Entri kali ni pjg sikit laa tapi tak tau la best ke tak, try la bace dulu dan kalau ada apa-apa gitau k..... tq krn sudi support karya saya yg x seberapa ni...
Semenjak dirinya memilih untuk hidup berdikari semakin mencabar pula halangan yang terpaksa dia harungi. Cabaran pertama dalam hidupnya adalah perkara yang membabitkan soal hati dan perasaan. Sampai sekarang ia seolah-olah tidak berpenghujung. Sedemikian rupa dia terpaksa menadah simpati dari orang yang dicintai supaya teruskan persahabatan dan ternyata Chad seperti biasa terhadapnya. Chad juga mungkin tidak menyedari akan cinta yang terpendam. Cinta yang menggunung tinggi bagaikan emas menanti lebur untuk dikisarkan kepada bentuk yang lain. Gambar Chad ditatap lama-lama.
Menyedari pintu bilik diketuk maka cepat-cepat dia sembunyikan gambar itu ke bawah bantal. Dia tahu sebentar lagi pasti pintu bilik itu akan dibuka walaupun tidak disuruh. Dia terus bergegas ke birai katil dan berteleku memandang ke arah tingkap yang terbuka luas meminta angin malam menerobos memasuki ruang kamarnya. Dan sekali gus mengharapkan kedamaian. Seminggu sudah dia berkurung di dalam bilik. Makan tak lalu tetapi minum pula akan ambil sendiri apabila terasa haus biarpun pembantu rumah selalu tampil bertanya.
“Ayu… tak tidur lagi ke?” Suara Puan Adibah menjengah setelah kepala terjengul di muka pintu.
Perlahan-lahan Ayu menoleh ke arah ibunya yang sudah sedia maklum diduga olehnya bahawa itu adalah Puan Adibah. Ayu memang menjangkan akan kehadiran ibunya. Puan Adibah terus melangkah masuk.
“Belum lagi ma.” Lirih nada Ayu membalas pertanyaan Puan Adibah yang baru sahaja melabuh punggung ke sisi Ayu.
“Apa yang Ayu fikirkan lagi? Perkahwinan Ayu dengan Amran tinggal tiga bulan aje lagi. Jangan kecewakan mama okey.” Cepat Puan Adibah menduga dan semestinya perkara itu yang berlegar di benak seorang gadis bernama Ayuni Najwa. Ia sungguh menyakitkan. Tiga bulan lagi dirinya dan Amran akan disatukan. Dia mengharapkan keajaiban akan berlaku.
“Mama, kenapa harus Amran dijodohkan dengan Ayu ma? Tolonglah jelaskan apa yang mama mahukan.” Ayu menderita kerana dipaksa sedemikian rupa. Kali ini dia beranikan diri bertanyakan akan hal sebenar.
Seraya Puan Adibah menggeleng, Ayu terus mengeluh. Dia kesal akan keputusan itu dan Ayu juga terpaksa akur tapi sekurang-kurangnya tolong jelaskan hal sebenar. Ayu mahukan kepastian bukannya cara memaksa sebegini rupa. Air mata sudah mula berkumpul ditubir matanya. Air mata itu ditahan-tahan kerana tidak mahu ibunya tergores hati dengan pertanyaan seterusnya.
Puan Adibah memaut tubuh Ayu dan kepala Ayu diletakkan ke dada. Di saat itu air mata Ayu terus gugur setelah ditahan-tahan. Air mata kecewa. Air mata menjadi saksi ketidaksudian Ayu bersuamikan Amran.
“Baiklah… mama akan jelaskan.” Ujar Puan Adibah sambil mengusap rambut Ayu. Ayu sudah bersedia mendengar jawapan ibunya itu. Kala ini Puan Adibah menarik nafas dalam-dalam dan Ayu mendengar tarikan nafas itu. Nafas tersebut dilepaskan perlahan-lahan.
“Mama… cakaplah kenapa? Apa yang menyebabkan mama mengharapkan Ayu kahwin dengan Amran ma?” Sendu suara Ayu.
