dan tidak akan aku lupakan budinya terhadapaku. Barangkali aku tiada kekayaan dan juga rupa parah menyebabkan aku tidak didekati mana-mana gadis. Sewaktu di kedai aku tu, ada sahaja gadis yang datang memerlukan khidmat aku membaiki komputer. Bukan sahaja membaiki komputer malah perkhidmatan fotokopi juga disediakan. Perniagaan sebegini elok dibuka dekat dengan institute pengajian maka akan ramai pelajar datang untuk print dan fotostat bahan pelajaran mereka.
Pejam celik pejam dan celik, sudah tujuh bulan aku beroperasi. Hari ini adalah hari rezeki yang Allah berikan sangat lumayan. Menerima banyak tempahan fotostat. Alhamdulillah aku bersyukur kepada-Nya. Untuk memiliki pekerja mungkin belum lagi kut kerana ekonomi belum lagi stabil. Ah aku malas la nak fikir soal kedai. Sekarang aku nak rehat sepuas-puasnya. Alahai! Aku bangkit semula. Macam mana aku boleh lupa ni? Aku tergaru-garu kepala. Menjengah jam di tangan, dah pukul 6.30 petang! Solat Asar! Aku cepat-cepat mandi.
“Assalamualaikum…” Ada orang beri salam saat aku hanya bertuala sahaja. Siapa yang datang ke rumah aku ni? Suara tu seperti suara perempuan. Malu aku nak pergi buka pintu dalam keadaan macam ni.
“Assalamualaikum…” Sekali lagi ucapan salam dihulurkan dan aku serba salah pula. Nak buka pintu ke tak nak ni?
“Tuan rumah tak ada.” Jawab aku. Eh! Buat lawak ke apa ni? Isy!
“Rasyid!” Nada suara terus tinggi di saat aku berdiri di belakang pintu tanpa membukanya.
“Siapa tu?”
“Ima.”
“Ima?!” Terkejut aku bila terdengar nama tu. Biar betul Ima? Tahu pula dia jalan ke rumah aku? Rasa mcam tak percaya je.


ARGH! Perasaan bengang masih bersarang. Jang tersengih-sengih. Dari petang tadi sampai ke malam perasaan lucu terbawa-bawa. Ada jugak yang makan penumbuk ni nanti. Suka sangatlah tu.
“Dah la!” Marah aku.
“Aku dah agak!”
“Apa agak-agak?” Aku merengus geram. Rasa nak luku je kepala Jang tu termasuk Siti sekali! Tapi Siti oleh dimaafkan lagi kecuali Jang. Kalau bukan idea Jang idea siapa lagi? Sah-sah idea Jang Spanar ni bikin aku panas.
“Dengan bertuala sahaja kau buka pintu. Buat malu ke dekat Siti.” Kata Jang disusuli katawanya menggila. Bergegar meja makan saat dia ketawakan aku. Siti duk jeling-jeling je sambil tersengih-sengih mengejek aku. Mereka berdua ni tak habis-habis gelakkan aku. “Duk tunggu perempuan yang baru berjumpa sekali je sampai dua tahun lebih. Setia sungguh kau ni Syid…” Ejek Jang lagi.
“Orang kemaruk cinta memang macam tu la.” Siti mencelah.
“Diamlah kau Siti! Buat je kerja kau tu. Orang tebar roti je jangan bercakap nanti tersembur perisa tambahan dalam roti tu nanti, hilang selera aku anak makan.” Geram aku dekat Siti. Mereka berdua boleh berpakat kenakan aku. Menyesal aku menceritakan hal itu kepada Jang. Tak sangka pula aku Jang boleh cerita dekat Siti pula. Memang tak boleh dipercayai langsung. Nasib baik kain tuala aku tu besar, tak adalah nampak pusat mahupun lutut aku. Aurat masih lagi terjaga. Huh! Tapi kan, memang aku betul-betul nak tahu adakah itu Ima. Silap aku juga kerana tidak selak langsir terlebih dahulu terus je tarik tombol selepas dipulas.
“Eh eh… marah nampak.” Siti gadis bermata bundar masih tersengih-sengih. Tak habis-habislah mereka ni mengusik aku. Kadangkala menyakitkan hati. Menjadi seorang lalaki yang tidak sempurna dari pakej pujaan ni memang seringkali dipermainkan. Sampai bila? Atau semua ini hanyalah perasaan aku sahaja? Huh! Keluh hatiku mengenangkan apa yang berlaku. Di saat jiwaku keberatan seperti ini, ada sahaja yang cuba menguji. Aku manusia biasa yang memiliki batas kesabaran. Tolong jangan uji kemampuan aku kawan…
“Aku nak balik!”
“Merajuk pulak… makan la dulu, aku belanja. Meh…” Sengaja Jang memujuk kononya aku akan termakan pujuk agaknya. Aku sepatutnya lebih mengenali aku kerana sudah lama dia berkawan dengan aku. Melihat dari cara dan sikapnya seolah-olah membataskan waktu untuk aku terus sabar. Jika dia mempersendakan aku, kali ini aku tidak akan biarkan. Apa nak jadi, jadilah!
“Dah tak ada selera. Kau makan je la dengan Siti tu!” Aku terus tunjuk perasaan dengan menolak kerusi. Geram sangat!



