p/s : Lama sungguh tak taip cerpen. Terimalah sebuah cerpen terbaru daripada Miqael Arshad yang tidak seberapa ini. Maafkan diriku jika cerita pendek ini tidak menarik....
_____________________________________________________
Kael lelaki yang pemalu. Hendak keluarkan sepatah perkataan pun payah. Sepatah ditanya sepatah dia jawab itupun nampak macam terpaksa. Oleh kerana sifat malunya yang terlalu itu akhirnya menyebabkan dia menjadi seorang yang lebih banyak diam daripada banyak bercakap. Maka Kael digelar lelaki pendiam dan pemalu.
Lelaki yang berambut pendek, berkulit sawo matang dan berkaca mata bingkai tebal itu melangkah sambil menundukkan kepala memandang bumi. Dalam ketenangan pagi itu dia melewati sebuah taman rekreasi. Pada waktu begini terdapat beberapa orang sedang bersenam. Ada yang berlari-lari anak, ada yang sibuk tekan tubi dan sebagainya. Sekitar jam lapan pagi matahari mula meninggi. Sinar terang itu merupakan satu nikmat yang dikurniakan oleh Ilahi tiada tara. Dia membayangkan alam ini sekiranya tanpa cahaya, sudah pasti manusia akan terus teraba-raba mencari arah. Dari itu dia sentiasa mensyukuri setiap anugerah Ilahi tidak kira walaupun ia cuma sebesar zarah.
Cahaya matahari yang memanah kulit jelas terasa bahangnya. Kael membuat keputusan untuk duduk di bangku kayu di dalam sebuah pondok yang berada tidak jauh darinya.. Hanya beberapa langkah akhirnya dia tiba di situ. Dia menamatkan senaman berjalan kaki dengan duduk di bangku tersebut. Lakaran dan corak serta ukiran yang terdapat pada bangku itu sungguh unik dan ia dipersembahkan dalam bentuk tradisional. Suatu nilai dan khazanah Melayu yang diteruskan tradisinya agar tidak luput ditelan zaman untuk generasi akan datang.
Kael mengeluh panjang kerana dalam usianya yang menjangkau lewat 30an, dia masih belum berumahtangga sedangkan rakan-rakan sebaya dengannya sudah menemui jodoh masing-masing. Bukannya dia memilih tetapi ada yang tidak kena. Bukan kecantikan seseorang gadis yang dicari tetapi nilai lemah lembut serta nilai budi bicara yang diharapkannya. Masih ada lagi ke gadis macam tu? Dia tertanya-tanya sendiri sambil mahu menopang dagunya. Kaki yang berbujur itu dilipat dan dia sedia duduk dalam keadaan bersila di atas bangku itu.
Teringat kata-katanya pada malam tadi, ketika itu dia sibuk menyiapkan proposal untuk memulakan perniagaan. Dia mahu mengusahakan satu perniagaan berasaskan ikan Sudah pasti keropok lekor merupakan idea utama yang mesti direalisasikan. Dia sedia maklum bukan mudah untuk bergelar usahawan berjaya..
"Bila kau nak balik ni Kael? Bulan depan adik kamu nak kahwin.Sampai bila kau nak hidup bujang?" Ibunya, Rosnah bertanyakan akan hal sedemikian. Bagaikan tersentap rasa hati tatkala dia masih dihambat kekecewaan.
Kael mendengar setiap bebelan ibunya di hujung talian yang bagaikan satu panahan yang cukup tajam terbenam ke jantung hati. Ibunya menasihatinya agar melupakan sahaja apa yang berlaku. Jangan dikenangkan lagi perkara yang sudah.
"Bila Kael dah betul-betul bersedia." Jawab Kael perlahan dan semakin rancak pula leteran ibunya kerana kedegilan Kael sendiri yang enggan memberi ruang untuk melepaskan igauan ngeri dalam hidupnya.
"Sudahlah Kael, kau hiduplah dalam kenangan kau tu. Walaupun kau berdendam dengan Ida sekalipun dia takkan balik sini lagi. Dia dah ada teman hidup. Sampai bila kau nak harapkan dia? Tak habis lagi ke rajuk kamu tu?" Ujar ibunya.
"Saya tak pernah berdendam dengan dia mak, malah saya sentiasa maafkan dia. Mak... bukan Ida yang kecewakan saya." Balas Kael sambil bangun dari duduknya dan terus menghempaskan punggung ke katil.
Dia cuba meluahkan kenyataan sebenar kenapa dia terpaksa lepaskan Ida tunangannya. Betapa dia sayangkan Ida gadis secantik bunga yang mekar. Ida seorang gadis yang dikenalinya sejak dibangku sekolah lagi sehingga dewasa kini dia tetap rindukan Ida.
"Kenapa dia sanggup kahwin dengan orang lain? Kamu tu yang menyakitkan hati dia." Balas ibu.
"Assalamualaikum..." Tiba-tiba terdapat seorang gadis bertudung labuh lengkap berseluar sukan serta berkasut menyapa Kael yang temangu sendiri di pondok itu. Lamunan tadi berderai dan Kael terpisat-pisat menyambut salam yang dihulurkan.
"Wa`alaikumussalam." Balas Kael sambil memandang gadis itu dan kemudian pandangan matanya dijatuhkan. Malu benar dia berhadapan gadis yang kelihatan polos itu.
Gadis itu memandang pelik terhadap tingkah laku Kael yang nampak malu-malu. Kehairanan menampung teguh setelah Kael bingkas bangun dan memberikan tempat duduk kepada gadis yang tidka diketahui namanya.