Sekali lagi Puan Adibah menarik nafas dan kali ini pendek sahaja. Rambut Ayu dibelai-belai dan dimanjakan oleh Puan Adibah sendiri. Perlahan-lahan Puan Adibah menolak sedikit bahu Ayu dan seterusnya Ayu memandang wajah ibunya itu. Titisan air mata Ayu diseka oleh Puan Adibah. Ibunya seolah-olah sukar menerangkan hal sebenar namun harapan Ayu sungguh besar untuk mengetahui hakikatnya.
“Mama dah berjanji dengan Pakcik Hisham kamu untuk kahwinkan anak mama ni dengan Amran setelah papa dapat diselamatkan.” Wajah Puan Adbiah sudah berubah sedih. Ayu terjeda. Benar-benar tidak menyangka akan kebenaran janji itu. Ayu keliru dengan jani yang dibuat. Ayu sendiri tidak mengerti.
“Selamatkan papa dari apa?” Laju Ayu bertanya kerana hakikat itu baru sahaja menjengah ke cuping telinga.
“Tapi Ayu kena janji dengan mama yang Ayu takkan ceritakan hal ni dekat sesiapa pun.” Puan Adibah mahu Ayu berpegang pada janji.
Demi mengetahui hakikat itu Ayu mengangguk bersetuju. Anggukan itu adalah jawapan kesetiaan Ayu berpegang pada janjinya pula. Setelah melihat Ayu bersedia maka Puan Adibah mula menyusun ayat di dalam kepala.
“Masa Ayu umur tiga tahun… papa Ayu menghidap penyakit buah pinggang dan buah pinggang papa rosak teruk. Pakcik Hisham kamu mendermakan buah pinggangnya kepada papa kamu tapi dengan perjanjian bahawa kamu akan dikahwinkan dengan Amran bila sudah besar. Itulah janji yang mama buat semata-mata untuk selamatkan papa kamu. Kalau mama tak buat begitu, mama tak rasa pakcik kamu akan mendermakan satu buah pinggangnya kepada papa kamu Ayu.”
“Tapi kenapa tak ada orang lain lagi?”
“Masa tu mama terdesak Ayu. Doktor mahukan penderma secepat mungkin. Jadi mama terpaksa mengharapkan simpati daripada dia kerana mereka adik-beradik.”
“Jadi pakcik dan papa hidup dengan satu buah pinggang sahaja?” Baru kini Ayu mengetahui bahawasanya papanya hidup dengan satu buah pinggang yang diberikan oleh pakciknya tetapi dari hasil sebuah perjanjian. “Kenapa mama letakkan janji macam tu mama. Mama tahu tak kerana janji yang mama buat tu bakal menghancurkan hidup Ayu?” Dengan pantas Ayu berdiri menentang perjanjian itu.
“Kenapa Ayu cakap macam tu?” Puan Adibah bangun cuba tenangkan Ayu.
Ayu bernafas dengan laju. Jantung berdetak laju. Memang janji yang dibuat mamanya itu langsung tak masuk akal. Banyak lagi pilihan yang ada dan tidak semestinya janji seteruk itu.
“Pakcik tu adik pada papa, kenapa mesti letakkan janji sedangkan tu adalah tanggungjawab. Mustahil kalau mereka tak ada niat. Mesti ada niat lain kalau dah bantu selamatkan papa.” Duga Ayu yang mungkin tidak memahami akan situasi pada masa tu.
Puan Adibah memaut bahu Ayu dan mata mamanya membulat besar. Puan Adibah tidak suka melihat Ayu memberontak seperti itu. Selagi Ayu bersikap begitu semua ini takkan diselesaikan. Ayu tidak boleh menentang sesuka hati.
“Mama sayangkan papa kamu tu. Dan mama tahu kamu jugak sayangkan papa kamu kan? Kalau papa kamu tak diselamatkan, adakah kamu akan dapat melihat wajah papa kamu tu Ayu?!” Puan Adibah mengoyangkan bahu Ayu. Air mata Puan Adibah terus mengalir.