AKU duduk atas motor sambil menopang dagu. Aku sedang memerhati budak-budak main bola sepak dekat padang sekolah tu. Waktu petang aku habiskan begitu sahaja kerana rasa bosan mengulit hati.
“Abang Rasyid! Jom la join kitaorang!” Pekik budak kepala botak dari jauh. Adik lelaki Jang panggil aku turut serta. Pelawaannya itu pasti aku tolak. Aku tidak mahir main bola dan aku tak boleh main bola.
“Main la, abang tak reti.”
“Tipu!” Syafiq datang dekat aku. Dia berkaki ayam sahaja. Rata-rata budak-budak tu main bola tanpa kasut. Biasalah budak kampung main bola memang begitu.
“Abang kan pernah jadi wakil sekolah. Abang Afiq beritahu abang hebat main bola. Jomlah abang, tak cukup orang ni. Abang jadi keeper? Boleh?”
Ceh! Jadi keeper suruhnya. Dia ingat aku ni apa? Aku layak jadi striker tau tak! Budak ni memperlekehkan aku. Tapi… budak-budak ni bukan lawan aku, erm… aku berfikir sejenak.
“Jom la bang…” Pujuk Syafiq sambil buat muka kasihan.
“Keeper pun keeperlah.” Akhirnya aku bersetuju menyertai mereka. Sekali sekali kembali ke zaman kanak-kanak pun seronak juga. Sudah lama aku tinggalkan sekolah ini semenjak aku tamat tingkatan 5 dahulu.
Budak-budak tu langsung tak pandai main tapi aku dah terlepas lima gol. Aduhai malunya aku. Macam mana ni? Aku jadi bahan jenaka pula tapi tak apa. Aku main sekadar suka-suka aje. Maklum sahajalah aku seorang sahaja orang dewasa di padang tu. Nasib baik aku dilantik jadi penjaga gol sahaja. Bagaimana kalau aku jadi penyerang? Boleh cuba tak?
“Afiq! Abang nak jadi penyerang pulak.” Pinta aku saat peluh dan mencurah-curah. Aduhai letih juga main bola. Dah lama tak bersenam.
“Tak boleh! Abang orang dewasa jadi goal keeper dah la bang. Mana aci macam ni nanti geng-geng dorang bising pulak. Kita dah tewas 5-0 dah ni. Abang jaga elok-elok la. Tangkap bola pun macam tangkap anak ayam! Tangkap betul-betul okey.” Komen Syafiq tak berpuas hati dengan prestasi permainan aku agaknya.
“Okey…” Jawab aku hampa sambil mengeluh. Ha ha ha! Acah aje tu nak tengok dia bagi aku main ke tak. Dah bosan sangat dah ni. Aku pun tengok jam di tangan, masih awal lagi. Main bola sambil pakai jam memang kurang selesa tapi aku bukannya lengkap berpakaian sukan pun. Pakai seluar jeans pulak tu, habis kotor seluar aku. Memang menyulitkan aku untuk tangkap bola. Tambah lagi nak lompat sana dan nak lompat sini memang terbatas.
Tiba-tiba budak-budak dalam padang berhenti bermain. Aku rasa pelik pula mereka pandang ke arah aku. Ada yang tak kena ni? Seluar aku koyak ke? Cepat-cepat aku tengok bawah. Eh tak ada.
“Kenapa?” Tanya aku pada mereka. Malangnya tiada siapa pun yang jawab. Masing-masing tercengang dan perpandangan sesama sendiri. Tak boleh jadi ni!
“Kamu ditahan.” Aku segera menoleh. Dua orang anggota polis memegang bahu aku sebaik sahaja aku menoleh ke belakang. Terkejut aku gara-gara mereka tahan aku. Apa kesalahan yang telah aku lakukan sehingga memaksa mereka mencari aku sampai ke sini?
“Eh! Apa pula? Apa kesalahan saya?” Aku terpinga-pinga kerana tidak tahu hujung pangkal.
“Ikut kami.” Suruh mereka. Salah seorang daripada mereka bermisai lebat dan seorang lagi polis muda. Atas kesalahan apa? Aku tertanya-tanya sendiri.
“Saya tak mahu ikut. Encik tak berhak tangkap saya sesuka hati tanpa memberitahu dahulu apa kesalahan saya.” Aku berdegil. Walaupun mereka lengkap memakai seragam polis namun aku tidak gentar berhadapan dengan mereka kerana aku tidak bersalah. Mana boleh macam ni. Negara ni ada perlembangaan dan tidak boleh membuat penangkapan tanpa waran. Hurm…
“Kamu suspek mengedar dadah. Sila beri kerjasama.”
“Apa?! Dadah?! Encik saya tak buat kerja haram tu.” Aku terkejut besar mendengar berita itu. Perkara ini begitu mengaibkan. Macam mana
“Balai cerita.” Itulah kata mereka sambil menggari tangan aku. Aku ada pekerjaan halal. Aku menguruskan perniagaan yang halal dan langsung tiada kena mengena dengan kerja bodoh tu! Aku tak buat! Aku tak buat! Apa ni?! Ya Allah, dugaan apakah ini? Mereka tak boleh dakwa aku semudah itu.
Ketika aku dibawa masuk ke dalam kereta polis, Syafiq dan kawan-kawannya masih terpisat-pisat. Aku menoleh kepada mereka dan mereka masih terkejut. Jika mereka sudah kehairanan, apatah lagi aku yang menjadi mangsa keadaan ini?




