Entri Terkini :

Cerita - Pengemis Cinta (Bahagian 1)

(Chapter 1)

Tidak pernah pun aku terfikir untuk menjadi seorang yang baik hati dan tidak pernah pun aku ingin jadi terlalu jahat. Untuk apa aku menjadi sedemikian kalau segala yang aku lakukan terlalu hina di mata mereka? Siapalah diriku ini yang seringkali dilihat oleh mereka mundar-mandir di kota mencari tempat berteduh.

Aku akan makan apa sahaja yang aku jumpa. Di saat aku kelaparan begini maka aku akan mencari makanan yang ditinggalkan di tepi-tepi jalan, berdekatan tong sampah. Segalanya aku kutip demi mengisi perut aku yang lapar.

“Tepi! Aku nak lalu! Eee pengotor!” telinga aku sudah lali mendengar perkataan ‘pengotor’ singgah ke gegendang telingaku.

 Sudah menjadi kebiasaanku apabila waktu pagi aku akan mula meminta-minta. Sebetulnya aku tidak mahu tapi kalau tidak meminta bagaimana untuk aku membeli seputung rokok untuk aku hisap ketika aku berasa sangat sunyi?

 Tidak mengapalah kerana aku yang memilih jalan ini. Aku menjadi fakir yang terhina di lembah rasa. Di lembah ini rata-rata penghuninya mengejar kemewahan dunia.

Kuala Lumpur... bandar yang cukup indah. Tapi menjadi tidak indah dengan adanya orang seperti aku. Akulah kutu rayau di kota ini. Berbumbungkan langit dan berdindingkan angin. Kala waktu malam aku akan tidur di mana-mana sahaja.

Eee! Abang tengok orang tu kencing dekat situ saja,” kata mereka pada aku.

 Sememangnya aku umpama tidak ada akal dan fikiran. Aku tidak waras untuk waktu itu. Di mana-mana bagiku sama sahaja. Aku tidak pedulikan apa orang ingin katakan pada aku.

 “Pergi! Pergi! Jangan kau datang sini!! Ish! Jangan kau nak mengemis dekat sini! Pelanggan aku nak makan pun tak ada selera. Pergi!!” aku dihalau oleh peniaga restoran kerana aku ke situ meminta-minta pula.

 Kalau aku tidak meminta bagaimana dengan perut aku? Perut aku sudah tiga hari tidak makan. Laparnya bukan kepalang. Sudah berkali-kali perut aku berbunyi minta diisikan dengan makanan.

Ketika ini aku berjalan kaki. Ya, aku sering berjalan kaki dan tidak pernah aku naik bas. Bagaimana aku hendak naik bas dengan pakaian compang-camping begini? Kaki aku tidak beralas sepatu mahupun apa-apa pun. Aku berkaki ayam. Kadangkala kaki aku akan berdarah kerana tidak aku ketahui tempat yang aku lalui itu ada kaca dari kaki botol yang mencampakkan sahaja botol itu tepi jalan. Aku pula yang menjadi mangsa.

 Pernah satu ketika, aduh! Sakitnya... kaki aku berdarah. Darah banyak sekali terpacul dari telapak kakiku. Aku tidak tahu bagaimana hendak memberhentikan pendarahan itu. Maka aku mendapat idea, aku koyakkan pakaian aku sendiri lalu aku balutkan. Selepas itu aku berjalan terhincut-hincut akibat luka itu. Kaki aku sudah berbalut. Aku gembira sekali kerana aku dapat balutkan kaki aku yang luka dengan  tanganku sendiri tanpa ada doktor yang merawatnya.

 Itulah perkara yang lalu. Dan hari ini aku termenung dalam keramaian manusia lalu lalang. Aku hadir tempat yang sama. Aku duduk di tempat yang sama. Waktu petang. Sudah dua hari kaki aku dijangkiti kuman. Lama kelamaan ia nampak buruk.

 “Kak... jomlah kita makan dekat lain. Tengoklah orang gila tu duduk belek-belek luka kaki dia yang dah buruk tu,” aku mendengar ucapan dari seorang budak perempuan kepada kakaknya. Waktu itu aku duduk di tepi Central Market. Aku berasa penat sekali kerana berjalan jauh dengan kaki yang luka. Aku berhenti di situ kerana kaki aku sudah tidak tertahan lagi sakitnya.