Melihat air mata itu, Ayu jadi mundur. Dia tak berniat untuk berkeras tetapi ini soal masa hadapannya. Sekiranya dia memperjudikan kebahagiaannya dengan cara begini maka hidupnya pasti menderita.
“Ma, tolonglah ma. Hanya kerana janji itu membuatkan mama begitu mudah nak lepaskan Ayu kepada orang yang Ayu tak cinta?”
“Amran bukan orang lain. Dia sepupu kamu Ayu.”
“Tapi dia menyakitkan hati Ayu.”
“Mama tak rasa macam tu. Kerana dalam hati kamu tertanam sifat bencikan dia jadi semuanya nampak tak betul. Bagi mama, Amran tu lelaki yang baik. Keputusan mama muktamad. Mama tak nak pakcik kamu tu bangkitkan hal ni dikemudian hari nanti.” Puan Adibah tak nak persoalkan hal ini lagi lain kali tetapi kalau terpaksa maka Puan Adibah kena berkeras juga.
Dengan segera Puan Adibah melangkah untuk meninggalkan Ayu. Ayu makan hati kerana dia di dalam dilema. Ayu memejamkan mata seketika dan membuka semula. Ekor matanya mengekori langkah mamanya.
Perjanjian tu mesti dibatalkan! Hati Ayu mendesak. “Mama tak boleh buat Ayu macam ni!” Pekik Ayu. Dia juga tiada pilihan lain kerana pulang ke rumah ini juga kerana terpaksa membawa hati yang terluka. Lusa dia dikehendaki bertugas di syarikat papanya. Itulah yang akan membuatkan dia bertambah sakit hati. Ayu langung tidak dapat menerima perjanjian yang tak masuk akal. Janji yang dibuat tidak relevan langsung!
***
Sekitar jam sembilan malam, tangan Chad masih gatal mendail nombor telefon Ayu. Ditunggu Ayu menjawab panggilan telefon tetapi hampa. Setelah otaknya berfikir tentang bagaimana untuk mengetahui hakikat yang menghalang seseorang dari meneruskan cita-cita namun masih tinggal tanda tanya. Chad menduga ada perkara yang menjadi penyebab Ayu hilang semangat. Dia sendiri tidak pasti akan hal itu.
Saya tidak tahu bagaimana untuk saya menyudahkan e-novel ni memandangkan keadaan tidak mengizinkan saya untuk terus menaip. Rasanya mungkin setakat ini sahaja karya saya. Mungkin saya sudah ditakdirkan untuk tidak berjaya. Saya gagal membina sebuah kehidupan di alam maya apatah lagi di dalam realiti hidup saya sendiri yang kini terumbang-ambing. Maafkan saya kerana karya Setia Untuknya dibekukan. – Dari blog Ayuni Najwa.
Kunci kereta diambil dari tempat dia letakkan kuncinya itu. Langkahnya laju menuju ke muka pintu dan baru sahaja dia membuka pintu tercegat seorang perempuan yang kebetulan mahu menekan loceng rumah. Chad sedikit terkejut.
“Eh Nora buat apa depan pintu rumah abang ni?” Sedikit menggelabah Chad menyusun ayat.
“Nak jumpa abang.” Beritahu Nora dengan senyuman melekat di bibir dan tangan Nora turun semula. Perlahan-lahan Chad menutup pintu dan berdiri berhadapan dengan Nora.
“Ada apa ni?”
“Abang nak pergi mana?” Nora langsung tidak menjawab pertanyaan Chad tetapi sebaliknya dia bertanya ke mana Chad mahu pergi. Tujuan asal Nora hanya ingin bertanya khabar memandangkan Chad banyak menyepikan diri dan jarang mahu keluar bersamanya.
“Abang nak keluar kejap.” Beritahu Chad sambil memasukkan kunci rumah yang baru diselaknya ke dalam poket manakala kunci kereta Honda Accord miliknya masih berada di tangan. Chad mengawal nafasnya supaya berada di tahap yang tenang.
“Tahu abang nak keluar tapi ke mana?” Nora ingin mengetahuinya dan dia cuba menghalang langkah Chad dengan berdiri di sisi Chad.