DUA MINGGU aku dekat dalam akhirnya aku dibebaskan dengan ikat jamin daripada ibu aku sendiri. Tindakan mereka telah memburukkan nama baik aku. Mereka telah memalukan aku. Ah!!! Ini tidak adil. Aku tidak bersalah! Bentak hati aku. Kesengsaraan aku dekat dalam penjara benar-benar menghukum aku sebagai seorang pesalah. Dengan sekelip mata sahaja aku digelar banduan. Gelaran itu benar-benar meruntunkan hati aku sendiri.
Jang kawan baik aku sendiri sudah mula menjauhkan dirinya daripada aku. Siti juga begitu mula menghindari aku. Mana aku nak letak muka ni? Mak aku lagi… Ya! Mak aku tak henti-henti menangis setelah mengikat jamin aku.
“Mak… percayalah mak, saya tak buat kerja tu mak.”
Mak aku diam je sambil ceduk nasi masuk ke dalam pinggan. Aku pandang ayah aku pula dan wajah kedua-duanya hampa. Mak dan ayah aku membisu sahaja. Tanpa ku duga air mata ibu menitis lagi.
“Dah la tu Kiah. Anak awak kan dah kata dia tak bersalah.” Ayah bersuara menenangkan hati ibu aku tu.
“Kalau dia tak bersalah kenapa polis nak tangkap dia?” Tanya mak aku kepada ayah. Aku pula tundukkan kepala. Tidak mampu untuk manatap wajah kedua-dua orang tua aku. “Dadah tu ada bawah tempat duduk motor dia. Tu pun tak bersalah lagi ke?” Kata-kata ibu seolah-olah tidak mempercayai aku lagi.
“Kiah…”
“Sia-sia kita beri dia pendidikkan. Jalan macam ni juga dia pilih. Nak cepat kaya! Nak cepat pakai kereta, dan tengoklah Allah nak tunjuk siapa sebenarnya anak kita ni bang.” Bebel ibu aku yang begitu kecewa dengan aku.
“Mak, sampai hati mak cakap macam ni. Kalau dadah tu milik saya kenapa polis benarkan saya diikat jamin? Dadah yang ada tu lebih dari cukup untuk mengheret saya ke tali gantung. Saya dah berikan keterangan dah mak. Terserah pada siasatan polis. Saya tetap berada di landasan yang benar mak. Saya tak buat kerja m acam tu. Demi Allah!” Aku terus bangun. Selera makan aku hilang serta merta. Aku masih terbayangkan makanan di dalam penjara. Makanan sekadar alas perut. Tak boleh makan banyak, seperti dekat luar. Makanan mengikut menu.
“Rasyid! Orang kampung ni mengata mak tak pandai didik anak. Mereka tak bagi kau berkawan dengan anak mereka kerana takut anak mereka jadi macam kau!” Mak menengking aku.
“Kiah… cukup la tu. Anak kita tu mungkin tak bersalah. Mungkin ada orang nak kenakan dia. Kita tunggu siasatan polis dulu.” Ayah mempertahankan aku. Dengan sokongan ayah yang cuma sedikit itu masih belum cukup membuatkan aku mampu menarik nafas lega.


PERJALANAN di dalam kehidupan seperti itu sungguh menjadikan hari-hariku sekana-akan gelap gelita tanpa sinaran. Ku kuatkan semangat meskipun jiran tetangga mula berburuk sangka terhadapku. Sehingga ke tahap ini pun aku masih terus menghirup nafas yang sesak agar cahaya untuk hari esok bersinar terang bersama nyamannya suasana. Aku masoh beruat baik kepada mereka seperti kata hadis ;

“Tidak masuk syurga siapa yang tidak selamat jirannya daripada keburukkan.” (HR: Muslim)