"Jemput duduk." Pelawa Kael lantas melebarkan senyuman yang dipalsukan.
"Tak mengapalah. Saya datang ni pun sebab saya nak pulangkan dompet awak yang tercicir. Minta maaflah kerana saya telah membukanya untuk memastikan siapa sebenarnya pemiliknya." Beritahu gadis itu. Kael yang mendengar terus melihat dompet yang dihulurkan itu seraya meraba poket belakangnya. Dan ternyata, itu memang dompetnya sesudah diambil dari tangan gadis itu kemudiannya ditilik seimbas mata.
"Terima kasih." Kael berbesar hati benar-benar terhutang budi di atas kebaikkan gadis itu.
"Sama-sama." Balas gadis itu itu sambil tersenyum dan menampakkan lesung pipit terhias di wajah. Sementara itu, sekali lagi dompet itu dibuka oleh Kael. "Jangan risau, saya tak usik apa-apa pun selain daripada melihat foto awak." Gadis itu melanjutkan kata-katanya.
"Eh, saya tak bermaksud macam tu." Tingkah Kael kerana menyedari ucapan salah faham berbutir di bibir gadis berkulit cerah bertudung kelabu itu.
"Saya nampak awak bermurung. Ada masalah ke?" Tidak semena-mena gadis itu bertanya akan hal Kael yang tadinya nampak muram.
"Tak ada."
"Nama saya Nurul."
"Kael."
"Selalu datang sini?"
"Kadang-kadang."
"Saya pun kadang-kadang. Kebetulan pula kan?" Petah pula Nurul bersuara seolah-olah berminat untuk berkenalan dengan Kael. Kael hanya mengangguk sahaja. "Saya belanja minum, nak?" Kali ini Nurul mempelawa Kael minum. Janggal pula rasanya setelah Nurul yang tidak dikenali itu mempelawanya minum. Hendak ditolak nanti dikatakan sombong. Kalau menerima pula mungkin dikata mengada-ngada. Serba tidak kena jadinya.
"Kita berkawan boleh?" Pinta Nurul yang bersungguh-sungguh mahu mengenali Kael.
"Errr... boleh kut." Kael teragak-agak. Nurul pula tidak kedekut dengan senyuman.
"Datang seorang?"
Kael mengangguk.
"Kata nak pergi minum?" Kael mengingatkan Nurul yang mula rancak bertanya itu dan ini. Sengaja Kael mahu Nurul tidak banyak bertanya. Dirasakan pelik sikap Nurul seperti tidak takut mengenali orang yang tidak pernah bersua. Inilah kali pertama mereka bertemu.
"Jadi awak setuju?"
"Ya."
*****************
"Jadi awak nak memulakan perniagaan jual keropok lekor? Bagus jug idea awak tu." Nurul menyokong rancangan Kael.
Mereka berdua duduk minum kopi di warung. Tidak sampai satu jam mereka berkenalan namun sudah terlihat tanda-tanda keserasian di antara mereka. Nurul dengan sikap ramah dan pandai mengambil hati Kael menjadikan suasana tidak nampak suram.
"Dah lama saya impikannya."
"Kenapa tak teruskan kerja dekat tempat lama tu dulu?" Nurul bertanya sambil menyisip kopi panas yang terhidang. Kael terus bersandar sambil berkerut dahi. "Maaf sekiranya pertanyaa saya tu menyinggung perasaan awak." Laju Nurul membetulkan keadaan.
"Bukan salah awak. Sebenarnya say telah dibuang kerja." Kael menceritakan nasib malangnya kepada Nurul.
"Tapi kenapa?" Nurul ingin tahu dan dia mempamerkan riak wajah berminat mengikut kisah seterusnya.
"Disiplin."
"Erm... apa yang awak dah buat?" Usai pertanyaan itu terpacul dimulut Nurul, akhirnya perbualan itu terhenti kerana Nurul menerima satu panggilan. Cepat-cepat telefon bimbit diraba-raba di dalam tas tangan.
Kael memerhatikan sahaja gelagat Nurul yang berubah riak wajah. Seraya itu Nurul bangun dari duduknya dan nampak seperti tergesa-gesa.
"Maafkan saya Encik Kael, saya terpaksa pergi." Nurul bersiap untuk beredar dan terpaksa meninggalkan Kael di situ. Nurul sempat menghulurkan sekeping kad untuk Kael. "Jika awak perlukan saya, jangan segan-segan untuk datang temui saya nanti." Pesan Nurul lantas mula mengatur langkah. Kael sebentar tadi hanya mengangguk dan wajahnya seperti biasa bagaikan seorang yang tidak berperasaan ditinggalkan Nurul yang terpaksa beredar dengan tergesa-gesa.
*****************
Beberapa hari kemudian Kael hadir untuk menemui Nurul. Kael duduk dan menunggu di sofa. Matanya liar memandang ke sekeliling ruang pejabat itu. Terlihat seorang kerani yang membenarkan dia duduk tadi begitu sibuk. Sibuk dengan kerjanya. Sesekali kerani perempuan itu curi pandang. Setiap kali kerani perempuan itu memandang, Kael akan melarikan padangan matanya pula. Dia jadi segan apabila bertembung mata.
Kael melepaskan keluhan sambil bermain dengan jari-jemarinya. Hampir sepuluh minit dia tertunggu-tunggu. Kesabarannya mula teruji namun dia tetap bertahan sedaya boleh. Beberapa detik kemudian melintas seseorang dihadapanya. Seorang lelaki yang keluar dalam keadaan bersemangat dan senyuman tidak lekang dari bibir. Wajah lelaki itu penuh dengan sinar harapan seperti mendapat satu suntikan keazaman yang baru. Tapi... Kael ternampak lelaki yang bermisai lebat itu sedang kancing butang baju kemeja lengan panjang.