“Jomlah kita pergi...” mereka berdua berlalu.

Selepas itu aku terlihat seorang budak kecil yang comel sekali. Budak kecil itu memegang belon terbang. Budak itu dipimpin oleh seorang perempuan. Sudah pasti itu adalah ibunya. Barangkali budak itu berusia empat tahun. Budak lelaki itu menoleh ke arah aku.

Aku tersenyum padanya dan budak itu membalas senyuman untuk aku yang bersandar pada dinding bangunan itu. Budak itu ingin melambaikan tangannya padaku lantas belon yang dipegang itu pun terlepas, tidak langsung dipedulikan asalkan dia dapat melambaikan tangannya padaku.

 “Hafiy! Kenapa lepaskan belon tu?!” aku dengar budak itu dimarahi oleh ibunya. Kasihan pada budak itu dipukul oleh ibunya sehingga menangis.

“Ibu... maafkan Hafiy ibu...” budak sekecil itu dipukulnya. Budak sekecil itu mana tahu apa-apa. Dia tidak tahu belon yang dilepaskan itu adalah satu kerugian. Belon itu dibeli bukan ada orang bagi sahaja.

Aku tidak tergamak melihat wanita itu memukul budak lelaki yang comel itu. Apa sahajalah dia sampai anak yang tidak mengerti itu merayu-rayu untuk tidak dipukul lagi pun tidak diendahkan. Malah tegar memukul budak itu di hadapan orang lalu lalang di situ.

 Aku terus bangun dan melangkah perlahan biarpun kaki aku masih menahan sakit. Aku mahu mendapatkan mereka berdua. Dan aku mahu melarang ibunya supaya jangan dipukul lagi budak itu.

“Kenapa pukul dia?” aku bertanya pada perempuan yang memakai skirt hingga nampak betis itu. Perempuan itu sungguh seksi. Aku tidak yakin budak ini adalah anaknya kerana tiada langsung mirip wajah pada si anak. Jauh sekali bezanya.

 Perempuan itu mencerlung matanya ke arah aku. Dia merenung aku atas dan bawah. Aku tahu dia begitu jijik melihat aku.

“Kau ni siapa nak campur urusan orang? Pengotor! Pergi dari sini!” aku dicacinya.

“Tolong ya... tolong jangan dipukul lagi budak itu,” aku menasihatinya namun dia memandang serong padaku.

Perempuan itu terus menyentap tangan anaknya yang berumur empat tahun itu segera berlalu dari situ. Budak itu yang masih menangis menoleh ke arah aku beberapa kali. Melihat wajah si kecil itu, aku teringatkan anak aku. Barangkali anak aku sudah sebesar itu.


(Chapter 2)

Ketika ini aku sedang berjalan lesu. Semakin hari aku berasa tidak sihat. Barangkali aku tersalah makan. Aku makan dengan gelojoh sekali. Aku jadi begitu kerana beberapa hari aku tak makan. Aku pergi ke belakang McDonalds dekat dengan Central Market tu atau orang panggil Pasar Seni di Kuala Lumpur tu. Aku nampak banyak makanan yang dibuang. Kebetulan aku lalu di situ jadi aku nampak beg plastik warna hitam ada tepi tong sampah dan bukannya dalam tong sampah. Aku terkocoh-kocoh mendekati beg plastik itu.

Aku berasa sangat seronok kerana ada burger di dalam tu. Cepat-cepat aku ambil dan aku makan dengan lahap sekali. Rezeki Allah SWT berikan pada aku. Rupa-rupanya rezeki Allah ada di mana-mana. Burger tu masih elok. Sedap sungguh. Aku makan sampai tiga biji di situ. Aku tercekik kebetulan ada air yang tidak habis di tinggal birai bangunan itu. Aku ambil dan aku sedut guna penyedut minuman itu. Air pun sedap dan air itu masih mengandungi ais. Sejuk rasanya perut aku.

Tapi nasib aku malang. Aku selalu dirundung malang tidak terduga. Datang sekumpulan budak botak dan berjaket ke situ. Mereka mengkerumuni aku. Aku tidak tahu apa aku perlu lakukan memandangkan mereka ramai. Aku pula kurus kering begini.