Aku terfikir, mereka tidak mahu selamatkan aku ke? Sanggup membiarkan fitnah ke atas diriku yang menjadi jarum menusuk ke jantung terus menembusi injap? Sesak nafasku, tenggelam kebahagian hidup ini.
“Muka dia pun dah nampak macam orang jahat.” Umpatan sebegitu menjadi makanan pada telinga. Kenyang memakan umpatan di dalam kampung ini. Betapa hinanya diriku dituduh rosak akhlak. Aku dikhabarkan membawa akhlak yang buruk.
“Orang macam Rasyid tu tak payah duduk dalam kampung ni pun tak apa. Nanti diajarnya anak-anak kita menagih dadah macam mana? Rosak anak-anak muda kampung kita ni. Kau tak dengar kes yang abang si Rasyid tu, Razman mati akibat AIDS. Main dadah la tu. Dah lama dah aku dengar cerita ni tapi sekarang ni dah sahih. Mula aku syak aje kerana Razman mati badannya dah kurus kering.”
“Alahai Senah… badan Rasyid tu elok je tak kurus macam arwah abang dia pun.”
“Kau ni Jenab… mula-mula memanglah nampak okey, nanti kalau lama-lama tinggal tulang la jawabnya. Isy tak lalu aku. Aku risau juga, orang yang main dadah ni mudah kena AIDS. Dulu si Rasyid selalu pergi makan dekat kedai si Salmah tu, anak Salmah si Siti baik sangat dengan Rasyid tu. Alahai kalau apa-apa jadi dekat anak Salmah tu macam mana? Warung tu nanti tak ada orang berani makan la.” Ujar Senah dan Jenab penduduk kampung seronok buat ketupat bawah pokok mempelan ketika aku berada di laluan belakang rumah mereka. Aku terdengar kata-kata itu ketika dalam perjalan nak berjumpa dengan Jang.
Tak apalah, mengumpatlah, esok-esok Allah balas dekat korang baru tahu. Aku tak bersalah. Aku memang tak bersalah. Walau bagaimana pun, kecil hati aku mendengar kata-kata mereka yang tidak berasas itu menuduh arwah abang aku terkena AIDS. Menyebut tentang Razman, abang aku tu juga teraniaya. Baru aku merasakan sesuatu. Mungkin ada orang sengaja nak menjatuhkan maruah aku. Arwah abang aku ada musuh ke? Mustahil sungguh. Takkan aku pulak terkena tempiasnya?
Aku cepat-cepat pulang ke rumah dengan berjalan kaki. Motosikal aku tinggalkan dekat rumah sahaja kerana aku sengaja nak berjalan ke rumah Jang. Tapi sekarnag aku dah batalkan niat untuk menemui Jang.
Setibanya di rumah aku jumpa ayah. Aku dapatkan ayah aku yang menganggur beberapa hari ni kerana belum dapat projek buat rumah. Ayah aku duduk di kerusi sambil menonton televisyen. Aku duduk di pada kerusi sebelahnya.
“Ayah.”
Ayah pandang aku.
“Boleh tak saya nak tanya sikit.”
“Berkenaan apa?”
“Berkenaan arwah abang.”
“Hurm.” Ayah terus mengeluh.
“Kenapa ayah? Ayah ada merahsiakan sesuatu daripada saya ke?”
“Malas ayah nak ungkit lagi.”
“Ceritalah ayah,”
“Sebenarnya ayah dan mak kamu ni dah lama menganggung malu. Oleh sebab tu mak kamu tu mudha melenting. Dengan ayah pun kadang-kadang mak kamu meradang.” Ujar ayahku.
“Syuib!!!” Tiba-tiba ada orang panggil dari luar rumah. Kedengaran suara tu nampak seperti kelam kabut sahaja. Ada orang panggil ayah aku. Tergesa-gesa ayah aku keluar.
“Ada apa Zak?”
“Bini kau si Kiah tu bergaduh dengan Senah. Main tarik-tarik rambut.” Beritahu Razak. Aku yang saat ini sudah berdiri di sebelah ayah aku terkejut. Mak aku bergaduh dengan Senah? Baru tadi aku dengar mereka seronok mengumpat. Alahai mak aku ni…

“MAK bergaduh dengan Senah tu kenapa mak?” Aku tanya mak aku.
“Mak nak cili mulut dia. Kurang ajar sangat.”
“Dahlah tu Kiah.” Ayah memujuk mak sambil memandu kereta. Mak masih merengus geram dengan apa yang berlaku. Aku dah masak sangat dengan mulut Senah. Suka sebar cerita yang bukan-bukan. Dulu dengar cerita pernah kena ganyang dengan jirannya yang tak tahan duduk sibuk ambil tahu hal suami orang sekarang ni giliran mak aku pula diambil kisah.
“Macam mana saya nak bersabar bang? Cerita yang tak sedap sampai kat telinga saya ni hah masa saya sibuk beli barang dekat kedai runcit Ali tu. Apa lagi, saya pergilah cari dia. Mujur ada Jang tolong tumpangkan saya ke rumah Senah tu.” Perasaan marah mak masih bersisa. “Saya malu bang. Sana sini orang duk mengata pasal keluar kita.” Mak melanjutkan kata-katanya. Aku yang berada di tempat duduk belakang terus mengunci mulut. Sudah pasti mak akan libatkan aku.
“Pasal kau edar dadah!”
“Kiah… Rasyid ni anak kita Kiah… boleh tak jaga mulut awak tu sikit.”
“Pasal dia edar dadah la mulut saya tak reti nak diam!” Bentak mak aku.
Aku sedih. Mak aku sendiri tidak percayakan aku. Apa lagi yang mampu aku katakan? Setiap kata-kata yang aku ucapkan langsung tidak bermakna bagi mak. Aku pun tak tahu sama ada mak aku ni sayangkan aku atau pun tidak. Kalau ibu aku tak sayangkan aku, mana mungkin dia jamin aku? Aku masih dapat rasakan kasih sayang seorang ibu walaupun dia sekarang ni sedang marah.