Kerani itu pula menjeling ke arah Kael. Ada sesuatu yang berlagar-legar dibenak Kael ketika ini. Sesuatu yang bukan-bukan dibayangkannya. Kael merenung tepat ke dalam mata kerani itu setelah lelaki bermisai lebat itu hilang dari pandangan. Lelaki itu tadi keluar dari bilik Nurul. Kerani tersebut cepat-cepat melarikan padangan mata. Takut agaknya melihat perubahan ekspresi wajah Kael yang seolah-olah sedang keliru.
Akhirnya pintu pejabat Nurul terkuak sekali lagi maka Nurul keluar dari biliknya dan melangkah mendapatkan Kael yang nampak bosan sahaja.
"Maafkan saya kerana terpaksa biarkan awak menunggu lama. Saya baru habis appoitment."
"Dengan lelaki tu?"
Nurul terus mengangguk.
"Apa yang awak buat dekat dalam tu?"
"Ini pravicy."
"Oh... berdua-dua?"
"Ini kan kerjaya saya."
"Menyelam sambil minum air ke?" Kael curiga.
"Itulah kelemahan awak Kael... sikap buruk sangka awak tu akan membinasakan awak. Saya yakin awak seorang yang tegas dan awak seorang yang kuat. Awak mampu bersikap optimis. Terima kasih kerana datang temui saya. Saya harap awak sudi menerima terapi psikologi." Ujar Nurul yang nampak tenang mengawal emosi Kael.
"Siapa kata?"
"Kalau begitu untuk apa awak datang?"
"Err..." Kael kehilangan kata-kata kerana baru tadi dia bersikap buruk sangka. Nurul langsung tidak melenting apabila Kael seolah-olah menuduh sesuatu yang diluar jangkaan.
"Tak apa, kita boleh berbual-bual di luar sahaja." Nurul mempersilakan Kael melangkah besama-sama.
*****************
Sebuah tasik buatan manusia terpempan di hadapan mata. Mereka melangkah bersama-sama sehingga tiba ke sebuah jambatan. Nurul mematikan langkahnya manakala Kael pula masih mencari posisi yang sesuai untuk dia berhenti. Dia melepaskan keluhan dan di pandang air tasik itu sedalam-dalamnya.
"Keluhan takkan dapat menyelesaikan masalah awak."
"Masalah saya sekarang kenapa awak tiba-tiba muncul dalam hidup saya sesudah saya tiada harapan?" Balas Kael ingin tahu hakikat sebenar.
"Semua ni takdir. Dalam hidup kita ni sudah ditentukan takdir masing-masing. Cuma kita kena belajar menerima kenyataan hidup ini." Nurul memandang Kael yang sedang bekerut rapat dahi. "Encik Kael... walau sebagaimana pahit pun kenyataan hidup, kita terpaksa menelannya.." Sambung Nurul lagi.
Kata-kata Nurul itu membuatkan Kael terkedu. Gadis yang bergaya dengan baju kurung merah hati dengan corak berbunga itu ditenung dalam.
"Kenapa awak pandang saya macam tu?" Tiba-tiba Nurul berasa tidak selesa apabila Kael merenungnya seperti menyimpan suatu perasaan.
"Terpaksa telan walaupun pahit? Bagaimana dengan dengan kehidupan yang tak adil?"
"Maksud awak?"
"Ya, kenapa ujian yang berat saya terpaksa tanggung?"
"Setiap ujian yang diberikan oleh Allah adalah untuk menguji keimanan dan kemampuan kita menghadapi dugaan hidup ni. Allah menguji sesuai dengan sesuatu tahap hamba-Nya. Ingatlah Encik Kael bahawa Allah tidak menguji hamba-hamba-Nya melepasi batas kemampuan seseorang hamba itu."
"Jadi awak tahu ke apa masalah saya?"
"Oleh sebab itu saya awak berikan ruang pada hati awak untuk meluahkan apa yang awak rasa."
"Kepada seseorang yang saya langsung tak kenal hati budinya?" Kael bertingkah pendapat.
"Selama ni awak berfikir orang yang kita kenali selalu ada untuk kita ke? Jika awak fikir begitu awak silap. Hidup ini terasa akan kesorangan apabila kita hanya mengharapkan seseorang akan selalu muncul dalam hidup. Hari demi hari kita akan berhadapan dengan orang yang berbeza. Setiap minit otak kita akan mencari kelainan namun apabila kita menyekat sesuatu perubahan ke arah kebaikkan maka sampai bila-bila pun otak akan mentafsirkan perkata negatif." Hujah Nurul di saat Kael mengetap lembut bibirnya.
"Sama seperti saya berhadapan dengan awak seorang yang berbeza. Saya minta maaf, saya terpaksa pergi." Kael mengelak.
"Jangan jadi pengecut dalam hidup." Tempelak Nurul seraya Kael berundur. Langkah Kael mati serta merta dan menoleh semula ke arah Nurul. Kael melepaskan keluhan berat.
"Sikap kecut itu perlu."
"Biar kena pada tempatnya."
"Sampai bila-bila pun orang macam awak takkan faham."
"Saya akan faham kalau awak berterus-terang."
"Maaf." Kael menyambung semula langkahnya dan meninggalkan Nurul terkulat-kulat.
