Entri Terkini :

Suamiku Gangster (Bab 29)


Satu anjuran konsert diadakan secara underground. Terdapat banyak band muzik yang turut serta dalam ‘gig’ itu. Alunan muzik begitu memukau anak muda mudi yang berada di situ. Ada yang menari-nari mengikut rentak muzik yang berkumandang dan ada pula yang duduk di bahagian tepi sahaja sambil memerhatikan gelagat manusia-manusia yang lain. Suasana itu sungguh meriah dengan lampu berkelip-kelip bagaikan sebuah kelab malam. Ia dikunjungi oleh para pengikut muzik yang diundang.
Dari luar bangunan itu, Shafika menarik nafas dalam-dalam. Shafika bukan seperti yang sebelum ini. Dia didandankan dengan pakai yang begitu ‘ranggie’. Baju ketat sehingga menampakkan bahagian pusat. Goggles disangkutkan pada bahagian atas kepalanya bersama sebuah topi menutup paras telinga. Shafika mengenakan sarung tangan dan seluar denim dilipat ke paras betis berserta boot dua belas butang sungguh janggal. Namun dia terpaksa. Dia juga memberikan semangat untuk dirinya sendiri agar lebih berani berhadapan dengan musuh.
Wajah Shafika kelihatan garang dengan make up tebal supaya wajahnya nampak lain. Kalung yang menghiasi lehernya sangat besar supaya ia jelas mengalih perhatian pada raut wajah. Shafika diminta mengubah penampilan sedemikian oleh Tim dan Roy demi menjayakan sebuah misi.
Pakaian yang dikenakan itu adalah demi memastikan ia kena dengan acara yang diadakan sekarang. Tim dan Roy masih berada di sisi sebelum Shafika turun dari van. Tim berharap Shafika mampu lakukan.
“Gua caya lu.”
“Gua pun.” Roy tepuk perlahan bahu Shafika.
Tidak semena-mena telefon bimbit Shafika berbunyi. Tim berkerut dahi. Shafika mengeluarkan telefon bimbit dari beg pinggang. Setelah itu Tim terus merampasnya.
“Ini yang akan kantoikan lu nanti.” Tim mengingatkan Shafika.
“Bagi aku jawab dulu.” Pinta Shafika. Shafika terus mengambil telefonnya setelah dihulur semula oleh Tim.
Hello Wanie. Kau jangan fikir tentang aku. Aku ada hal. Bila semua dah selesai aku akan hubungi kau semula.” Ucap Shafika lantas mematikan telefonnya.
“Ambil ni.” Sebuah telefon baru diberikan kepada Shafika. “Dan berikan telefon tu pada gua.” Tim meminta telefon milik Shafika itu.
“Kenapa?”
“Telefon ni dilengkapi dengan alat pengesan. Kalau apa-apa berlaku gua dengan geng yang lain boleh detect lu. Dan pakai ni.” Tim terus melekatkan kerongsang pada beg pinggang Shafika.
Tanpa berfikir panjang Shafika menurut sahaja apa kata mereka. Shafika sendiri kebingungan kenapa dia beria untuk bertindak berani sebegini dan menerima sahutan yang tak masuk akal. Oleh kerana segalanya tidak mahu berlegar dalam fikiran maka Shafika cuba kosongkan minda. Dipejamkan mata beberapa detik lalu dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan.
Cool okey.” Ucap Roy. “Kau dah cam mamat tu kan?” Roy mengingatkan Shafika supaya tidak tersalah orang. Shafika pun mengangguk.
“Ni jangan lupa.” Satu kad diberikan kepada Shafika. Ia merupakan pas masuk. Tanpa pas itu sudah pasti Shafika terhalang untuk masuk ke dalam bangunan itu.
Shafika mengambilnya dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Tidak berapa lama selepas itu Shafika mula melangkah keluar dari van dan dia cuba ingat semua pesanan dari awal tadi. Shafika mesti mengikut dan bertindak seperti dalam perancangan. Jika Shafika bertindak sendiri maka sudah pasti musibah akan melanda.
“Semoga berjaya.” Roy memberi rangsangan semangat buat Shafika. Dengan itu Shafika mengetap bibir sambil sekali mengangguk laju.