“ADA apa kau nak jumpa aku ni?”
“Kau kena tolong aku, Jang?”
“Apa lagi aku boleh tolong? Kau sendiri cari masalah. Lagipun nama kau dah busuk dalam kampung ni. Aku boleh berikan kau satu cadangan. Lebih baik kau pindah je dari kampung ni. Kau merantau.” Senang jawapan Jang kepada aku. Sungguh aku tak sangka dia akan mengucapkan kata-kata sedemikian rupa.
“Sampai hati kau Jang cakap macam ni.” Aku kecewa.
“Aku nak cakap macam mana lagi. Orang kampung dah cakap macam-macam dah Syid. Dorang cakap aku berkawan dengan pengedar dadah. Aku tak nak nama aku pun busuk Syid. Aku harap kau faham.”
“Dah lebih dari faham, Jang.” Aku tertunduk dan mula mengengsot turun dari wakaf. Perlahan-lahan aku dapatkan motosikalku itu. Aku cuba hidupkan enjin tapi tak berjaya.
“Jang, tolong boleh?”
“Yelah, aku tolak.” Jang masih membantu. Alhamdulillah. Apa kena dengan motosikal aku ni buat hal pulak.
Akhirnya setelah Jang tolak motosikal itu maka enjinnya berjaya di hidupkan. Aku mengucapkan terima kasih pada Jang kerana membantu aku.
“Jang…”
“Kalau aku tak ada dekat dalam kampung ni, kau rasa mereka akan ingat tak kebaikan yang pernah aku lakukan?” Sengaja aku bertanya kerana aku ingin tahu sangat adakah orang kampung akan ingat aku? Hidup aku serba tidak kena. Jiwa aku tertekan dan sudah lama pelanggan tidak datang ke kedai aku. Mereka tidak berani lagi menerima khidmat aku.
Jang hanya diam sahaja. Aku memaksa dia beritahu aku tetapi dia enggan. Tak apalah aku mesti beredar. Semasa dalam perjalanan pulang aku terserempak dengan Tok Imam. Aku menyapanya dia Tok Imam menjawab salam yang aku hulurkan.
“Tok… boleh tak saya nak bercakap sikit dengan tok.”
“Tok dah lambat ni, malam ni lepas isyak kita jumpa dekat surau. Datanglah berjemaah sekali maghrib nanti.”
“Insya-Allah tok,” Jawab aku. Dan aku faham bahawa waktu sekarang sudah hampir Maghrib. Kalau aku nak bercerita panjang pun tak dapat. Maka pada malam itu aku berjumpa dengan Ustaz Haji Azman dekat Surau Padang. Jemaah dekat surau berkenaan memang ramai tapi pada malam aku solat maghrib berjemaah, entah bagaimana ada yang mengelak tidak mahu bersentuhan dengan aku. Solat terpinggir kerana saf tidak dirapatkan. Ya Allah… kenapa begini? Meruntun hatiku Ya Allah…
“Kenapa orang kampung benci saya ustaz?”
“Manusia diuji dengan dua perkara, satu daripada kebaikannya, dan kedua daripada keburukannya. Tapi percayalah, Allah tidak menurunkan sesuatu musibah itu melainkan untuk menguji ketaatan hamba-hamba-Nya.”
“Saya tertekan ustaz.”
“Saya faham apa yang Rasyid rasa. Dah lama saya tunggu Rasyid datang temui saya kita bincang tapi Rasyid tak datang pun dan hari ni kita ditakdirkan berbincang. Hari tu masa dekat warung, saya dah pesan kalau ada masalah datang ke surau, mengadu pada Allah… kita berjemaah sama-sama. Berdoa pada Allah minta petunjuk.” Ujar Ustaz Haji Azman.
“Saya sibuk dengan kerja ustaz… saya tak ada masa langsung ke surau tapi itu tak bermakna saya tak solat.”
“Solat berjemaah itu lebih afdal. Ibarat gaji yang dibayar pada kita 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. katakan gaji solat berjemaah RM 27 ribu dan gaji solat bersendirian hanya RM 1 ribu, mana Rasyid nak pilih?”
Pertanyaan itu membuatkan aku terfikir. Selama ini aku hanya bersolat bersendirian sahaja. Betapa ruginya aku selama ini hanya menerima gaji sebanyak RM1 ribu. Sampai bila-bila pun begitulah bayarannya. Jadi aku mengangguk memilih yang lebih banyak. Bercakap dengan Ustaz Haji Azman membuka minda aku. Rupa-rupanya, ujian yang aku terima adalah untuk aku mengingati-Nya. Kemelut yang melanda seolah-olah membuat aku hanya menyalahkan Takdir.
Khayalan tentang cinta lalu juga hampir membuatkan aku hanyut dalam angan-angan. Menanti tibanya Ima dalam hidup aku adalah sesuatu yang mustahil. Tanpa usaha mendapatkan jodoh, maka jodoh itu tidak akan sampai. Tapi sekarang bukan jodoh itu tetapi masalah yang aku hadapi sekarang.
“Ustaz pernah dengar ceripa pasal arwah abang saya tu?”
“Arwah seorang yang baik.”
“Tapi kenapa macam-macam cerita yang timbul. Kata abang saya penghidap AIDS? Hancur hati saya ustaz. Arwah abang saya dah sepuluh tahun pergi meninggalkan keluarga. Kenapa baru sekarang timbul cerita ni?”
“Tempias dari apa yang Rasyid hadapi.”
“Entah siapa yang letakkan dadah bawah tempat duduk motosikal saya tu ustaz. Bagaimana dia boleh buka sedangkan ia berkunci?” Aku kehairanan.
“Saya cuba membantu. Anak saudara saya yang kendalikan kes Rasyid ni.”
“Anak saudara ustaz?”
“Inspektor Razif. Dari johor berpindah ke Dungun ni. Kes itu tidak terlalu rumit jika ia mengikut prosedur yang baik. Inspektor Razif pengantin baru. Baru mendirikan rumahtangga dua minggu lepas.” Beritahu Ustaz Haji Azman.
“Amin…”
“Jangan risau. Nama baik Rasyid akan pulih. Saya tahu Rasyid orang yang baik. Allah akan menguji setiap hamba-hamba-Nya selari dengan kemampuannya. Percayalah bahawa Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana. Hadis riwayat Muslim Wamasykuh, Wallahu fii a’u nil a’bdu maa kaanal a’bdu fii a’uni akhiihi yang bermaksud ‘Dan Allah selalu menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu dalam usaha menolong saudaranya’, jadi di sini saya nak beritahu, bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan dan Allah sentiasa berada di sisi hamba-hamba-Nya yang redha.”
“Jadi ustaz nak tolong saya?”
“Pertolongan demi sebuah kebenaran.” Jawab Ustaz Haji Azman.