*****************
Hati berbicara jujur sejujurnya bahawa hatinya terpaut pada si gadis itu. Wajah Nurul berjaya menepis bayangan Ida di dalam hidup. Kemunculan Nurul secara tiba-tiba itu menempelak hidupnya untuk bangkit dari kealpaan. Untuk memberikan ruang pada hati menerima kebaikan orang lain. Memberikan peluang untuk terbang bebas seperti orang lain. Pertemuan terakhirnya dengan Nurul tiga hari yang lalu meninggalkan kesan yang mendalam meskipun tiada cinta yang diluahkan namun perasaan itu semakin lama semakin berputik.
Ada pun bunga cinta yang masih berkuntum namun dirasakan bakal berguguran setelah terdapat satu perkara yang sukar ditepis walaupun dengan emosi. Ia berkenaan kenyataan hidupnya. Dilema kecundangan menzahirkan sikap penakut dan gerun berhadapan dengan gadis. Sifat malunya mula memuncak. Kael tetap tampan dan bergaya. Kael seperti lelaki biasa. Pada luarannya jelas kelihatan seperti seorang lelaki yang sempurna.
Namun, sudah tiba masanya dia mendapatkan seseorang yang benar-benar mengerti apa itu penolakkan cinta, apa itu kesempurna dan apa pula keajaiban. Dia keliru, sama ada dia perlu menghubungi gadis itu ataupun tidak. Seorang pakar psikologi sedia membantunya. Tapi aku bukan gila! bentak hatinya.
Nurul tidak dihubunginya dan dia yang terus menatap bintang-bintang di dada langit sambil berdiri di balkoni bersama keluhan. Malam yang indah untuk diamati namun kesegaran malam seolah-olah menjadi sesak mengingatkan kenangan lalu meskipun ia sudah lama ditinggalkan.
"Awak carilah orang yang mampu mebahagiakan awak, Ida."
"Tapi Ida tetap akan tunggu abang."
Ketika itu mereka berada di desa tercinta. Kael pulang kerana mahu bertemu dengan Ida dan menyampaikan keputusan untuk berpisah. Ida gadis berambut ikal mayang dan bersusuk tubuh tinggi lampai bagaikan seorang model berkerut dahi dan sukar menerima keputusan yang amat memeranjatkan itu. Walau bagaimanapun Ida tetap memujuk dan merayu agar Kael tidak terburu-buru.
"Kalau abang ada masalah kewangan Ida sudi bantu tapi jangan sampai putuskan pertunangan kita. Ida tak faham kenapa sebelum ni abang okey je tapi sekarang berubah sikap? Kenapa abang tergamak buat Ida macam ni?" Hati Ida bergemuruh dan jantungnya mula mahu gugur.
"Abang tak dapat nak tangguhkan lagi pertunangan ini dan kerana abang terlalu sayangkan Ida maka abang terpaksa lepaskan Ida." Tutur Kael seolah-olah merelakan semua ini. Ida ingin tahu akan sebabnya namun Kael merahsiakan alasan yang sewajarnya.
"Sampai hati abang." Air mata yang ditahan-tahan Ida akhirnya berguguran. "Ida sanggup tunggu abang walau berapa lama pun. Janji Ida dapat kahwin dengan abang. Ida nak abang jadi suami Ida yang sah bukannya orang lain."
"Maafkan abang Ida... Fakhrul lebih layak untuk Ida dan bukannya abang yang tak mampu menjaminkan kebahagiaan buat Ida. Untuk masa hadapan Ida dan untuk apa sahaja demi Ida maka inilah keputusan muktamad abang. Abang tak boleh ubah lagi pendirian ini." Desis Kael hampa namun dia tidak tegar meneruskan keputusan ini meskipun dirayu dengan pelbagai cara namun semua itu tidak bermakna lagi.
"Apa salah Ida bang? Apa dosa Ida pada abang? Kenapa Ida mesti kahwin dengan Fakhrul? Dalam hati Ida cuma ada abang seorang je." Ida menyeka air matanya sendiri. Teresak-esak dia menangis namun air mata itu tidak mampu mengubah apa-apa. "Atau abang ada perempuan lain selain Ida?" Akhirnya Ida menguji pertanyaan sendiri untuk mendapatkan kebenaran terpacul keluar dari mulut Kael. Ida curiga jika alasan kewujudan perempuan lain telah mengubah sikap Kael.
"Terpulang Ida nak cakap apa sekalipun. Ida, ingat pesan abang... sesudah ini, maka kita tiada apa-apa ikatan lagi. Kita batalkan semuanya dan abang mahu melihat Ida bahagia bersama Fakhrul. Terimalah dia dalam hidup Ida kerana sebelum ini pun keluarga Ida mahukan Ida dijodohkan dengannya. Abang yang kacau daun memikat Ida tetapi masa tu abang tak tahu bahawa Fakhrul juga menaruh perasaan pada Ida. Maafkan abang Ida..."
"Tapi Ida mahu abang jelaskan perkara sebenar. Jangan seksa Ida macam ni bang... tolonglah"
"Tidak Ida."
"Tolong bang. Tolong jelaskan pada Ida, Ida nak tahu sangat."
"Biar abang dan Allah sahaja yang tahu."
Itulah kata-kata terakhir Kael meninggalkan Ida penuh dengan tanda tanya. Ida terseksa ditinggalkan oleh Kael lima tahun lalu. Lima tahun yang menyakitkan. Namun bukan gadis itu yang menyakiti Kael. Kael yang meninggalkan kesakitan yang begitu pedih di hati Ida.
Lamunan Kael berderai kerana menerima panggilan telefon dari Nurul. Degup jantungnya kembali kencang apabila dia sudah berpijak di bumi yang nyata.