“Aduh...” aku mengaduh kerana rambut aku yang kusut masai itu ditarik kuat. Aku yang mencangkung tadi terus berdiri.

“Hoi orang gila!! Berani kamu ambil makanan kami ye?!” bentak salah seorang budak botak.

“Kimi! Apa lagi! Mari kita ajar orang gila busuk ni!!!” kata seorang lagi mengapi-apikan keadaan.
Aku menoleh deras berselang-seling pada mereka. Telapak tangan aku bertembung dan aku goyang-goyangkan meminta ampun. Aku tidak tahu itu makanan mereka.

“Kawan aku letak makanan ni dari McDonalds ni untuk kitaorang! Yang kau pergi sapu ni apa hal?!! Kalau kau nak makan kami boleh bagi tapi lepas kami kehek dari mulut kami ni masa tu  baru ko leh kutip muntah kami!!!” kata budak yang dipanggil sebagai Kimi itu sambil mencekik leher aku. Aku sesak nafas.

“Ampun! Ampun! aku tak tahu,” aku merayu.

“Ambik kau!!” Aduh! Perut aku ditumbuk sebanyak tiga kali. Ya Allah senaknya perut aku.

Makanan yang aku makan itu belum lagi terhadam. Aku menerima seksa begini. Mungkin inilah balasan aku mengambil hak orang lain walaupun ia terbuang di situ.

Aku ditolak kasar hingga terpelanting dan lutut aku tercedera kerana terhempas kuat pada jalan. Sakit sangat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Aku ingat aku tidak akan dipukul lagi. Masa tu mereka terus terajang aku. Dan sekarang kepala aku berdarah tapi mujurlah darah itu dah berhenti dari mengalir kerana aku mengoyakkan sedikit pakaian aku untuk membalut luka di atas kepala aku ni pula.

Aku berjalan terhincut-hincut kesakitan seluruh badan aku. Kaki aku yang terkena kaca pun belum sembuh lagi. Aku tak ada duit nak beli ubat. Malam kian dingin. Angin malam datang menyapa tubuh aku. Di Pasar Seni itu kelihatan sunggu lengang sekali bila malam. Kuala Lumpur tidak begitu sesak bila tengah malam begini.

Aku menoleh kiri dan kanan. Memang ada lagi orang seperti aku di sini tapi mereka berpakaian elok. Mereka tidak compang-camping seperti aku. Aku tidak tahu apa perbezaan aku dengan mereka hingga mereka nampak sedikit terurus walaupun tidur beralaskan kotak.

Masa ni aku mendongak ke atas. Aku nampak ada lantasan LRT di atas kepala aku. Aku tenung sahaja. Waktu begini perkhidamatannya dihentikan dan akan disambung esok pula. Aku lihat Kuala Lumpur begitu maju sekali. Aku berangan-angan untuk naik LRT tu yang belum pernah aku naik suatu hari nanti. Aku dengar mereka bercakap-cakap itu adalah teknologi yang hebat kerana dalam LRT Putra itu tiada pemandu. Ia dikawal secara automatik. Hebatnya Tanah Air aku.

“Ibu... Ain lapar...” tiba-tiba telinga aku menangkap suara budak kecil merenget lapar pula pada ibunya. Aku menoleh deras ke belakang aku. Aku lihat seorang budak perempuan kecil berambut panjang bersamam ibunya di sisi.

Si ibu itu memegang beg besar. Barangkali mereka baru sampai ke Kuala Lumpur agaknya. Aku berkira-kira sama ada hendak mendekati mereka atau pun tidak. Aku takut juga sekiranya aku dihalau bagaikan anjing kurap.

“Ain lapar! Ain lapar!” bentak budak itu sambil mengoncangkan tangan ibunya yang kaku di situ. Mereka tidak perasan akan kewujudan aku agaknya kerana terselindung di balik tiang elektrik. Tambah pula waktu malam. Nampak samar sahaja.

“Ain... ibu mana ada duit... tahanlah lapar tu. Esok ibu cari kerja. Sekarang ni kita pergi bawah tu... kita cari tempat nak tidur malam ni. Esok siang-siang kita cari makanan. Malam-malam ni susah nak nampak ain...” aku terharu mendengar ucapan si ibu itu. Aku jadi hairan bagaimana mereka berdua boleh ada di sini.