LAPANG dadaku, kerana Allah membantu aku yang kesempitan. Bersyukur aku pada-Mu Ya Allah… tidak putus-putus aku mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana taufik dan hidayah-Nya telah membuktikan kebenaran.
“Terima kasih Inspektor.” Aku mengalungkan ucapan itu kepada Inspektor Razif berjaya menyiasat bersama beberapa orang detaktifnya.
“Sama-sama.” Katanya di IPD Dungun usai pulang dari mahkamah. Belum sempat aku melanjutkan kata-kata, Inspektor Razif menerima panggilan telefon.
“Ya Ima sayang…” Aku terdengar kata-kata itu. Ima? Eh… Ima yang lain agaknya.
Aku berdiri sendirian dan tidak beberapa lama kemudian Inspektor Razif mendekati aku semula. Mak dan ayah aku tumpang gembira dengan kes tersebut. Rupa-rupanya itu adalah agenda anak Senah sendiri yang dengki dengan aku. Sekarang anaknya si Malik akan dibicarakan dan keputusan mahkamah belum lagi diputuskan ke atasnya.
“Isteri saya yang call.”
“Rindu agaknya.” Sengaja aku mengusik biarpun di benakku sudah memikirkan akan siapakah gerangan isteri Inspektor Razif itu. Inspektor Razif tersenyum
“Ada di rumah mertua saya di Marang.” Dia sebut Marang? Hampir tepat telahan aku. “Saya belanja minum, nak?” pelawanya.
Satu tawaran yang cukup hebat. Aku ditumpangkan ke dalam keretanya sahaja tapi sewaktu aku mula masuk ke dalam kereta milik Inspektor Razif… jantung aku berkecai. Foto perkahwinan di antara inspektor itu dengan Ima… Sampai hati kau Ima… hatiku kecewa. Setelah kau menyepi tanpa menghubungi aku, ini yang kau lakukan terhadap aku. Salah dia ke? Tidak! Semuanya salah aku yang tidak pernah melafazkan kalimah cinta terhadapnya. Hatiku menangis pilu setelah dua tahun aku menanti…