“Malam ni malam minggu. Saja nak jumpa kawan-kawan.”
“Kenapa abang banyak beri alasan? Selama ni pun abang tak pernah berahsia dengan saya. Sekarang ni abang dah banyak berubah.” Tutur Nora kerana tidak berpuas hati dengan cara dan tindakan Chad. Kebelakangan ini Chad seolah-olah cuba menjauhkan diri.
Chad sedikit mengeluh dan tidak hanya dengan itu Chad melangkah perlahan sehingga menyebabkan Nora berundur memberi laluan. Nora mengikut langkah Chad perlahan. Dengan selamba Nora menarik tangan Chad supaya Chad berhenti melangkah. Chad malas nak menjawab pertanyaan itu sebaliknya mahu berlalu.
“Saya ada buat salah ke?” Perlahan nada Nora.
Chad terus berhenti sambil matanya tertumpu pada pegangan tangan Nora. Setelah melihat Chad mengangkat kening, Nora terus melepaskan pegangan tangan itu. Nora tunduk kesal kerana tidak peka kepada pendirian Chad yang tidak suka pada sentuhan walaupun sebelum ini di antara mereka pernah terlanjur sentuhan ketika insiden di dalam lif. Kejadian itu melekat terus di dalam minda Nora dan sukar untuk dihapuskan. Apatah lagi Chad yang pertama kali didakap oleh gadis itu tanpa sengaja. Ia menjadi sejarah.
“Please, abang ada hal.”
“Nak jumpa dengan Nur Elyana anak Dato` Hamidi, CEO Zumika Holding tu kan? Lebih baik abang berterus terang dengan saya. Untuk apa abang nak jumpa dengan dia?” Soal Nora menduga akan tujuan Chad. Pertanyaan itu sungguh berbaur cemburu dan ia tidak dapat dinafikan lagi betapa Nora mencintai lelaki bernama Aqil Akasyah. Tidak sanggup dia cuba melepaskan Chad rasanya memandangkan separuh hatinya sudah berada di tangan Chad. Dan separuh lagi menanti harapan agar menjadi kenyataan.
“Tolong jangan sibuk boleh tak?” Terus Chad mencatas hati Nora. Kata-kata Chad membuatkan Nora terdiam sejenak.
“Abang Chad…” tanpa diduga muncul pula kelibat seseorang. Terbungkam Nora melihat kelibat Abey dan dengan selamba datang menghampiri Chad lantas menyilang tangan ke lengan Chad.
“What?”
“Jangan jealous okey.” Ucap Abey tersengih-sengih. Abey yang feminim dengan berbaju kurung sempat menjeling ke arah Nora. Terpaku Nora di hadapan mereka.
“Apa semua ni? Drama?”
“Don’t say any word. Jom bang, kita dah lambat ni.” Ujar Abey seraya mata Nora membulat besar. Tergamam sungguh dengan drama yang dipentaskan oleh Abey. Chad hamya tersenyum sumbing lantas mengatur gerak jalan beriringan dengan Abey.
“Kak Bella!” Panggil Nora dengan lafaz geram namun panggilan itu sedikit pun tidak diendahkan oleh mereka. Nora menelan air liur. Ekor matanya masih mengekori langkah Chad dan Abey dan langsung tidak melakukan apa-apa tindakan. Kakinya seakan-akan kaku membatu.
***
Abey ketawa terbahak-bahak setelah melihat wajah Nora yang seolah-olah tidak percaya dengan semua ini. Memang disengajakan olehnya. Chad pula hanya mengangguk pelahan sambil mendengar tawa Abey yang masih bersisa.
“Dia tengok aku macam nampak hantu aje.” Ucap Abey sambil menyedut Nescafe ais. Tangan Chad pula perlahan-lahan mencapai gelas teh tariknya.
Suasana di dalam restoran agak hingar bingar memandangkan restoran itu berada dekat dengan laluan sibuk. Walaupun pada waktu malam, di kota ini tidak pernah sunyi dengan umat manusia.