Aku tergerak hati untuk mendekatinya kerana aku tidak tergamak melihat budak sekecil itu terbiar lapar. Aku yang kesakitan terus melangkah mendekati mereka yang berdiri tidak berapa jauh dari aku.

“Puan...”

“Eh!!” dia terperanjat melihat aku yang kotor dan jijik ini.

“Kamu ni siapa?” tanyanya pada aku.

“Aku pengemis,” aku mengakuinya kerana itulah kebenarannya.

“Maafkan saya... kalaulah saya ada walaupun seringgit, sudah pasti saya akan berikan pada awak, tapi malangnya saya juga tidak ada duit lagi,” katanya dengan nafas hiba. Aku merasai getaran hiba dari tutur katanya. Dia tidak menghalau aku malah dia tidak sedikit pun berganjak setelah melihat aku.

Dari situ aku perhatikan kepalanya juga luka. Ada kesan luka yang baru terhenti pendarahan. Barangkali dia terjatuh agaknya.

“Nak ke mana?” aku bertanya.

“Tak tahu, saya dari Terengganu. Baru sampai tapi tidak tahu hendak ke mana kerana saya datang dengan hati dan perasaan yang luka,”

“Hati dan perasaan yang luka? Okey tak apa. Puan tunggu dekat sini tahu, jangan ke mana-mana dulu, sekejap lagi aku datang balik,” pesan aku padanya.

Mereka mengangguk.

Aku mengetap bibir dan mahu menguntumkan senyuman namun nampak pahit. Tidak mengapalah kerana kesakitan pada badan aku masih terasa. Aku terus melintas jalan.

Ekkkkkkkkk,” aku terndengar bunyi kereta brek mengejut. Aku segera menoleh. Ya Allah...!


(Chapter 3)

"Abang Azam... betul ke abang Azam cintakan Dya?" pertanyaan itu diajukan kepadaku. Begitu asyik sekali aku mendengar suara merdunya. Suara dari seseorang bergelar wanita, Dya Ardila namanya. Cantik manis rupanya. Sungguh mempersonakan.

Aku berdua-duaan dengannya dipersisiran pantai yang cukup indah. Bagiku pantai ini adalah sebuah tempat yang terindah antara aku dan dia bercanda. Masih terdapat insan lain di sini. Di Pantai Sura, Dungun Terengganu ia adalah sebuah pantai di Timur. Selain itu jika ada masa terluang aku dan Dya akan pergi bersiar-siar di Teluk Bidara. Tapi hari ini aku dan dia di sini. Di pantai ini melihat sang ombak menghempas pantai.

"Abang cintakan sayang, ambillah kapak belahlah dada abang jika sayang tidak pernah mahu percaya. Dari awal kita kenal, cinta abang pada sayang umpama lautan yang tidak terduga dalamnya dan dengarlah puisi yang abang ciptakan untukmu Dya," balas aku sambil bersedia melafazkan puisi sendiri.

Biarpun badai melanda, cintaku seteguh tetap karang
sayangku padamu tidak akan pernah terbiar karat
namun abang juga yang takut, takut hilang cinta
cinta yang kita simpulkan bersama pada hari ini
dari hamparan kasih suci dari dulu hingga kini...

Sayang...
wajahmu indah sayang... mendamaikan kalbu yang gundah
tawamu, senyummu, adalah perhiasan hari-hari ku di sini

Sayang...
tanpamu aku lelah, tanpamu aku nanar tanpamu aku gelisah
percayalah akan cintaku padamu seindah suria yang bersinar
kaulah permata hatiku... semoga kita akan bersatu juga..

Puisi yang tidak terlalu indah aku ciptakan untuknya namun cukuplah ia melahirkan rasa hatiku dan cintaku padanya. Cintaku berkias dengan perasaan oleh itu biarlah dia memahaminya dari hati.

"Abang... indah puisi itu..." katanya pada aku.

Aku menguis dagunya yang nampak malu-malu. Aku mahu dia menatap wajahku. Wajah yang dia cintai. Ya, aku benar-benar yakin dia mencintai aku.