“KENAPA awak buat saya macam ni?”
Ima mendiamkan diri. Aku pula rasa bersalah kerana curi-curi bercakap dengan Ima di dalam talian telefon. Sepatutnya aku tidak harus mengambil peduli tentang Ima lagi kerana dia sudah bergelar ister orang.
“Saya tak buat apa-apa pun.” Jawabnya. Jawapan itu benar-benar membuatkan jantung aku berdetak laju. Kenapa tidak?
“Boleh kita jumpa?”
“Bagaimana?” Ujar Ima.
Keesokan harinya aku dan dia bertemu. Tidak pula aku sangka dia sudi menemui aku tetapi aku dengan dia tidak berdua. Aku teringin nak jumpa dengan dia dan dia tidak hampakan aku.
“Kenapa ke sini?”
“Kerana di sini kita berjumpa dulu.”
“Masalahnya kenapa perlu naik bas?”
“Kerana saya berkenalan dengan awak di dalam bas.”
“Makcik Ima… Intan nak terkencing ni.” Intan anak saudara suami Inspektor Razif berkerut dahi pula.
“Sekarang ni macam mana awak? Intan nak terkencing ni?” Ima tanya aku. Dia sudah risau. Alahai budak perempuan ni… tahanlah sikit. Aku merungut dalam hati. Bas baru sahaja memulakan perjalanan tapi budak perempuan ni dah buat hal.
“Tahan ye.” Beritahu aku.
“Dah kencing dah.” Beritahu Intan lantas aku tepuk dahi sendiri.
“Saya lupa beritahu awak bahawa Intan ni tak boleh tahan kencing lama-lama.” Ujar Ima pula.
Dua tahun lebih aku tidak berjumpa dengan Ima, gaya dan penampilannya jauh berubah. Dia seperti seorang ustazah sahaja. Aku cuma khuatir, bagaimana sekiranya suaminya mendapat tahu Ima berjumpa dengan lelaki lain?
Oleh kerana Intan buat hal, aku dengan Ima tidak dapat meluangkan banyak masa bersama. Intan meragam. Budak berumur tujuha tahun tu tidak ke sekolah kerana cuti penggal sekolah. Patutlah Intan ni boleh ikut sekali. Tapi… seharusnya ada orang ketiga ikut bersama.
“Saya nak turun sebelum kita bergerak lebih jauh lagi,” Ima bergegas menekan loceng.
“Tapi siapa nak basuh kencing ni?”
“Awak tolong uruskan. Saya nak kena bawa Intan ke tandas sekarang juga.” Balas Ima terus bangun menekan loceng.
Lagi sekali aku tepuk dahi. Payah macam ni. Belum dapat aku meluahkan isi hatiku kepadanya. Selama dua tahun aku menunggu… tolonglah berilah aku peluang mengatakan selama ini aku tunggu kau walaupun sekarang ni kau dah jadi isteri orang. Cukuplah sekadar kau tahu sahaja. Adakah aku patut buat macam tu? Aku sendiri tidak tahu.
AKU MENERIMA undangan majlis kahwin adik Inspektor Razif. Kalau tak nak pergi kan nanti apa pula katanya. Dia dah banyak tolong aku. Jadi aku membuat keputusan untuk pergi ke majlis perkahiwan itu di Johor. Bermalam di homestay dan keesokannya aku akan ke majlis itu. Mak dan ayah aku ikut sekali tapi aku sekarang ni berada di bilik yang lain. Bersendirian di malam yang dingin. Aku masih terasa letih kerana perjalanan dari Terengganu ke Johor mengambil masa yang lama. Letih memandu. Ayah aku suruh aku yang memandu maklumlah orang tua tak larat memandu jauh-jauh.
“Apa cerita kau dekat sana tu?” Jang menghubungi aku.
“Kau ingat aku bercuti ke?”
“Aku tahulah kau nak ke masjlis kahwin adik perempuan Inspektor tu.”
“Dah tu tanya buat apa?”
“Masalahnya niat kau tu betul ke tak? Ima tu dah jadi bini orang Syid, takkan kau nak usha dia lagi. Kau ni tak serik-serik ke?” Kata-kata Jang menyedarkan aku. Ia berkaitan dengan niat. Memang niat aku tak betul kut. Semata-mata nak tengok Ima je. Nak berbual dengan Ima. Dia bini orang Syid! Kata-kata dalam kepala juga mengingatkan aku sebagaimana Jang. Habis. Perasaan rindu aku membawa aku ke sini. Aku rindu dekat Ima. Dua tahun aku tunggu dia. Mana hasilnya? Kekecewaan aku dapat. Aku setia… setia untuk memiliki dia tapi kenapa mesti Inspektor Razif tu yang dapat? Bagaimana semua itu bermula? Aku sendiri tidak tahu.
“Jemputlah makan, jangan tengok je lauk tu.” Pelawa tuan rumah. Aku sekarang berada di rumah itu. Rumah sederhana besar tapi meriah dengan tetamu jemputan menikmati juadah. Majlis perkahwinan adik perempuan Inspektor Razif berjalan lancar. Sebenarnya aku tercari-cari kelibat Ima. Entah di mana.
“Pakcik… pakcik…” Eh? Intan duk tarik seluar aku. Tak perasan pula aku ada budak kecil.
“Ada apa?”
“Pakcik pijak selipar saya.” Katanya. Oh! Aku tak perasan langsung.
“Minta maaf.”
“Nasib baik tak pijak kaki saya.” Ucap Intan lalu beredar. Budak kecil tu buat apa menyibuk dekat kanopi ni. Pergi main jauh-jauhlah, aku tengah cari Ima ni entah dekat mana dia berada. Walau bagaimanapun… aku mesti meminta keizinanan seseorang untuk bertemu dengan Ima. Ya… suaminya. Aku mesti meminta izin… ah! Kalau dia fikir yang bukan-bukan bagaimana? Mati aku macam ni.
Kali ini aku terpaksa curi-curi jumpa. Aku nampak kelibat Intan. Aku panggil dia. Dan budak perempuan itu pun datang. Aku meminta dia panggilkan Ima kerana panggilan telefon tidak dijawab oleh Ima. Mungkin sibuk agaknya. Walau bagaimana pun aku teringin sangat nak jumpa dia.



“AWAK tahu tak cara awak ni salah?”
“Salah? Kenapa pula salah?” Tanya aku terpisat-pisat.
“Kenapa awak berani berdiri tepi tingkap bilik ni?”
“Kerana saya nak jumpa dengan awak.” Beritahu aku terpaksa bertindak bodoh. Memang bodoh sangat. Intan yang menunjukkan lokasi di mana bilik Ima berada.
“Saya ada suami! Kenapa awak degil?”
“Memang awak ada suami tapi…”
“Tapi apa?” Pertama kali aku melihat riak wajah Ima benar-benar marah. Dia marah di atas cara aku itu. Apa aku perlu buat sedangkan aku hanya nak berjumpa dengan Ima sahaja.
“Tapi…” Tiba-tiba aku ternampak kelibat Ustaz Haji Azman. Dia pun ada? Ya la, itukan anak saudara dia yang kahwin memang patut pun dia ada dekat sini.
Akhirnya kebencian Ima terlahir dari gara-gara sikap membabi buta dariku. Ima marah dan dia meradang dengan sikap sebegitu. Aku pula menyalahkan diri aku sendiri.


“Astaghfirullah al`adzim Rasyid… kau ni kenapa? Dengan bini orang pun kau nak usha?” Mungkin itu yang bakal terkeluar dari mulut mak aku kalau aku beritahu tentang isi hati aku. Eh? Kenapa pula pada mak aku mesti aku beritahu?  Aku melayani fikiran aku sendiri. Aku meninggalkan majlis itu. Aku pergi bawa diri. Ayah dan mak aku sibuk hubungi aku akhirnya aku hantar pesanan kepada mereka.