***

Keadaan hutan tebal diredah. Perjalanan yang mengambil masa selama lebih kurang setengah jam begitu memenatkan. Dahan pokok-pokok di sekitar banyak menganggu perjalanan namun dengan ditemani sekumpulan lelaki membuatkan langkahnya terasa dipermudahkan pula.
“Dekat mana kau kurung mereka?” Haris bertanya sambil memegang obor. Melangkah pada waktu malam di dalam hutan amat sukar.
“Aku kurung mereka dekat atas bukit sana tu. Kita dah nak sampai.” Jawab Anang kaum orang asli.
Haris mematikan langkah. Dia terdengar sesuatu yang berada tidak jauh darinya. Sebelum memulakan perjalanan Anang sudah berpesan supaya lebih berhati-hati kerana kawasan hutan ni terdapat binatang buas.
“Anang...” Panggil Haris sambil memerhatikan Anang yang berada di hadapan mengetuai perjalanan.
“Man. Kau dekat sini kena fokus!” Anang memarahi Haris.
“Kau marah aku ke Anang?”
“Bhai, ni kawasan aku. Aku tahu apa kau nak cakap. Kau kena lebih berhati-hati. Aku tahu apa yang patut aku buat.”
“Rileks Anang. Aku berterima kasih dekat kau kerana menyelamatkan aku. Dah lama aku tak tengok kau. Rupanya kau lepak dekat kampung halaman kau. Aku terfikir gak nak cari kau tapi tak tahu dekat mana.”
“Kebetulan je Man. Dah lah. Sekarang ni aku geram dekat kau. Kenapa kau masih nak tengok dorang tu? Aku dah tambat dorang supaya dorang mati kering je dekat atas bukti tu.” Anang terus debik dada Haris.
‘Ngaummm!’ tidak semena-mena kedengaran pula suara harimau mengaum.
“Anang!”
“Kau kan Man Tiger! Settle kan.” Tempelak Anang yang berambut kerinting itu.
Haris berdebar-debar setelah terdengar suara harimau mengaum. Geng Anang sudah bersiap sedia dengan lembing dan tombak masing-masing biarpun sebenarnya di pinggang mereka terselit pucuk pistol.  Anang mengucapkan sesuata pada mereka dan bahasa itu tidak difahami oleh Haris. Haris bukan dari kalangan Orang Asli.
“Aku tak ada senjata!” Bentak Haris.
“Nah!” Anang menghulurkan sepucuk pistol kepada Haris. “Aku tengok kau sekarang ni dah semakin kecut! Mana keberanian kau?” Anang menghemburkan kata-kata yang begitu menjengkelkan Haris.
Sang nyamuk di dalam hutan tebal begini begitu berbisa. Kulit Haris menjadi gatal dan kemerahan setelah digigitnya. Sudah kerap kali Haris menggarukan lengan dan juga betisnya. Pendek kata seluruh tubuh Haris sudah dipenuhi bintik-bintik merah kesan gigitan nyamuk. Kalau Haris sudah begitu, bagaimana pula dengan Ayu dan Ayob yang dikatakan diikat pada sebatang pokok? Pastinya tidak dapat menggaru tubuh.
Haris yang sudah compang-comping itu berasa tidak selesa. Tambah lagi di dalam keadaan samar-samar begitu. Ngauman harimau masih kedengaran.
“Perlu ke aku bunuh harimau tu?” Soal Haris was-was.
“Seumpama kau dapat bunuh Mael Lambung. Tapi untuk pengetahuan kau, Zamry Rockers masih lagi tidak diketahui dekat mana. Aku fikir dia pun tengah cari kau.”
“Zamry Rockers? Itu anjing suruhan Mael Lambung. Belum mampus lagi ke?” Haris berkerut dahi. Anang paut bahu Haris seraya mendebik perlahan dada Haris. Anang yang tinggi lampai itu mendekatkan bibirnya pada lubang telinga Haris.
“Seharusnya kau bunuh dia dulu.”
Berganjak Haris sesudah terdengar ucapan Anang. Haris tak sangka Anang masih berjiwa ganas. Kalau begitu Haris sudah temui rakannya semula. Anang adalah orang yang dapat membantunya. Dia dan Anang patut bekerjasama setelah Ayob sudah belot.
“Kau kenal Yusdy?”
“Yusdy?”
“Ya.”
“Siapa dia?”
‘Dush!’ Haris melepaskan tembakan ke udara. Bunyi tapak kaki harimau semakin laju. Barangkali harimau itu terkejut lantas beredar dari situ. Anang juga turut terperanjat setelah Haris melepaskan satu das tembakan.
“Dia adalah ayah angkat Ayu dan aku tak yakin Bakar tu anak dia Yusdy.”
“Aku tak kenal mereka yang kau sebut tu.”
“Ayu adalah perempuan yang kau tambat tu. Bakar pulak aku tak yakin dia mati kena bunuh.” Haris terus melabuhkan punggungnya pada tunggul yang terdapat berhampirannya. Yang lain juga turut duduk mendengar ucapan Haris. Anang masih tertanya-tanya kerana tidak mengetahui hujung pangkal.
“Erm.” Anang terangguk-angguk sambil mengusap dagu.
“Nama ayahnya gelemer giler kut, Yusdy... anak pulak nama Bakar. Tapi boleh pulak bin Yusdy tu.”
“Man! Kau ni dah biol la. Kau tak boleh pertikaikan soal nama. Dah ayah dia nak namakan anaknya nama macam tu. Lantak dia la.” Bidas Anang.
“Soalnya sekarang orang yang mati dibunuh dekat kampung tu cari seorang budak. Budak tu dah besar pun sekarang ni.”