"Terima kasih sayang... abang harap kesetiaan yang Dya berikan ini akan kekal. Abang juga berharap Dya akan terus bersama abang hingga akhir hayat," ucapku dengan penuh harapan lantas jari-jemarinya aku ramas perlahan-lahan dengan penuh kasih sayang.

"Dya tetap dengan abang," kata-katanya memberi aku kekuatan. Memberi aku semangat untuk terus menyayanginya sepenuh hatiku. Jiwa ragaku telah aku serahkan untuknya. Perlahan-lahan Dya jatuhkan kepalanya di bahuku dan angin yang bertiup kala senja ini begitu dingin pula. Angin yang menyapa tubuh seakan mendodoi perasaan hingga terbuai asyik.

"Sayang..." aku menyebut perlahan dengan tanganku membelai rambutnya yang lurus. Rambutnya yang wangi semerbak kesturi lantas aku mengangkat selendang itu menutupi semula ubun kepalannya. Selendang kuning yang aku hadiahkan pada hari jadinya tiga hari yang lalu.

Lambat-lambat Dya menoleh ke arahku. Dia seakan risau. Risau teramat sangat. Barangkali dia sedang fikirkan tentang keluarga aku. Tentang penerimaan keluarga aku terhadap Dya.

"Ya abang?" dia bertanyaan di saat garis-garis gelisah terlakar di dahinya. Apakah dia sedang bimbang tentang apa yang ingin aku katakan? Apakah dia sudah tahu apa yang hati aku ingin bicarakan?

"Dya sudah bersedia untuk menjadi isteri abang?" soalan itu terpacul dari mulutku. Sebenarnya soalan itu terlalu berat untuk aku hulurkan kerana sudah selalu aku bertanya namun keadaan masih serupa. Adakah hari ini lain? Aku perlu tahu.

"Sebenarnya Dya sudah lama sudi, tapi..."

Mendengar dia bertapi-tapi itu aku sudah tahu. Aku boleh agak. Tidak lain dan tidak bukan mesti ibu aku. Ibu aku pasti tidak suka pada Dya. Apa kurangnya Dya? Dya cantik. Dya manis. Dya bersopan. Aku lihat Dya cukup sempurna di mata aku. Punya mata yang cantik, kulit yang bersih, hatinya juga aku rasakan begitu tulus. Apa lagi yang ibu aku mahukan? Gadis seperti mana lagi?

"Tentang mama abang ke?" aku menduga padanya. Dya tunduk membisu. "Yang nak kahwinnya Dya dengan abang, bukannya mama abang," ujarku ingin memberikan keyakinan pada Dya.

Dya tetap membisu. Aku menguis lembut dagunya namun dia membatu pula. Aku akan punggung dari bangku lantas aku melutut di hadapannya. Aku ingin melihat wajahnya. Jelas terlihat manik-manik halus itu bersinar dan mengalir laju di pipinya.

"Dya menangis?" tanyaku padanya lantas aku mengangkat dagunya. Ya memang benar dia menangis. Dia tidak boleh membohongi aku sekiranya dia berkata itu adalah berpunca dari habuk. Aku sudah muak dengan alasan itu. Aku menyeka air mata itu.

"Janganlah Dya menangis macam ni. Kalau Dya menangis bagaimana pula dengan abang? Siang dan malam abang rindukan Dya. Abang tidak boleh berjauhan dari Dya. Setiap saat abang ingin berada di sisi Dya," aku meluahkan apa yang aku rasa. Sebagai seorang lelaki aku perlukan teman hidup. Dya adalah orangnya.

Dya memalingkan wajahnya. Dia tidak sanggup melihat wajahku. Dia tidak mampu bertentang mata denganku. Kenapa? Dya buat aku macam ni? Aku betul-betul mahu mengahwininya. Aku mahu jadikan Dya sebagai isteri aku yang sah.

Dya tidak mahu berkata-kata. Dya membisu. Dya seakan hilang kata-kata bagaikan hatinya tertusuk duri penih membaham luhur tenang. Dya teresak-esak. Aku tahu dan aku yakin sekali. Dia terfikirkan cacian ibu aku padanya. Ya! aku pasti telahan itu benar. Kalau dia menangis begini sudah pasti itulah yang difikirkannya.