Mak dan ayah baliklah dulu ke homestay – pesan aku kepada ayah aku melalu sms.

Aku akan naik teksi je balik ke sana nanti. Aku nak tenangkan fikiran dekat jambatan ni sambil tengok air tasik.
“Tak sangka pulak awak ni orang yang sama.”
Tiba-tiba aje aku terdengar suara orang lain dekat belakang. Pada petang itu aku dikejutkan dengan kewujudan gadis cantik dan manis.
“Awak ni siapa?”
“Kalau saya beritahu awak pun mesti awak tak percaya?” Balasnya sambil berdiri di tepi aku. Dia juga turut memandang air tasik itu.
“Awak kenal saya ke?”
“Sudah pasti saya kenal. Awak sombong.”
“Eh, suka-suka hati awak je cakap saya sombong. Kenal awak pun tidak.” Balas aku kerana aku langsung tidak mengenali gadis itu.
“Saya sepupu Ima.”
“Sepupu? So apa kena mengena dengan saya pula?”
Dia pandang aku lama-lama. Apa dia nak sebenarnya? Aku pun tak faham. Dia ikut aku sampai ke sini.
“Dia tak boleh terima awak dalam hidupnya.” Dia sudah mula berbicara. Dia mengaitkan Ima dalam kata-katanya. Seorang gadis yang tinggi lampai itu serius dalam berbicara. Dari riak wajahnya itu tiada langsung tanda main-main. “Dia minta saya sampaikan surat ni. Awak bacalah…” Dia menghulurkan sekeping kertas kepada aku. Aku teragak-agak untuk mengambilnya tetapi dia mohon agar aku membacanya sebelum membuat sebarang keputusan. Akhirnya surat itu aku capai.
“Saya balik dulu. Assalamualaikum…”
“Wa’alaikumussalam.” Dia terus beradar.

Maafkan saya Rasyid. Saya dengan awak selayaknya hanya mampu bergelar sebagai seorang kawan sahaja. Bukan saya tidak mahu menghubungi awak, tetapi saya ada cita-cita yang perlu saya gapai. Pada masa itu belum terlintas di fikiran saya untuk bercinta namun kuasa Ilahi membuka pintu hati saya untuk menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidup saya. Razif adalah orangnya. Semua ini bermula ketika Razif menyelamatkan saya dalam kes ragut. Kalau bukan kerana dia, awak mungkin tidak akan berjumpa dengan saya lagi.

Di dalam kebuntuan, saya tidak tahu memilih… awak baik orangnya. Saya tahu awak begitu setia. Tini menceritakan segala-galanya pada saya. Tini membiarkan sahaja hatinya disakiti awak. Cubalah awak belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain juga. Tolonglah biarkan saya bahagia bersama Razif.  Sewaktu solat Istikarah, hati ini kuat mengatakan Razif adalah orangnya. Sejujurnya saya tahu niat awak tu kerana awak pernah terlepas cakap pada Tini orang yang awak tidak pernah melihat wajahnya walaupun di dalam dunia facebook. Percayalah pada takdir ini. Saya bukan untuk awak…

Tanpa ku sedar… air mata ini menitis sebagai tanda kekecewaan. Ya Allah… adakah dia bukan untuk aku? Surat itu terlepas dari tangan dan terjatuh ke dalam tasik itu bersama harapan aku yang hancur berkecai.

Tini… tiba-tiba ingatan ini terarah pada Tini perempuan yang membuatkan aku rasa rimas. Selalu ambil cakna pasal aku. Hari-hari hantar mesej tapi aku tak layan. Tadi tu Tini ke? Sepupu Ima? Adakah dia akan memaafkan aku. Akhirnya aku mengeluh sendiri di situ.

“Tini… kalau benarlah awak adalah jodoh sebenar saya, adakah awak akan memaafkan saya?” Ish! Tak boleh ni. Aku kena ubah ucapan lain. Aku cuba menyusun ayat semula.
 “Tini…” Ah! Tak jadi.
Erm…
“Tini… adakah awak sudi jadi peneman hidup saya?” Aku bercakap sendiri. Tengah praktis ni kerana aku berusaha untuk kuburkan ingatan terhadap Ima. Aku kena belajar menerima kenyataan itu.
 “Tina… eh Tina pulak.” Aku dah tersasul.
 “Tini… sudikah awak menjadi pelengkap hidup saya?” Haa… yang okey, cuma kena tambah sikit aje lagi.
 “Tini… sudikah awak menjadi…”
 “Saya sudi…” Tiba-tiba ada suara mengikut dekat belakang aku. Cepat-cepat aku menoleh. Terperanjat aku. Kelibat Tini muncul semula. Dia tersenyum melihat aku. Tak sangka aku rupa-rupanya perempuan itu adalah Tini… cantik orangnya. Memang tak padanlah dengan aku yang buruk ni. Alahai…

p/s : Apa yang kita harapkan tidak selalunya kita dapat. Kesetiaan semata-mata untuk meraih cinta kepada seseorang belum tentu menjaminkan kebahagiaan melainkan kesetiaan mencintai Allah.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.