“Kau terlalu berdrama. Dah lari skrip.” Tutur Chad lalu meletakkan semula gelas di atas meja selepas meminumnya sedikit.
“Okey, tapi itu yang sebaiknya. Skrip ditulis oleh kau sendiri so no wonder la kalau aku touch up yang mana boleh.” Abey senyum sambil memandang ke dalam mata Chad.
Chad pula masih terpaku melihat Abey. Cantik jugak kau ni, bisik hati Chad pula yang masih memuji kecantikan Abey dalam keadaan berbaju kurung seperti sekarang ni. Baju kurung berbunga-bunga ungu bagaikan seorang gadis kampung yang masih mentah untuk meneruskan kehidupan di bandar ini.
“Actually ia adalah persembahan terbaik dari kau. Thanks sudi bantu aku.” Chad melahirkan penghargaan untuk Abey.
“Sikit je tu. Kau pun macam layak jadi director.” Balas Abey mengetap lembut bibirnya. Pujian Abey itu membuatkan Chad pula tersenyum. “Dan aku nak ajar sikit si Nora tu, kerana mulut dia lah aku dan abang dia tu bertengkar.” Bicara Abey lagi melepaskan maksud tersirat pada setiap tindakannya.
“Serius aku nak beritahu kau bahawa aku dengan dia memang tak nak ada apa-apa, but Nora still mengharapkan aku terima cintanya. Mungkin dengan apa yang terjadi malam ni akan buatkan dia menjauhkan diri dan sekali gus membenci aku.” Chad sedikit mengeluh dan sebenarnya Chad tidak mahu menyakiti hati Nora namun semua itu terpaksa demi kebaikan Nora sendiri.
Abey tunduk. Dalam kepala berlegar sesuatu. Wajah Abey berubah serta-merta. Keadaan ini membuatkan Chad tertanya-tanya.
“Kau tak gembira dengan misi pertama ni?” Chad menyoal untuk mengetahui apa yang Abey rasakan sekarang meskipun sebentar tadi Abey ketawa sakan. Pelanggan yang lain asyik mencuri pandang ke arah mereka di atas tindakan Abey yang ketawa tak ingat dunia.
“Adakah disebabkan Elya?” soal Abey seraya mengangkat semula kepalanya memandang Chad. Dan kali ini Chad pula terdiam.
“Hurm…” Hanya itu yang terluah dari mulut Chad.
“Explain la, aku nak tahu.”
Chad mengangguk dan kepalanya cuba menyusun ayat bagi menerangkan tujuan sebenarnya di atas perancangan ini agar Abey tidak terus tertanya-tanya.
“Aku tak nak dia diberhentikan kerja oleh Elya.” Secara jujurnya Chad menceritakan kepada Abey. Terpisat-pisat Abey mendengarnya. Ini adalahsalah satu pengorbanan yang Chad telah lakukan.
“Maksud kau, ia adalah satu pertukaran?”
Perlahan Chad mengangguk.
“Aku kan dah tak kerja dekat situ. Elya suka mendesak Bey.”
“Bella… kau tak nampak aku feminim sekarang ni?” Abey mahu Chad memanggil dengan nama perempuan.
“Janggal.”
“Annoying.” Abey terus tarik muka lantas Chad menguntum senyuman melihat Abey yang seolah-olah merajuk.
Chad tahu Abey terluka di atas perpisahan yang terjadi. Abang Key meminta untuk berpisah dan lebih percayakan kata-kata Nora daripada membuat usul periksa. Abey tidak diberikan kesempatan untuk berterus terang maka inilah penamat cinta mereka. Abey menghadapi kelukaan berterusan selepas Ayu pula membuat keputusan drastik untuk kembali ke pangkuan keluarga lalu meninggalkan Abey terpinga-pinga tanpa jawapan yang pasti. Semua itu Chad mengetahuinya setelah Abey sendiri menceritakan bagaimana seksanya hati seorang teman setelah teman baik meminggirkan dirinya.
“Aku nak tanya kau tentang Ayu.”
“Sorry to say bro kerana aku tak berminat.” Balas Abey pantas. Abey terus tawar hati sebaik sahaja nama Ayu disebut-sebut.