Aku tidak tegar membiarkan wanita yang sedang duduk di hadapan mataku ini terus mengalirkan air mata. Aku tidak tergamak membiarkan kesakitan itu membelenggu hatinya.

"Dya, katakan sesuatu... jangan dia macam ni," aku memaksa dia berkata-kata agar aku senang semula mendengar suaranya.

"Abang... bagaimana untuk Dya berhadapan untuk kali kedua dengan mama abang? Mama abang begitu bencikan Dya. Mama abang tidak mahu tengok muka Dya. Apa dosa Dya bang? Dya tidak pernah pun menyakiti hati mama abang namun mama abang berkali-kali menghina Dya... Dya tidak sanggup abang... Dya tidak sanggup," Dya teriak di situ. Dya menggosok dadanya dan Dya begitu sebak. Aku tidak boleh biarkan.

Aku terus penghempas punggung aku semula ke kerusi lantas aku memaut bahunya dan aku bawakan kepalanya mendarat di dadaku. Bahunya aku usap lembut. Aku memujuk hati Dya yang lara. Aku faham apa yang dia rasai saat ini. Pedih. Bagi seroang perempuan sepertinya, kata-kata kesat dari ibu aku memiat gegendang telingannya hingga meleburkan jalur rasa dan mematahkan relung hati gadis bernama Dya Ardila. Seorang gadis kampung yang sungguh lemah lembut.

"Sayang, jangan menangis lagi, tenanglah dalam dakapan abang yang Dya cintai. Abang juga mencintai kamu Dya. Marilah kita lari dari kampung ni. Kita pergi jauh dari sini. Kita bina hidup baru antara Dya dan abang. Biarlah tiada siapapun yang menganggu meskipun dari halangan mama abang sendiri," aku nekad serta-merta. Aku memendam hasrat untuk pergi dari Kampung Sura ini. Aku tidak sanggup lagi berkeadaan begini. Berhadapan dengan ibu aku yang membenci Dya. Aku sampai sekarang tidak mengerti kenapa Dya begitu dibenci? Kenapa?!

"Tidak! Dya tak nak abang susah semata-mata untuk Dya,"

"Tapi ini soal cinta kita! takkan Dya nak kita berduka begini? Dya tahu tak yang abang bagai nak mati hidup tanpa Dya? Dya faham tak? Kalau Dya tegar buat abang macam ni dan Dya tak nak kahwin juga dengan abang! lebih baik abang mati saja Dya! Kalau itu dapat memuaskan hati Dya abangs anggup lakukan!" entah tiba-tiba sahaja aku berubah angin. Jantung aku berdetak kencanng tatkala Dya tidak bersetuju. Tiada jalan lain lagi, Itu sahaja jalan yang tinggal.

Aku sanggup tinggalkan kekayaan yang bukan milik aku dna ia tidak akan kekal. Aku sanggup tinggalkan keluarga aku demi cintaku pada Dya. Kenapa Dya tidak mengerti?"

"Dya juga ada keluarga bang! Dya ada orang tua! Kalau Dya lari ikut abang, ia memalukan orang tua kita bang! Dya memang cintakan abang dan abang jangan jadi bodoh sampai fikir nak mati! Kalau abang mati siapa nak jaga Dya bang? Siapa bang..." Dya mula sebak dan air matanya terus merembes laju.

Melihat raut wajah hibanya aku terus mendakapnya dengan penuh kasih sayangku padanya. Ya Allah kenapa hebatnya dugaan cintaku ini? Sudah lama aku bercinta dengannya sudah lama aku sayangkannya tapi kenapa bila aku kata mahu berkahwin dengannya, hasrat aku terhalang. Yang paling pedih adalah ibu aku sendiri menjadi batu penghalang cinta kami.
 
(...bersambung) 

Membaca Amalan Mulia. Terima Kasih 'LIKE' dan 'SHARE' Entri Di Sini :)
Jom Berkongsi Artikel :

KLIK IKLAN, KUMPUL DUIT NAK BELI NOVEL

 

© Copyright Miqael Arshad Online Blog 2010 -2011 | Design by Miqael Arshad | Published by Blogger Malaya | Powered by Blogger.com.