*****************
"Jadi awak bersedia?" Nurul bertanya kepada Kael yang berdiri di hadapan. Kael bersetuju bertemu dengan Nurul pada keesokkan harinya kerana dia merasakan dia patut menceritakan hakikat sebenarnya dan dia juga mahu memberikan kesempatan pada hati untuk berbicara meskipun agak keberatan.
"Saya pernah bertunang dengan seorang gadis bernama Ida. Dia satu-satunya wanita yang saya cinta. Hati kami saling bertaut sejak di bangku sekolah lagi." Kael mula bercerita. Nurul tekun mendengar.Kael membetulkan kedudukan bagi memberikan keselesaan pada dirinya ketika berada di dalam pejabat Nurul.
"Okey, teruskan."
"Saya terpaksa lepaskan dia." Ujar Kael sambil menundukkan kepalanya. Dia terpaksa akur terhadap keputusannya sendiri.
"Atas alasan apa awak lepaskan dia? Maafkan jika perntayaan itu terlalu peribadi tetapi untuk analisa yang sedang saya jalankan, saya harap awak sudi menceritakan lebih lanjut."
"Saya tak percayakan awak." Jujur Kael menyatakan apa yang dirasakannya.
"Terima kasih Encik Kael kerana tidak percayakan saya. Memang susah untuk memberikan sedikit kepercayaan kerana awak selalu diulit kenangan lalu." Tingkah balas Nurul kerana kata-kata Kael terlalu lurus sehingga membuatkan dia sedikit tersentak.
"Nilai kepercayaan yang patut saya berikan hanya pada Tuhan."
"Tuhan itu banyak Encik Kael. Awak percayakan Tuhan yang mana?"
"Tuhan cuma ada satu."
"Kalau awak bertuhankan nafsu, ia tidak lari dari perkara pokok. Awak perlu yakin dengan kuasa Allah sahaja. Maafkan saya kerana saya terpaksa bertegas dalam situasi ini. Saya masih ternanti-nanti perkara sebenar keluar dari mulut awak tetapi malangnya awak seringkali salah tafsir." Ucap Nurul sambil mengeluarkan satu dokumen penting untuk diberikan kepada Kael. "Baca ni..." Pinta Nurul.
Lantaran itu Kael teragak-agak mencapai dokumen yang dihulurkan itu. Lambat-lambat dia mengambilnya. Setelah dokumen itu berada dalam tangannya maka Nurul terus mengetap lembut bibir seraya mengangguk perlahan. Kael memerhati sekilas wajah Nurul itu.
"Dokumen apa ni?" Tanya Kael kehairanan.
"Awak mesti baca."
"Laporan perubatan?" Desis Kael lalu membeleknya. Beberapa ketika akhirnya mata Kael tajam memandang kelibat Nurul itu. Dia benar-benar malu bercampur marah.
"Tak perlu awak merasa bimbang kerana Doktor Halim Ho adalah kawan baik saya."
"Dia sudah melanggar prosedur kerja. Saya akan sue dia di makamah!" Bentak Kael sambil menghempas salinan dokumen di atas meja. Terperanjat Nurul melihat perubahan sikap Kael yang begitu drastik.
Kael terus bangun dan terus melangkah untuk keluar dari pejabat Nurul.
"Tak perlu awak buat macam tu. Saya ikhlas nak tolong awak!"
"Saya tak perlukan bantuan awak kerana awak perempuan hipokrit!." Ucap Kael sewaktu mematikan langkah dan menoleh ke arah Nurul seraya tangannya sudah berada pada tombol pintu.
Nurul kehilangan kata-kata. Dia mengejar langkah Kael yang melaju pergi. Dia mengekori Kael dan bayangan Kael lenyap tidak diketahui ke mana arahnya. Nurul melangkah perlahan di kaki lima kawasan pejabatnya itu. Sewaktu dia melintasi lorong di antara dua bangunan, dia tersentak. Kael tercegat di hadapannya.
"Betul ke awak boleh bantu saya?"
Tergamam Nurul kerana Kael berdiri betul-betul dihadapan. Kael pula ketika ini menarik nafas dalam-dalam. Sebentar tadi Kael berubah fikiran. Begitulah sikap Kael yang tidak menentu. Sungguhpun begitu, dengan berdirinya Kael di hadapan Nurul sudah membuatkan gadis itu tersenyum.
"Insya-Allah... kita cuba." Nurul mengangguk perlahan.
*****************
Setelah waktu diluangkan bersama, segala suka duka dikongsikan akhirnya mereka menjadi kenalan yang rapat. Hari demi hari jiwa Kael kembali pulih. Keyakinan diri mula meningkat atas galakan dan dorongan Nurul yang tidak jemu-jemu membantu.
Perubahan positif mula terpacar di raut wajah Kael. Sifat malu dan segan dapat dikurangkan namun Kael tetap malu kepada Allah. Malu sekiranya perkara maksiat berlaku ke atas dirinya. Sesungguhnya Allah Maha Melihat setiap perbuatan manusia.
"Terima kasih kerana sudi jemput saya." Nurul bahagia.
"Saya yang patut berterima kasih pada awak. Tanpa awak sampai bila-bila pun saya tak mampu berhadapan dengan masalah saya sendiri." Kael senyum.
Nurul dijemput pulang oleh Kael kerana Kael mendapat tahu bahawa kereta Nurul berada di bengkel mengalami kerosakkan akibat kemalangan kecil. Kerosakkan itu bukan berpunca daripada kecuaian Nurul tetapi pemandu sebuah kereta yang lain cuba memotong kawasan 'double line' mengakibatkan Nurul terpaksa mengelak dan terlanggar tong sampah yang berada dekat dengan bahu jalan. Mujurlah Nurul tidak tercedera.