“Marah benar kau dekat dia ye?”
“Of course la setelah apa yang dah berlaku. Aku just nak tolong dia je.”
“At least dia akan berkahwin. Sampai bila kau nak berkepit dengan kawan baik kau tu? Dah lah ke mana aku pindah dia nak ikut.” Sengaja Chad menyebut soal Ayu yang pernah berpindah rumah.
“Itu kau tanya hati dia sendiri.” Abey menafikan. “Kau sebenarnya buta. Okey la macam ni aku cakap kau. Walau macam mana aku dah benci dia sekarang ni pun, aku nak beritahu kau sesuatu tentang dia. Dia tu sayangkan kau. Dia cintakan kau, cuma kau aje yang tak nampak.” Ujar Abey lagi dan akhirnya Abey memberitahu akan hakikat setiap tindakan Ayu sebelum ni.
Dari riak wajah Chad pula, ia seolah-olah tidak berperasaan. Wajah biasa sahaja dipamerkan Chad. Dari cara Chad itu membuatkan Abey keliru. Chad langsung tak hiraukan ucapan sebentar tadi.
“Chad, kau tak rasa apa-apa ke?” Tutur Abey lagi setelah melihat Chad tersengih pula.
Bahu diangkat menandakan Chad sekadar mendengar sahaja maksud sebenar Abey. Dengan laju Abey terus menyedut pula minumannya sampai habis. Abey menyesal menceritakan hal itu kepada Chad yang tidak memberikan respon sebagaimana yang diharapkan.
“Kau fikir aku akan mencintai tunang orang ke?” Ucap Chad yang bersandar rapat pada kerusi.
“Sekurang-kurangnya aku dah beritahu apa yang sepatutnya.”
“Thanks a lot Bey…” Lirih nada Chad membalas ucapan Abey.
“Huh!”
“Bagaimana sekiranya kamu jadi pacar aku aja.” Tutur Chad dalam bahasa Indonesia pula. Terangkat kening Abey. Wajah Abey terus berubah.
Chad sengaja mengubah keadaan. Kalau boleh ingin membebaskan fikiran dari tertumpu pada nama gadis-gadis lain. Kalau boleh biarkan ia lenyap untuk seketika. Dari tadi hati tak berapa tenang dan Chad hanya menipu dirinya sendiri dengan mempamerkan riak wajah yang langsung tidak berperasaan agar kebenaran sedia terselindung walaupun sebenarnya ia agar sukar.
“Last kau makan kasut size sepuluh bila?” Tanya Abey tak puas hati. Waktu begini pun Chad masih mahu berseloroh.
“Okey, aku saja je. Jangan marah. Eh, kau tak nak makan ke?”
“Dari tadi aku lepak dekat sini dengan kau baru nak tanya ke?” Lagi sekali kening Abey terangkat.
Chad memuncungkan mulut seraya bulu kening Abey terangkat. Chad membetulkan kedudukan dengan menggerak-gerakkan tubuhnya juga. Tangan kanannya mengurut perlahan jari telunjuk kirinya yang masih terasa lenguh dan kurang selesa kerana hari ini dia terlalu banyak menaip.
“Tapi itukan tugas waiter. Lagipun dah ditanya kau kata biar dulu.” Balas Chad dengan senyuman tak lekang di bibir.
“Iya la tu…” Jawab Abey meleret nada dan kemudiannya mencemikkan bibir seraya memandang ke tempat lain.
Melihat dari gelagat Abey, Chad tidak langsung bertanya tentang hal Ayu yang sudah berputus asa untuk menulis. Lagi pula Abey sekarang ni masih marahkan Ayu jadinya tak sesuai untuk dia bertanya selanjutnya. Sekiranya dia masih berdegil juga maka kebarangkali untuk meja makan di restoran itu dilingkup oleh Abey adalah lebih tinggi walaupun Abey ketika ini kelihatan begitu feminin namun jiwa brutal masih sedia ada. Chad memilih untuk berhati-hati bagi setiap tindak-tanduknya.
Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)