“Kau kenal?”
“Aku tak kenal. Sama ada lelaki atau pun perempuan. Aku bercakap dengan roh dia. Roh Pak Khalid.” Ujar Haris.
Mengikut kepercayaan Orang Asli seperti Anang mungkin ia terjadi kerana roh orang yang mati dibunuh memang tak tenang. Mesti ada sesutau yang diinginkannya. Kepercayaan roh mampu berhubung dengan manusia itu barangkali jelmaan syaitan. Tak mungkin Haris percayakan benda-benda karut macam ni tapi cara Haris mengungkapnya seolah-olah menyedari akan kewujudan dunia ghaib. Kalau begitu wajib untuk dia percaya akan perkara-perkara ghaib cuma dalam situasi itu Haris mungkin sedang berkhayal sendiri.
Anang menarik nafas dalam-dalam sementara Haris juga memandang sekeliling dalam sisi gelap yang kesamaran itu. Malam yang dingin menyapa tubuh maka rintisan embun mula turun membasahi bumi Tuhan.
“Jadi apa kau nak buat sekarang?” Anang ingin tahu tindakan Haris selanjutnya.
“Aku dapat agak Ayu salah seorang daripada geng mereka.”
“Man! Kau ni berbelit. Aku semakin tak faham.” Anang dah garu kepala.
“Sial!” Haris meludah. “Macam mana aku boleh berbelit ni? Aku kurang rehat kut Anang.” Haris keletihan dan badannya semakin lemah. Keadaan ini singguh memenatkan tambah lagi otaknya juga lesu berfikir.
“Tak! Kau sebenarnya dah sewel bhai!” Anang bangun dan terus melangkah. “Aku rasa perempuan tu geng Mael Lambung! Aku perhatikan pedang samurai tu.” Anang membuat spekulasi.
Haris terdiam dan otaknya mula terfikirkan sesuatu. Kalau pedang itu adalah kebenaran yang tercipta maka Pakcik Yusdy itu mesti ada kena mengena memandangkan ayah Shafika juga terbabit sama biarpun ayah Shafika telah mati dibunuh Haris. Ayah aku? Haris menyoal dalam kepalanya sendiri. Ayahnya juga seorang penjenayah! Ini mustahil!!!
“Jadi Mael Lambung berkerja dengan siapa?” Sengaja Haris bertanya kerana dia memang ingin tahu. Apa yang dia tahu Mael Lambung adalah musuh ayahnya. Mael Lambung juga musuh kepada semua orang. Mael Lambung bergerak sendiri tanpa ada sesiapa yang mengawalnya. Jika dulu Haris ingin diserap masuk ke dalam kumpulan itu tetapi Haris mengelak. Ayahnya melarang sama sekali Haris buat perkara yang bukan-bukan. Dan ayahnya mengawal hidupnya.
“Ayah kau!!!”
“Ayah aku?”
“Ayah aku dah mati!!! Kau jangan nak mereka cerita.”
“Habis siapa yang bunuh dia?”
“Dah tentu Encik Baharudin.” Jawab Haris dengan penuh pasti sekali tanpa membuat selidik mendalam kerana bagi Haris semua itu sudah terbukti. Bukti yang terang adalah masalah dalaman antara mereka.
“Tapi apa yang aku tahu Encik Baharudin sudah mampus. Dan, aku yakin... kau yang bunuh dia. Betul kan?” Anang lebih pintar menduga. Haris tidak boleh membelok haluan lagi. Anang sudah masak dengan perangai Haris.
“Layak.” Haris terpaksa bunuh Encik Baharudin kerana ada bukti menyatakan ayah Shafika belot pada ayahnya.
“Kes rompakan tu macam mana?” Anang ingin tahu perkara lalu.
“Tak ada kena mengena dengan kita. Kita kebetulan di situ bro.”
“Ia dirancang kan?” Anang merasakan tragedi bertahun-tahun dulu tu berpunca daripada salah faham. “Tapi kenapa kita lari?” Anang bertanya realitinya.
“Dulu polis buru kita. Aku dah dekat dalam bro. Bermacam-macam kes aku tanggung sendiri tapi aku tak buat semua tu. Tapi bila dah dituduh macam ni menambahkan lagi rasa geram aku pada Geng Naga tu.” Haris merasakan kehidupan di dalam penjara begitu perit. Tidak sanggup diulang lagi.
“Tapi, aku nak kau beritahu aku, siapa pulak ketua sebenar Geng Tiger tu kalau bukan kau?” Tanya Anang sambil meneruskan perjalanan. Yang lain juga turut ikut. Haris bangun dan melangkah sama.
“Mereka dah salah anggap aku bakal ketua Geng Tiger tu. Aku join mereka untuk seketika bro tapi tu pun selepas kau menghilang diri. Aku tak sangka pulak yang Geng Naga dan Geng Tiger tu ada masalah dalaman. Apa yang aku rasa ia mesti dari orang atas.” Ujar Haris yang sudah rimas dengan agenda musuh. Selama ini hidup tidak pernah tenang dan kini dia bertambah susah setelah keluar dari penjara. Kehidupannya sungguh rumit.
“Bhai, biasanya orang yang bawah buat tahi.” Anang menoleh ke kiri dan ke kanan melihat keadaan sekeliling. Anang cuba menelaah sesuatu dan dalam masa yang sama kata-kata Anang membuatkan Haris berfikir.

p/s : Kalau sudah habis bace sila la klik butang "Like" di bawah ni sebagai tanda sokongan ye. Terima kasih sokmo.

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.