"Kita ni serupa je."
"Apa maksud awak serupa?"
"Errr tak ada apa-apa."
"Cakap! kalau masalah saya awak beria-ia nak tahu sehingga saya terpaksa menepis perasaan malu saya terhadap awak. Sekarang giliran awak berterus terang dengan saya. Sudah tiga bulan kita kenal. Masa majlis perkahwinan adik saya pun awak sanggup pujuk saya untuk balik. Sekarang saya nak pujuk awak untuk beritahu saya pula." Kael tertanya-tanya.
"Kita ni serupa, ingin di kasih dan di sayangi tetapi susah untuk memberikan hati pada orang yang kita agak ragu-ragu."
"Jadi, awak meragui saya? Maaf kalau awak maksudkan awak sukakan saya. Saya... saya tak boleh."
"Saya sanggup."
"Nurul..."
"Ya, saya sanggup."
"Err... sampai bila?"
"Sampai ajak datang menjemput."
"Tidak awak. Semua tu takkan berlaku. Awak terlalu baik. Bukan ke perkahwinan itu untuk menyambung keturunan? Saya tak mampu, saya tak mampu..." Kael sudah mula sebak dan dia tersandar pada kereta.
"Ada berita baik untuk awak, Encik Kael." Doktor Halim Ho muncul tanpa diduga oleh Kael. Lantas Kael memandang wajah doktor itu usai dia mengurut dahinya sendiri. Nurul juga hairan dengan kemunculan Doktor Halim Ho ke situ.
"Err..."
Nurul masih berdiri penuh dengan harapan semoga Kael menerima cinta itu. Kael juga sukakan Nurul namun kerana penyakit itu dia sukar menerima mana-mana gadis dalam hidupnya.
"Nurul, boleh tinggalkan kami sekejap?" Pinta Doktor Halim Ho berketurunan Cina. Nurul mengangguk dan mengerti.
Susudah Nurul beredar buat sementara, Doktor Halim Ho terus memaut bahu pesakitnya bagaikan seorang kawan baik.
"Nurul dah jatuh cinta dekat awak. Jangan hampakan dia."
"Tapi..."
"Saya datang kerana ingin memaklumkan berita baik untuk awak." Ujar Doktor Halim Ho. Jantung Kael pula berdegup laju.
"Apa dia?" Kael tidak sabar ingin tahu.
"Melalui operation. Insya-Allah, ia mungkin berjaya."
"Mungkin?"
"Kita kena percayakan kuasa Allah, Encik Kael. Kita ikhtiar dan yang menentukannya adalah Allah." Balas Doktor Halim Ho.
"Erm..." Jawab Kael seolah-olah tidak menaruh harapan yang tinggi setelah lima tahun dia menderita penyakit itu. Penyakit yang membuatkan dia berasa mundur. Hilang keyakinan dan semangat hidup. Jika difikirkan kembali terlalu naif hidupnya dalam menilai erti kehidupan.
Apa yang berlaku itu benar-benar menguji kesabarannya. Tidak disangka perkara yang dulu begitu perit untuk dikenang. Begitu getir untuk dihadapi dengan sekelumit kekuatan yang bersisa hanya pada kealpaan. Sungguhpun dirasakan hidup ini tidak adil namun itu adalah ketentuan terhadap dirinya. Dia memakan waktu yang lama untuk mengenali hakikat itu sehinggalah diketemukan dengan gadis bernama Nurul yang berusia 28 tahun . Di usia Nurul pula belum ditemukan insan yang sesuai menjadi teman hidup. Di benak Kael ketika ini pula memikirkan adakah itu takdir pertemuan yang tertulis di luh mahfuz atau pun disengajakan?
"Kenapa ni Encik Kael? Nampak macam berita kurang menyenangkan hati encik?"
Kael membisu.
*****************
"Hello, awak ada dekat mana ni?"
"Atas bangunan."
"Bangunan? Buat apa atas tu?"
"Sedia nak lompat." Balas Kael.
"What?!" Nurul menggelabah. Sepatutnya Kael muncul selepas ke tandas. Terlalu lama ditunggu, batanng hidung Kael pun tak nampak. Oleh itu Nurul menghubungi Kael bertanyakan lokasi. "Awak jangan nak bergurau." Nurul seolah-olah tidak mempercayainya.
"Saya tak bergurau." Serius bunyi suara Kael.
Nurul memikirkan bagaimana caranya untuk ke tingkat paling atas bangunan pusat membeli belah ini? Kael mahu bertindak di luar kewarasan. Itu kerja gila! Nurul panik. Dan dengan pantas dia masuk ke dalam lif ke tingkat paling atas mencair kelibat Kael. Benarkah dia nak bunuh diri? Nurul tidak henti-henti memikirkan hal itu dan peluh mula terbit dari liang-liang romanya.
*****************
Ramai orang berkumpul di bawah bangunan melihat seorang lelaki sedang berdiri di situ atas bangun itu. Percubaan membunuh diri sangat digeruni oleh mereka yang menyaksikannya. Kael bagaikan tiada pilihan lain. Pihak bomba dan penyelamat menunggu di bawah dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Pada bila-bila masa sahaja Kael mungkin akan terjun.
"Awak... jangan macam ni.... awak tak sayang saya ke?" Terdengar suara Nurul masih memujuk. Di sisi Nurul terdapat seorang lelaki dari pihak penyelamat akan memnjalankan tanggungjawab sepatutnya untuk memujuk Kael daripada bertindak seperti orang yang tiada pegangan agama.
"Jangan dekat!" Kael memberi amaran pada Nurul yang semakin lama semakin dekat. Nurul terus mematikan langkahnya. Tindakan Kael yang tidak waras itu menggemparkan keadaan. Ada di antara orang ramai sibuk merakamkan apa yang sedang berlaku menggunakan telefon bimbit mahupun kamera digital masing-masing. Sudah pasti lagak dan tragedi itu menjadi sejarah untuk santapan para pengunjung Youtube. Kerana kini laman tersebut sibuk menayangkan pelbagai adegan yang menggemparkan. Tidak kurang juga helah dan pelbagai jenis propaganda untuk disebarkan kepada umum.
Seluruh tubuh Kael dibasahi peluh. Nampaknya Kael juga sedang berdebar-debar dengan tindakan itu namun dalam masa yang sama, fikirannya bertambah kusut mengenangkan nasib dirinya kini. Dirasakan hidup ini tiada lagi makna. Dia memikirkan kematian adalah penamat hidup dan penghabisan segala masalah. Itu sahaja cara yang tinggal.
"Awak... ingat Tuhan... awak jangan fikir masalah awak itu adalah masalah yang paling teruk dalam dunia...." Nurul memujuk sepenuh hati dan dia menggunakan kepakarannya demi menyelamatkan Kael. Ini bukan unjian yang diada-adakan oleh Kael, ini adalah tindakan benar. Kael hanya menanti waktu, sekiranya ada yang mendorong dia bertindak sedemikian maka sudah pasti Iblis tidak akan berputus asa menghasut Kael terus menerus supaya menamatkan riwayat hidup.
"Tiada masalah lain lagi yang lagi teruk dari ini!" Bentak Kael.
Nurul semakin lama semakin dekat. Tanpa diduga, air mata Kael menitis menampakkan dirinya begitu sensitif. Dia serba salah namun dia tiada pilihan lain lagi.
"Awak... kalau awak fikir tiada yang sayang awak, maka awak akan tinggalkan saya keseorangan. Saya juga akan pergi tetapi saya tidak mahu melewati takdir hidup saya dengan mempercepatkan kematian yang disengajakan... awak... saya ada kanser. Kanser saya tak boleh diubati. Kaser otak. Saya tidak main-main dengan awak... kalau awak pergi dengan cara macam ni, siapa yang akan jaga saya nanti?"
"Encik Kael! jangan buta macam ni!" Tiba-tiba Doktor Halim Ho muncul tepat pada masanya.
Melihat wajah Doktor Halim Ho, Kael jadi geram. Matanya membulat besar. Sedikit demi sedikit dia berganjak ke belakang. Hanya beberapa inci sahaja lagi lantai yang tinggal. Jika dia terus berundur maka dia akan jatuh. Sungguh pun begitu pihak bomba sudah bersedia menyambut Kael di bawah.
"Kau diam!" Marah Kael pada Doktor Halim Ho.
"Kael... please." Doktor Halim Ho bersuara lagi namun dihalang oleh Nurul.
"Lim, biarkan saya yang pujuk." Desis Nurul.
"But... awak tak boleh bebankan fikiran awak dengan masalah ini." Nasihat Doktor Halim Ho.
"Dia pesakit saya."
"Tapi awak pula pesakit saya." Balas Doktor Halim Ho. "Awak dan dia merupakan pesakit saya." Doktor itu melanjutkan kata-katanya.
"Please, jangan burukkan lagi keadaan." Nurul berusaha menghalang Doktor Halim Ho daripada menyibukkan diri. Maka doktor dia terus mendiamkan diri.
Salah seorang anggota polis turut hadir atas bangunan itu dan mendapat pihak yang satu lagi. Mereka berinteraksi sesama mereka manakala Nurul pula berhadapan dengan situasi genting itu untuk memujuk Kael.
"Korang pergi balik!" Bentak Kael tiba-tiba. "Kau tipu aku doktor! kau kata penyakit aku akan sembuh tetapi kenapa kau memperbodohkan aku."
"Kael, saya dah cuba tapi analisa selanjutnya tu mengatakan bahawa pembedahan itu akan membahayakan nyawa awak."
"Aku tak nak dengar apa-apa lagi! Kau memang tak reti buat kerja!" Marah Kael lagi.
"Lim! tolonglah jangan beri tekanan pada pesakit saya." Nurul terpaksa meninggikan suaranya yang selama ini tidak pernah dia berbuat sedemikian.
Petang itu agak kelam kabut. Suasana semakin lama semakin tegang. Kael tidak mahu mengalah setelah dipujuk. Nurul pula tidak berputus asa demi menyelamatkan Kael dari terus mengalami tekanan perasaan akibat kes yang dialaminya lima tahun lalu.
Nurul sudah sedia maklum bahawa kelakian Kael telah hilang gara-gara dipukul. Kes pukul itu adalah disebabkan oleh kawan-kawan Fakhrul. Nurul pernah menasihati agar menyaman tindakan kawan-kawan Fakhrul itu namun Kael tidak cukup bukti untuk mendakwa mereka ke muka pengadilan. Biarlah dia beralah demi kebahagiaan hidup Ida bersama Fakhrul yang betul-betul cintakan Ida sehingga sanggup mengupah mereka untuk memukulnya. Kael seorang yang tidak mudah membalas dendam namun tegar membiarkan dirinya teraniaya begitu sahaja. Nurul turut bersimpati di atas nasib Kael. Semua itu diceritakan oleh Kael sendiri.
Malang sungguh nasib lelaki bernama Mikael Ahmad terus menerus hidupnya diuji sedemikian rupa sehingga memberi tekanan dalam hidupnya. Entah kenapa Kael menjadi seorang yang tidak lagi tabah seperti sebelumnya. Tidak lagi kuat menghadapi liku-liku hidup ini. Beberapa hari yang lalu Kael benar-benar kemurungan setelah menerima semula khabar yang pada awalnya berita gembira namun di pertengahan jalan bertukar menjadi berita yang paling buruk. Dia hilang kelakian buat selama-lamanaya meskipun sudah lima tahun dia menderita. Mana mungkin sudah lima tahun, dikhabarkan pula bahawa dia berpeluang untuk sembuh. Sungguhpun begitu, Kael jadi lupa tentang hikmah dari yang Esa yang mampu mengubah apa sahaja.
Masing-masing bertambah risau apabila Kael mengeluarkan sebiji botol kecil dari dalam poket seluarnya. Kael membuka tudung botol berkenaan dan Nurul memerhatikan objek itu bahkan Doktor Halim Ho juga melihat sama.
"Racun?!"
"Aku tahu, kalau aku terjun dari bangunan lima tingkat ini sekalipun aku takkan mati dengan mudah kerana mereka menunggu aku di bawah. Biarlah racun ini menjadi penamat hidup aku." Ujar Kael yang mahu meneguk racun itu. Kael sudah fikir habis-habisan.
Tanpa disangka, badan Nurul pula terhuyung hayang. Padangan mata Nurul mula kabur dan terasa seluruh tempat itu berpusing-pusing. Sakitnya di dalam kepala hanya Allah sahaja yang tahu. Akhirnya Kael memerhatikan sekujur tubuh itu terkulai rebah ke lantai. Doktor Halim Ho terus mendapatkan Nurul.
"Wake up Nurul!" Doktor Halim Ho dalam keadaan darurat terpaksa menyentuh tubuh itu. Dia mahu membantu Nurul.
Doktor Halim Ho terus memeriksa nadi Nurul. Malangnya denyutan nadi terhenti. Kael pula seolah-olah tidak percaya dan menganggap itu adalah sandirwara untuk waktu dilengah-lengahkan serta satu lakonan agar Kael membatalkan niat untuk membunuh diri.
"Nurul had die." Wajah Doktor Halim Ho berkerut dan akhirnya tertunduk.
"Bohong!"
Doktor itu terus bangun dengan wajah yang bengang.
"Kau ingat aku tipu?! Nurul mati disebabkan kau!!!" Bentak Doktor Halim Ho namun segera dihalang pula oleh penyelamat yang lain.
"Calm down." kata mereka menahan kemaraan doktor berbangsa Cina itu.
Melihat dari cara doktor itu, botol yang dipegang Kael terus terhempas. Dia terus meluru ke arah Nurul dalam keadaan menggelabah. Dia tidak percaya Nurul telah pergi.
"Nurul! bangun!" Tubuh Nurul digoncang namun tiada respons. "Maafkan saya awak... maafkan saya." Kael merembeskan air mata kekesalan namun semua itu sudah terlewat. Penderitaan hidup Nurul juga dahsyat namun dia sentiasa bertawakal dan berdoa agar dia mati bukan di katil hospital. Tetapi dia mati dalam memujuk seseorang yang mahu menghabiskan riwayat hidup.
"Tidak!!!" Jerit Kael sepenuh hati.
*****************
Doktor Halim Ho memerhati dari jauh kelibat lelaki bernama Mikael Ahmad yang sedang menggaru-garu kepala dengan laju. Tanpa sedar air mata doktor itu berguguran kerana mengenangkan nasib malang dalam hidup Kael. Dan dalam masa yang sama, orang yang dicintai oleh doktor itu telah pergi buat selama-lamanya. Allayarhamah Nurul tidak pernah tahu akan kecintaan itu. Perasaan itu wujud setelah doktor itu memeluk agama Islam dan dia juga benar-benar tertarik pada Islam setelah pendekatan diberikan oleh Nurul. Kebaikan Nurul serta hidayah daripada Allah telah membuka pintu hatinya untuk memeluk agama suci itu.
Hakikat kehilangan itu, Kael pula tidak dapat menerima kenyataan. Akibat daripada itu, kewarasan fikiran mula hilang setelah dia serba salah secara kritikal dan menganggap dialah punca sebenar kematian Nurul dua minggu yang lalu. Emosi Kael terganggu menyebabkan tahap mentalnya tidak stabil. Dan akhirnya, Kael ditempatkan di hospital sakit mental. Daripada seorang pemalu, berubah kepada seorang yang gemuruh dan tidak mampu bersabar membuktikan bahawa akal yang sudah dipengaruhi nafsu akan menjerumus seseorang ke dimensi yang mengancam kewarasan. Betapa nipisnya iman Kael dan betapa dia menurut kata hati sehingga membinasakan segala-galanya.
Doktor Halim Ho mendoakan agar roh Allahyarhamah Nurul ditempatkan dikalangan mereka yang beriman. Sesungguhnya hidup ini akan bertemu dengan mati dan setiap orang MESTI mati. Tiada seorang pun yang akan terlepas daripada kenyataan itu. Dalam masa yang sama, seorang doktor juga mengharapkan keajaiban akan berlaku agar Kael kembali pulih seperti sedia kala, Insya-Allah. Hanya Allah yang Berkuasa di atas setiap ciptaan-Nya dan Dia juga yang Maha Mengetahui segala-galanya.
[Sekian]
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)